Khamis, 18 April 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Rakyat jadi keutamaan

Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL dan ABDUL RAZAK IDRIS
kota@utusan.com.my

Sulaiman Abdul Razak (empat dari kiri) sentiasa turun padang bertemu rakyat di DUN Permatang tanpa mengira bangsa dan agama bagi mendengar sendiri masalah yang dihadapi penduduk.

Tanjong Karang 17 April - Beberapa hari sebelum pengundian pilihan raya umum lepas, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Sulaiman Razak singgah menjenguk penduduk di estet Ladang Mary dan Ladang Sungai Tinggi di sini.

Apabila terlihat sahaja kelibat Sulaiman, beberapa kumpulan penduduk berpaling menghala haluan masing-masing. Waktu itu Sulaiman belum terjangka 'signal' akan terjadinya 'tsunami' di Selangor.

"Kita boleh rasai suara hati sendiri jikalau seseorang itu tidak selesa dengan kehadiran kita, antaranya dengan 'body language' tertentu seperti lima jari tangan kanannya yang menahan mengerikut untuk beramah.

"Tapi itu respons lima tahun lalu. Tahun sudah, apabila saya muncul sekali lagi di situ, sambutan yang saya terima begitu luar biasa sekali. Ada seorang lelaki lingkungan 40-an datang dan kemudian melutut memegang kaki saya...macam yang digambarkan dalam filem, apabila seseorang pegang kaki ibu bapa tanda kasih sayang dan hormat.

"Dan di estet Ladang Mary, apabila penduduk nampak saya, mereka pergi dekat sambil usung dan suakan anak dari belakang ke depan kita. Apabila Perdana Menteri juga muncul dalam satu program di sana, ribuan yang datang....dari Kuala Selangor, Sabak Bernam, Ijok, Sungai Besar dan lain-lain kawasan berhampiran. Mereka kembali alu-alukan kemunculan semula BN," kata beliau kepada kami ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.

Selain Permatang, satu lagi DUN yang bernaung di bawah kawasan Parlimen Tanjong Karang diketuai Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar ini ialah DUN Sungai Burong.

Dalam tempoh lima tahun ini, Sulaiman bersama rakan-rakan seperjuangan lain di serata 56 DUN di Selangor terus memperbaiki perkhidmatannya dengan rakyat.

Di estet-estet berkenaan yang dulunya sukar menerima saluran paip dan elektrik, kini lengkap semuanya. Bukan sahaja bekalan air dan api tersedia, malah jalan bertar, klinik dinaiktaraf, tadika merata dan sekolah pula berdekatan rumah penduduk.

Selaku ADUN Permatang, Sulaiman mendalami denyut nadi penduduk di estet-estet dalam dan sekitar kawasan kerusi yang disandangnya.

"Rumah! Itulah isunya. Kalau kita tengok kehidupan di estet-estet dan saya sendiri ramai kenalan di sana...dalam sebuah rumah, itulah dia akan duduk selagi bekerja, kemudian anaknya dan disambung cucunya...tiga generasi.

"Ke mana mereka nak pergi, dengan gaji minimum RM900, rumah berharga RM100,000 pun saya fikir mereka tak mampu nak beli.

"Akhirnya penuh dalam sebuah rumah anak beranak cucu cicit. Kalau estet itu dibangunkan dengan kawasan industri, yang memerlukan mereka berpindah, saya tak tahulah bagaimana mereka nak cari rumah," katanya.

Sulaiman mengajak seluruh rakyat Selangor membuat penilaian sendiri tentang bagaimana kerajaan Selangor ketika ini tidak berbuat apa-apa langsung untuk membina rumah mampu milik. Lebih menyedihkan lagi apabila PKNS yang tujuan asal penubuhannya membina rumah mampu milik rakyat sudah menyimpang dari matlamatnya. PKNS lebih fokus mengaut keuntungan berlipat ganda dengan tumpuan pada projek mewah yang mendatangkan pulangan tinggi.

"Di Seksyen 19, Shah Alam di belakang sebuah masjid ketika ini ada projek 16 unit rumah teres 20 x 70 dengan harga pelancaran RM560,000 seunit. Kalau rakyat berpendapatan sederhana, siapa yang mampu beli?

"Untuk projek PKNS, tanahnya percuma, harga premium tanah tak macam premium swasta tapi lihatlah apa yang PKNS telah buat," katanya.

Sulaiman mendedahkan bagaimana peliknya tindak tanduk kerajaan PKR Selangor dalam isu projek rumah mampu milik.

Contoh terdekat di Taman Sungai Yu Indah di Permatang hari ini ada satu projek menyiapkan rumah 200 unit kos rendah. Projek di bawah program pembesaran kampung sekitar 2005 di bawah BN itu diusahakan oleh anak syarikat kerajaan Selangor waktu itu, PNSB.

Bagaimanapun, BN tidak dapat meneruskan pada 2008 ekoran berlaku pertukaran kerajaan negeri - walaupun sebahagian fasa sudah naik struktur dan bumbungnya.

"Projek ini bukan projek terbengkalai, tetapi cuma tidak diteruskan di bawah kerajaan PKR Selangor. Jawapan yang diberikan oleh exco terbabit pada sidang DUN terakhir Disember lalu ialah 'akan disiapkan pada 2014'.

"Hairan! Walaupun ini dulunya projek BN tapi kalau PKR Selangor nak ambil 'sapi'nya pun (dengan menyiapkannya)... apa salahnya. Tapi sayangnya mereka tak serius dan bagi komitmen," katanya.

Sulaiman menjelaskan, kerajaan Selangor sebenarnya tidak ada sebarang usaha untuk membantu rakyat miskin memiliki tanah apabila mengenakan bayaran premium yang terlalu tinggi.

"Di Sungai Yu, Tanjung Karang kawasan saya, seseorang perlu membayar antara RM230,000 dan RM280,000 bagi harga premium untuk 0.7 hektar. Padahal ini tanah pertanian, bukannya industri.

"Di Kampung Raja Musa, Permatang demikian juga, tanah seluas 0.7 hektar perlu membayar RM68,000 premium tanah. Di Kampung Ampangan di Sungai Burung untuk 0.4 hektar atau 1 ekar tanah, premiumnya mencecah RM38,000. Sedangkan bayaran premium itu semasa BN memerintah hanya berjumlah RM356.

"Semasa era BN, kita nak tolong rakyat sebab itu premium harganya nominal tapi di bawah pakatan pembangkang jual tanah. MB (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) kata kena ikut harga pasaran," katanya.

Kata beliau lagi: "Yang MB bagi geran baru-baru ini pun hakikatnya bukan geran tapi tawaran untuk memiliki tanah. Dalam borang 5A nanti akan disebut cukai-cukai yang perlu dibayar dengan premiumnya. Ya, 'bagi geran' tu nampak cantiklah tapi semuanya bersyarat, kalau tak dipenuhi dalam enam bulan, tawaran boleh terlucut."

Di akhir temu bual, Sulaiman sempat mengajak kami kembali 'singgah' menghayati imbauannya di ladang estet berkenaan.

"Sebenarnya saya telah berjanji dengan mereka baru-baru ini, kalau BN dapat kembali Selangor ini, kami akan sediakan rumah mampu milik untuk anda."

Adzhaliza turun padang temui pengundi

Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT

Adzhaliza Mohd. Nor (lima dari kiri) bersama penduduk menunjukkan slogan 1Malaysia dalam majlis penyampaian bantuan kepada masyarakat India di Bandar Rinching, Hulu Langat, Selangor, semalam.

HULU LANGAT 17 April - Calon muka baharu Barisan Nasional (BN), Adzhaliza Mohd. Nor yang akan bertanding di Parlimen Hulu Langat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 tanpa berlengah lagi telah memulakan langkah dengan mendekati para pengundi dan masyarakat setempat di kerusi berkenaan.

