Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

Sebahagian orang orang ramai yang hadir pada Seminar Memperkasakan Pengajian Ilmu Al-Quran di Dewan Kuliah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, kelmarin. - UTUSAN/Hafiz Johari
JIKA seseorang itu telah menjadi usahawan berjaya, beliau selalunya akan berpuas hati dan menikmati sepenuhnya kekayaan yang telah dimilikinya.
Tetapi keadaan sebaliknya yang berlaku terhadap Pengarah Urusan Minyak Mestika Marketing Sdn. Bhd., Jaafar Haron.
Beliau memiliki syarikat pengeluar ubat tradisional dengan jenama 'Mestika' yang telah diasaskan oleh ibunya, Che Mah Che Ali pada 1967.
Che Mah adalah isteri kepada Almarhum Tengku Muhammad Tengku Chik yang lebih dikenali dengan nama Ku Mat Gagah yang merupakan pengamal perubatan tradisional yang disegani di Kelantan satu ketika dahulu.
Jaafar yang berusia dalam lingkungan 70-an sering meluangkan masa untuk mengembara di dalam dan luar negara bagi mengkaji trend pembacaan al-Quran di kalangan umat Islam.
"Saya telah melawat dan bersembahyang di berpuluh-puluh masjid seluruh Malaysia dan saya telah mengadakan temu ramah dengan imam, bilal dan orang tua selepas sembahyang berkaitan dengan pembacaan al-Quran dan penghayatannya.
"Saya melihat al-Quran yang ada di masjid hanya menjadi perhiasan sahaja kerana tiada orang yang membacanya. Kalau ada pun tidak lebih daripada empat hingga lima orang sahaja.
"Keadaan sebaliknya pula yang saya lihat apabila melawat 14 negara untuk membuat kajian ini. Hanya di negara-negara Arab sahaja didapati ramai yang membaca al-Quran sebelum dan selepas sembahyang lima waktu," katanya.
Beliau membuat pendedahan berkenaan ketika membentangkan kertas kerja pada Seminar Memperkasakan Pengajian Ilmu al-Quran di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) pada Ahad lalu.
Seminar yang dianjurkan secara bersama oleh Institut Pengajian al-Quran (IPaQ) dan Yayasan Semesta Berdaftar (YSB) ditaja oleh Minyak Mestika Marketing.
Menurut Jaafar, daripada kajian itu, beliau mendapati punca utama umat Islam di negara ini tidak membaca al-Quran selepas sembahyang lima waktu kerana ramai tidak pandai membaca kitab suci itu dengan tartil (bertajwid).
"Hendaklah 1,001 jalan dicari supaya umat Islam mempelajari dan membaca al-Quran setiap hari.
"Para ulama perlu berperanan untuk memberi penerangan, tunjuk ajar dan bimbingan yang secukupnya kepada masyarakat mengenai pentingnya mempelajari dan membaca al-Quran setiap hari.
"Contohnya, guru-guru agama di penjara dan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) hendaklah mencari jalan supaya penjenayah dan pelatih di situ pandai membaca al-Quran dan menghafal sekurang-kurangnya surah lazim," ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Penyelidikan al-Quran (CQR) UM, Prof. Datuk Dr. Zulkifli Mohd. Yusoff turut sependapat dengan Jaafar dan menyifatkan masalah buta huruf al-Quran di negara ini agak membimbangkan.
Beliau berkata, kajian untuk tesis sarjana yang dijalankan Saidi Mohd. di Terengganu pada 2006 merumuskan sebanyak 38.1 peratus pelajar tingkatan empat di salah sebuah sekolah menengah di negeri tersebut mempunyai gred sangat lemah dalam tahap bacaan al-Quran.
"Selanjutnya satu lagi kajian bagi tesis sarjana oleh Imran Kamal Basah pada 2010 pula mendapati sebanyak 31.3 peratus jemaah sebuah masjid di Hulu Langat, Selangor lemah dalam bacaan surah al-Fatihah.
"Penemuan ini amat menggusarkan kita lebih-lebih lagi dalam senario ramai remaja kita ketagih menggunakan media sosial seperti FB (Facebook) sedangkan kita sepatutnya fokus kepada FT (firman Tuhan)," katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk 'Senario Semasa dan Strategi Pengembangan Pengajian Ilmu al-Quran'.
Menurut Zulkifli, pihaknya telah membuat kajian bagi mencari kaedah baharu pengajaran al-Quran berikutan kaedah sedia ada seperti Baghdadiyah, Qiraati, Iqra dan Hattawiyah kurang berjaya sepenuhnya.
"Akhirnya kita telah menemui kaedah Al-Jabari iaitu berlandaskan kepada irama lagu dengan melakukan sedikit perubahan kepada susunan huruf-huruf hijaiyah (huruf alif, ba, ta dan seterusnya).
"Teknik ini membolehkan pelajar menguasai kemahiran membaca dan menulis al-Quran dalam tempoh 30 jam sahaja," katanya.
Tambah beliau, kaedah yang diasaskan oleh Drs. H. Yusuf Sodik dari Bandung, Indonesia pada 1991 itu diajar dalam kelas al-Quran di Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya sejak 2011 dan terbukti berkesan.
"Pihak kami bercadang untuk membuat pembentangan mengenai kaedah terbaharu ini kepada Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Kita berharap kaedah ini boleh diperluaskan ke tempat-tempat lain pada masa depan dan dimasukkan dalam kurikulum pengajaran Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) di sekolah dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA)," ujarnya.
Mengulas isu sama, Ketua Guru Kaedah Al-Jabari Malaysia, Sharifah Mohd. Nor berkata, kaedah itu merupakan penyelesaian yang boleh menangani masalah buta huruf al-Quran dalam kalangan pelbagai kumpulan sasaran.
"Mereka termasuk mualaf, Orang Asli yang baru memeluk Islam dan belia serta orang dewasa yang belum menguasai pembacaan al-Quran.
"Turut mendapat manfaat daripada kaedah ini adalah mereka yang tidak pernah dititik berat sebelum ini seperti golongan autistik, pekak dan menghidap Sindrom Down," ujarnya.
Beliau berkata, kaedah itu adalah lebih komprehensif kerana ia bukan sahaja mengajar membaca al-Quran secara bertajwid, malah turut melatih kaedah penulisan gaya khat (kaligrafi).
"Ia juga mudah dan menarik kerana pelajar belajar menggunakan irama lagu dan gerakan anggota badan serta mereka tidak terbeban dengan proses pembelajaran yang panjang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Program Kaedah Al-Jabari: Sebagai Satu Solusi Kepada Masalah Buta Huruf al-Quran' pada seminar tersebut.