Utusan Online - Jenayah |
Amah ditahan curi barang kemas majikan Posted: 08 Apr 2014 11:59 AM PDT Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Jafri Jabar menunjukkan bahagian jaket yang dijahit untuk menyembunyikan barang kemas dalam satu kejadian di Taman Satelite, Bahau, Negeri Sembilan, baru-baru ini. - UTUSAN/SAJIDA ASARULAH KHAN JEMPOL 8 April - Helah seorang amah untuk mencuri barang kemas milik majikannya bernilai RM7,000 dalam kolar sehelai jaket dan pinggang pada sehelai seluar pendek yang dijahit kemas sebelum pulang ke negara asalnya, terbongkar apabila perbuatannya disedari pasangan suami isteri itu. Kejadian berlaku semasa amah warga Indonesia itu mahu pulang ke negara asalnya selepas permit kerjanya di rumah pasangan berkenaan di Taman Satelite, Bahau, dekat sini, tamat pada kelmarin. Bagaimanapun sebelum berangkat, majikannya telah memeriksa beg amah berusia 39 tahun tersebut namun mengesyaki sesuatu mencurigakan pada sehelai jaket dan seluar berkenaan yang terdapat benjolan. Ketua Polis Daerah, Supritendan Hamzah Alias berkata, majikan itu kemudian membuka jahitan berkenaan dan terkejut menemukan sejumlah barang kemas milik isteri dan anaknya. "Berikutan itu, majikan tersebut telah membawa amah berkenaan ke Balai Polis Bahau dan membuat laporan mengenainya. "Amah itu kini direman sehingga 10 April ini dan disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri harta milik majikan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, seorang remaja berusia 19 tahun ditahan kerana dipercayai meragut beg tangan seorang guru wanita dekat simpang Kampung Bayai, di sini, pada 29 Mac lalu. Katanya, bertindak atas maklumat nombor pendaftaran motosikal ditunggang suspek, remaja itu berjaya ditahan dekat rumahnya di Pasoh di sini, pada pukul 6.15 petang, hari yang sama. "Semasa serbuan, keluarganya cuba melindungi suspek dengan memaklumkan dia tiada di rumah. Namun hasil pemeriksaan menemukan suspek sedang bersembunyi di dalam sebuah bilik," ujar beliau. Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun. |
Posted: 08 Apr 2014 11:59 AM PDT KUALA LUMPUR 8 April - Dua pemandu maut termasuk seorang daripadanya rentung dalam dua kemalangan berbeza di Jalan Lingkaran Tengah 2 (JLT2) berhampiran Kepong dan Jalan Mahameru, di sini awal pagi ini, Dalam kemalangan pertama di Jalan Mahameru berdekatan susur ke KL Sentral pada pukul 3.10 pagi itu, seorang penjual jualan langsung, Ng Chee Fu, 25, maut di tempat kejadian akibat tersepit dalam kereta Proton Persona dipandunya. Pemangku Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Inspektor Fadhli Daud berkata, semasa kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Cheras, sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan setibanya di situ. "Kita percaya mangsa memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Beliau memberitahu, usaha mengeluarkan mangsa terpaksa dilakukan dengan bantuan daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat. Fadhli seterusnya berkata, dalam kemalangan kedua pada pukul 4.40 pagi pula, seorang pemuda, Cha Kam Hoi, 23, maut setelah rentung hampir 90 peratus dalam keretanya yang terbakar. Katanya, semasa insiden berlaku, mangsa yang memandu kereta Suzuki Swift sedang menghala ke Batu Caves, Selangor, sebelum terbabas ke bahagian kiri jalan setibanya di lokasi kejadian. "Kereta itu kemudian terjatuh ke dalam longkang lalu terseret sejauh hampir 21 meter sehingga mengakibatkan kebakaran, "Mangsa yang tidak sempat menyelamatkan diri telah terbakar di dalam kenderaan berkenaan," katanya yang memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan