Khamis, 18 April 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Seludup ketamin RM3.36j gagal

Posted: 18 Apr 2013 12:07 PM PDT

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
pengarang@utusan.com.my

Khazali Ahmad (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis ketamin yang berjaya dirampas ketika mengadakan sidang akhbar di Nilai, semalam.

SEREMBAN 18 April - Kastam menggagalkan cubaan untuk menyeludup 84 kilogram (kg) dadah jenis ketamin bernilai RM3.36 juta melalui kontena yang diisytiharkan sebagai kentang di Pelabuhan Klang, Selangor dekat sini, Selasa lalu.

Turut ditahan seorang pengurus sebuah syarikat penghantaran berusia 37 tahun yang dipercayai terbabit dalam urusan penghantaran kontena itu untuk siasatan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan, sepasukan anggota dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bersama Unit Narkotik Perak menahan kontena terbabit, sebaik sahaja tiba dari Kolkata, India.

"Hasil pemeriksaan di dalam kontena terbabit, kita menjumpai sembilan guni mengandungi serbuk kristal dipercayai ketamin yang disembunyikan bersama 280 guni ubi kentang.

"Susulan itu kita menahan seorang pengurus sebuah syarikat penghantaran ketika hadir ke Ibu Pejabat JKDM. Kastam turut menyiasat suspek lain yang terlibat," katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Khazali berkata, siasatan pihaknya percaya kesemua dadah itu untuk pasaran tempatan dan suspek kini ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dua bot laut dalam, 17 nelayan asing ditahan

Posted: 18 Apr 2013 12:07 PM PDT

Bot nelayan tempatan yang ditahan di lokasi 1.8 kilometer dari muara Tok Bali, Pasir Puteh atas pelbagai kesalahan, semalam.

PASIR PUTEH 18 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan dua buah bot laut dalam tempatan bersama 17 awak-awak warga Vietnam dan Thailand kerana beroperasi di luar kawasan semalam.

Ketua Penguat Kuasanya, Kapten Wan Burhanuddin Jusoh berkata, dalam kejadian pertama, Bot Penggalang 18 bersama enam anggota diketuai Pegawai Waran II Maritim, Mohd. Fauzi Ismail menahan sebuah bot nelayan tempatan dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, bot yang didaftarkan di Kedah dengan nombor KHF 1923 itu ditahan di lokasi 125.2 kilometer dari muara Tok Bali pada pukul 12.50 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati lesen dan peralatan menangkap ikan bot itu adalah di Zon C dan didaftarkan untuk kegunaan di perairan Pantai Barat Semenanjung namun beroperasi di Pantai Timur.

"Ini kes pertama membabitkan bot nelayan Pantai Barat menceroboh perairan Pantai Timur dengan niat menangkap hasil laut tanpa mematuhi arahan ditetapkan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Wan Burhanuddin berkata, bot bersama 10 awak-awak warga Thailand berumur 33 hingga 54 tahun itu dibawa ke Pangkalan Maritim Malaysia Kelantan untuk siasatan lanjut. Turut dirampas ialah 1,500 kilogram ikan baja; 1,000 kilogram pelbagai jenis ikan dan 1,400 kilogram sotong.

Dalam kejadian kedua, Mohd. Fauzi berkata, pihaknya menahan sebuah bot nelayan tempatan dengan nombor pendaftaran PAF 4654 di jarak 1.8 kilometer dari muara Tok Bali bersama tujuh awak-awak warga Vietnam berumur antara 22 dan 45 tahun.

Katanya, turut ditahan tiga lelaki warganegara sama tanpa sebarang dokumen pengenalan diri ketika sedang bersembunyi di bawah timbunan pukat, guni bawang dan guni beras.

"Bot nelayan itu ditahan oleh Bot Penyelamat 7 bersama lima anggota diketuai Bintara Muda Maritim, Ismail Yaakub.

"Kesalahan bot itu adalah kerana tidak mendaratkan semua hasil tangkapan di pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan niat menyembunyikan atau tidak membuat taksiran sebenar hasil tangkapan," ujarnya.

Bot tersebut, kata beliau, turut membawa serta menyimpan diesel subsidi di dalam tong fiber di atas dek yang dianggarkan berjumlah 4,000 liter dan bernilai RM72,000.

"Kesemua nelayan daripada kedua-dua bot dan tiga warga Vietnam yang ditemui bersembunyi dibawa ke Mahkamah Majistret Bachok bagi mendapat kebenaran tahanan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan pihaknya mendapat maklumat risikan sekurang-kurangnya 20 buah bot yang mendapat lesen menangkap ikan dari Jabatan Perikanan Kedah beroperasi di perairan Pantai Timur.

Katanya, kumpulan nelayan terbabit dipercayai kerap menjalankan operasi pendaratan ikan di Songkla, Thailand dan kes berkenaan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved