Utusan Online - Pahang |
- ADUN Pahang melawat kilang Lynas
- Kitab bukan Islam dilarang di bilik hotel
- Kes cerai di Pahang tinggi
ADUN Pahang melawat kilang Lynas Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT Adnan Yaakob (kiri) bersama semua ADUN mendengar taklimat oleh Dr. Ismail Bahari (tiga dari kanan) semasa lawatan pertama para ADUN ke kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas, di Gebeng, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI KUANTAN 24 April - Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob bersama kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk 12 wakil pembangkang melakukan lawatan ke kilang memproses nadir bumi, Lynas di Gebeng di sini semalam. Sesi lawatan selama kira-kira tiga jam itu turut melibatkan sesi taklimat dan soal jawab yang dikendalikan Penasihat Keselamatan Radiologi Lynas, Prof. Dr. Ismail Bahari bersama beberapa pakar Lynas. Selepas sesi taklimat, mereka melakukan tinjauan ke sekitar kilang itu yang telah memulakan operasi sejak dua tahun lalu. Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Adnan berkata, lawatan kali pertama melibatkan kesemua ADUN itu bagi mengetahui dan mendapatkan maklumat mengenai operasi kilang nadir bumi itu. Menurut beliau, lawatan yang diatur Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin itu sangat berfaedah kepada ADUN-ADUN untuk mengetahui tentang nadir bumi dan apa yang berlaku di loji ini. Dalam taklimat yang diadakan itu, ADUN-ADUN yang ada termasuklah dari pembangkang banyak menanyakan soalan kepada pakar-pakar Lynas. Daripada jawapan yang diberikan, saya berpuas hati dengan keseluruhan operasi Lynas di mana tahap kualiti produk dan keselamatan amat diutamakan di sini," katanya. Dalam lawatan itu, Adnan turut memandu salah sebuah bas yang dinaiki oleh ADUN-ADUN dari Wisma Sri Pahang ke kilang Lynas tersebut. Mereka sebelum itu menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung sejak Isnin lalu dan berakhir Selasa ini. Tambah Adnan, dalam taklimat itu juga, mereka dimaklumkan bagaimana sisa buangan daripada kilang ini digunakan untuk membuat pelbagai produk seperti simen, jalan raya dan baja. Namun kita akan tunggu pihak Lynas kemukakan cadangan kepada agensi-agensi yang terlibat untuk memproses bahan-bahan buangan ini untuk dijadikan produk yang berguna untuk kegunaan masyarakat," katanya. |
Kitab bukan Islam dilarang di bilik hotel Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT KUANTAN 24 April - Semua hotel, resort dan rumah tumpangan di negeri ini dilarang menempatkan kitab dan dokumen agama selain daripada Islam di dalam bilik penginapan dan ruang bacaan awam di premis mereka berkuat kuasa 6 Mac lalu. Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, larangan tersebut dibuat mengikut Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1989 bagi negeri ini selaras dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan. Katanya, berikutan itu, kesemua 147 pemilik hotel serta rumah tumpangan di negeri ini telah dimaklumkan menerusi sepucuk surat yang meminta mereka supaya mematuhi larangan tersebut. Langkah itu dibuat setelah hasil siasatan dan pemantauan kita mendapati terdapat beberapa pengusaha hotel serta rumah tumpangan terlibat meletakkan kitab (bukan Islam) di dalam bilik penginapan atau ruang bacaan awam. Perkara itu mengundang rasa tidak selesa dan dianggap perbuatan menyebarkan agama lain kepada orang Islam yang menginap di hotel berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam. Tambahnya, setakat ini hanya dua hotel yang memberi maklum balas mengenai perkara itu dan pihaknya melalui bahagian penguatkuasaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang gagal mematuhinya. Daripada surat maklum balas itu mereka memberi kerjasama yang baik dan alasan diberikan sebelum ini mereka tidak mengetahui perkara tersebut salah di sisi undang-undang," ujarnya. Tegasnya, jika pihak terbabit gagal mematuhinya boleh dikenakan tindakan hukuman di mahkamah sivil dengan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali. Katanya, langkah itu dibuat bagi memastikan kesucian Islam di negeri ini terpelihara dan tidak dicemari menerusi penyebaran fahaman atau agama yang boleh menggugat akidah sekali gus menyumbang kepada masalah murtad. |
Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT KUANTAN 24 April - Sebanyak 16.22 peratus daripada 15,000 perkahwinan yang didaftarkan di negeri ini tahun lalu berdepan dengan masalah perceraian. Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, perceraian itu membabitkan perkahwinan yang dilaksanakan di dalam negeri dan luar negara. Daripada semua kes itu, 299 membabitkan tuntutan fasakh, 218 cerai taklik dan 1,916 adalah di peringkat mengemukakan permohonan perceraian di mahkamah syariah. Sebanyak 85 peratus daripada kes itu sudah diselesaikan tahun lalu, manakala bakinya sedang dalam proses mahkamah dan dibawa ke tahun ini," katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Seri Pahang di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Hamid Syed Mohamed (Pas-Kuala Semantan) yang ingin mengetahui jumlah perkahwinan dan perceraian direkodkan di negeri ini sepanjang 2013. Menurut Syed Ibrahim, kelewatan penyelesaian kes-kes tersebut adalah disebabkan masalah penyampaian saman, defendan tidak memberi kerjasama dan pihak-pihak terlibat tidak bersedia untuk perbicaraan atau ketiadaan saksi. Sejak 2009 hingga tahun lalu, sebanyak 814 tuntutan nafkah isteri dan 1,114 tuntutan nafkah anak dikemukakan di mahkamah syariah di negeri ini. Daripada jumlah permohonan tuntutan dikemukakan itu, sebanyak 81 peratus atau 1,562 kes sudah diselesaikan. Baki kes yang belum diselesaikan masih dalam proses mahkamah dan ada juga gagal dimuktamadkan berikutan masalah seperti defendan menghilangkan diri, dimasukkan ke pusat serenti atau dipenjarakan," katanya. Sementara itu, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah melakukan pelbagai pendekatan bagi mengelakkan berlakunya penceraian dengan mengadakan sesi kaunseling daripada kaunselor bertauliah, nasihat dan tunjuk ajar. Namun, kebanyakannya gagal kerana melibatkan pasangan yang tidak bekerja dan terlibat dengan pelbagai kes-kes jenayah dan dadah," katanya ketika menjawab soalan tambahan Rosli Jabar (Pas-Tanjung Lumpur). |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan