
Najib Tun Razak berbual dengan peserta seminar, Prof. Dr. Mahmod Abdul Rahman Qadah pada majlis perasmian Seminar Antarabangsa Penghayatan Wasatiyyah Dalam Kerangka Maqasid Syariah di Menara Felda, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
ALHAMDULILLAH, lafaz syukur dan segala puji-pujian yang tidak terhingga saya panjatkan ke hadrat Allah SWT di atas limpah kurnia dan inayah-Nya jua, kita dapat berkumpul di dalam majlis ilmu yang saya anggap sangat penting lagi bermakna ini. Saya harus katakan semuanya bermakna dan penting kerana ianya menjadi akar kepada usaha pembenihan faham wasatiyyah dan kesederhanaan yang seringkali kita ucap dan zahirkan di pelbagai peringkat.
Makanya, pada pandangan saya, cukuplah agaknya dengan ungkapan komitmen, iltizam dan kesungguhan saya selaku Perdana Menteri, untuk mengatakan bahawa wasatiyyah dan idea Islam yang berlandaskan kesederhanaan ini akan menjadi cita teras kepada kerajaan dan kepimpinan yang ada.
Banyak contoh yang saya boleh sebutkan, kewujudan Felda yang jadi penaja utama pada seminar ini adalah juga menepati matlamat maqasid syariah dan baru-baru ini kejayaan kerajaan menjadi orang tengah membawa pada penyelesaian konflik di selatan Filipina yang telah meragut nyawa umat Islam selama 40 tahun kerana peranan Malaysia berasaskan kepada pendekatan wasatiyyah maka kita telah berjaya sebagai fasilitator yang bawa kepada Comprehensive Agreement Bangsamoro akan wujud entiti Bangsamoro dan ribuan umat Islam akan terselamat daripada konflik kerana peranan yang dimainkan oleh Malaysia.
Dalam hal ini perkara yang penting kepada saya ialah pendekatan wasatiyyah ini dapat diterima dengan hati terbuka oleh majoriti rakyat, mendapat sokongan para ilmuwan dan cendekiawan, baik tempatan mahupun antarabangsa. Malah dalam seminar seperti inilah, saya anggap akan membantu kita kepada penerimaan konsep ini secara lebih menyeluruh.
Kita harus mengingatkan kepada diri kita, bahawa jangan kita terlalu gusar dengan persepsi atau tanggapan sebilangan kecil masyarakat kalau kita terlalu risau, akan demikian maka kita tidak mampu membawa apa-apa gelombang perubahan dan kita akan statik dan takut melakukan apa jua perubahan yang boleh membawa kepada kebaikan.
Sememangnya, Islam itu sendiri bukanlah sebuah agama yang kaku, lesu dan fobia dengan perubahan. Dalam banyak hal dan perkara, faham agama mesti diterapkan dengan kesegaran dan keberanian keilmuan, khususnya dalam perkara-perkara yang ditegaskan di dalam al-Quran, as-Sunnah, Ijma Ulama, mahupun Qiyas, di mana ruang lingkup keberanian meneroka fikrah ijtihadik sangat penting dan utama.
Oleh itu kesalingan hubungan dan kaitan di antara peranan aqal. Fiqh dan realiti sosial di dalam pembangunan kefahaman dan pemikiran islam mesti disuburkan.
Saya merasa cukup senang hati apabila dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa seminar ini mendapat perhatian dan minat daripada pelbagai kumpulan dan kelompok masyarakat. Kepada para ilmuwan dari Qatar Kuwait dan Arab Saudi, saya ucapkan terima kasih dan selamat datang kepada mereka kerana sumbangan mereka amat bermakna kepada kita. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada institut wasatiyyah Malaysia kerana telah berjaya mengadakan seminar ini dan terus berusaha untuk menyebar luas kefahaman mengenai konsep wasatiyyah.
Sebenarnya, masyarakat pada hari ini mengharapkan Islam mampu menyedia kerangka solusi dan penyelesaian kepada banyak masalah kontemporari yang melanda negara dan umat Islam. Ketika ini, ada di kalangan negara Islam yang berhadapan dengan iklim ekonomi yang cukup menduga, ada juga negara Islam yang lain sedang berdepan dengan dugaan politik yang tidak menentu. Tetapi soalnya, di dalam segala ketidaktentuan ini, apa uslub dan jalan yang mampu kita tawarkan kepada rakyat dan dunia dan secara keseluruhannya.
Oleh yang demikian, apakah wasatiyyah punya makna, ketika mana peluru berdesing di tepi kepala dan nyawa hampir sahaja tidak punya harga? Apakah wasatiyyah masih punya makna, ketika kelaparan dan kemiskinan melata, hinggakan bertempiaran wanita, anak kecil, dan generasi muda mencari tempat perlindungan di tebing runtuhan batu dan habuk setinggi menara?
Memanglah, bukan niat saya untuk bermelankolik dengan situasi dan senario semasa umat Islam, namun walaupun adakalanya pahit, begitulah hakikatnya yang terjadi di beberapa negara Islam di dunia ini. Apakah kita tidak ada asas keilmuan untuk membawa umat ke hadapan? Sudah tentu tidak. Semestinya, al-Quran dan as-Sunnah akan sentiasa kita jadikan sebagai rujukan.
Saya boleh bersetuju dengan pandangan sesetengah alim ulama yang mengatakan Islam tidak akan mampu bangkit dengan ledakan semangat, emosi dan sentimen semata-mata tanpa harus didasari dengan kekuatan ilmu yang menyedarkan dan menginsafkan.
Oleh itu kita haruslah meneruskan perjuangan kita berdasarkan kepada kekuatan hakiki kerana permasalahan umat islam hari ini adalah terlalu besar dan menuntut kepada perjuangan kita.
saya masih ingat ucapan saya semasa perhimpunan bangsa-bangsa bersatu tahun lalu, saya katakan bahawa konflik dalam masyarakat umat Islam hari ini adalah lebih serius daripada ancaman dunia luar bukan Islam terhadap negara kita. Yang menjadi lebih kompleks lagi ialah permasalahan dan konflik di antara sunni dan syiah yang menjadi satu permasalahan yang amat getir dalam dunia Islam hari ini. Saya telah memberi analogi bahawa kalau kita hendak perdamaian, sebaik-baiknya kita anggap bahawa kita ini berada di atas landasan sebuah lebuh raya. Orang Sunni masuk satu lane, orang Syiah masuk lane yang lain tetapi kita menjurus kepada satu destinasi yang sama. Yang jadi masalahnya bila kita cuba nak menukar lane atau hendak melanggari satu sama lain, dan inilah yang menjadi masalah yang menghantui umat Islam. Sebaik-baiknya kita mengelak daripadanya, sebab itulah dalam negara Malaysia ini, kita meletakkan mempertahankan kesucian Islam, akidah Islam dan mendefinisikan Islam itu sebagai Sunnah Wal Jamaah sebagai satu perkara yang amat penting. Jangan salah faham bahawa kita memusuhi Syiah, tidak tetapi kita mencari keamanan dan kedamaian secara bersama. Kita hendak pastikan bahawa Malaysia akan terus wujud sebagai sebuah negara yang aman, yang sentiasa boleh dijadikan sebagai model negara Islam lain.
Dalam soal wasatiyyah ini, kita boleh lihat bahawa yang kita lakukan hari ini adalah berdasarkan wasatiyyah. Kita lihat bagaimana kita membina sebuah negara Malaysia, negara yang pelbagai kaum tetapi ketinggian Islam di Malaysia diterima oleh golongan minoriti walaupun bilangan mereka itu agak besar. Ini adalah kerana kita telah mengamalkan prinsip wasatiyyah daripada awal lagi dan kita akan terus menerus melakukan perkara ini dan apabila kita kaitkan dengan maqasid syariah yakni menjaga agama, akidah, nyawa, akal maruah atau keturunan dan harta benda, maka Malaysia berada di atas landasan yang benar. Saya berasa begitu musykil kalau masih ada lagi pihak yang menuduh kita sebagai tidak cukup Islamik lagi. Ada juga yang mempertikaikan dasar-dasar tidak berlandaskan kepada Islam. Sebab itulah saya sebagai salah seorang daripada pemimpin yang inginkan satu syariah indeks antarabangsa. Alangkah baik kalau ada indeks maqasid syariah antarabangsa. Para ulama antarabangsa boleh mengukur setiap negara, komitmen umat Islam berdasarkan kepada matlamat maqasid syariah. Dan saya yakin dan percaya kalau ini dilakukan,indeks syariah Malaysia akan berada di tahap yang boleh dibanggakan.
Mudah-mudahan seminar seperti ini boleh memikirkan langkah ke hadapan sebab temanya ialah maqasid syariah, maka carilah jalan bagaimana pengukuran atas lima prinsip maqasid syariah itu boleh dilakukan, boleh dinilai, disukat dan ditentukan tahap pencapaiannya.
Kita juga berdepan dengan tuntutan pelbagai golongan. Dalam satu aspek, satu segi, bila kita tunjukkan komitmen kepada wasatiyyah, maka sekaligus kita menolak kefahaman-kefahaman ekstrem, keganasan umpamanya. Keterlaluan, ini adalah bercanggah dengan prinsip wasatiyyah. Kita juga berdepan dengan ancaman sekumpulan atas nama keterbukaan dan liberalisme.
Namun demikian, adakalanya kesukaran kita sebagai pentadbir ini adalah untuk berhadapan dengan demand atau tuntutan yang melampau-lampau, yang dikemukakan oleh pihak tertentu di atas nama keterbukaan dan liberalisme. Pada mereka hak asasi itu sudah jauh melangkaui pemeliharaan akidah. Kononnya, kebebasan total mesti diberikan kepada mereka untuk membuat keputusan tentang jalur aliran dan pemikiran mana yang secocok dengan mereka ataupun ke mana mereka mahu bawa. Persoalannya, jika berlaku situasi seperti ini, apakah kerajaan mahu mengambil sikap sambil lewa dan membiarkan aqidah menjadi mainan oleh segelintir kelompok kecil tersebut?
Dalam hal ini kita perlu menolak kefahaman yang sedemikian kerana sebarang kefahaman yang tidak selaras dengan syariat Islam, merosakkan akidah Islam, adalah kefahaman yang mesti ditolak. Oleh itu kalau ada pihak yang cuba mendifinasikan hak asasi yang diguna pakai oleh setiap negara, kita mesti ada pendirian kita sendiri bahawa soal hak asasi mestilah berlandaskan kepada syariat islam.
Itulah perkara-perkara yang saya hendak katakan di sini. Saya yakin dan percaya bahawa seminar pada hari ini mudahan Allah akan terima sebagai amal soleh dan beri ganjaran sebaik mungkin kepada kita semua. Terima kasih terutama kepada para ilmuwan dari luar negara yang bersama-sama kita untuk memberi sumbangan bernas.
Saya sukacita merasmikan seminar antarabangsa Penghayatan Wasatiyyah Dalam Kerangka Maqasid Syariah.