Sabtu, 7 Disember 2013

Utusan Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Emas sulung berkilau di bumi Myanmar

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

Daripada MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

ATLET wusyu, Diana Bong Siong Lin (tengah) menunjukkan pingat emas pertama Malaysia yang dimenanginya menerusi acara Nanquan pada Sukan SEA Myanmar di Stadium Tertutup Wunna Theikdi, Nay Pyi Taw, semalam. Turut kelihatan, Tai Cheau Xuen (kiri) yang berjaya memperoleh gangsa menerusi acara Nanquan dan Phoon Eyin turut meraih kilauan pingat yang sama melalui acara Jianshu. - MINGGUAN/FAUZI BAHARUDIN

NAY PYI TAW - Seperti dijangka, akhirnya pingat emas pertama negara disumbangkan melalui ratu wusyu, Diana Bong Siong Lin dalam acara nanquan wanita di Sukan SEA Myanmar ke-27,semalam.

Seolah-olah sudah belajar daripada kesilapan dua tahun lalu yang menyebabkan dia terlepas emas, atlet yang berasal dari Kuching, Sarawak itu mempamerkan persembahan cukup sempurna bagi meraih catatan 9.70 mata, mengatasi tujuh atlet lain.

Rakan senegaranya, Tai Cheau Xuen meraih pingat gangsa melalui kutipan 9.67 mata, sementara perak menjadi milik atlet Vietnam, Phuong Bui Minh (9.68 mata).

Satu lagi pingat gangsa turut diraih oleh Phoon Eyin menerusi acara jianshu wanita dengan emas menjadi milik Vietnam dan perak dimiliki Myanmar.

Kejayaan Diana itu memberikan permulaan baik kepada skuad wusyu negara yang mensasarkan tiga pingat emas daripada 40 pingat yang menjadi sasaran Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Sebelum beraksi, saya memang rasa tertekan kerana tahu Malaysia meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada saya untuk memenangi pingat emas.

"Kepala saya juga sedikit pening kerana baru pulih daripada masalah cirit birit, tetapi apabila masuk ke dalam gelanggang, saya hanya memberikan yang terbaik dan tidak fikirkan mengenai perkara lain.

"Apabila saya melihat catatan 9.70 mata, saya sangat gembira kerana tahu pingat emas pasti menjadi milik saya," katanya yang ditemui sebaik berakhir acara nanquan, semalam.

Diana juga sempat berpesan kepada atlet-atlet negara yang pernah memenangi pingat emas sebelum ini, jangan sama sekali merasakan mereka akan mendapat pingat itu dengan mudah pada masa akan datang.

"Jika Sukan SEA yang lalu telah menang pingat emas, jangan difikirkan lagi bahawa anda akan menang sekali lagi dengan mudah.

"Anda akan meletakkan diri dalam tekanan jika berasa sedemikian dan apa yang paling penting adalah kekuatan mental," katanya yang juga pemenang pingat emas di Sukan SEA 2007 dan 2009.

Diana akan meneruskan perjuangan dalam dua lagi acara iaitu nandao pada hari ini dan nangun, esok.

Tuan rumah, Myanmar seperti diduga mengaut dua emas melalui acara duilian lelaki dan changquan lelaki.

Misi pertahan emas

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

SKUAD Harimau Muda sempat bergambar bersama sebelum berlepas ke Myammar di KLIA, Sepang, semalam.

SEPANG - Harimau Muda selamat berangkat ke Myanmar, semalam dengan meninggalkan segala tekanan di tanah air bagi memastikan misi mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Skuad bawah 23 tahun negara itu mengetuai beberapa sukan lain seperti badminton, renang, sepak takraw dan kanu yang turut berlepas awal pagi semalam menaiki pesawat Malaysia Airlines System (MAS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Myanmar.

Jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee berkata, tekanan daripada pelbagai pihak termasuk penyokong yang mahu melihat skuad kebangsaan mengulangi kecemerlangan, dua tahun lalu tidak perlu dibawa bersama kerana mahu pemain beraksi dengan tenang.

Malah, Kim Swee percaya pemainnya mampu mengawal setiap tekanan yang dihadapi, selain berharap segala perancangan pasukan berjalan dengan baik.

"Mereka sudah banyak menerima tekanan sebelum ke Myanmar dan saya tidak mahu memberikan tekanan kepada pemain kerana ia pasti mengganggu fokus mereka.

"Dalam bola sepak saya percaya kemenangan sesebuah pasukan bukan disebabkan oleh seorang individu tetapi kerana kekuatan mental semua pemain," katanya di sini, semalam.

Harimau Muda akan memulakan aksi pertama pada Selasa ini menentang Brunei di Stadium Zayyarthiri, Nay Pyi Taw.

Kim Swe memberitahu, perancangannya sebaik tiba di Myanmar adalah untuk melihat keadaan padang, selain mahu mengatur jadual yang lebih sistematik.

"Kami mengharapkan keadaan padang yang baik di sana nanti dan mahu pemain membiasakan diri dengan suasana pada temasya itu.

"Saya juga perlu menilai jarak tempat penginapan ke stadium bagi membolehkan saya merancang waktu sesuai untuk menjalani latihan dan sekiranya salah satu daripada perancangan kami ini terganggu ia mampu memberikan kesan yang tidak baik kepada pasukan," kata Kim Swee.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Jenayah

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Maut ditembak kali kedua

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

Oleh ANI AWANG
pengarang@utusan.com.my

POLIS memeriksa mayat M. Partiban selepas ditembak di Taman Puteri Gunung Simpang Ampat Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.

NIBONG TEBAL 7 Dis. - Seorang lelaki yang terselamat daripada maut akibat serangan senjata api enam bulan lalu, menemui ajal selepas ditembak kali kedua di kawasan taman permainan di Taman Puteri Gunung, Tasek di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 9 malam itu, mangsa, M. Partiban, 29, mati di tempat kejadian setelah terkena enam das tembakan.

Mangsa pernah ditembak 20 Jun lalu di kawasan yang sama dipercayai oleh suspek yang sama tetapi hanya mengalami kecederaan di tangan dan perut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten komisioner, Mazlan Kesah berkata, mangsa dihampiri sebuah kereta Perodua Myvi hitam dinaiki dua lelaki yang kemudiannya melepaskan enam das tembakan ke arahnya.

Beliau berkata, satu daripada tembakan itu mengenai rusuk Partiban.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami pendarahan teruk dan mayatnya dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam tadi.

Mazlan berkata, siasatan polis menemukan enam kelongsong peluru di tempat kejadian dan pihaknya percaya suspek menggunakan pistol jenis semi automatik.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek yang sama menembak mangsa ketika kejadian pertama enam bulan lalu.

Tambahnya, berdasarkan rekod, mangsa mempunyai empat rekod jenayah termasuk satu kes berkaitan dadah.

Mazlan berkata, polis berjaya menahan dua suspek lelaki berusia 21 dan 35 tahun di sekitar kawasan itu beberapa jam selepas kejadian.

"Kedua-dua mereka ditahan untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Polis percaya kereta Myvi yang digunakan suspek itu dicuri di Seberang Jaya pada 3 Disember lalu," katanya berikutan penemuan sebuah kereta Myvi dibakar kira-kira 5 kilometer dari tempat kejadian tidak lama selepas insiden itu.

10 rakyat Singapura miliki waran tangkap ditahan

Posted: 07 Dec 2013 03:35 AM PST

JOHOR BAHRU 7 Dis. - Polis menahan sepuluh rakyat Singapura yang mempunyai waran tangkap atas pelbagai kesalahan jalan raya menerusi Ops Warta di negeri ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kesemua mereka ditahan dalam tempoh 12 hari lepas sejak operasi berkenaan dilancar 25 November lepas.