Menurut Adzhaliza, sebagai muka baharu, adalah penting untuknya bertemu seberapa banyak pengundi bagi merampas kembali kerusi tersebut yang sebelum ini disandang oleh Dr. Che Rosli Che Mat daripada Pas.

"Saya menyedari sebagai calon baharu, sudah tentu harapan diletakkan rakyat adalah tinggi terutama para penyokong parti yang mahu supaya BN dapat merampas kembali Parlimen Hulu Langat amnya dan negeri Selangor khasnya daripada pakatan pembangkang.

"Namun dengan sokongan kuat jentera BN di Hulu Langat terutamanya sayap Wanita, saya yakin hasrat tersebut mampu direalisasikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir dalam majlis penyampaian bantuan barangan keperluan harian kepada masyarakat India anjuran Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) di Bandar Rinching di sini hari ini.

Program tersebut disempurnakan Presiden IPF, Datuk M. Sambanthan.

Bendahari Pergerakan Wanita UMNO Hulu Langat itu menambah, gerakan bertemu para pengundi di kawasan ini akan terus dijalankan meskipun dirinya tidak asing dalam kalangan masyarakat tempatan di Hulu Langat.

"Ibu bapa saya berasal dari Beranang dan Cheras, malah saya sendiri menetap di Kajang. Oleh sebab itulah sudah tentu saya begitu faham dan arif apa yang diinginkan penduduk di Hulu Langat.

"Sebagai calon wanita, sudah tentu saya juga akan memberikan tumpuan bagi menambat hati pengundi golongan hawa yang berjumlah 63,083 orang iaitu kira-kira 49 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi di Parlimen Hulu Langat," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Che Rosli mengalahkan calon BN, Datuk Markiman Kobiran dengan majoriti 1,745 undi.

Azam calon baharu BN

Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT

OLEH SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusan.com.my

AMPANG 17 April - Sepak terajang dan pengalaman luas dalam politik adalah wajah sebenar calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya, Datuk Badresham Jolly.

Ini kerana calon muka baharu BN dalam pilihan raya umum kali ini, pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bintang dari 2004 sehingga 2008 sebelum kembali ke Ampang, Selangor pada 2010.

"Walaupun tidak memegang jawatan yang signifikan dalam UMNO Bahagian Ampang, saya sebenarnya mewakili seluruh pasukan UMNO yang kuat untuk merampas kembali DUN ini daripada pakatan pembangkang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang berusia 45 tahun juga merupakan Ketua Penerangan Cawangan UMNO Lembah Jaya Selatan dan Ketua Penerangan Daftar Pengundi Lembah Jaya Selatan.

Kerusi DUN Lembah Jaya disandang oleh calon Pas, Khasim Abdul Aziz yang mengalahkan calon BN, Datuk Ismail Kijo dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008.

Badresham berkata, beliau tidak menyangka terpilih untuk menjadi calon kerana berpendapat Ismail masih layak untuk bertanding.

Menurutnya, beliau gembira kerana apabila namanya diumumkan sebagai calon, Ismail telah memberi restu selain sokongan penuh daripada seluruh jentera BN termasuk MCA dan MIC Ampang.

Bapa kepada empat orang anak itu juga dilihat mempunyai kelebihan kerana merupakan anak kelahiran dan dibesarkan di Lembah Jaya.

Malah katanya, nostalgia yang tidak akan dilupakan apabila zaman kanak-kanaknya penuh dengan keriangan setiap kali 'berkubang' berjam-jam lamanya di Pusat Rekreasi Air Terjun Bukit Belacan, Ampang.

"Tetapi sejak kerajaan Pakatan Rakyat (PR) memerintah Selangor, mereka langsung tidak pandang Bukit Belacan untuk dimajukan sebagai produk pelancongan yang penting di negeri ini.

"Segala-galanya terbiar tidak diurus dengan baik menyebabkan saya sangat berazam untuk menaikkan semula pusat rekreasi itu untuk menjana pendapatan kepada para penduduk Ampang," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved