Oleh Johardy Ibrahim

Rozimi Remeli
ORANG ramai yang lalu lalang di Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur pasti tidak terlepas pandang bangunan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang besar bagaikan gudang.
Bangunan yang besar ini sebenarnya merupakan Pencawang Masuk Utama (PMU) berjenis Gas Insulated Switchgear (GIS) yang menyalurkan bekalan elektrik pada voltan 275 kilovolt(kV) dan 132kV bagi mengukuhkan sistem grid nasional.
Di Seksyen 8, Shah Alam menghala ke Taman Botani Negara, Shah Alam, terdapat PMU yang dibina di kawasan terbuka berjenis Air Insulated Switchgear (AIS).
Tahukah anda kos membina pencawang GIS menelan belanja kira-kira RM116 juta dan pencawang AIS bernilai RM60 juta?
Bagi orang awam seperti kita, mungkin meneka bahawa bangunan besar TNB seperti di Kampung Pandan Dalam itu dihuni ramai kakitangan. Tidak semestinya. Bangunan ini adalah pencawang penghantaran elektrik yang lengkap dengan segala pepasangan elektrik seperti alatubah voltan dan kabel.
Keputusan untuk membina sama ada PMU AIS yang terbuka atau pun PMU GIS yang berupa bangunan dibuat berdasarkan kriteria membabitkan keperluan kapasiti di kawasan tersebut, kewujudan tapak sesuai dan juga keselamatan.
Pelaburan sebegini dilaksanakan TNB secara terancang, mengikut unjuran permintaan terhadap keperluan pengguna dan termasuk dalam program penyediaan infrastruktur baharu, penyelenggaraan dan perbelanjaan modal (capex) setiap tahun yang bernilai sekurang-kurangnya RM7 bilion untuk memastikan bekalan tenaga elektrik yang cukup dan berkekalan.
Kewajaran patut dibuat memandangkan jumlah tersebut jelas lebih tinggi berbanding keuntungan syarikat utiliti itu sebanyak RM4.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2013.
Daripada RM7 bilion, TNB melabur kira-kira RM3.5 bilion hingga RM4 bilion setiap tahun untuk memenuhi keperluan bekalan baharu dan peningkatan sistem bagi rangkaian pembahagian, dan pelbagai saluran penyambungannya.
TNB juga melabur antara RM2 bilion dan RM2.5 bilion setiap tahun untuk meningkatkan rangkaian penghantaran dan pembangunan infrastruktur yang lengkap.
Sebagai syarikat yang memiliki aset RM99 bilion, keuntungan itu boleh dianggap minima memandangkan TNB hanya membuat keuntungan sebanyak RM4.6 bilion, berbanding konglomerat lain, yang untung sekurang-kurangnya separuh daripada nilai aset mereka.
Pelaburan seumpamanya termasuk dalam teknologi terbaru seperti self healing system adalah mahal dan perlu dilakukan, bagi mengurangkan bekalan elektrik terputus (blackout) dan memenuhi permintaan semakin tinggi di kawasan pertumbuhan baharu.
Perbelanjaan modal sebanyak RM1 bilion disediakan untuk projek pembangunan infrastruktur penghantaran elektrik di Nusajaya, Johor.
Malaysia bersaing dengan negara-negara membangun lain untuk menarik pelaburan asing baharu, terutamanya dalam industri berteknologi tinggi. Satu daripada kelebihan terbesar di Malaysia adalah prasarananya yang maju.
Tiada pelabur akan datang melabur ke Malaysia jika mereka mengalami blackout setiap hari. Kami (TNB) melabur dalam teknologi baharu seperti sistem pembaikan sendiri, alat-alat berteknologi tinggi dan sistem kawalan canggih, kata Naib Presiden (Penghantaran) TNB, Datuk Rozimi Remeli dalam taklimat tertutup baru-baru ini.
Daripada sejumlah RM8.48 bilion yang telah diperuntukkan dari tahun 2014 hingga 2017, sebanyak 93 peratus diperuntukkan untuk projek pembangunan, dan hanya 6 peratus untuk penyenggaraan aset dan satu peratus untuk pembelian pukal tenaga.
TNB akan membelanjakan sebanyak RM1.72 bilion dalam tahun kewangan semasa berakhir 31 Ogos 2014, bagi menambah baik prasarana penghantaran bekalan elektrik dan membayar bagi penyenggaraan peralatan bervoltan tinggi.
TNB telah mengemukakan pelan pelaburan kepada Suruhanjaya Tenaga. Sebanyak 20 projek utama untuk rangkaian Penghantaran di Semenanjung Malaysia akan mewakili RM3.97 bilion atau 46 peratus daripada dana yang diperuntukkan sehingga 2017, kata Rozimi.
TNB memiliki tiga teras perniagaan iaitu penjanaan, penghantaran dan pembahagian tenaga elektrik.
Bahagian penghantaran berperanan mengurus dan mengendalikan rangkaian 132 kV, 275kV dan 500kV iaitu sebahagian daripada grid nasional.
Antara projek utama di rangkaian penghantaran TNB sehingga tahun 2017 ialah pembinaan empat rangkaian 500kV iaitu Yong Peng ke Lenggeng di Perak bernilai RM803.40 juta; Ayer Tawar ke Tapah (RM695.76 juta); Tapah ke Bentong (RM387.20 juta) dan Bentong ke Lenggeng (RM233.34 juta).
Purata pertumbuhan permintaan terhadap bekalan elektrik dari 2014 hingga 2018 diunjurkan sebanyak 3.31 peratus. Pada 2013, permintaan elektrik ialah sebanyak 16,562MW dan dijangka mencecah 18,880MW pada 2017.
Panjang talian penghantaran dijangka tumbuh 5.6 peratus kepada 22,281 circuit kilometer (cct-km) pada 2017 daripada 21,092 cct-km, manakala bilangan pencawang dijangka bertambah kepada 464 pada 2017 daripada 404 pada 2013," kata Rozimi.
Grid nasional negara ini bersambung dengan sistem penghantaran elektrik Thailand dan di Senoko, Singapura. Pada masa ini, TNB giat menyambungkan Lembah Klang dengan Johor yang apabila siap, bakal menjadikan Malaysia berupaya membekalkan tenaga kepada rantau ASEAN sebelum 2020.
Menurut Rozimi, kabel elektrik adalah mahal iaitu boleh mencecah sehingga RM7 juta setiap kilometer manakala pencawang penghantaran adalah antara RM60 juta hingga RM116 juta untuk dibina.
TNB juga melabur dalam konduktor berkapasiti tinggi dan rendah risiko kehilangan tenaga, yang berpotensi mengurangkan kehilangan tenaga sebanyak 20 peratus semasa penghantaran elektrik. Namun, kosnya adalah 1.5 ganda lebih mahal berbanding konduktor yang digunakan sekarang.
Kos yang tinggi itu ditampan menerusi penjimatan dalam kehilangan penghantaran tenaga, dianggarkan RM2,258 setiap jam, bersamaan dengan RM593 juta dalam tempoh 30 tahun jangka hayat konduktor itu digunakan.
TNB juga telah melabur dalam sistem kawalan canggih di National Load Dispatch Centre (NLDC) yang disiap dibina pada 2009, dan dilengkapi dengan teknologi terkini yang membolehkan sekumpulan kakitangan mengendali dan memantau bekalan tenaga seluruh negara.
Keadaan muka bumi Malaysia, yang terdedah kepada kejadian kilat juga mendorong TNB untuk melabur lebih banyak dalam sistem perlindungan aset-asetnya, dipanggil self healing system iaitu grid dipasang sistem automatik menggunakan pengimbas canggih dan komputer, sistem komunikasi dan perlindungan yang membendung kemungkinan bekalan elektrik terputus berskala besar.