Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

Anggota keselamatan Thai memeriksa lokasi serangan bom yang dipercayai dilakukan oleh puak militan Islam di wilayah Songkhla, selatan Bangkok, kelmarin. Dua penduduk kampung terbunuh dan sekurang-kurangnya 20 cedera selepas bom yang disembunyikan dalam sebuah motosikal meletup di wilayah Songkhla, kata polis. - REUTERS
MUNGKIN ramai yang tidak menyedari bahawa serangan bom di Danok, Sadao Thailand dan Padang Besar, kelmarin merupakan kali pertama berlaku dalam sejarah wilayah itu.
Selama ini serangan bom lebih banyak tertumpu di kawasan-kawasan lain di selatan Thailand seperti Narathiwat, Pattani, Tak Bai dan Hatyai. Tetapi serangan terbaru membuktikan bahawa puak pemisah tidak pernah menghentikan perjuangan sia-sia mereka.
Bagaimanapun serangan di Danok, Sadao dan Padang Besar dianggap oleh pasukan keselamatan sebagai satu kejutan dan di luar jangkaan sama sekali.
''Selama ini ketiga-tiga kawasan itu dianggap kawasan selamat dan apa yang lebih banyak dipaparkan di situ adalah berita-berita mengenai penyeludupan dan kemasukan warga asing.
''Tetapi kali ini, ia menunjukkan bahawa kegiatan puak pemisah semakin melebarkan sayap mereka dan ini agak membimbangkan kita," kata satu sumber kepada penulis ketika dihubungi.
Justeru serangan terbaru tersebut tidak harus dipandang ringan oleh pihak berkuasa kedua-dua negara khususnya Malaysia. Ia memandangkan Danok, Sadao dan Padang Besar adalah antara daerah yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia khususnya pada cuti hujung minggu.
''Saya berpendapat jika serangan itu dilakukan pada hari Sabtu dan pada waktu yang sama, mungkin ada rakyat Malaysia yang akan turut terkorban atau tercedera," kata satu sumber keselamatan ketika dihubungi.
Setakat semalam, dua orang rakyat Thai disahkan terbunuh manakala 25 lagi cedera.
Persoalannya, siapakah dalang di sebalik kejadian ini? Kenapakah mereka menjadikan sasaran kawasan yang selama ini dianggap kawasan selamat? Dan apakah kejadian tersebut ada kaitan dengan pergolakan politik yang melanda Thailand kini?
Sementara pihak berkuasa Thailand mungkin masih berusaha keras menyiasat motif dan dalang yang terlibat tetapi apa yang pasti serangan itu sekali lagi membuktikan ia sama sekali tidak akan menguntungkan masyarakat di selatan khususnya masyarakat Islam Thailand yang merupakan penduduk majoriti di wilayah tersebut.
Mungkin ada yang berpendapat terlalu awal untuk menuding jari kepada puak pemisah kerana siasatan sedang dijalankan, tetapi modus operandi dalam serangan itu ternyata tidak mampu menolak andaian bahawa puak berkenaan sememangnya terlibat.
Jika benar mereka terlibat, ini sudah pastilah satu petanda yang tidak baik bukan sahaja kepada Thailand tetapi juga Malaysia kerana kedua-dua negara bukan sahaja berjiran tetapi juga berkongsi sempadan yang sama.
Apa sahaja yang berlaku di kawasan sempadan sudah pasti akan memberi kesan kepada Malaysia. Oleh itu, Malaysia juga perlu mencari jalan bagaimanakah negara ini boleh memainkan peranan bagi memulihkan situasi di wilayah bergolak tersebut.
''Saya berpendapat, perjanjian damai yang sebelum ini ditandatangani oleh kumpulan yang mendakwa mewakili puak pemisah dan kerajaan Thailand di Kuala Lumpur tidak lama dulu harus dikaji semula.
''Ini penting memandangkan dalam situasi politik di Thailand yang menyaksikan kerajaan sedia ada bagaikan berada ibarat 'telur di hujung tanduk', apa yang termeterai dalam perjanjian itu sudah tidak membawa apa-apa erti lagi.
''Tambahan pula, sebelum ini pun selepas perjanjian yang dianggap 'perjanjian damai' itu ditandatangani, puak pemisah tidak pernah meredakan serangan mereka," kata satu sumber.
Kenyataan seumpama ini mungkin tidak akan menyenangi sesetengah pihak tetapi inilah hakikatnya, apatah lagi satu sumber memberitahu penulis, pihak berkuasa perlu mencari kumpulan yang benar-benar bertanggungjawab mencetuskan huru-hara di selatan Thailand.
''Dalang utama ini tidak berada di luar Thailand mereka berada di dalam Thailand. Oleh itu pihak berkuasa harus berusaha mencari mereka, bukan untuk dihukum tetapi mencari jalan penyelesaian demi masa depan umat Islam selatan Thailand.
''Orang yang dicari itu mestilah orang yang betul, bukannya individu yang bijak mendakwa mempunyai kekuatan atau kuasa mengawal puak pemisah sedangkan dia sendiri pun tidak dikenali oleh puak pemisah atau sudah tidak mempunyai apa-apa lagi kuasa," kata sumber itu lagi.
Mungkin keadaan inilah yang memungkinkan seorang bekas pemimpin puak pemisah baru-baru ini mendakwa, kerajaan Thailand telah berunding dengan pihak yang salah.
Soalnya, siapakah individu yang bertindak sebagai dalang tersebut? Kenapakah mereka tergamak melakukan serangan yang bukannya akan memberikan kesejahteraan kepada umat Islam Thailand tetapi mengundang kesengsaraan berterusan kepada golongan itu?
''Kalau benar mereka berjuang atas nama untuk membela nasib umat Islam maka carilah jalan yang boleh menguntungkan golongan itu, bukannya melakukan serangan bom sehingga membunuh insan-insan yang tidak berdosa," kata sumber itu lagi.
Kini berdasarkan serangan terbaru itu, sudah sampai masanya pihak berkuasa Thailand dengan dibantu oleh pihak berkuasa Malaysia mencari jalan bagaimana hendak menamatkan konflik di selatan Thailand tersebut. Penyertaan Malaysia bukanlah bertujuan campur tangan dalam urusan hal ehwal dalaman Thailand tetapi sebagai negara jiran yang turut akan merasakan tempiasnya jika pergolakan berterusan di wilayah itu, Malaysia mempunyai 'saham' untuk turut membantu.
Komitmen Malaysia dalam soal ini tidak harus diragui lagi. Satu ketika dahulu Malaysia menubuhkan Task Force 2010 yang diketuai oleh bekas Ketua Pengarah Bahagian Staf Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Wan Abu Bakar Omar.
Task Force ini banyak memainkan peranan dalam membantu masyarakat Islam Thailand sehinggakan ada ketika ia mampu meredakan ketegangan di wilayah bergolak itu.
Keadaan itu berlaku kerana melalui program-program yang dijalankan oleh Task Force 2010, ia turut berjaya menyerapkan pemahaman kepada masyarakat Islam Thailand untuk mencintai kedamaian dan menolak keganasan.
Oleh itu, mungkin dalam situasi sekarang kerajaan Malaysia boleh mempertimbangkan untuk mewujudkan kembali badan yang berperanan seperti Task Force 2010.
Penulis percaya dan yakin dengan disertai oleh bekas pegawai atau anggota keselamatan yang berpengalaman, ia sedikit sebanyak mampu untuk membantu Thailand menangani konflik di selatan negara itu.
Apa pun buat masa ini, pihak berkuasa Thailand harus mencari dalang di sebalik serangan terbaru tersebut. Ia memandangkan apa yang terjadi memberi isyarat yang jelas bahawa wilayah Thailand yang bersempadan dengan negara ini sudah lagi tidak selamat untuk dikunjungi.
Keadaan ini sudah tentulah akan merugikan masyarakat Islam di selatan Thailand yang mengharapkan sokongan rakyat Malaysia bagi menggerakkan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup mereka.
Namun semua itu akan terus menjadi mimpi indah yang mengasyikkan selagi dalang sebenar yang menggerakkan puak pemisah untuk melakukan keganasan tidak dibawa ke meja rundingan atau muka pengadilan.