Utusan Online - Mahkamah |
Nizar kalah saman TV3 RM50 juta Posted: 12 Apr 2013 11:36 AM PDT Oleh AMIRUDDIN HARUN KUALA LUMPUR 12 April - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini gagal dalam kes saman fitnah RM50 juta di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3), berhubung isu nombor pendaftaran plat WWW 1 milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Ini berikutan keputusan Hakim Datin Yeoh Wee Siam yang menolak tuntutan itu dengan alasan TV3 dan Penerbit Buletin Utama, Rohani Ngah selaku pihak defendan berjaya membuktikan pembelaan mereka berdasarkan kewajaran dan ulasan saksama dalam perkara yang melibatkan kepentingan awam. ''Mahkamah bersetuju dengan hujahan pihak defendan bahawa Tweet pihak plaintif (Mohammad Nizar) jika dibaca dan difahami oleh sesiapa pun yang berfikiran waras, jelas menyindir Sultan Johor telah menggunakan dana awam untuk bidaan plat WWW 1,'' kata beliau. Menurutnya, laporan pihak defendan bahawa Mohammad Nizar bermaksud menuduh Sultan Johor menggunakan dana awam, merupakan komen atau pendapat oleh pihak defendan, bukannya fakta, begitu juga dengan ungkapan bahawa kenyataan plaintif itu telah menyebabkan orang awam berasa tersinggung. Demikian antara inti pati penghakiman bertulis setebal 30 muka surat Hakim Wee Siam yang diserahkan kepada pihak plaintif dan defendan tanpa dibacakan di mahkamah terbuka. Semasa prosiding, hakim tersebut hanya menyatakan: ''Tuntutan pihak plaintif dalam writ saman dan pernyataan tuntutan ditolak dan kos ditanggung oleh masing-masing.'' Mohammad Nizar ketika ditemui pemberita selepas itu berkata, beliau menerima keputusan itu dan pihaknya akan mengkaji alasan penghakiman tersebut sebelum menentukan sama ada akan memfailkan rayuan atau sebaliknya. Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 10 Julai tahun lalu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Perak itu menyatakan, beliau telah mengeluarkan satu kenyataan menerusi akaun Twitter miliknya pada 28 Mei 2012. Dakwanya, TV3 kemudian telah menyiarkan laporan berunsur fitnah berhubung Tweet beliau itu dalam siaran berita Buletin Utama pada pukul 8 malam, 30 Mei 2012. Selain TV3, Mohammad Nizar turut memfailkan saman fitnah secara berasingan terhadap Utusan Melayu (M) Bhd., bagi menuntut ganti rugi RM50 juta berhubung isu yang sama. Kes terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. telah selesai dibicarakan selama dua hari sehingga semalam di hadapan Hakim Datuk Rosnaini Saub yang kemudiannya menetapkan 7 Jun ini untuk penggulungan hujah. Dalam penghakimannya, Hakim Wee Siam berkata, dengan merujuk kepada rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), adalah jelas plaintif tidak merujuk kepada wang Sultan Johor sendiri kerana tidak logik dan tidak wajar untuk plaintif mencadangkan wang baginda digunakan untuk membina rumah PPRT. Kata beliau, memang benar seperti hujah peguam defendan bahawa Tweet itu ditujukan oleh Tengku Mahkota Johor kepada akhbar Kosmo! sebaliknya berpendapat, Tweet itu memang ditujukan kepada plaintif apatah lagi baginda mengakhiri Tweet tersebut dengan kata-kata 'Jadi sebelum anda buka mulut anda, sila selidik'. Katanya lagi, permohonan maaf Mohammad Nizar yang dibuat dalam kenyataan akhbar juga menunjukkan plaintif langsung tidak membuat sebarang cubaan untuk menyangkal pelbagai laporan akhbar sebelum itu yang melaporkan beliau menuduh Sultan Johor menggunakan wang rakyat untuk membuat bidaan tersebut. Berhubung pembelaan defendan terhadap ulasan saksama, hakim itu berpendapat, pihak defendan berjaya memenuhi keempat-empat inti pati iaitu perkataan yang diadukan itu adalah komen dan bukan fakta, terdapat asas untuk komen tersebut, komen-komen berkenaan demi kepentingan awam dan dibuat secara jujur dan tanpa niat jahat. ''Secara keseluruhannya mahkamah mendapati bahawa laporan berita Buletin Utama sebagai komen-komen yang dibuat oleh pihak defendan,'' katanya. Mohammad Nizar diwakili peguam Mohd. Fitri Asmuni dan Mohd. Zamri Ibrahim, manakala Liew Teck Huat, Lim Qi Si dan Wee Jason mewakili pihak defendan. |
Pengendali nafi artikel asal ada gambar Khalid Posted: 12 Apr 2013 11:36 AM PDT Khalid Abdul Samad SHAH ALAM 12 April - Seorang pengendali blog memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, artikel asal yang ditulisnya dalam blog Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman tidak mempunyai gambar teknik tindih Timbalan Pesuruhjaya Pas III Selangor, Khalid Abdul Samad yang berpakaian seperti seorang paderi Kristian. Azizul Azli Ahmad, 37, berkata, artikel asalnya yang disiarkan dalam hamidahosman.blogspot.com hanya mempunyai gambar Hamidah justeru dokumen yang dikemukakan di mahkamah oleh Khalid selaku pihak plaintif adalah meragukan. Dia turut menjelaskan, artikel yang dihasilkannya itu tidak pernah menyebut Khalid sebagai seorang yang murtad. ''Khalid mendakwa artikel ini telah memfitnah dia sebagai murtad namun perkataan murtad itu tidak wujud dalam artikel tulisan saya apatah lagi merujuk kepadanya. ''Justeru bagaimana ia boleh merujuk kepada plaintif jika perkataan itu tidak wujud lagipun artikel itu ditulis untuk menggesa umat Islam bersatu dalam isu penggunaan kalimah Allah,'' katanya sebagai saksi defendan terakhir. Azizul yang kini menyambung pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di ibu negara berkata demikian dalam pernyataan saksinya dalam perbicaraan kes saman fitnah Khalid terhadap Hamidah yang difailkan pada 23 Disember 2011. Khalid menyaman Hamidah berhubung penyiaran gambar yang menggunakan teknik tindih gambar Khalid yang disiarkan melalui blognya pada Januari 2010. Dalam pernyataan tuntutannya, Khalid sebagai plaintif mendakwa, gambar itu menunjukkan beliau seperti seorang paderi Kristian dan seorang yang murtad. Sementara itu, Azizul berkata, perkataan liberal yang ditulis dalam artikel berkenaan tidak merujuk kepada plaintif tetapi lebih kepada golongan yang bersifat terbuka. ''Saya juga tidak merujuk kepada plaintif dalam perkataan melacurkan agama malah ia tidak merujuk kepada mana-mana individu,'' katanya. Dia turut menjelaskan, tujuannya menulis artikel itu adalah susulan kes Mahkamah Tinggi yang membenarkan gereja Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguan, Herald The Catholic Weekly. ''Ia adalah rasa tanggungjawab saya sebagai orang Islam untuk mengingatkan umat Islam lain bahawa kalimah Allah tidak boleh diguna pakai oleh orang bukan Islam. ''Ini kerana sepanjang pengalaman dua tahun di Indonesia apabila kalimah Allah dibenarkan diguna oleh penganut Kristian, saya melihat statistik penduduk negara itu yang murtad berdasarkan Majlis Agama Islam Indonesia selepas reformasi adalah sebanyak dua juta setahun. ''Malah di Bandung, gereja-gereja yang dinamakan Gereja Jemaah Allah dan Gereja Jemaah Rasul mewujudkan kecelaruan penduduk di antara gereja dan masjid,'' katanya. Dalam pada itu ketika ditanya peguam, Azhana Mohd. Khairuddin yang mewakili plaintif, Azizul memberitahu, hanya dia sahaja yang boleh mengakses blog berkenaan dan turut menafikan mengikut semua arahan Hamidah. Dia turut mengaku membuang artikel dan menutup blog terlibat namun menjelaskan tindakan itu dilakukan setelah dia diterima menyambung pengajian di sebuah IPTA pada September 2011. Katanya, Hamidah sendiri mencadangkan blog itu ditutup kerana tiada pihak yang dapat menggantikannya sebagai pengendali blog. Dalam perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Hashim Hamzah, Hamidah diwakili peguam, Datuk Mohd. Hafarizam Harun manakala Khalid turut diwakili peguam, Mohamed Hanipa Maidin. Mahkamah menetapkan 28 Jun ini untuk keputusan perbicaraan itu dan mengarahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan bertulis dan hujahan balas masing-masing pada 21 Mei dan 10 Jun ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan