Jumaat, 12 April 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Projek '2050' Kit Siang

Posted: 12 Apr 2013 11:36 AM PDT

PENULIS ialah pemerhati sosio politik.

DUNIA bagaikan mahu berakhir kepada pakatan politik pembangkang, apabila seorang veteran politik bernama Lim Kit Siang kononnya mengambil tindakan nekad dan heroic untuk bertanding di sebuah negeri yang mempunyai majoriti pengundi Melayu. Johor bukan negeri biasa. Johor adalah negeri yang melahirkan UMNO.

Kemampuan Kit Siang untuk mengepalai tsunami politik di Johor adalah satu gambaran kemenangan yang mahu DAP berikan kepada rakyat. Gelang Patah mahu digambarkan sebagai pentas 'neutral' untuk Kit Siang mengajar UMNO berpolitik.

Cita-cita Kit Siang memang tinggi. Luar biasa tinggi. Kit Siang mahu menampilkan diri sebagai 'Wong Fei-hung' di dalam kung- fu politik berlandskap baharu. Kit Siang nampak peluang yang sangat besar untuk meletakkan DAP dalam carta politik yang lebih tinggi. Kejayaan menarik undi 'urban' pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dijadikan model rujukan.

Yang penulis mahu nyatakan, kita jangan menganggap 'Projek Gelang Patah' dan 'Projek 2050' Kit Siang ini sebagai program politik jangka pendek. Pengundi dan rakyat di Johor kena buka mata dan faham bahawa Kit Siang sedang cuba untuk membuktikan naratif politik baharu bahawa Malaysia sudah bersedia menerima suatu konsep politik yang sebenar-benarnya terbuka.

'Projek Gelang Patah', 'Projek 2050' - yang dipelopori oleh Kit Siang mengajak pengundi muda untuk menerima naratif politik baru ala-Malaysian Malaysia yang DAP perjuangkan selama ini. Gelang Patah dijadikan satu platform baharu untuk membayangkan bahawa Malaysia sudah siap untuk memasuki fasa politik baru.

DAP nyata terbawa-bawa dengan kejayaan PRN Sarawak tidak beberapa lama dahulu yang membuktikan bahawa pengundi Cina sudah membuat keputusan. Walaupun apa yang dibawa oleh kerajaan, mereka sudah mengambil keputusan untuk memberikan kepercayaan kepada DAP.

Apa yang berlaku di PRN Sarawak bukanlah satu 'kejayaan pakatan secara keseluruhannya', namun ia membuktikan bahawa DAP adalah 'Wong Fei-hung' sebenar dalam politik pakatan. Silat Anwar kurang menjadi di Sarawak. Langkah Pas pun tidak seelok mana di Sarawak.

Apa buktinya? Data Suruhanjaya Pilihan Raya, membuktikan bahawa sewaktu PRN Sarawak, BN mendapat undi terbanyak dengan 372,379 undi, diikuti DAP (134,847), SNAP (15,663), PKR (117,100), Pas (9,719), PCM (2,895) dan Bebas (20,064).

Di dalam pakatan, yang paling mendapat untung daripada naratif politik baharu ini adalah DAP. PKR dapat laba politik di Sarawak, tetapi belum cukup besar. Pas, yang membawa imej Islam masih belum mampu keluar daripada 'wajah' politik lama. Undi untuk Pas masih lagi di bawah angka 10,000 di Sarawak.

Di dalam blog Lim Kit Siang sendiri, dia menyatakan keinginan, impian dan kemahuan politik untuk Malaysia mempunyai matlamat baru yang menjangkau 30 tahun selepas 2020. '2050' adalah angka baru buat Kit Siang. Apa yang Kit Siang impikan pada tahun 2050, boleh diringkaskan dengan retorik politik yang rencam.

Kit Siang bercakap tentang '2050' yang dihuni demokrasi yang 'hebat' - namun partinya sendiri tidak menghormati semangat demokrasi. Kit Siang bercakap tentang semangat 'Malaysia', sedang partinya sendiri tidak membuka ruang yang luas buat ahli berbangsa Melayu. Ia memerlukan kesalahan 'komputer' untuk meletakkan anak Melayu di pentas kepimpinan DAP.

Banyak lagi impian '2050' Kit Siang sebenarnya. Semuanya nampak seakan-akan sangat 'bersih' dan 'murni'. Hakikatnya, 'Projek Gelang Patah' tidak melambangkan apa yang Kit Siang inginkan. Kit Siang masih lagi bermain dengan naratif politik rasis dan usang. Yang baharu kepada Kit Siang hanyalah beberapa kerat orang muda di sekelilingnya yang mahu menggambarkan dia muda dan relevan.

Dalam pada bercakap tentang sebuah negara 'Malaysia' yang suci daripada asas perkauman, Kit Siang sendiri tidak mahu menjadi model untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu. Kit Siang masih lagi bermain dengan modul politik lama. Kit Siang masih lagi mahu bertanding di kawasan yang 'selamat' untuk politik peribadinya.

'Projek Gelang Patah' bukannya membawa niat politik yang beragenda besar seperti soal nusa dan bangsa. Projek ini hanyalah projek politik peribadi Kit Siang. Ego politik peribadi Kit Siang. Rakyat Gelang Patah, baik Cina ataupun Melayu sudah dibawa ke dalam percaturan politik peribadi - yang akhirnya dimurnikan dengan niat '2050'.

56,000 pengundi Cina; 36,000 pengundi Melayu; 14,000 pengundi India dan bangsa lain di Gelang Patah sudah dibawa ke dalam hala tuju politik peribadi Kit Siang. Ini bukan soal 'tsunami' politik. Ini soal Kit Siang ingin menjadi 'Wong fei-hung' politik DAP. Ini soal Kit Siang mahu tampil sebagai hero.

Penulis cukup yakin, pengundi di Johor tidak akan mudah dibeli dengan retorik politik peribadi Kit Siang. Kita semua tahu, bukan Gelang Patah sahaja yang DAP mahukan. Kita semua tahu, cita-cita DAP lebih besar daripada itu.

Jika analogi mudah Kit Siang bahawa 'Gelang Patah' adalah model Malaysia masa hadapan - dia tidak bersikap jujur. Kit Siang masih lagi bergelumang dalam politik lama. Masih rasis. Masih bergerak di jalur perkauman untuk memudahkan dirinya dikekalkan di tempat yang lebih tinggi.

Impian '2050' Kit Siang adalah alat untuk melembutkan agenda perkauman yang dihajatkannya di Gelang Patah. 52.4 % pengundi Cina di Gelang Patah perlu memilih sama ada untuk memberikan lesen besar untuk Kit Siang mengamalkan amalan politik jurasik; atau memberikan politik Johor dan Malaysia satu kesedaran baru.

'Projek Gelang Patah' mesti dijadikan projek khas pengundi Johor untuk menolak Kit Siang. Keyakinan, kesombongan, keangkuhan dan cita-cita tinggi DAP mesti diberikan jawapan yang jelas oleh pengundi.

Sepertimana Kit Siang pernah gagal dengan 'Projek Tanjung' - tidak ada salahnya Kit Siang diberikan markah gagal juga dengan 'Projek Gelang Patah'. Mungkin itu jalan tunggal untuk memastikan Malaysia tidak terus dibenihkan oleh DAP dengan politik rasis.

Waima apa pun, keputusan di P162 Gelang Patah; N48 Skudai dan N49 Nusa Jaya - akan menjadi penentu sama ada Kit Siang menjadi 'Wong Fei-hung'; atau tenggelam selamanya dalam 'jihad' politik yang kononnya boleh membantu Pas di Johor.

Memilih calon BN jauh lebih sukar berbanding pembangkang

Posted: 12 Apr 2013 11:36 AM PDT

HARI pengumuman nama-nama calon bagi Barisan Nasional (BN) semakin hampir. Tumpuan kepada nama-nama calon BN begitu kuat berbanding pengumuman nama calon bagi PKR, DAP dan Pas.

Sebab masyarakat kita sudah muak dengan nama-nama yang sama dikemukakan oleh parti pembangkang. Negara kita sudah 55 tahun merdeka dan sebanyak 12 kali mengadakan pilihan raya umum, maknanya berkali-kali jugalah nama dan orang yang sama menjadi calon parti yang bertanding.

Contohnya daripada DAP nama Lim Kit Siang, anaknya Lim Guan Eng dan Karpal Singh, manakala Nik Abdul Aziz Nik Mat, Abdul Hadi Awang daripada Pas dan Anwar Ibrahim daripada PKR. Nama-nama pemimpin utama ini sudah berkali-kali menjadi calon.

Kalau ada nama lain, pasti mereka juga akan dicalonkan merebut dua kerusi sekali gus iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Memang PKR, DAP dan Pas telah mengumumkan nama calon masing-masing. Tetapi Ketua Pembangkang, Anwar tidak diberi mandat untuk mengetuai pengumuman calon bagi pakatan pembangkang.

Kenapa ketiga-tiga parti itu tidak dapat duduk bersama mengkaji dan menganalisis keupayaan calon-calon mereka yang akan bertanding. Jika di peringkat pemilihan calon begini keadaannya, bayangkan jika pembangkang berjaya memerintah negara ini.

Fenomena ini berbeza dengan BN. Malah Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak diberi kuasa penuh untuk mengkaji dan menganalisis setiap calon yang akan bertanding. Oleh kerana terlalu ramai yang berbakat maka sukar untuk Najib memilih calon.

Kriteria yang ditetapkan untuk menjadi calon pun semakin ketat. Tidak cukup kelayakan akademik, pandai berpidato, disegani masyarakat sekeliling, sebab itu calon juga mesti seorang yang mampu menang.

Dalam tempoh terdekat ini, orang BN sudah diingatkan, mereka yang tidak terpilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) harus menerima keputusan itu dengan fikiran terbuka.

Kepada penyandang kerusi Parlimen atau DUN yang tidak terpilih juga perlu menerima hakikat bahawa akan tiba masanya mereka perlu berundur.

BN mengamalkan penggantian calon pada setiap pilihan raya bagi memberi peluang kepada muka-muka baharu untuk berkhidmat kepada parti. Perkara ini tidak banyak dilakukan dalam pakatan pembangkang.

Beberapa penganalisis cenderung menyatakan generasi muda Malaysia mahukan calon muda pada PRU-13. Mereka berpendapat, UMNO dan BN perlu memberi peluang kepada generasi muda menjadi pemimpin memandangkan generasi itu merupakan kelompok pengundi terbesar.

Ada tanggapan dalam amalan demokrasi, senario mempunyai wakil rakyat berusia 50-an, 60-an, 70-an dan 80-an adalah perkara biasa asalkan mereka disokong, dihormati dan dikagumi oleh generasi muda.

Dalam konteks ini, Najib berdepan dilema untuk memilih calon. Tuntutan orang muda untuk dijadikan calon dan tekanan orang lama untuk dikekalkan pasti memerlukan kebijaksanaan untuk ditangani.

Pada PRU-13 ini, kira-kira 5.5 juta atau 42 peratus daripada keseluruhan 13.3 juta pengundi merupakan mereka yang berusia bawah 40 tahun.

Sebab itu, kita mesti memahami dilema yang bakal dihadapi Najib dalam proses pemilihan calon itu.

Memandangkan survival perjuangan sesebuah parti politik diwarisi kepemimpinan generasi muda maka banyak pihak mengharapkan sekurang-kurangnya 40 peratus calon terdiri daripada orang muda.

Dalam aspek ini, calon wanita muda juga boleh ditambah dan lebih ramai calon wanita diketengahkan.

Penting untuk BN meletakkan calon yang memahami aspirasi Generasi Y kerana golongan ini lebih 'ghairah' untuk berkhidmat kepada rakyat. Namun calon senior yang lebih berpengalaman, boleh memberi tunjuk ajar kepada calon muda.

Sehari dua lagi, masa yang ditunggu- tunggu akan tiba. Nama-nama calon bakal diumumkan oleh Najib. Berilah kepercayaan kepada beliau.

Oleh itu penyokong kepada bakal-bakal calon diharap tidak emosional dan terlalu fanatik. Jangan ada fiil boikot, sabotaj tutup bilik gerakan, dan tindakan yang merosakkan parti sendiri kerana tindakan itu akan merugikan mereka juga.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved