Susah senang Umie, ErraSusah senang Umie, Erra
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar SYEFRY MONIZ
Lokasi ISTANA BUDAYA, Jalan Tun Razak, 50694 Kuala Lumpur.

|
ERRA Fazira dan Umie Aida berpegang pada satu prinsip bahawa pengorbanan perlu seiring dengan kejujuran dan keikhlasan.
|
ADA sebab mengapa dua primadona ini disatukan dalam sesi fotografi khas sempena Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada 6 November ini.
Melihatkan kepada pencapaian yang telah dicipta oleh Datin Umie Aida dan Erra Fazira sebagai aktres ternama negara, sesungguhnya ia bukanlah satu tugas yang mudah.
Baik Umie mahupun Erra, kedua-duanya telah melakukan pengorbanan yang cukup besar dalam mencipta nama sebagai seorang bintang.
Seperti mana kata Umie, dia mengakui laluannya untuk menjadi seorang aktres tidak seindah yang disangka ramai pihak.
Di kala remaja seusianya sibuk menelaah buku dan mengulangkaji pelajaran, Umie pula perlu menghabiskan masanya di lokasi penggambaran sebaik sahaja dia menceburkan diri dalam dunia lakonan pada tahun 1991 menerusi filem Memory.
"Mungkin secara luarannya, orang melihat menjadi seorang artis adalah indah belaka tetapi realitinya, ia tidak seindah yang disangka.
"Seperti mana saya sendiri, saya perlu memekakkan telinga daripada terus memikirkan apa yang orang memperkatakan tentang diri saya.
"Maklumlah, mulut orang mana boleh ditutup. Mahu atau tidak, semuanya harus ditelan dan kita perlu yakin pada diri sendiri bahawa kita berada di pihak benar. Hidup sebagai seorang manusia ini tidak pernah sempurna bukan?," cerita aktres berusia 38 tahun ini membuka bicaranya pada petang itu.
Tidak cukup dengan itu kata Umie, dugaan mendatangi dirinya sebaik sahaja dia membesarkan dan membela dua orang anak angkatnya, Mohd. Daniel Firdaus, 18, dan Mohd. Dzulhelmy, 17.
Pada ketika dia sedang membina namanya, dia berkorban masa, wang ringgit dan tenaganya dalam membesarkan dua puteranya itu dan mahu melihat mereka membesar menjadi seorang yang berguna kepada negara, bangsa dan agama.
Jelas pemilik nama penuh Umi Khalsum Rahmad Ali ini lagi, ketika itu jugalah, dia perlu berani berdepan dengan kehidupan walaupun dia pernah dicerca dan dilemparkan dengan kata-kata kurang manis hanya kerana mahu membesarkan dua anaknya itu.
"Bagi saya, pengorbanan itu sendiri membawa definisi yang sangat luas dalam segala aspek dan apa yang penting, semuanya harus dilakukan dengan penuh keikhlasan serta kejujuran.
"Jika kita melakukan sesuatu perkara untuk mengharapkan balasan atau penghargaan, maka, pengorbanan itu tidak mempunyai sebarang makna," kata pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-16 (2003) menerusi filem Embun itu lagi.
Berkorban demi keluarga
Pendapat itu juga turut dipersetujui oleh Erra yang dari awal begitu khusyuk mendengar Umie yang rancak bercerita.
Kata Erra atau nama penuhnya, Fazira Wan Chek pengorbanan bagi dirinya bermula sebaik sahaja dia menjejakkan kaki dalam dunia seni sekitar tahun 1993.
Mula meraih perhatian selepas dinobatkan sebagai Ratu Cantik Malaysia ketika itu dan kemudiannya disunting pula oleh pengarah dan penerbit filem tersohor, Datuk Yusof Haslam membintangi Sembilu, Erra tidak menoleh ke belakang lagi.
Bermula detik itu, kehidupan wanita berusia 37 tahun ini berubah secara total sehingga mampu dikalungkan dengan gelaran Primadona Filem Melayu alaf baru.
Jelas Erra lagi, dia tekad untuk menjadi anak seni kerana minat dan sudah pasti, matlamat utamanya adalah untuk membantu dan menyara keluarga untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.
"Sudah puas saya perhatikan bagaimana ibu saya, Azizah Zaik bekerja keras dan menjalani hidup sebagai ibu tunggal dalam membesarkan saya.
"Pengorbanan ibu cukup besar dan kerana itu, saya mahu mengubah senario itu dengan mengambil alih tugasnya sebagai ketua keluarga.
"Seperti mana kata Umie, pengorbanan itu tidak seharusnya diharapkan balasan. Bagi saya, apa yang saya lakukan hari ini adalah untuk membalas jasa keluarga adalah satu tanggungjawab yang harus dipikul sebagai seorang anak," kata anak kelahiran Sungai Choh, Rawang, Selangor ini memberikan hujahnya.
Hubungan rapat Erra, Umie
DALAM kerancakan berbicara dengan dua wanita gigih ini, sempat juga ditanya kepada mereka tentang pengorbanan masing-masing dalam persahabatan mereka.
Apatah lagi, usia persahabatan mereka pun bakal menjangkau sedekad dan sudah pasti dalam tempoh itu banyak perkara yang dilalui bersama baik susah mahupun senang.
Sambil berpandangan sesama sendiri dan kemudiannya disambut dengan derai tawa yang berpanjangan, Umie dan Erra yang saling menggelarkan diri masing-masing sebagai makcik ini membuka bicara mereka.
Kata Umie, dalam apa jua yang dilakukannya, pengorbanan tidak pernah terlepas dalam diari hidupnya dan begitu juga persahabatan bersama Erra.
"Ada kala kami tidak mampu melakukan banyak perkara bersama-sama lantaran kesibukan masing-masing. Mahu atau tidak, antara kami perlu berkorban seandainya hasrat itu tidak dapat direalisasikan.
"Seperti mana yang saya katakan tadi, dalam apa jua yang dilakukan perlulah jujur dan ikhlas. Barulah ia akan diberkati dan kekal lama. Itu yang boleh saya katakan tentang persahabatan saya dengan Erra," katanya sambil menjeling ke arah Erra yang cukup anggun berkebaya merah di sebelahnya.
Sambil menganggukkan kepala tanda setuju dengan apa yang diperkatakan oleh sahabatnya itu, Erra juga sempat diusik sama ada mereka berdua pernah bermasam muka dan bertegang leher gara-gara percanggahan idea mahupun pendapat.
Dengan pantas isteri kepada Engku Emran Engku Zainal Abidin dan ibu kepada Engku Aleesya ini menggelengkan kepalanya.
"Sepanjang enam tahun saya rapat dengan Umie, rasanya belum pernah kami bergaduh besar sehingga tidak bertegur sapa untuk jangka masa yang lama.
"Kalau orang tengok gaya kami berbual memang orang akan menyangka kami sedang bergaduh. Tetapi hakikatnya tidak kerana itulah stail kemesraan kami," jelas Erra yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali ini sambil memeluk erat Umie.
Full content generated by Get Full RSS.