"Kesemua mereka kemudian sudah menjelaskan bayaran saman tertunggak yang di hadapi masing-masing," katanya kepada pemberita selepas program Hari Kesedaran Pencegahan Jenayah Kontinjen Johor di pasaraya Tesco Tebrau, di sini, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata secara keseluruhannya pihaknya berjaya mengutip hasil saman dan kompaun sebanyak RM148,520 menerusi 637 waran tangkap dan kompaun yang diselesaikan dari pelbagai pesalah trafik sejak operasi berkenaan dilancarkan. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Luar Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Israel dan Palestin semakin hampir untuk berdamai.

Posted: 07 Dec 2013 10:15 AM PST

TEL AVIV, Israel 8 Dis. - Israel dan Palestin kini semakin hampir untuk memeterai perjanjian damai selepas beberapa tahun perbincangan diadakan bagi melaksanakan matlamat tersebut.

``Saya yakin kita semakin hampir untuk mencapai keamanan, kemakmuran dan keselamatan yang sudah menjadi hak kepada penduduk di rantau berkenaan, kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry kepada pemberita ketika berada di Lapangan Terbang Ben Gurion.

Kenyataannya itu dibuat selepas Israel dan Palestin melakukan perbincangan selepas beberapa rundingan langsung diadakan sejak akhir Julai lalu, walaupun tidak menunjukkan kemajuan yang memberansangkan.

Kerry juga dilaporkan akan berjumpa dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk kali ketiga dalam masa 24 jam semalam, dalam membincangkan pelbagai isu yang berkaitan dengan keselamatan. - AGENSI

Keselamatan ditingkatkan

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

BANGKOK 7 Dis. - Kawalan keselamatan di Bangkok hari ini kembali ditingkatkan dengan lebih banyak anggota polis ditempatkan di beberapa kawasan terutamanya di kompleks kerajaan selepas penunjuk perasaan antikerajaan berkumpul semula untuk mengadakan demonstrasi.

Pihak berkuasa turut membina semula sekatan di sekitar bangunan-bangunan utama kerajaan di sini.

Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Nasional (NSC), Paradorn Pattanatabut hari ini berkata, langkah itu diambil bagi memastikan keadaan terkawal.

"Polis akan membina semula sekatan terutama di Bangunan Kerajaan yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri dan bangunan Parlimen.

"Saya yakin bahawa keadaan akan terkawal pada minggu depan, namun pasukan keselamatan sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.

"Saya juga berharap tunjuk perasaan itu akan berakhir dalam tempoh terdekat," katanya.

Selain itu, Paradorn menjangkakan bahawa bandar raya ini akan tenang sehingga esok.

Semalam, ketua kumpulan antikerajaan yang juga bekas Senator dari Parti Demokrat, Suthep Thaugsuban mengisytiharkan bahawa penunjuk perasaan akan 'berjuang habis-habisan' untuk melumpuhkan kerajaan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra pada Isnin depan.

"Sekiranya kami gagal (melumpuhkan kerajaan), saya akan menyerah diri kepada polis," katanya ketika berucap kepada kumpulan penunjuk perasaan, di sini.

Suthep turut menggesa penunjuk perasaan untuk berarak dan berhimpun di kompleks kerajaan pada pukul 9.30 pagi (10.30 waktu Malaysia) pada hari tersebut.

"Kami akan berhimpun di jalan-jalan utama di Bangkok sebelum berarak ke kompleks kerajaan," jelasnya.

Bagaimanapun, Suthep memberi jaminan bahawa kumpulan penunjuk perasaan tidak akan menyerbu masuk ke dalam pejabat-pejabat kerajaan sebagai menghormati pasukan keselamatan yang dikerah berkawal di kawasan tersebut. - BERNAMA/AFP/AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Pahang

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Helikopter hantar bantuan makanan

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
pengarang@utusan.com.my

JERANTUT 7 Dis. - Helikopter digunakan untuk menghantar bantuan makanan tambahan seberat 10 tan ke pangkalan hadapan di enam kampung di pesisiran Sungai Tembeling, Mukim Hulu Tembeling, Jerantut hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, bantuan fasa pertama bernilai RM50,000 telah dihantar pada akhir bulan lalu ke pangkalan hadapan Kampung Kuala Tahan, Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantai, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai menggunakan bot penambang.

Beliau berkata, bantuan hari ini diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Jerantut, iaitu barangan keperluan seperti beras, susu pekat, sardin, bihun, gula, kopi, teh, minyak masak, garam, cili, sos, kicap, bawang, biskut dan susu bayi.

"Bekalan tambahan ini diperoleh menerusi pemborong di bandar ini dan dihantar kerana keseluruhan penduduk di kawasan tersebut terputus hubungan ekoran kedudukan paras bahaya air Sungai Tembeling hari ini.

"Kita menggunakan helikopter kerana laluan ke Taman Negara Kuala Tahan ditenggelami banjir dan bantuan segera ini amat penting untuk 4,974 penduduk pesisiran Sungai Tembeling termasuk Orang Asli di Kampung Sungai Kucing di kawasan tersebut,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat 95 mangsa di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Pedah di sini.

Menurut beliau, bekalan makanan itu adalah untuk seminggu dan ditempatkan di stor balai raya kampung berkenaan.

Katanya, segala urusan pengagihan akan dilakukan oleh ketua kampung masing-masing kepada mangsa banjir.

Beliau berkata, urusan penghantaran fasa pertama pada akhir bulan lepas menggunakan bot penambang dan kenderaan pacuan empat roda, tetapi hari ini helikopter digunakan sepenuhnya kerana semua jalan ditenggelami banjir dan pengangkutan darat lumpuh.

"Jika hujan berterusan dan banjir melanda di kampung pesisiran sungai, penghantaran menerusi helikopter adalah alternatif bagi operasi bantuan lebih cepat dan selamat.

"Felda juga sudah bersedia untuk menghantar bantuan makanan kepada peneroka Felda Sungai Retang dan Felda Padang Piol yang terputus bekalan jika jalan perhubungan ke bandar ini masih ditenggelami banjir," ujarnya.

Wan Amizan yang juga Timbalan Ketua UMNO Jerantut berkata, kerajaan menerusi Pejabat Daerah serta semua agensi telah membuat persiapan rapi sejak awal bulan ini berikutan cuaca yang tidak menentu di Hulu Tembeling berikutan hujan berterusan hingga awal Januari.

Beliau menambah, bekalan makanan tambahan akan dihantar ke Hulu Tembeling berdasarkan keperluan penduduk yang terbabit dengan pemindahan di tempat masing-masing kerana keadaan banjir semakin buruk dan terputus hubungan dengan luar.

30 sukarelawan UMNO Lipis sumbang makanan

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

Abdul Rahman Mohamad (enam dari kiri) dan Mohd. Soffi Abdul Razak (tiga dari kiri) bergotong-royong memunggah barang makanan ke pusat pemindahan banjir di jeti Kampung Kuala Kenong, Kuala Lipis, semalam.

KUALA LIPIS 7 Dis. - Sebanyak 30 sukarelawan UMNO Bahagian Lipis menyumbang 50 bungkusan makanan kepada mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan di Mukim Cheka di sini hari ini.

Bantuan makanan harian yang dipunggah menggunakan bot gentian Polis Diraja Malaysia (PDRM) Lipis diketuai Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad bersama-sama skuad sukarelawan berkenaan.

Turut hadir Ketua Polis Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan; Ahli Dewan Undangan Benta, Datuk Mohd. Soffi Abdul Razak; Ketua Pemuda UMNO Lipis, Mohd. Farid Mohamad Noor dan Setiausaha Kerja UMNO Lipis, Amir Marwan Abu Kassim.

Bantuan itu diserahkan kepada mangsa banjir di Kampung Jeram Buluh, Kampung Jeram Landak, Kampung Ganding, Kampung Tanjung Bungor, Kampung Limau Purut dan Kampung Lentang.

Menurut Abdul Rahman, UMNO Lipis berasa terpanggil untuk menzahirkan keprihatinan kepada mangsa banjir di Mukim Cheka menerusi bantuan itu dan berharap mangsa berkenaan bersabar menghadapi dugaan bencana banjir tahun ini.

"Walaupun mereka (mangsa) sudah mendapat bantuan JKM Lipis, tetapi UMNO Lipis tetap mengingati dan berasa simpati dengan menghulurkan sumbangan ini walaupun sukar memunggah dengan bot gentian dari bandar Lipis.

"Inilah keupayaan kita (UMNO), tetap bersedia pada bila-bila masa untuk membantu mangsa bencana sambil berharap mereka sedikit selesa di pusat pemindahan ini sebelum keadaan kembali pulih," katanya kepada pemberita di Kampung Lentang dekat sini semalam.

Menurut Abdul Rahman, dia bergegas pulang dari menghadiri Persidangan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) apabila mendapat maklumat banjir sudah menenggelami kediaman penduduk dan membabitkan pemindahan mangsa di kawasan Cheka.

Katanya, dia yakin usaha pemindahan dan penempatan dilaksanakan dengan baik dan teratur berdasarkan kecekapan anggota Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK), anggota polis, bomba dan pasukan beruniform lain, termasuk penyelenggaraan bantuan makanan daripada JKM Lipis.

Beliau yang juga Ketua UMNO Lipis berkata, kebanyakan penduduk kawasan Cheka tersekat laluan ke bandar Lipis dan Jerantut berikutan jalan raya berdekatan SMK Kerambit dan Kampung Tanjung Bungor masih ditutup untuk semua jenis kenderaan setelah digenangi air sejak beberapa hari lalu.

"Saya berharap mangsa berkenaan bersabar dengan dugaan ini dan mematuhi arahan pihak berkuasa, di samping menjaga kesihatan semasa berada di pusat pemindahan ini," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Rencana

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Gelombang transformasi UMNO

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

TAN SRI NORDIN KARDI

PERWAKILAN yang hadir mendengar amanat Presiden umno Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ketika berucap pada majlis penggulungan perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO 2013 semalam.

SELESAI ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak di perhimpunan UMNO 2013 dengan serta-merta dua pemimpin lawan kepada UMNO memberi reaksi. Terhadap reaksi Guan Eng dan Anwar itu, sesiapa yang sedikit berpengetahuan mengenai perang psikologi akan tersenyum. Senyum bermaksud mereka dapat mengenal yang dua pemimpin lawan itu memberi reaksi mengikut buku teks perang psikologi.

Buku teks perang psikologi mencadangkan serangan lawan mesti dipintas dengan cepat. Jika tidak begitu, moral pasukan lawan akan membara dan moral pasukan sendiri akan merosot. Dari segi metodologi pula, Anwar menggunakan teknik melembut atau pacify sementara Guan Eng pula menggunakan teknik memberi definisi selari atau definisi garisan tak bertemu.

Terhadap serangan Najib bahawa UMNO sentiasa menghulur tangan perpaduan, Anwar pantas menjawab bahawa dia mengulangi tawarannya untuk berdialog dengan UMNO demi kepentingan negara dan bangsa. Tujuannya, meletakkan Najib dan UMNO semula pada kedudukan mesti menjawab.

Guan Eng pula mencabar kesahihan analogi badminton bagi mewakili sistem 'sesiapa pertama melepasi palang' bagi pilihan raya Malaysia. Demikianlah apabila serangan dilawan dengan serangan, peluru dibalas peluru dalam sesuatu pertempuran. Pertempuran (battle) adalah pertembungan-pertembungan kecil dalam suatu peperangan politik.

Najib telah melontarkan buah fikirannya dalam bentuk ucapan dan direkod oleh pelbagai media. Penganalisis dan pengkaji kemudian akan membuat taksiran sama ada ucapan itu akan memberi impak kepada kekuatan UMNO berbanding lawannya? Najib yang telah beberapa kali menyebut tentang strategi lautan biru, akan dinilai sama ada beliau adalah penganut setia kepada pendekatan itu atau sebaliknya beliau masih ragu dengan kejituan pendekatan itu untuk dirinya dan UMNO. Atau beliau lebih yakin kepada pendekatan gabungan lautan biru dan lautan merah atau pengaruh kepada pendekatan eklektik?

Kemungkinan yang lain ialah, dia yakin dan meyakini strategi lautan biru tetapi arah angin masih belum dapat membawa kapal UMNO keluar daripada lautan merah berdarah. Jika Najib benar-benar meyakini strategi lautan biru berbanding lautan merah berdarah dia akan mengelak daripada menyerang musuh. Sebaliknya dia akan menggunakan tenaga dan mata fikirnya mencari, membina dan mengumpul gelombang besar untuknya membawa bahtera UMNO keluar daripada lautan merah itu.

Gelombang besar inilah yang akan menjadikan Guan Eng dan Anwar serta kapal mereka kehilangan upaya untuk membuat pintasan lalu perlahan-lahan menjadi marginal dan tidak lagi relevan. Saya merasakan gelombang besar itu sudah dicipta, namun serangan-serangan kecil pihak lawan masih berupaya menggoda bahtera UMNO dan askar-askarnya untuk membalas dan dengan itu kelajuan pelayaran UMNO dapat dilambatkan. Kepada pihak lawan UMNO pula, ini wajib dilakukan kerana UMNO mempunyai kelebihan-kelebihan yang tidak ada tandingnya untuk mencipta gelombang besar itu. Kepada saya pula, gelombang besar itu ialah gelombang transformasi.

Berbeza dengan 'reformasi' yang hanya meluruskan kaki bengkok menjadi yang sepatutnya lurus atau membuat pembedahan plastik kepada wajah herot yang sepatutnya bundar, transformasi merubah habitat atau tempat tinggal dan sama sekali merubah tingkahlaku dan keupayaan benda atau perkara yang berubah itu. Seekor ulat yang hidupnya di ranting-ranting pohon dengan tingkahlakunya bergerak perlahan, sebaik melalui suatu tempoh transisi atau morfosis, bertukar menjadi rama-rama yang tidak lagi tinggal di dahan-dahan dengan tingkahlaku baharu yang boleh terapung dan bergerak pantas secara terbang.

Rama-rama itu tidak lagi perlu bersaing dengan ulat-ulat lain untuk merebut makanan pucuk daun muda kerana tabiat makanannya telah berubah kepada manisan debunga serta habit-habit yang baru. Adakah dengan itu Najib dan UMNO sudah benar-benar menjadi rama-rama yang terbang meninggalkan kelompok ulat-ulat pesaingnya, setelah merasa benar-benar bosan dengan golongan itu yang rakus memusnah dedaunan sehingga tidak lagi peduli bahawa tingkahlaku mereka mematikan pohon tempat mereka mendapat rezeki.

Dunia baru

Adakah Najib dan pengikutnya akan berubah kepada hidup estetik dan bebas menjadi pemuja bunga sambil mengambil madunya dengan tertib, elegan dan tidak sekali-kali merosak walau satu kelopak jua bunga yang membekalkannya madu itu? UMNO yang baru dengan kuasa terbangnya membawa bersama mereka setiap warga Malaysia terutamanya Melayu berpindah kepada kehidupan baru yang benci kepada perebutan dan kerakusan, sebaliknya cinta kepada kasih sayang dan dapat pula membantu penghasilan-penghasilan baru di dunia baru yang bebas pertempuran itu?

Perpindahan dan kuasa baru ini akan menjadikan mereka yang tidak bersamanya menjadi tidak relevan. Wajarkah ini dilakukan? Hujah kewajarannya adalah seperti dikatakan oleh Najib bahawa UMNO, orang Melayu dan negara Malaysia 'hendaklah melihat transformasi sebagai sesuatu yang hidup dan bukannya berkala, tidak sahaja berlegar dalam dunia maya dan idea'. Katanya lagi 'hasilnya hendaklah dapat dilihat', sambil dia memetik contoh Great Britain, Korea dan Republik Rakyat Cina yang masing-masing telah mengalami proses transformasi yang disengajakan.

Pemerhati yang juga pengundi, segolongan besarnya Cina dan diikuti India, sedang berkira-kira sama ada mereka perlu terbang bersama UMNO? Mereka mengira adakah jika mereka tidak menyertai, maka pohon yang selama ini mereka turut rebuti akan mati, lalu mereka juga mati bersamanya, sedangkan UMNO dilihat berupaya mencipta dunia baru yang lebih menjanjikan ruang kehidupan yang lebih luas dan akses kepada potensi rezeki yang lebih pelbagai?

Anwar Ibrahim sejak sekian lama, dari usia remaja hingga kini, telah melatih diri dan pengikutnya pantas menggunakan taktik mencipta autoriti selari (parallel authority), mencipta pengikut yang dengan yakin mencabar setiap kebijaksanaan aliran utama (establishment). Semasa Melayu dan Islam ditafsir oleh aliran utama sebagai sesuatu yang tidak terpisah dia menawarkan definisi yang memisahkan dengan membawa slogan bahawa mempromosi patriotisme Melayu itu sebagai 'assabiyah bukan daripada golongan pengikut nabi SAW'. Asas ini kemudian mengalami mutasi kepada gagasan-gagasan lain seperti 'hak asasi manusia', kebijaksanaan sejagat dan banyak lagi.

Tidak sedikit bilangan anak muda Melayu yang takut tidak tergolong dalam golongan pengikut Nabi SAW meninggalkan pasukan patriotik Melayu, lalu menyertai golongan pemisah itu, sebagai permulaan kepada lunturnya laungan patriotik Melayu di kalangan anak muda Melayu atau setidak-tidaknya meletakkan mereka dalam keadaan keliru lalu menjadi pasif. Dalam dunia psikologi ini dikatakan sebagai meaning system. Dalam hal ini, Najib dan UMNO mesti berupaya memindahkan anak muda daripada perangkap kekeliruan dan keadaan pasif kepada suatu sistem makna yang baru.

Sistem makna baru yang ditawarkan nanti hendaklah dilihat dapat membawa keluar pengikut-pengikut, termasuk pengikut lawan, daripada pertempuran panjang 'Melayu melawan assabiyah' yang telah meletih dan memualkan tentera masing-masing. Untuk tujuan itu sistem makna baru hendaklah mengemukakan gagasan 'kepedulian penyudah' (ultimate concern) yang sangat suci (sacred) lagi agung berbanding kepedulian-kepedulian sebelumnya. Semua orang nanti akan sanggup bersusah payah bahkan berkorban untuk kepedulian penyudah yang baru itu.

Dia dilihat sebagai suci dari sebarang bentuk cemar, baik yang hadir mahupun cemar spiritual. Ia hendaklah kepedulian benar yang mudah difahami tanpa diskriminasi keupayaan inteligen, bukan juga kepedulian yang sarat dengan kata-kata retorik lagi bombastik seperti yang dikatakan Najib sebagai tinggal dalam dunia 'idea atau maya sahaja'. Kepedulian baru itu akan mendefinisikan diri, identiti, kehidupan dan matlamat hidup setiap pendokongnya.

Saya dapat menangkap, bahawa bahan-bahan mentah kepada transformasi sistem makna dan kepedulian penyudah yang baru itu telah dibentangkan oleh Najib dengan begitu bijaksana sekali dengan menyebutkan perbandingan perkembangan penduduk Bumiputera Malaysia pada tahun 1970 (permulaan DEB tajaan bapanya) dengan jumlah 6.1 juta atau 56 peratus berbanding sekarang sebanyak 18.6 juta atau 67.9 peratus yang di dalam peratusan itu 59.7 peratus ialah orang Melayu dan Bumiputera Islam. Peratusan Melayu dan Bumiputera Islam (59.7 peratus) melebihi keseluruhan peratusan Bumiputera pada tahun 1970, sementara Bumiputera Bukan Islam pula ialah 7.6 peratus.

Lebih lanjut lagi Najib menyebutkan unjuran penduduk pada tahun 2020 ialah 29.9 juta dengan Melayu dan Bumiputera akan mewakili 69.2 peratus daripada jumlah itu berbanding 22.8 peratus Cina dan tujuh peratus India. Mengapa Najib menyebut data itu? Apa relevannya? Hanya yang bijaksana dapat melihat relevansi data itu dengan gelombang transformasi UMNO yang dinakhodakan oleh Najib dan nakhoda kedua Muhyiddin serta memahami pula apakah mesej yang hendak dihantar kepada UMNO dan rakan-rakannya serta memberi isyarat tertentu kepada pihak lawan, baik yang ekstrem mahupun yang bersederhana.

Marilah kita berdoa semoga nakhoda itu membawa bahtera transformasi menuju laut luas dengan janji wasatiyahnya dan tidak kehilangan kesabaran melayani pintasan-pintasan nakal pihak lawan dengan melanggar setiap kapal kecil lawan atau hidupan laut yang merintangi pelayaran itu.

Bisik-Bisik Awang selamat: Tahniah UMNO

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

PERHIMPUNAN Agung UMNO yang berakhir semalam, bukan sedikit kesannya. Ia memberi mesej jelas betapa UMNO menjadi parti paling komited membela Islam dan Melayu.

Daripada sesi perbahasan perwakilan hinggalah kepada ucapan Presiden UMNO, Mohd. Najib Tun Razak - terpancar gelombang iltizam baharu.

Awang bersyukur kerana UMNO tampil lebih yakin, bersatu dan tanpa rasa apologetik dalam memperjuangkan agenda bumiputera.

UMNO bukan sahaja mendengar suara tuntutan akar umbi parti malah menzahirkan harapan orang Melayu yang telah memberikan sokongan besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ucapan penggulungan Najib semalam terbaik. Lontaran tentang di manakah Melayu tanpa UMNO semasa ucapan dasar Khamis lalu, cukup provokatif dalam memberi makna sebenar kepada survival Melayu.

Awang turut tertarik dengan ucapan Timbalan Presiden, Muhyiddin Yassin antaranya saranan pengajian Islam Sepanjang Hayat dan Sunnah Wal Jamaah dalam Perlembagaan negara.

Penampilan ketua-ketua sayap Wanita, Pemuda dan Puteri juga tidak mengecewakan. Dalam sesi perbahasan, suara-suara kritis terhadap parti dan kerajaan lantang kedengaran membuktikan UMNO terbuka.

Tahniah kepada Najib, Muhyiddin, ahli Majlis Tertinggi dan para perwakilan kerana perhimpunan tersebut kental dengan nilai perjuangan dan idealisme.

Perhimpunan tersebut memperlihatkan UMNO terus menjadi paling kuat dan stabil.

Cabaran selepas ini adalah bagaimana UMNO membawa ketetapan, suara dan semangat perhimpunan itu kepada pelaksanaan yang berkesan.

Jika tidak, ia akan tinggal retorik yang akan berulang iramanya pada perhimpunan tahun depan. Tibalah masa untuk UMNO di semua peringkat lebih fokus menjayakan gerak tindak susulan. Akhirnya kita dinilai dengan tindakan, bukannya kata-kata.

Orang Melayu akan mengamati semua itu untuk perhitungan hari penentuan.

Barisan MT jangan terlupa diri dan perjuangan.

Merekalah yang akan dipertanggungjawabkan jika UMNO gagal pertahan kuasa politik Melayu selepas ini.

Awang percaya Pas dan PKR akan mengubah strategi untuk lebih perjuangkan Melayu bagi menyaingi UMNO dalam mendapatkan sokongan majoriti kaum itu.

Selepas kejutan tsunami Cina pada PRU-13 gagal menjatuhkan kerajaan, strategi kini tertumpu untuk mewujudkan tsunami Melayu pada PRU-14.

Waspadalah. Walaupun UMNO kuat ia tidaklah kebal. Berjihadlah untuk menjadi parti yang disayangi terutama orang Islam, Melayu dan bumiputera. Tiada pilihan.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Kes mahkamah tidak jejas karier seni Rebecca

Posted: 06 Dec 2013 10:17 PM PST

REBECCA NUR AL-ISLAM

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Karier seni Rebecca Nur Al-Islam tidak terjejas walaupun pelakon itu berhadapan dengan kontroversi ekoran kes mahkamah yang membabitkan beliau dan pengarah, Erma Fatima.

Menurut pengurus pelakon berusia 27 tahun itu, Moammar Gaddafi Ahmad, sejak mahkamah memutuskan Rebecca tidak bersalah, pelakon itu masih menerima tawaran.

"Mereka tahu Rebecca tidak bersalah dan mahkamah sendiri telah pun membuat keputusannya. Sehingga kini Rebecca masih menerima tawaran lakonan termasuk terbaru oleh Global Station Sdn. Bhd.," katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Pada 8 November lalu, Mahkamah Majistret memerintahkan Erma membayar sebanyak RM11,200 sebagai baki bayaran lakonan Rebecca dalam drama arahan pengarah itu, Dejavu di Kinabalu.

Erma telah membuat bayaran tersebut dengan wang syiling 5 sen kepada Rebecca yang disertakan dengan senaskhah al-Quran.

"Rebecca tidak menerima wang tersebut kerana berdasarkan nasihat peguamnya, wang syiling tidak seharusnya melebihi RM30 dan ini sudah dikira melanggar undang-undang.

"Tindakan sedemikian juga melihatkan bahawa Erma tidak berpuas hati dengan Rebecca walaupun mahkamah telah membuat keputusan berhubung perkara ini," katanya sambil berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan baik. - UTUSAN ONLINE

Peserta MLM sumbang RM31,000 untuk mangsa banjir

Posted: 06 Dec 2013 09:35 PM PST

SHAH ALAM 7 Dis. - Sebanyak RM31,000 berjaya dikutip daripada 12 peserta Maharaja Lawak Mega (MLM) semalam bagi membantu mangsa-mangsa bencana banjir di Pantai Timur dan Johor.

Anggota kumpulan lawak duo Boboi, Afdlin Shauki berkata, sumbangan tersebut merupakan tanda keprihatinan para pelawak khususnya para peserta yang menyertai MLM kali ini terhadap nasib mangsa banjir itu.

"Ada pihak kata kami tidak prihatin dengan bencana yang melanda di lima negeri itu. Sebab itu, saya dan seorang lagi anggota Boboi, Harun Salim Bachik bersetuju mengutip derma itu.

"Semua peserta MLM bersetuju menyumbangkan sebahagian elaun mingguan mereka untuk mengisi tabung ini. Malah ada pelawak bukan peserta seperti Johan turut memberikan sumbangan," katanya selepas rancangan MLM 2013 minggu keempat di sini semalam.

Afdlin yang juga pelakon dan pengarah berkata, hasil kutipan itu akan diserahkan kepada pihak Astro pada rancangan MLM 2013 minggu kelima untuk disalurkan kepada mereka yang berkenaan.

MLM minggu keempat yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam menerusi saluran Astro Warna itu menampilkan 12 peserta iaitu Jambu, Boboi, Shiro, Saywho, Wala, Comey, Nabil, Bocey, Sepahtu, SYJ, Boboi dan Mamu. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Keluarga

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Gaya skaters untuk bersantai

Posted: 06 Dec 2013 11:03 AM PST

LELAKI tidak sukar untuk mencari pakaian yang sesuai terutamanya jika mahu bersantai bersama rakan-rakan, tidak kira di pusat beli-belah mahupun perjumpaan bersama teman rapat.

Cukup dengan berseluar jeans dan kemeja-T, ia sudah memberikan gaya tersendiri dan terkini kepada lelaki.

Kemeja-T merupakan elemen terpenting bagi lelaki yang mementingkan imej ringkas kerana mudah dipakai, tidak memerlukan aksesori serta mempunyai pelbagai corak untuk digayakan.

Minggu ini ruangan Trend menampilkan pakaian yang sering dipakai oleh pemain papan selaju atau skaters untuk digayakan ketika keluar bertemu rakan-rakan.

Koleksi pakaian PK Apparel, satu jenama tempatan yang kian meningkat naik kerana rekaan dan corak kemeja-T mereka yang dekat dengan anak muda pada waktu ini.

PK Apparel bukan sahaja mengeluarkan kemeja-T, bahkan baju sejuk 'hoodie', topi snapback dan beberapa aksesori lain.

Jom kita lihat gaya ringkas untuk lelaki yang sesuai dipadankan dengan apa jua aktiviti seharian mereka. - AMIRUL/NOORADZRENE MOHD. NOOR

Jaga keselamatan ketika banjir

Posted: 07 Dec 2013 04:35 AM PST

Soal keselamatan perlu dititikberatkan ketika dilanda bencana banjir, buat persediaan awal dan ikut arahan pihak berkuasa demi kebaikan masing-masing. - GAMBAR HIASAN

SEBAHAGIAN besar masyarakat kita sudah pasti terasa sedih apabila menerima khabar beberapa negeri sudah dilanda banjir besar dan memerlukan bantuan dari seluruh negara.

Di negeri yang sudah dilanda banjir, bantuan sedang disalurkan. Tetapi soal yang tidak kurang penting adalah negeri-negeri lain perlu membuat persediaan awal sekiranya tempat tinggal anda pula dilanda banjir.

Bencana berkenaan tidak boleh dielakkan tetapi persediaan awal yang dilaksanakan boleh menjamin keselamatan harta benda serta nyawa ahli keluarga.

Pelbagai kesan buruk yang perlu kita ketahui agar mudah untuk kita mengelak bahaya yang mungkin terkena kepada kita. Antaranya adalah pencemaran bekalan air bersih yang sememangnya sumber terpenting yang kita perlukan.

Pastikan anda mempunyai bekalan yang mencukupi serta elakkan untuk minum air yang tidak bersih. Hal ini termasuk bekalan makanan yang turut menjadi keperluan utama.

Anda tidak digalakkan makan sayur-sayuran kerana dikhuatiri sudah tercemar dengan banjir. Pelbagai kesan buruk boleh dihidapi oleh mereka yang makan sayuran yang rosak seperti keracunan.

Selain itu, banjir juga akan mengakibatkan kerosakan fizikal dan struktur bangunan serta bukit berdekatan kawasan tempat tinggal anda. Elakkan pergi ke kawasan berkenaan kerana kejadian struktur atau tanah runtuh boleh berlaku.

Perkara terpenting adalah lakukan persediaan awal, selamatkan dokumen penting dan terus mengikut arahan pihak berkuasa untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara bagi mengelakkan perkara buruk berlaku.

AZRIN MUHAMMAD

Kuala Lumpur

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Kota

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Promosi makanan tepi jalan

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Little India di Brickfields disaran supaya mempromosi jualan makanan tepi jalan bagi menarik pelancong.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohd. Nazri Abdul Aziz berkata, terdapat banyak restoran dan gerai makanan untuk dipilih di Brickfields dari nasi daun pisang, briyani, tosai dan lain-lain makanan yang berasal dari India selatan.

Melalui makanan, kita merayakan pelbagai kebudayaan dan perpaduan di kalangan kita yang menggambarkan makna sebenar tagline Perpaduan dalam Kepelbagaian.

Malah menerusi pelbagai makanan India, Little India boleh dipromosi sebagai tarikan pelancongan yang ikonik yang mempamerkan budaya unik masyarakat India yang tinggal secara harmoni dengan kaum lain di Malaysia," katanya pada majlis pelancaran Festival Makanan Jalanan 2013 sempena Festival Makanan 1Malaysia di Little India Brickfields di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Ong Yong Peng.

Mohd. Nazri berkata, pelbagai makanan yang disediakan boleh membantu menambah hasil pelancongan makanan selain menarik lebih banyak pelancong ke dalam negara.

Beliau berkata, festival itu yang diadakan serentak di 13 buah negeri di 18 lokasi di 250 pusat penjaja dan medan selera yang mengandungi 15,000 gerai di seluruh negara.

Kempen Makanan 1Malaysia yang dilancarkan sejak 2009, kali ini diadakan selama tiga bulan sejak Oktober lalu. Makanan yang dipromosi tahun ini ialah Nasi Goreng, Sup Tulang dan Popiah. - BERNAMA

Banjir: Pemuda UMNO WP salur bantuan

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

Tengku Adnan Tengku Mansor memegang bantuan makanan yang akan dihantar ke Rompin dalam Misi Bantuan Bencana Banjir anjuran Briged Kesatria Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Ketua Pemuda UMNO Seputeh, Mohd. Razlan Muhammad Rafii (dua dari kanan).

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Prihatin terhadap nasib yang menimpa mangsa banjir di Pantai Timur, Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan menyalurkan bantuan berupa barangan keperluan bernilai kira-kira RM25,000.

Ketuanya, Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, sumbangan tersebut termasuk makanan dan barangan keperluan diri yang dibawa oleh 48 petugas Briged Kesatria Muda pergerakan berkenaan dengan menggunakan lima buah kenderaan pacuan empat roda.

"Dalam misi bantuan ini, kami memberi fokus di daerah Rompin, Pahang yang difahamkan antara kawasan yang paling terjejas, terutamanya bekalan makanan kerana semakin berkurangan.

"Justeru, lebih banyak bantuan perlu dihantar ke kawasan yang terjejas dan selepas banjir surut nanti kami juga akan menghantar misi bantuan kedua bagi membantu kerja-kerja membersihkan kawasan-kawasan seperti masjid dan rumah warga emas," katanya selepas hadir pada majlis pelepasan konvoi bantuan berkenaan yang disempurnakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Yang turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Johari Ghani dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun.

Sementara itu, Tengku Adnan melahirkan rasa bangga apabila Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutan menyahut cabaran dengan menghantar bantuan kepada mangsa yang ditimpa bencana banjir.

"Ini satu bentuk keprihatinan yang sangat dialu-alukan kerana sudah tentu meringankan beban mangsa-mangsa banjir di sana yang amat memerlukan bantuan," katanya.

NGO Selangor turut bantu mangsa banjir

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor mengambil inisiatif menganjurkan program pengumpulan pakaian, makanan dan barang keperluan bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara Isnin ini.

Pengerusi NGO-NGO Selangor, Datuk Jamal Md. Yunos berkata, program yang akan diadakan di Dewan Centrum Mara Setiawangsa berdekatan Restoran Sekinchan Ikan Bakar di sini itu menyasarkan sebanyak mungkin bantuan untuk mangsa bencana alam tersebut.

"Orang ramai yang prihatin dengan kesengsaraan mangsa banjir boleh memberi sumbangan sama ada dalam bentuk pakaian terpakai, makanan dalam tin atau peralatan membersih pada hari tersebut, pukul 3 petang.

"Program ini merupakan inisiatif kami, NGO-NGO Selangor dalam membantu mangsa-mangsa banjir di lima negeri iaitu di Terengganu, Pahang, Melaka, Johor dan Kelantan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, sumbangan daripada orang ramai itu akan disampaikan kepada NGO-NGO kawasan terlibat untuk diagihkan kepada mangsa selewat-lewatnya Khamis ini.

"Sebarang pertanyaan atau sumbangan juga boleh disalurkan kepada pihak kami menerusi talian 016-3039404 (Jamil), 014-6312249 (Soleh) dan 011-26264359 (Afham)," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Johor

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Cuti 1,100 anggota dibekukan

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

Oleh MOHAMED SAARI
utusanjohor@utusan.com.my

ABDUL Ghani Daud (dua dari kiri) bersama Mohd. Yusof Gunnos (kanan) diiringi oleh Mohd. Aizad Mamat (kiri) ketika memeriksa kelengkapan bot di Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra di Segamat, kelmarin.

SEGAMAT 6 Dis. - Cuti bagi 1,100 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri ini dibekukan sehingga banjir yang melanda sejak Ahad lalu pulih sepenuhnya.

Langkah tersebut diambil oleh JBPM supaya tugas membantu dan menyelamat mangsa bencana alam kali ini dapat dilaksanakan dengan sepenuh kekuatan yang ada.

Pengarahnya, Datuk Abdul Ghani Daud berkata, sebanyak 40 bot, 16 lori muatan lima tan dan lain-lain kenderaan milik bomba dan penyelamat di negeri ini siap sedia untuk digerakkan ke kawasan dilanda bencana.

"Apa yang pasti, bomba di Johor sentiasa bersedia 24 jam sehari lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini dan selaras dengan fungsi kami dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai anggota bantuan apabila berlaku bencana.

"Kami juga akan menggunakan segala kemudahan serta utiliti yang ada dan tidak teragak-agak untuk meminta bantuan daripada negeri lain khususnya Melaka dan Negeri Sembilan sekiranya memerlukan," katanya ketika melawat bilik operasi banjir di Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra di sini semalam.

Yang turut hadir timbalannya, Mohd. Yusof Gunnos dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra, Mohd. Aizad Mamat.

Menurut Abdul Ghani, tiada sesiapa pun mahu sebarang kemalangan jiwa berlaku dan demi merealisasikan hasrat tersebut, 42 anggota Unit Skuba JBPM Johor sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku terutama ketika cuaca tidak menentu ketika ini.

"JBPM juga turut menerima panggilan kecemasan seperti kemalangan, kebakaran dan lain-lain lagi. Setakat ini panggilan kecemasan yang paling banyak diterima adalah di Mersing yang mana daerah tersebut mencatatkan jumlah mangsa banjir yang tinggi.

Katanya, melalui maklumat yang diterima daripada anggotanya di sini, kebanyakan mangsa banjir berpindah sendiri berdasarkan pengalaman mereka ketika menghadapi banjir pada 2011.

Tambahnya, pengalaman menghadapi banjir di negeri ini pada 2006 dan 2011 membolehkan JBPM Johor memiliki dua bot amfibia yang boleh berfungsi di air dan darat.

"Bagi kami, bot tidak menjadi satu masalah kerana setiap jabatan juga mempunyai bot, tetapi apa yang penting hanya penyelarasan dan penggunaan bot itu sahaja," katanya lagi.

Sultan Johor ziarah, bantu mangsa banjir

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

SULTAN Ibrahim Iskandar menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Mangsa Banjir Kampung Pogoh 2 dekat Segamat, Johor, kelmarin.

SEGAMAT 6 Dis. - Rasa terkejut disusuli keceriaan jelas terpancar pada wajah mangsa banjir di tiga pusat pemindahan di daerah ini apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mencemar duli melawat dan melihat sendiri keadaan mereka di sini semalam.

Baginda meluangkan masa selama kira-kira sejam di setiap tiga pusat pemindahan tersebut selain menyampaikan bantuan dan turut beramah mesra dengan rakyat jelata yang dihimpit kesusahan.

Sultan Ibrahim tiba di Pusat Pemindahan Mangsa Banjir Kampung Pogoh 2 dekat sini, kira-kira pukul 3.40 petang dan meluangkan masa kira-kira 15 minit.

Baginda menyampaikan bantuan barangan dan wang tunai kepada 26 keluarga mangsa banjir yang mendapatkan perlindungan di situ sejak empat hari lalu sebelum berangkat melawat serta menyampaikan bantuan sama di pusat pemindahan di Paya Dalam dan juga Gemereh.

Sementara itu, Penghulu Mukim Pogoh, Hamzah Abu Bakar berkata, sehingga hari ini, sebanyak 135 mangsa banjir dari kampung berkenaan masih mendapat perlindungan di pusat pemindahan tersebut.

Mangsa, katanya, terdiri daripada 56 lelaki dewasa, 46 perempuan dewasa, masing-masing 15 dan 17 kanak-kanak lelaki dan perempuan serta seorang bayi.

"Kampung ini sentiasa dilanda banjir dan semua yang ditempatkan di sini sama ada rumah mereka ditenggelami air atau terputus hubungan. Setakat ini keadaan beransur pulih cuma paras air agak tidak menentu berikutan arus yang membawa air ke Sungai Muar," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Dalam pada itu, penerima bantuan, Azizah Mat Tap, 63, berkata, dia gembira dengan kehadiran Sultan Johor yang mencemar duli melawat mangsa banjir di situ.

Katanya, rakyat sepertinya amat terharu dengan keprihatinan ditunjukkan baginda ketika mereka berdepan musibah banjir.

"Rumah didiami keluarga saya terputus hubungan sejak empat hari lalu berikutan banjir dan saya berharap banjir akan segera pulih supaya dapat pulang segera ke rumah," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Selatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Redah paya tangkap PATI

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

ABU Bakar Sidek Hasan (dua dari kiri) menunjukkan warga Indonesia yang diberkas ketika melarikan diri ke dalam paya dalam Ops Bersepadu 6P di Melaka, malam kelmarin.

MELAKA 6 Dis. - Seorang anggota penguat kuasa Imigresen terpaksa berenang dalam paya sebelum menangkap seorang warga Indonesia yang cuba meloloskan diri dalam Ops Bersepadu 6P di sekitar bandar raya ini malam tadi.

Lelaki berusia 53 tahun itu bersembunyi dalam paya itu kerana cuba mengelak daripada ditahan sewaktu 14 anggota penguat kuasa Imigresen menyerbu sebuah rumah di Bachang dekat sini, kira-kira pukul 2.30 pagi.

Timbalan Pengarah imigresen negeri, Abu Bakar Sidek Hasan berkata, kelibat lelaki tersebut berjaya dikesan salah seorang anggota penguat kuasa ketika suspek cuba melarikan diri dengan memasuki paya berkenaan.

Menurutnya, penguat kuasa terlibat turut memasuki paya tersebut hampir setengah jam sebelum berjaya mencekup lelaki berkenaan.

Beliau berkata, lelaki itu adalah antara 40 warga asing yang diperiksa yang mana 24 daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Operasi yang diketuai oleh Mohd. Khairulnizam Che Ahmad itu bergerak dari rumah ke rumah dengan lokasi tumpuan di Serindit, Bachang, Cheng Ria dan Bandar Hilir yang menjadi lokasi kediaman warga asing.

"Kesemua mangsa berusia antara 20 hingga 53 tahun ditahan dalam operasi yang bermula pukul 6 petang hingga 5 pagi," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Imigresen negeri di Ayer Keroh hari ini.

Abu Bakar berkata, operasi dilakukan setelah mendapat maklumat daripada orang ramai mengenai kebanjiran pendatang asing yang mendiami beberapa rumah di sekitar bandar ini.

Menurutnya, sebanyak 24 suspek yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan sembilan wanita warga Indonesia, lima lelaki Bangladesh dan dua lelaki India.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dilakukan mereka adalah melanggar syarat pas (13 orang), tiada permit yang sah serta tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan (lapan orang) dan memalsukan permit kerja (tiga orang).

Menurutnya, lapan lelaki pula dibebaskan hari ini setelah majikan mereka menyerahkan semua dokumen sah.

MPAG musnahkan 1,542 iklan ceti haram

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

Anggota penguata kuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah menanggalkan poster dan iklan ah long dalam Ops Poster Ah Long di Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini.

ALOR GAJAH 6 Dis. - Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) memusnahkan kira-kira 1,542 iklan ceti haram atau ah long yang digantung dan ditampal di sekitar daerah ini baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Abu Bakar Abdul berkata, dalam Ops Poster Ah Long itu, penguat kuasa MPAG telah menjalankan pemeriksaan di beberapa lokasi sekitar daerah ini terutama tempat tumpuan orang ramai.

Menurutnya, operasi itu akan dilakukan secara berterusan bagi mengelak masyarakat terjerumus dan menjadi mangsa kegiatan itu selain memastikan keindahan bandar Alor Gajah terpelihara.

"Biarpun kegiatan itu seakan tidak pernah berhenti, namun MPAG bersama pihak polis akan berusaha membanteras dan menghapuskan iklan ah long di daerah ini.

"Hasrat kita bukan hanya mahu mengekang masyarakat daripada menjadi mangsa kegiatan ini, malah juga mahu memastikan keindahan daerah ini kerana sindiket ah long ini sewenang-wenangnya menampal iklan pada kemudahan awam," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, tindakan menggantung iklan seumpama itu tidak dibenarkan dan MPAG boleh mengambil tindakan mengikut Undang-Undang Kecil Iklan MPAG 2010 di bawah kesalahan Iklan Dipamerkan Tanpa Lesen.

Katanya, iklan yang dipamerkan tanpa lesen itu boleh dikenakan kompaun sehingga RM250 seunit dan juga penalti tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi setahun.

Beliau berkata, sindiket berkenaan diingatkan supaya tidak mempamerkan iklan mereka di daerah ini kerana pihak MPAG akan segera memusnahkannya.

"Saya mengingatkan kepada golongan ah long dan pekerja mereka supaya tidak lagi mempamerkan iklan haram di sekitar daerah ini kerana kita akan segera mengekangnya," katanya.

Abu Bakar berkata, semua nombor telefon yang dipamerkan itu diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk disiasat dan disenaraihitamkan.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat sekiranya terlihat mana-mana individu menampal poster iklan ah long supaya pihak berkuasa boleh mengambil tindakan.

96 komputer judi dirampas dalam Ops Dadu

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

ABD. Wahab Harun (dua dari kanan) memeriksa premis perjudian menggunakan internet di Taman Orkid Jalan Bypass, Port Dickson, Negeri Sembilan, malam kelmarin.

TELOK KEMANG 6 Dis. - Sebanyak 96 unit komputer yang digunakan untuk kegiatan judi internet berjaya dirampas dalam Ops Dadu yang dijalankan oleh polis di tiga premis kafe siber di sekitar daerah Port Dickson malam tadi.

