Utusan Online - Keluarga |
Posted: Nostalgia sajian Baba NyonyaOleh NOOR FAZRINA KAMAL Balang kaca dan botol-botol lama menjadi hiasan yang menarik. NAMANYA dipetik daripada sebuah jalan yang terletak di bandar Melaka. Jalan Tengkera atau dulunya dieja sebagai Tranquerah, bermaksud sebuah kubu pertahanan yang damai dalam bahasa Portugis . Sedamai berada di dalamnya, dekorasi restoran ini turut mengambil inspirasi daripada apa yang terdapat di sepanjang jalan tersebut. Idea itu diterjemahkan dengan penuh kreatif oleh pemiliknya, Alan Yun, pelakon dan model popular tanah air. Daripada pemilihan perabot hingga kepada hiasan-hiasan kecil lama seperti botol, kalendar, bingkai gambar dan banyak lagi segalanya mengembalikan nostalgia suasana Jalan Tengkera. "Saya turut masukkan unsur-unsur budaya masyarakat Baba dan Nyonya Melaka. Sebagai contoh, siling ini sebenarnya adalah pintu rumah tradisional Baba dan Nyonya yang terdapat di sepanjang jalan tersebut. "Bukan itu sahaja, suis elektrik ini juga seperti yang terdapat pada zaman dahulu," ujarnya yang ditemui di restorannya di Red Carpet Avenue, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Menariknya melalui restoran The Tranquerah itu, Alan mengenengahkan resipi tradisi Baba dan Nyonya 100 peratus daripada chef terkenal, Florence Tan. Kebetulan Florence yang berketurunan Baba dan Nyonya juga berasal dari Jalan Tengkera. "Setiap masakan di sini tidak mengandungi perisa tambah sebaliknya bagi menambah keenakan, chef Florence menggunakan lebih rempah-ratus. "Ada komen yang kami peroleh daripada pelanggan mengatakan masakan di sini seakan makan di rumah, malah lebih sedap lagi," kata Alan. Menurutnya, antara menu mesti cuba di sini ialah ayam buah keluak yang cukup unik dari segi penyediaannya. Ini kerana bagi yang kurang mahir tentang cara memasak buah keluak ia boleh menyebabkan keracunan. "Untuk menyediakan ayam buah keluak, kita hanya menggunakan buah yang elok saja kerana jika ada walau sebiji pun yang rosak, seluruh periuk terpaksa dibuang. "Apa pun rasa masakan ini unik dan sedap, lain daripada yang lain," katanya jelas Alan yang kini sedang sibuk dengan penggambaran filem arahan Shuhaimi Baba. Selain itu pengunjung juga tidak harus melepaskan peluang menjamah sotong goreng rangup, terung goreng sambal, kangkung lemak keledek, ikan cencaru sumbat, udang masak petai dan sebagainya yang memang menyelerakan apabila dimakan bersama nasi panas. Untuk pemanis mulut pula, The Tranquerah menyediakan bubur cha-cha dan cendol yang menggunakan gula Melaka asli bagi menyerlahkan rasanya. Menurut Alan, kesemua sajian disediakan oleh dua chef berpengalaman yang dibantu empat pembantu dapur yang akan memastikan pelanggan tidak menunggu lama untuk menikmati hidangan diingini. The Tranquerah dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 11 malam. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Nama unik bangkit seleraDUA minggu lepas saya menerima panggilan daripada kenalan saya, Anicetus Tasisius iaitu Pengurus Besar Hotel Summit Bukit Mertajam. Beliau menjemput saya untuk makan tengah hari bersamanya. Katanya ada promosi menu baru dari negeri Sabah di Hotel Summit. ''Chef jemputlah datang cuba menu baru kita ikan masak alui-alui," pelawanya. Saya begitu teruja apabila dia menyebut nama makanan itu kerana ia sesuatu yang baru dan namanya begitu memikat hati saya untuk mencubanya. Jadi pada minggu lepas saya telah memenuhi undangannya dan berpeluang merasa makanan ini. Sajian ini sebenarnya adalah umpama ikan masak pindang di sebelah Semenanjung, cuma bagi saya namanya sahaja yang baru dan unik. Resipi aslinya menggunakan sejenis buah yang dinamakan alui-alui yang seakan asam keping di sebelah semenanjung dan ia dihiris nipis dan dikeringkan. Ia digunakan dalam masakan ini untuk memberikan rasa masam. Pada minggu ini saya ingin berkongsi dengan anda bagaimana sesuatu nama makanan itu dapat menambat selera seseorang. Untuk pengetahuan selain rasa dan rupa makanan, nama makanan juga memainkan peranan penting terutama jika anda ingin memikat selera orang ramai untuk menikmati atau membeli sesuatu juadah. Ia dapat membangkitkan selera orang ramai untuk mencuba makanan kerana ada kelainan pada nama makanan itu. Cara ini sangat sesuai bagi mereka yang ingin berniaga jadi walaupun makanan itu biasa tetapi penjenamaan kepada nama yang baru adalah salah satu strategi berkesan untuk melariskan makanan. Cara inilah yang digunakan di Hotel Summit Bukit Mertajam dalam promosi terbaru di restaurant Coffee House hotel ini. Walaubagaimanapun anda tidak boleh mengabaikan rasa makanan itu kerana nama yang menyelerakan perlulah seiring dengan rasa makanan yang enak. Tidaklah nama sahaja yang nampak sedap tetapi kualiti rasanya tidak dipelihara. Bukan apa, tip ini juga agak menarik dilakukan kerana dari nama yang unik itu saya pasti orang lebih teruja mencubanya walhal ia adalah makanan yang telah menjadi kebiasaan ramai. Ini saya akui apabila saya melihat sendiri menu di Hotel Summit. Ada beberapa menu yang diletakkan dengan nama yang menarik. Contohnya bihun goreng Nurkasih. Idea nama ini tercetus ketika drama Nurkasih sedang hit di TV3 dan menurut Anicetus, bihun ini sengaja dinamakan begitu kerana ramai yang meminati drama ini ketika itu. Walaupun ia sebenarnya adalah bihun Singapura tetapi untuk memberikan kelainan ia dinamakan sebegitu selain persembahan makanan itu juga diberikan sedikit sentuhan berbeza yang dapat menarik perhatian. Dengan nama yang baru bagi membaharukan makanan yang biasa ternyata berkesan. Ada beberapa nama lagi yang agak menarik dalam set menu yang disediakan bagi membangkitkan selera pelanggan ke hotel ini seperti ayam masak pucuk rindu, telur dadarling, ayam teruna cili merah dan kepak ayam pangkal Jurus. Bagaimana? Menarik bukan nama-nama makanan ini. Sekali lagi saya ingin menyarankan jika anda sudah bosan dengan masakan yang biasa, apa kata sesekali anda tukar nama makanan itu kepada nama yang baru dan unik serta ubah cara persembahan makanan itu menjadi lebih menarik. Dengan perubahan ini mungkin selera anda sekeluarga akan bertambah. Kepada mereka yang berniaga pula, anda juga boleh menggunakan cara ini supaya pelanggan anda bertambah dan akan lebih setia dengan makanan yang anda jual. Kali ini saya berkongsi resipi ikan masak alui-alui yang telah saya cuba di Hotel Summit ini. Selamat mencuba! Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan