Oleh ZULKIFLI JALIL dan ABDUL RAZAK IDRIS
kota@utusan.com.my

Sulaiman Abdul Razak (empat dari kiri) sentiasa turun padang bertemu rakyat di DUN Permatang tanpa mengira bangsa dan agama bagi mendengar sendiri masalah yang dihadapi penduduk.
Tanjong Karang 17 April - Beberapa hari sebelum pengundian pilihan raya umum lepas, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Sulaiman Razak singgah menjenguk penduduk di estet Ladang Mary dan Ladang Sungai Tinggi di sini.
Apabila terlihat sahaja kelibat Sulaiman, beberapa kumpulan penduduk berpaling menghala haluan masing-masing. Waktu itu Sulaiman belum terjangka 'signal' akan terjadinya 'tsunami' di Selangor.
"Kita boleh rasai suara hati sendiri jikalau seseorang itu tidak selesa dengan kehadiran kita, antaranya dengan 'body language' tertentu seperti lima jari tangan kanannya yang menahan mengerikut untuk beramah.
"Tapi itu respons lima tahun lalu. Tahun sudah, apabila saya muncul sekali lagi di situ, sambutan yang saya terima begitu luar biasa sekali. Ada seorang lelaki lingkungan 40-an datang dan kemudian melutut memegang kaki saya...macam yang digambarkan dalam filem, apabila seseorang pegang kaki ibu bapa tanda kasih sayang dan hormat.
"Dan di estet Ladang Mary, apabila penduduk nampak saya, mereka pergi dekat sambil usung dan suakan anak dari belakang ke depan kita. Apabila Perdana Menteri juga muncul dalam satu program di sana, ribuan yang datang....dari Kuala Selangor, Sabak Bernam, Ijok, Sungai Besar dan lain-lain kawasan berhampiran. Mereka kembali alu-alukan kemunculan semula BN," kata beliau kepada kami ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.
Selain Permatang, satu lagi DUN yang bernaung di bawah kawasan Parlimen Tanjong Karang diketuai Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar ini ialah DUN Sungai Burong.
Dalam tempoh lima tahun ini, Sulaiman bersama rakan-rakan seperjuangan lain di serata 56 DUN di Selangor terus memperbaiki perkhidmatannya dengan rakyat.
Di estet-estet berkenaan yang dulunya sukar menerima saluran paip dan elektrik, kini lengkap semuanya. Bukan sahaja bekalan air dan api tersedia, malah jalan bertar, klinik dinaiktaraf, tadika merata dan sekolah pula berdekatan rumah penduduk.
Selaku ADUN Permatang, Sulaiman mendalami denyut nadi penduduk di estet-estet dalam dan sekitar kawasan kerusi yang disandangnya.
"Rumah! Itulah isunya. Kalau kita tengok kehidupan di estet-estet dan saya sendiri ramai kenalan di sana...dalam sebuah rumah, itulah dia akan duduk selagi bekerja, kemudian anaknya dan disambung cucunya...tiga generasi.
"Ke mana mereka nak pergi, dengan gaji minimum RM900, rumah berharga RM100,000 pun saya fikir mereka tak mampu nak beli.
"Akhirnya penuh dalam sebuah rumah anak beranak cucu cicit. Kalau estet itu dibangunkan dengan kawasan industri, yang memerlukan mereka berpindah, saya tak tahulah bagaimana mereka nak cari rumah," katanya.
Sulaiman mengajak seluruh rakyat Selangor membuat penilaian sendiri tentang bagaimana kerajaan Selangor ketika ini tidak berbuat apa-apa langsung untuk membina rumah mampu milik. Lebih menyedihkan lagi apabila PKNS yang tujuan asal penubuhannya membina rumah mampu milik rakyat sudah menyimpang dari matlamatnya. PKNS lebih fokus mengaut keuntungan berlipat ganda dengan tumpuan pada projek mewah yang mendatangkan pulangan tinggi.
"Di Seksyen 19, Shah Alam di belakang sebuah masjid ketika ini ada projek 16 unit rumah teres 20 x 70 dengan harga pelancaran RM560,000 seunit. Kalau rakyat berpendapatan sederhana, siapa yang mampu beli?
"Untuk projek PKNS, tanahnya percuma, harga premium tanah tak macam premium swasta tapi lihatlah apa yang PKNS telah buat," katanya.
Sulaiman mendedahkan bagaimana peliknya tindak tanduk kerajaan PKR Selangor dalam isu projek rumah mampu milik.
Contoh terdekat di Taman Sungai Yu Indah di Permatang hari ini ada satu projek menyiapkan rumah 200 unit kos rendah. Projek di bawah program pembesaran kampung sekitar 2005 di bawah BN itu diusahakan oleh anak syarikat kerajaan Selangor waktu itu, PNSB.
Bagaimanapun, BN tidak dapat meneruskan pada 2008 ekoran berlaku pertukaran kerajaan negeri - walaupun sebahagian fasa sudah naik struktur dan bumbungnya.
"Projek ini bukan projek terbengkalai, tetapi cuma tidak diteruskan di bawah kerajaan PKR Selangor. Jawapan yang diberikan oleh exco terbabit pada sidang DUN terakhir Disember lalu ialah 'akan disiapkan pada 2014'.
"Hairan! Walaupun ini dulunya projek BN tapi kalau PKR Selangor nak ambil 'sapi'nya pun (dengan menyiapkannya)... apa salahnya. Tapi sayangnya mereka tak serius dan bagi komitmen," katanya.
Sulaiman menjelaskan, kerajaan Selangor sebenarnya tidak ada sebarang usaha untuk membantu rakyat miskin memiliki tanah apabila mengenakan bayaran premium yang terlalu tinggi.
"Di Sungai Yu, Tanjung Karang kawasan saya, seseorang perlu membayar antara RM230,000 dan RM280,000 bagi harga premium untuk 0.7 hektar. Padahal ini tanah pertanian, bukannya industri.
"Di Kampung Raja Musa, Permatang demikian juga, tanah seluas 0.7 hektar perlu membayar RM68,000 premium tanah. Di Kampung Ampangan di Sungai Burung untuk 0.4 hektar atau 1 ekar tanah, premiumnya mencecah RM38,000. Sedangkan bayaran premium itu semasa BN memerintah hanya berjumlah RM356.
"Semasa era BN, kita nak tolong rakyat sebab itu premium harganya nominal tapi di bawah pakatan pembangkang jual tanah. MB (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) kata kena ikut harga pasaran," katanya.
Kata beliau lagi: "Yang MB bagi geran baru-baru ini pun hakikatnya bukan geran tapi tawaran untuk memiliki tanah. Dalam borang 5A nanti akan disebut cukai-cukai yang perlu dibayar dengan premiumnya. Ya, 'bagi geran' tu nampak cantiklah tapi semuanya bersyarat, kalau tak dipenuhi dalam enam bulan, tawaran boleh terlucut."
Di akhir temu bual, Sulaiman sempat mengajak kami kembali 'singgah' menghayati imbauannya di ladang estet berkenaan.
"Sebenarnya saya telah berjanji dengan mereka baru-baru ini, kalau BN dapat kembali Selangor ini, kami akan sediakan rumah mampu milik untuk anda."