Utusan Online - Rekreasi |
Posted: Jelajah Gua TempurungOleh ASMARUDDIN JAMALUDDIN MERANGKAK di dalam air untuk tembus ke ruang sebelah cabaran yang menarik perhatian peserta lasak. KESEMPATAN untuk meneroka Gua Tempurung, Kampar, Perak, baru-baru ini sememangnya sukar untuk ditolak. Apatah lagi pelawaan itu datangnya daripada rakan lama. Kami sebenarnya sudah lama tidak melakukan aktiviti rekreasi bersama secara berkumpulan. Sebenarnya, kira-kira 18 tahun dahulu penulis pernah meneroka gua ini, jadi keinginan untuk melihat semula perkembangan dan perubahan yang berlaku pada gua ini sangat meluap-luap. Dulu, tiada sebarang kemudahan tersedia, semuanya dalam keadaan yang sangat asli dan terpelihara, kecuali terdapat beberapa kesan tinggalan komunis seperti pagar besi yang masih terlekat di beberapa bahagian dinding gua tersebut. Pada masa itu, keadaan udara di gua ini sangat segar dan sejuk menandakan gua ini sangat 'sihat' dan 'hidup'. Ketika itu, kubah, sungai kecil, stalagmit dan stalaktit serta kolam kecil bertingkat menjadikan gua tersebut sangat menarik untuk diterokai. Malangnya, pada kunjungan saya bersama Putrajaya Adventure Team (PAT) baru-baru ini mendapati, terdapat banyak perubahan berlaku di luar dan dalam gua tersebut. Penulis rasa terkilan kerana gua ini tidak diselia dengan baik dan tegas, terutamanya apabila para pengunjung bebas menyentuh permukaan gua yang boleh mengakibatkan gua itu 'dibunuh' secara perlahan-lahan. Perlu diingatkan bahawa gua ini mengambil masa ribuan tahun untuk mencapai proses kematangan bagi setiap formasi yang dilihat di dalam dan di luar gua. Tidak dinafikan, pihak pengurusan ada menyediakan laluan pada sebahagian besar gua ini untuk kemudahan pengunjung, tetapi terdapat beberapa 'pakej laluan' yang membenarkan pengunjung melepasi beberapa bahagian gua yang masih tidak terusik. Para pengunjung seharusnya perlu diberi garis panduan oleh jurupandu yang bertugas agar mereka tidak menyentuh dan mengganggu sebarang bentuk keaslian yang terdapat pada gua ini. Sementara itu, terdapat empat pakej rekreasi yang ditawarkan di Gua Tempurung iaitu Golden Flowstone (40 minit), Top of the World (1 jam 45 minit), Top of the World & Short River Adventure (2 1/2 jam) dan Grand Tour (3 1/2 jam). PAT memilih pakej Grand Tour yang merupakan pakej paling panjang, bermula dari platfom 1 hingga platfom 10. Trek ini akan melalui laluan mencabar yang pasti akan membuatkan peserta tidak sempat kering badannya kerana di sebahagian besar laluan ini para peserta akan dipaksa merangkak ke dalam sungai yang cetek dan sejuk. Kemudian mereka akan dibawa menggelongsor dalam kegelapan setinggi 20 kaki. Pengerusi PAT, Saiful Kadir berkata, para peserta juga akan diajar ikatan dan simpulan wajib yang mudah, tetapi ramai di kalangan peminat rekreasi tidak ambil peduli. "Pada kesempatan ini membolehkan PAT melatih mereka agar kemahiran tali dapat dikembangkan kerana terdapat banyak jenis ikatan yang perlu dipelajari bagi memperkasakan pengetahuan dan kemahiran mereka. "Antara ikatan dan simpulan yang sempat dipelajari ialah buku sila, double dan single of eight, bowline, stopper, fisherman dan italian hitch," katanya. Selepas sarapan pagi pada keesokan harinya, para peserta sudah bersedia untuk meneroka Gua Tempurung. Para peserta memulakan senaman ringan sambil bersiap sedia dengan lampu suluh masing-masing. Kumpulan penulis dipandu oleh Mohd. Sufi Abdul Manan. Gua Tempurung yang berusia lebih 400 juta tahun ini adalah yang terbesar di Perak manakala trek guanya memanjang sehingga 1.9 kilometer sehala. Terdapat lima kubah (chamber) yang besar, jadi nama gua ini diambil sempena kubahnya yang kelihatan seperti bawah tempurung kelapa. Laluan trek ke Golden Flowstone (pada pakej satu) telah disimen, manakala di tempat yang curam dan bertebing telah dipasang tangga dihiasi lampu- lampu berwarna-warni bertujuan menimbulkan mod di beberapa kawasan permukaan gua agar menarik dilihat dari jauh. Di sini terdapat banyak formasi batu kapur yang besar terbentuk dari larutan air batu kapur termasuk juga batu-batu marmar yang terdapat di kawasan sungai. Formasi yang terbentuk di sini seakan- akan menyerupai rupa haiwan antaranya kelihatan kucing, lembu dan ayam. Manakala najis-najis kelawar yang bercampur dengan kencingnya menghasilkan lukisan-lukisan abstrak semula jadi pada bumbung dan dinding gua. Kelawar boleh dilihat pada bulan Mac hingga Mei kerana bulan tersebut adalah musim mengawan bagi haiwan itu. Golden Flowstone dikenali kerana dinding-dinding gua yang terdapat di sini terdiri dari pasir-pasir halus seperti kristal. Sebahagian dinding gua ini yang basah dan berair kelihatan berkilauan apabila terkena suluhan lampu. Suasana ini akan memberi mod warna keemasan di sekitarnya. Platform empat pula yang setinggi 90 meter dari aras laut merupakan laluan angin. Situasi ini memberikan suasana nyaman kepada pengunjung kerana angin yang menerusi lorong ini sangat sejuk dan nyaman. Angin ini datang dari dua arah bertentangan iaitu melalui pintu masuk dan pintu keluar gua ini. Pertembungan ini akan memberi suasana angin pelbagai arah. Bagaimanapun kelajuan angin banyak bergantung dengan keadaan cuaca di luar. Jika waktu hujan, angin di sini menjadi lebih kuat dan sejuk begitulah sebaliknya. Oleh itu, lokasi ini menjadi lokasi popular untuk berehat bagi semua pengunjung. Platfom lima pula adalah kawasan tertinggi di sini. Dikenali sebagai `top of the world'. Dengan ketinggian 125 meter dari aras laut, ia merupakan lokasi tertinggi buat pengunjung. Bagi menjamin keselamatan pengunjung, sebanyak 640 anak tangga disediakan. Tambah menarik lagi apabila terdapat beberapa lampu menghiasi kawasan gua menjadikannya sangat menarik jika dilihat dari jauh. Aktiviti penerokaan gua sebenarnya bermula dari platfom ini sehinggalah ke platform 10. Tiada kemudahan disediakan, yang ada hanyalah trek yang kotor dan basah. Walaupun begitu, pakej ini adalah yang terbaik kepada pengunjung yang sukakan kelainan cabaran. Tiada lagi trek yang bersimen mahupun lampu-lampu di dinding gua. Dari sini, peserta perlu merangkak, menggelongsor, menyusur, meniarap di sungai dan menyusup ke dalam lubang-lubang kecil bagi meneruskan penerokaan ke tahap seterusnya. Kotor dan basah menjadi mainan sepanjang penerokaan bahagian terakhir gua ini. Hiruk-pikuk jeritan dan gurauan peserta memenuhi setiap ruang gua sesekali bergema mengiringi rentak kaki peserta. Keseronokan ketika melakukan penerokaan di gua ini akan menjadi sia-sia jika tiada yang memberi perhatian kepada formasi-formasi yang masih ada didalam gua ini kerana di bahagian inilah banyak kehidupan gua yang masih cuba meneruskan survivalnya. Sayang sekali kerana sepanjang penerokaan, penulis tidak melihat seekorpun kehidupan serangga mahupun mamalia di dalam gua ini selain kelawar. Selain itu, pengunjung tidak perlu risau mengenai keselamatan diri semasa berada di dalam gua kerana kemudahan yang disediakan di sini memang memuaskan. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Membina semangat waktu malamOleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI SUKAN futsal sesuai bagi semua peringkat usia. - S2/FAIZAL ABU HASSAN SIAPA kata masa membataskan aktiviti riadah seseorang, terutama bagi mereka yang sibuk dengan tugas pejabat hampir setiap hari? Ramai beranggapan, rutin harian di pejabat yang bermula seawal pukul lapan pagi dan berakhir pukul empat atau lima petang menyukarkan mereka untuk aktif beriadah atau bersukan. Bukan disebabkan penat bekerja seharian, kesuntukan masa untuk beriadah pada sebelah petang merupakan alasan biasa sebahagian besar masyarakat mengapa mereka jarang atau langsung tidak melakukan aktiviti tersebut. Disebabkan waktu bekerja habis petang, ruang waktu yang ada sebelum menjelang malam begitu pendek - mana hendak balik ke rumah menyalin pakaian, berehat selepas penat bekerja seharian dan kemudian hendak beriadah atau bersukan! Namun, itu semua kini bukan lagi alasan. Ini kerana kebanyakan tempat termasuk di Perlis, masyarakat pelbagai golongan tidak perlu tergesa-gesa malah mempunyai banyak masa untuk berehat selepas penat seharian bekerja. Semua ini menjadi mudah kerana Perlis turut mempunyai kemudahan untuk melakukan aktiviti tersebut pada waktu malam terutamanya futsal. Sebagai contoh, Arena Futsal yang terletak berhampiran Stadium Utama Negeri, Kangar cukup mendapat sambutan bukan sahaja di kalangan lelaki malah golongan perempuan. Hakikat ini diakui oleh Nurul Ashikin Mohd. Josri, 25, seorang kakitangan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang sering menjalani latihan dan mengadakan perlawanan futsal sehingga lewat malam atau awal pagi. "Bermain futsal sebelah malam memang menyeronokkan kerana kami (pemain) mempunyai banyak masa, kadang-kadang tanpa disedari malam sudah pun menjelang pagi," katanya. Menurut gadis muda yang mewakili negeri Perlis dalam perlawanan futsal dan pernah mewakili pasukan bola sepak wanita kebangsaan beberapa tahun lalu ini, bersukan pada sebelah malam lebih selesa dan menyeronokkan. "Sebelah malam lebih selesa bersukan kerana tidak panas di samping memberi banyak masa untuk saya berehat panjang pada sebelah siang sebelum memulakan aktiviti," tambahnya. Menurutnya lagi, aktiviti seumpama itu bukan sahaja mengeluarkan peluh malah turut mengeratkan hubungan persahabatan di antara rakan-rakan. "Jika sebelah malam, ramai rakan tidak mempunyai masalah untuk bermain futsal kerana tidak dibelenggu kerja dan aktiviti lain. "Memang menyeronokkan berjumpa rakan-rakan sambil bersukan dan menyihatkan badan," tambahnya. Rakannya, Nur Atikah Ramli, 26, memberitahu, dia berada di gelanggang tersebut hampir setiap malam untuk berlatih dan beraksi dalam perlawanan dengan beberapa pasukan lain. "Memang suasana dan gelagat rakan-rakan ketika di gelanggang cukup menghiburkan," katanya. Jelasnya, aktiviti tersebut secara tidak langsung dapat mengurangkan tekanan disebabkan beban kerja dan sebagainya pada sebelah siang. "Sebenarnya, ia juga dapat mengelakkan golongan remaja terlibat dalam aktiviti tidak sihat. "Jika tidak ada halangan, saya memang tidak melepaskan peluang untuk bersama rakan-rakan bermain futsal pada sebelah malam," ujarnya. Kata Nur Atikah, golongan remaja perlu digalakkan menceburi aktiviti berfaedah atau melibatkan diri dengan kegiatan sukan bagi menjauhkan mereka daripada gejala tidak sihat. "Antara yang boleh dicontohi ialah bermain futsal, selain aktiviti menyihatkan, ia juga menanam disiplin, membina semangat kesukanan seterusnya mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rekreasi To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan