Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
dianna.azaham@utusan.com.my
Foto SYEFRY MONIZ
Solekan MEA SUKRI (0163350056)

ANTARA piala-piala yang pernah dimenanginya sepanjang bergelar pereka fesyen.
NAMA pereka fesyen tempatan yang berbakat besar ini, Wan Huzairil Wan Hussein disebut-sebut dua tahun lalu dek kerana rekaannya yang dipakai seorang artis jelita menggegarkan dunia hiburan.
Gaun rona emas yang menyaluti tubuh halus Miera Liyana sememangnya cantik dan eksklusif.
Namun, bukan keindahan dan kehalusan rekaannya yang menjadi sebutan, sebaliknya keseksian potongan gaun tersebut yang mendedahkan sebahagian daripada isi payu daranya pada majlis Malam Gala Rafflesia dan Mandalay di ibu negara ketika itu.
Kemudian, namanya sekali lagi menjadi bualan ramai apabila gaun hitam yang disarung penyanyi Amanda Imani yang terdedah di bahagian belakangnya dikatakan terlalu seksi.
Sedikit sebanyak, namanya tercalar dek kontroversi ini dan ada suara-suara sumbang yang mengatakan Wan Huzairil sengaja berbuat demikian demi publisiti.
Realitinya, Wan Huzairil tidak perlu mencipta kontroversi sedemikian kerana dia sudah berkecimpung secara serius lebih 19 tahun dalam dunia rekaan fesyen.
Malah, graduan pengajian Diplome de Proffesuer in Moulage dan Diplome de Proddesuer in Fashion Design di Esmod Paris, Bangkok ini sendiri sudah menempa namanya di Thailand dan turut menjadi perunding kepada kerabat raja Thailand.
Tidak kisah dan lali dengan tohmahan orang ramai, akui juara sulung Anugerah Fesyen Jarum Berlian Utusan Malaysia (AFJBUM), kebanyakan rekaannya sememangnya berimej seksi terutama bila ditonton masyarakat Malaysia.
"Saya tahu masyarakat susah menerima rekaan saya kerana dikatakan terlalu berani dan saya juga tidak mahu hipokrit, saya mengaku rekaan saya memang seksi.
"Sebelum menghasilkan sesuatu baju, saya akan mendapatkan kebenaran pelanggan di peringkat rekaan dan mereka faham dengan apa yang bakal dihasilkan.
"Saya menghormati agama dan budaya kita tetapi dalam masa yang sama, saya agak terkilan kerana rekaan fesyen wanita menjadi terhad.
"Selepas kontroversi itu, saya pernah mencuba mereka fesyen Islamik selama setahun dan turut menyertai Festival Fesyen Islamik.
"Namun saya tidak mendapat kepuasan dalam berkarya," ujar Wan Huzairil yang kini beralih menumpukan perhatiannya kepada rekaan fesyen lelaki pula.
Jarum Berlian Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pereka fesyen berasal dari Kelantan ini merupakan juara sulung bagi AFJBUM pada tahun 1998 anjuran majalah fesyen terkenal ketika itu, Rias.
Ketika itu, dia yang baru tamat pengajian di Thailand menyertai pertandingan yang julung kali diadakan.
Ilmu dalam teknik potongan 'moulage' iaitu teknik potongan bagi couture Perancis yang dipelajarinya ketika di Bangkok digunakan dalam rekaan gaunnya berserta teknik sulaman baba dan nyonya yang berjaya menangkap mata para juri.
Sejak itu, namanya mula dikenali ramai di samping ramai yang membuka mata kehadirannya lalu mendapatkan perkhidmatan rekaan Wan Huzairil.
Antara artis yang sering bekerjasama dengannya ialah Nasha Aziz, Anita Sarawak, Misha Omar, Fouziah Gous, Zin Saidin, Talha Haris dan Fizz Fairuzz.
"AFJBUM sememangnya platform yang hebat suatu ketika dahulu dan ia banyak memperkenalkan pereka fesyen yang baru bermula.
"Sayangnya ia tidak lagi diadakan kerana bagi saya AFJBUM dapat meningkatkan lagi persaingan dan memantapkan industri fesyen tanah air," ujarnya yang turut mendapat tempat ketiga bagi pertandingan mencipta pakaian pengantin majalah Wanita pada tahun 1994.
Dia juga pernah memenangi anugerah di luar negara seperti Pelajar Luar Negara Terbaik dan Rekaan Korset Terbaik di universitinya pada tahun 1997.
Fesyen lelaki Kini, lebih menumpukan kepada fesyen lelaki, Wan Huzairil bakal memperkenalkan koleksinya iaitu 1H.
Rekaan sedia dipakai itu banyak bermain dengan warna terang serta bercorak kotak-kotak bagi memberi pilihan yang lebih berani kepada lelaki.
Dia sengaja membawa warna-warna ceria menggantikan warna kusam yang sering digayakan lelaki kerana ramai yang masih tidak berani mencuba pelbagai fesyen.
Rekaannya bakal diperagakan oleh The Red Warriors (TRW) malah dia juga ada mereka fesyen sut untuk pasukan bola sepak Kelantan itu.
"Lelaki di Malaysia kurang berani berfesyen seperti di negara-negara lain.
"Maka saya mahu mencipta sesuatu untuk mereka membuktikan tiada apa yang perlu ditakuti dengan fesyen berwarna-warni kerana ia membuatkan seseorang lebih bergaya dan berkeyakinan.
"Kebanyakan gaya 1H diinspirasi daripada fesyen di Thailang kerana mereka di sana sudah lama berani berfesyen," ujarnya yang juga merupakan perunding rekaan Batik Desa Murni, Kuala Terengganu.
Masa untuk rakanSesungguhnya, untuk mendapatkan masa pereka fesyen ini bagi sesi temuramah bukanlah mudah.
Jadual waktunya sentiasa penuh dengan tugasan di dalam dan luar negara sehinggakan dia sendiri sukar mencari masa untuk bersantai.
Boleh dikatakan setiap minggu, hanya dua hari sahaja dia berasa di Kuala Lumpur, sehari di Kelantan dan selebihnya diperuntukkan di negara jiran, Thailand.
Wan Huzairil sering terbang ke Thailand kerana terlibat dengan beberapa perniagaan dan projek dan kebanyakannya melibatkan ibu angkatnya yang menguruskan sekolah fesyen di sana.
"Selalunya pelanggan saya perlu datang ke rumah saya kerana masa yang suntuk.
"Jika adapun masa lapang, saya akan menghabiskannya bersama-sama rakan baik yang menyokong saya dari dulu.
"Selalunya kami akan pergi membeli-belah dan karaoke.
"Jika saya berada di Kuala Lumpur dan perlu bekerja, saya akan mengheret rakan baik saya sekali," ujarnya yang banyak dipengaruhi rekaan Alexander McQueen dan John Galliano.