Operasi yang bermula pukul 8.45 malam hingga 12.30 tengah malam itu melibatkan dua premis di pekan Linggi dan sebuah di Taman Orkid Jalan Pintasan Port Dickson.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Abd. Wahab Harun berkata, ketika serbuan dijalankan terdapat 36 pelanggan berusia daripada 19 hingga 61 tahun sedang leka bermain judi.

"Kesemua mereka merupakan penduduk tempatan yang berasal dari dari daerah ini malah terdapat juga pelanggan dari Lubok China, Melaka.

"Polis turut merampas wang tunai sebanyak RM958 yang digunakan sebagai wang taruhan bagi kegiatan ini di ketiga-tiga premis yang diserbu," katanya.

Menurut Abd. Wahab, ketiga-tiga premis yang diserbu itu dipercayai menjalankan kegiatan haram berkenaan sejak beberapa bulan lalu sebelum aktiviti mereka dihidu oleh polis hasil risikan di pusat siber itu.

Beliau berkata, kesemua barang rampasan dibawa ke stor simpanan barangan kes bagi tujuan pendakwaan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4B (A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, katanya.

Bagi menyekat kegiatan judi siber ini kata beliau polis akan mengguna pakai Seksyen 21A akta yang sama bagi meminta pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik di premis tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

Utusan Online - Utara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Jangan pakai topi 'kura-kura'

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

Oleh FAJAR NUR SURIA AZMAN
pengarang@utusan.com.my

S. JEGAN (kiri) dan Collin Peter Pareira (kanan) menunjukkan tanda bagus selepas memakaikan topi keledar kepada pengguna motosikal sempena kempen keselamatan jalan raya di Batu Uban, Pulau Pinang, kelmarin.

PULAU PINANG 6 Dis. - Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) kecewa dengan sikap penunggang motosikal yang masih menggunakan topi keledar yang tidak mendapat kelulusan SIRIM Berhad (SIRIM) meskipun pelbagai kempen dijalankan.

Kajian JKJR mendapati masih ramai penunggang menggunakan topi keledar berbentuk separuh atau 'kura-kura' dan topi mainan kanak-kanak ketika berada di jalan raya.

Pengarah JKJR Pulau Pinang, S. Jegan berkata, topi keledar sedemikian tidak mampu untuk melindungi bahagian kepala sekiranya penunggang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

"Topi keledar yang digunakan perlu mendapat kelulusan SIRIM dan selamat untuk melindungi bahagian kepala, justeru topi keledar separuh ini langsung tidak sesuai di jalan raya.

"JKJR telah bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk membuat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap premis perniagaan yang menjual topi keledar jenis itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya anjuran JKJR Pulau Pinang dan Allianz Malaysia Berhad di sini semalam.

Dalam program tersebut, sebanyak 50 topi keledar, 600 pelekat pantul cahaya dan 20 kerusi keselamatan khas untuk kanak-kanak diedarkan kepada orang ramai.

Sementara itu, Pengurus Cawangan Utara Allianz Malaysia Berhad, Collin Peter Pereira menjelaskan, program berkenaan merupakan kali keempat diadakan pihaknya.

"Ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat kami kepada masyarakat dengan memberi pendidikan tentang keselamatan jalan raya kepada orang ramai.

"Aspek keselamatan sering dilupakan terutama oleh penunggang motosikal, jadi kami mengambil langkah untuk menukar topi keledar yang tidak selamat kepada topi keledar baharu yang mendapat kelulusan SIRIM," ujarnya.

PUO beri saingan di Eco-Challenge

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

PENGARAH PUO, Md. Nor Yusof mendengar penjelasan daripada seorang pelajar mengenai projek tahun akhir mereka pada Pameran dan Pertandingan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (MEDSPEC) 2013 yang dianjurkan di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

IPOH 6 Dis. - Politeknik Ungku Omar (PUO) bersedia memberikan saingan hebat, sekali gus mengekalkan kejuaraan pada pertandingan Perodua Eco-Challenge 2013 yang akan berlangsung di Litar Go-Kart Shah Alam pada 12 hingga 14 Disember ini.

Pegawai Perhubungan Awam Eco-Challenge PUO, Zarina Sulaiman berkata, keyakinan itu berdasarkan prestasi cemerlang PUO yang telah merangkul kejuaraan sebanyak tiga kali dalam acara yang dipertandingkan sejak tahun 2009.

Katanya, pertandingan kali ini bukan sahaja tertumpu kepada aspek teknikal yang melibatkan pelajar mekanikal semata-mata tetapi aspek pemasaran dalam kalangan pelajar perdagangan.

"Bermula tahun lalu, format pertandingan ini telah ditukar iaitu pemarkahan bukan sahaja merangkumi aspek teknikal semata-mata tetapi juga aspek pemasaran.

"Melalui pertandingan ini, pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan pelajar Fakulti Perdagangan akan bersama-sama menghasilkan produk yang baik, sekali gus memasarkannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zarina berkata, satu majlis pelancaran program akan diadakan di Perodua Cawangan Ipoh, Jalan Lahat pada 9 Disember ini.

Katanya, acara yang bermula pada pukul 9 pagi itu turut menampilkan kemunculan istimewa kumpulan Hyper Act.

"Segala aktiviti, program dan makluman berkenaan pertandingan itu boleh layari laman sosial Facebook di http://www.facebook.com/facepuo dan instagram pecpuo," ujarnya.

Sumbangan kerusi roda ringankan beban Othman

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

ABDULLAH Mohd. Noor (duduk) dan Mariam Nawawi (berdiri, kiri) serta Roslan Mat (berdiri, tiga dari kiri) mendengar penerangan Othman Mohd. Akil tentang penyakitnya ketika menyampaikan sumbangan kepada beliau di Flat Ampang Jajar, Butterworth, baru-baru ini.

BUTTERWORTH 6 Dis. - Kesukaran Othman Mohd. Akil, 49, untuk bergerak aktif selepas kaki kiri dipotong akibat menghidap diabetes lapan bulan lalu terubat apabila menerima sumbangan kerusi roda kelmarin.

Kerusi roda berharga RM4,000 yang disumbangkan oleh seorang pengusaha stesen minyak di Mak Mandin, di sini, Abdullah Mohd. Noor membolehkan bapa kepada lima anak itu menjalani kehidupan harian dengan lebih selesa.

Othman berkata, sebelum kaki kirinya dipotong, dia bekerja sebagai penjual ubat tradisional selepas berhenti kerja dengan sebuah syarikat swasta, tiga tahun lalu.

"Kaki kiri saya terpaksa dipotong selepas dinasihatkan oleh pakar perubatan kerana difahamkan telah dijangkiti kuman dan boleh membahayakan nyawa.

"Sebelum ini, satu jari kaki lebih awal dipotong yang kemudiannya disusuli pergelangan kaki hingga membataskan pergerakan dan menyukarkan saya menguruskan diri dan keluarga," katanya semasa menerima kunjungan Abdullah di kediamannya di sini semalam.

Yang turut hadir Pengurus Shell Kawasan Utara, Mariam Nawawi dan Pegawai Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Inspektor Roslan Mat.

Othman berkata, bantuan itu disifatkan tepat pada masa, sekali gus membantunya yang kini hanya bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Zakat Pulau Pinang.

Sementara itu Abdullah, berkata, dia terpanggil untuk menyumbang kerusi roda dan peralatan keperluan lain seperti lampin pakai buang dan makanan selepas dimaklumkan kesusahan yang ditanggung Othman.

"Kerusi roda ini diharap akan meringankan beban ahli keluarga Othman kerana sebelum ini, dia terpaksa mendapatkan bantuan untuk bergerak di dalam rumah.

"Malah, kerusi roda ini turut memudahkan pergerakannya untuk mencari rezeki menjual ubat bagi menyara keluarganya," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my
 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved