Selasa, 8 April 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


TRW ambil penyerang baharu?

Posted: 08 Apr 2014 11:59 AM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU - The Red Warriors (TRW) dikhabarkan bakal membawa masuk seorang lagi penyerang dalam usaha memperkasakan pasukan bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dan Francis Forkey Doe dijangka dikorbankan untuk memberi laluan kepada pemain import itu.

Muka baharu yang dikatakan akan dibawa masuk ialah Prince Tagoe, 28, dari Ghana yang merupakan bekas penjaring terbanyak Liga Perdana negara berkenaan pada musim 2005.

Khabar angin tersebut bertiup kencang di laman Facebook milik Kelab Penyokong Kelantan.

Perkara tersebut diperkukuhkan lagi apabila Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa memuat naik sekeping gambarnya bersama pemain berkenaan di dalam akaun Facebook miliknya semalam.

Kelamarin Annuar menerusi entri Facebook miliknya menulis TRW mungkin membawa masuk seorang pemain import dalam usaha memperhebatkan pasukan.

"Banyak negeri dan kelab memperkasakan pasukan menjelang pusingan kedua liga dan ke arah Piala Malaysia antaranya Johor Darul Ta'zim, Felda United, T-Team, Terengganu, Perak dan Sarawak.

"Kita juga turut bawa masuk tiga pemain tempatan termasuk dua dari kelab luar negara, rasanya belum cukup mungkin seorang pemain import lagi akan memperhebatkan The Red Warriors," katanya.

Setakat ini Kelantan sudah memiliki empat pemain import iaitu Mohamad Shawky Yazid (Mesir), Mohamad Ghaddar (Lebanon), Obinna Nwaneri (Nigeria) dan Forkey Doe (Liberia).

Difahamkan Tagoe dibawa masuk bagi menggantikan Doe yang dilihat mempamerkan aksi kurang meyakinkan.

Prestasi Doe sebelum ini dikritik hebat oleh penyokong Kelantan sehingga mendesak Kafa segera mencari pengganti pemain berkenaan.

Sejak menyertai Kelantan musim ini penjaring terbanyak Liga Super 2012 itu hanya meledakkan dua gol.

Piala AFC: Kelantan tersingkir

Posted: 08 Apr 2014 11:59 AM PDT

Forkey Doe (kiri) cuba melepasi dua pemain Yangon United dalam perlawanan Piala AFC di Stadium Muhamad IV, Kota Bharu malam tadi. - UTUSAN/IRWAN MAJID

KOTA BHARU - Kelantan tersingkir daripada Piala AFC selepas tewas 2-3 kepada Yangon United dalam perlawanan Kumpulan G di Stadium Sultan Muhammad IV semalam, meninggalkan hanya Selangor terus bersaing untuk ke pusingan kedua.

Pasukan yang dibimbing Steve Darby itu kini berada di tempat tercorot kumpulan dengan tiga mata selepas lima perlawanan.

Kumpulan itu diterajui kelab dari Vietnam, Vissai Ninh Binh yang mengumpul 13 mata, diikuti kelab Myanmar, Yangon dengan sembilan mata dan South China dari Hong Kong dengan empat mata.

The Reds Warriors akan menentang South China pada 22 April di Hong Kong untuk aksi terakhir .

Kelantan yang membariskan skuad terkuadnya bermula baik apabila beberapa kali berjaya menembusi kubu lawan.

Kerancakan tuan rumah mengatur serangan bagaimanapun tergendala seawal minit ke-24 apabila penyerang dari Lebanon, Mohamad Ghaddar mengalami kecederaan dan terpaksa digantikan dengan Mohd. Khairul Izuan Rosli.

Malah, anak buah Darby terlebih dahulu dikejutkan dengan gol awal pelawat seminit kemudian menerusi tendangan leret Cezar Augusto yang bijak memperdayakan Khairul Fahmi Che Mat.

Tuan rumah seterusnya memperkemaskan permainan dengan menggandakan asakan termasuk mencipta sekurang-kurangnya tiga peluang terbaik, namun gagal mencari gol penyamaan.

Pada babak kedua, The Red Warriors cuba bangkit dan akhirnya menyamakan kedudukan menerusi Mohd. Khairul yang melakukan rembatan kencang tepat ke gawang pelawat pada minit ke-48.

Tuan rumah mendahului apabila Wan Zaharulnizam Zakaria mengatur gerakan secara solo sebelum menewaskan penjaga gol, Pyae Phyo Oo, untuk meledakkan gol kedua Kelantan pada minit ke-54.

Kegembiraan Kelantan bagaimanapun tidak lama apabila Yangon menyamakan kedudukan pada minit ke-63 melalui tendangan padu tepat ke gawang tuan rumah yang disempurnakan tonggak serangannya, Emerson Reis Luiz.

Diasak bertalu-talu oleh Yangon, gawang tuan rumah bocor lagi pada minit ke-79 selepas Khairul Fahmi gagal menampan kemas bola tendangan Augusto dan penyerang Kyaw Ko Ko yang tidak dikawal segera menyambar peluang untuk menghasilkan gol kemenangan pasukannya.

Dengan kekalahan Kelantan, harapan negara dipikul oleh Selangor yang kini menduduki anak tangga ketiga Kumpulan F dengan lima mata di belakang peneraju, Hanoi T&T (sembilan mata) dan Arema Indonesia (tujuh mata), manakala Maziya dari Maldives di anak tangga terbawah dengan satu mata.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved