Khamis, 18 April 2013

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Pelajar PSMZA cipta alat pelerai jagung

Posted: 16 Apr 2013 01:43 PM PDT

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com.my

PELAJAR-pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) memenangi anugerah projek inovasi terbaik dalam Pertandingan Projek Inovasi Pelajar ke-13 PSMZA bagi sesi Disember 2012 di Dungun, baru-baru ini.

DUNGUN 16 April - Sekumpulan pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini mengetengahkan kreativiti mereka dengan mencipta sejenis alat untuk melerai biji jagung dengan cepat dan selamat.

Cetusan idea timbul apabila melihat kebanyakan penjual jagung menggunakan pisau untuk meleraikan biji yang tentunya mengambil masa agak lama dalam suasana kerja yang tidak menyenangkan dan malah tahap kebersihan juga boleh dipersoalkan.

Usaha tiga pelajar Kursus Kejuruteraan Awam itu tidak sia-sia apabila ciptaan mereka meraih anugerah projek inovasi terbaik dalam Pertandingan Projek Inovasi Pelajar ke-13 PSMZA bagi sesi Disember 2012 yang berlangsung selama dua hari baru-baru ini.

Mohd. Rizuan Mohamad 21, bersama dua lagi rakan mereka, Mohamad Zuraidi Shafie dan Mohd. Safiy Sulaiman berkata, idea untuk mencipta alat tersebut tercetus apabila melihat peniaga jagung di pasar-pasar malam menggunakan pisau untuk melerai.

Beliau berkata, sekiranya terleka, cara memproses bahan itu boleh mendatangkan kecederaan lalu mereka mula berbincang untuk mencipta alat bagi memudahkan peniaga melakukannya dengan cepat dan selamat.

"Dengan tunjuk ajar yang diberikan oleh Pensyarah Penyelia, Rahmat Nor Mohd. Sharif, 35, kami telah memulakan projek ini dengan berbekal modal RM500 dan telah menyiapkannya dalam masa lima belas minggu," ujarnya.

Dalam pertandingan itu, sebanyak 24 projek diketengahkan daripada 8 bidang kejuruteraan dan teknologi maklumat.

Antara panel penilai yang mengadili pertandingan ini ialah daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan YTL Power Services Sdn. Bhd.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Akademik PSMZA, Hassan Ismail berkata, budaya inovasi itu perlu diteruskan dengan lebih baik lagi dan beliau berharap pelajar PSMZA dapat menghasilkan lebih banyak lagi produk inovasi yang dapat dimanfaat oleh pengguna.

"Saya berharap produk yang dihasilkan oleh pelajar PSMZA ini tidak terhenti setakat memenangi pertandingan ini sahaja, malah perlu diketengahkan ke peringkat yang lebih jauh agar dapat dipaten dan dikomersialkan.

''Usaha sedang dilakukan supaya pelajar mendapat menafaat yang besar hasil dari penciptaan produk tersebut," ujar beliau ketika menyempurnakan majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Yang turut hadir, Ketua Unit Penyelidikan dan Inovasi PSMZA, Mohd. Rohaimi Yusof dan Ketua-ketua Jabatan.

Hubungan dengan industri mampu perkasa politeknik berdaya saing

Posted: 16 Apr 2013 01:43 PM PDT

KOTA BHARU 16 April - Hubungan antara politeknik dengan pihak industri mampu memperkasakan lagi pusat pengajian berkenaan bagi membolehkannya bersaingan dengan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Presiden MCM Value Sdn. Bhd., Prof. Dr. Mazlan Che Ahmad berkata, hubungan tersebut boleh digerakkan dengan memanggil mereka yang terlibat dengan industri untuk berkongsi kepakaran bersama para pelajar sekali gus meningkatkan tahap kemahiran mereka.

"Melalui hubungan ini para pelajar dapat mengetahui kehendak, peluang dan kriteria pekerja yang diperlukan oleh pihak industri.

"Selain itu, hubungan ini dapat dibentuk melalui kajian berkaitan perkembangan industri di negara ini yang secara tidak langsung mampu melahirkan graduan berdaya saing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Konvokesyen Jubli Perak Ke-26 Politeknik Kota Bharu (PKB) di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Bahagian Kurikulum dan Latihan Industri Jabatan Pengajian Politeknik, Abdul Gaus Mohamad dan Pengarah PKB, Noor Azahan Othman.

Mazlan memberitahu, pengalaman yang ditimba melalui kerjasama kajian itu boleh digunakan sebagai rujukan bagi memperkasakan lagi pusat pengajian berkenaan.

"Pada pandangan saya politeknik mempunyai banyak kelebihan, namun beberapa aspek yang perlu diperbaiki antaranya komunikasi. Saya yakin dan percaya sekiranya aspek ini mampu diatasi ia mampu melonjakkan lagi politeknik sebagai antara pusat pengajian terbaik di negara ini.

"Secara tidak langsung, ia mampu mengubah stigma masyarakat terhadap politeknik," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Noor Azhan memberitahu seramai 1,972 pelajar telah menerima diploma pada majlis konvokesyen tersebut membabitkan 12 jurusan.

Keputusan sederhana cetus tekad Mohd. Irfan jadi pelajar cemerlang

Posted: 16 Apr 2013 01:43 PM PDT

MOHD. Irfan Mohd. Din menerima ciuman daripada ibunya selepas dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Jabatan Elektrik dalam Majlis Konvokesyen Jubli Perak Ke-26 PKB di Kota Bharu, baru-baru ini.

KOTA BHARU 16 April - Biarpun hanya mampu meraih keputusan sederhana dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) empat tahun lalu tidak menghalang Mohd. Irfan Mohd. Din, 22, untuk berjaya dalam pelajaran.

Buktinya, pelajar jurusan Diploma Elektronik, Politeknik Kota Bharu (PKB) itu dinobatkan sebagai penerima anugerah kecemerlangan Jabatan Elektrik dalam Majlis Konvokesyen Jubli Perak Ke-26 PKB di sini baru-baru ini.

Mohd. Irfan yang mendapat Nilai Gred Purata Keseluruhan (PNGK) 3.7 mengakui terharu menerima anugerah tersebut dan menyifatkan antara yang terbesar pernah diterimanya setakat ini.

"Saya tidak menyangka terpilih menerima anugerah ini. Walaupun mendapat keputusan yang sederhana ketika SPM lalu, tidak mematahkan semangat untuk terus berjaya dalam pelajaran.

"Sejak menyambung pengajian di sini, saya telah bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan percubaan tersebut akhirnya berjaya apabila mendapat keputusan 3.48 pada semesta pertama," katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Tambahnya, bermula dari situlah dia terus berazam untuk mengekalkan kecemerlangan dan akhirnya berjaya sehingga dinobatkan sebagai penerima anugerah tersebut.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Farida Mohd. Ali. Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah PKB, Noor Azahan Othman.

Sementara itu, Norfadzlinda Mohd. Nordin, 22, yang diumumkan sebagai penerima anugerah pengarah memberitahu semangat yakin pada diri menjadi kunci utama kejayaan.

Pelajar jurusan Diploma Elektrik dan Elektronik yang mendapat PNGK 3.6 dan ke atas pada setiap semesta itu berjaya menewaskan pelajar-pelajar lain yang turut tercalon untuk meraih anugerah berkenaan.

Norfadzlinda berkata, semangat yakin pada diri itu menjadi prinsipnya sejak kecil dan semakin sebati dengan hidupnya.

"Bagi saya setiap orang perlu yakin dengan kemampuan diri kerana ia mampu melonjakan lagi semangat kita untuk terus berusaha kearah yang lebih baik. Alhamdulillah setiap cabaran yang dilalui sepanjang menuntut di sini berjaya diatasi dengan baik.

"Kejayaan ini saya tujukan kepada semua ahli keluarga dan rakan-rakan yang banyak memberikan sokongan sehingga mampu meraih kejayaan cemerlang ini. Tanpa sokongan dan bantuan mereka mungkin saya tidak akan dapat anugerah ini," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved