Sabtu, 13 April 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Rakyat perlu nilai setiap manifesto

Posted: 12 Apr 2013 11:37 AM PDT

Oleh AZHARI ZAINOODDIN
utusanpenang@utusan.com.my

PULAU PINANG 12 April - Semua rakyat diingatkan agar mengimbaskan kembali pengalaman yang dilalui sepanjang lima tahun ini bagi menilai setiap manifesto yang 'dihidangkan' dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Gerakan negeri, Baljit Singh berkata, hanya dua manifesto yang 'dihidangkan' kepada rakyat iaitu Aku Janji Barisan Nasional (BN) dan manifesto pakatan pembangkang.

Oleh itu tegas beliau, rakyat harus tahu dan ingat bahawa aku janji BN dilakukan oleh sebuah parti di bawah satu lambang dan bukan seperti pembangkang yang terdiri daripada tiga parti berbeza fahaman politik.

"Dalam aku janji BN, diperincikan bagaimana dan bila manifesto itu akan dilaksanakan tetapi pakatan pembangkang tidak memberikan perincian terhadap manifesto mereka.

"Jadi lihat kembali apa yang berlaku sebelum ini, pelbagai alasan yang diberikan pakatan pembangkang apabila mereka gagal untuk melaksanakan manifesto sendiri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu menambah, rakyat juga harus sedar dan menilai kebolehan pembangkang yang sering memberikan tiga alasan lazim sekiranya kegagalan mereka merealisasikan manifesto dipersoalkan.

"Kalau kita lihat, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sering menuding dan menyalahkan kerajaan BN lalu dan kerajaan Pusat setiap kali tidak mampu mengotakan janji yang dibuat.

"Selain itu, pakatan pembangkang juga memberikan alasan manifesto bukan satu janji seperti yang berlaku di Selangor dan mereka juga sering menuding jari menyalahkan antara satu sama lain," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat terutamanya anak Pulau Pinang agar mengimbas kembali krisis Kampung Buah Pala yang berlaku 2008.

"Cari dan tengok kembali apa manifesto pembangkang kepada penduduk kampung berkenaan dan lihat apa yang berlaku selepas mereka menang," ujarnya.

Selain itu, Baljit juga mendesak rakyat terutamanya kaum India agar lebih berhati-hati dan jangan mudah termakan 'gula-gula' disajikan pembangkang.

"Jadikan isu Kampung Buah Pala dan Kampung Rawa sebagai contoh, tengok apa yang berlaku kepada dua kampung ini sekarang," katanya.

Pengundi Ipoh Timor rasa dikhianati Kit Siang

Posted: 12 Apr 2013 11:37 AM PDT

IPOH 12 April - Pengundi sekitar Parlimen Ipoh Timor kecewa dengan tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mereka anggap pemimpin pengecut kerana meninggalkan kawasan itu untuk bertanding di Gelang Patah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Rata-rata penduduk di kawasan tersebut yang ditemui berpendapat, tindakan Kit Siang itu sangat tidak bertanggungjawab kerana sanggup mengkhianati kepercayaan pengundi semata-mata mahu mengejar kepentingan politik.

Seorang peniaga, Pe Peng Shun, 56 berkata, sebagai pemimpin yang telah diberi peluang menjadi wakil rakyat di kawasan itu selama dua penggal, Kit Siang sepatutnya berusaha bersungguh-sungguh untuk membela nasib pengundinya.

"Kalau bukan pengundi Ipoh Timor, beliau tidak akan ada di kedudukan (politik) sekarang. Jika Kit Siang bukan seorang yang pengecut, kenapa perlu bertanding di tempat lain?

"Tindakan ini memperlihatkan yang dia tidak pernah sayang dan prihatin kepada pengundinya. Dia hanya mahu menang sahaja dan selepas menang dia tinggalkan pengundi dengan masalah mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Kit Siang yang menjadi wakil rakyat Ipoh Timur sejak 2004, baru-baru ini mengumumkan hasrat untuk bertanding di Parlimen Gelang Patah, Johor dalam usaha parti itu untuk bertapak di negeri tersebut.

Peng Shun memberitahu, dia kini berasa marah dan tidak lagi mahu mempercayai Kit Siang kerana baginya pemimpin itu sudah hilang kredibiliti di mata pengundi.

"Bayangkan sepanjang hampir 10 tahun di sini, berapa kali masyarakat di sini dapat melihatnya? Sangat jarang dan jika ada pun ketika di pasar dan pada Tahun Baru Cina. Mahu mengadu masalah pun susah," ujarnya.

Bagi Kathleen Wong, 30, pengundi di Ipoh Timur sudah mengenali sikap sebenar Kit Siang yang sering menggunakan taktik meraih simpati bagi memenangi hati pengundi.

"Dia sering beritahu pengundi, jika dia kalah dia akan bersara daripada dunia politik dan setiap kali pilihan raya, itulah cara dia meraih undi, tetapi sampai sekarang dia masih tetap aktif.

"Apabila dia menang dan orang minta bantuan alasannya DAP bukan kerajaan. Kalau begitu, kita mahu tanya, apa fungsinya sebagai wakil rakyat?" soalnya.

Sementara itu, R. Raveedran, 57, berkata, pengundi di Ipoh Timor sudah mula hilang kepercayaan kepada Kit Siang kerana pemimpin itu tidak pernah berusaha membawa pembangunan di kawasan tersebut.

"Dia hanya akan pilih kawasan yang ramai pengundi kaum Cina untuk bertanding kononnya dia yakin mereka akan terus mengundinya, tetapi jika dia pilih untuk bertanding di kawasan kampung, hayat politiknya akan berkubur," tegas Raveedran.

Sementara itu, Jamaliah Abdul Karim pula berpendapat, Kit Siang mungkin sedar dia akan kalah teruk jika bertanding di Ipoh Timor dalam pilihan raya kali ini sehingga terpaksa memilih untuk bertanding di kawasan lain.

Ahli PKR Sidam bantah Chow Kang digugur

Posted: 12 Apr 2013 11:37 AM PDT

Steven Quek (duduk, dua dari kanan) bersama penyokong parti yang membantah tindakan pucuk pimpinan yang mahu menampilkan calon baharu menggantikan Tan Joo Long @ Tan Chow Kang bagi kerusi DUN Sidam semasa sidang akhbar di Sungai Petani, Kedah, semalam.

SUNGAI PETANI 12 April - Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus dilanda kemelut apabila 20 penyokong parti menyuarakan bantahan terhadap tindakan pucuk pimpinan yang mahu menampilkan calon baharu menggantikan penyandangnya, Tan Joo Long @ Tan Chow Kang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sidam di sini.

Ketua Penyokong PKR Kedah Tengah, Steven Quek berkata, rata-rata mereka tidak bersetuju dengan tindakan menggugurkan Chow Kang daripada mewakili PKR dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Katanya, pihaknya difahamkan tempat Chow Kang akan digantikan dengan seorang profesional iaitu Dr. Robert Ling Kui Ee yang baharu menyertai parti.

"Kami membantah tindakan menggantikan penyandang sedia ada dengan orang baharu.

"Apa yang kami kesalkan ialah doktor ini baharu sahaja menyertai PKR, malah tak sampai satu tahun tetapi telah dipilih menjadi calon," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Chow Kang merupakan bekas Exco kerajaan negeri yang diberikan tanggungjawab menguruskan Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan.

Dalam pilihan raya umum 2008, beliau berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Fong Chok Gin dengan majoriti 3,618 undi.

Bagaimanapun, selepas memenangi kerusi itu, banyak pihak mengkritik latar belakang beliau yang dikatakan tidak berpelajaran tinggi, selain tidak fasih berucap dalam bahasa Melayu.

Steven berkata, langkah menampilkan doktor berkenaan sebagai calon DUN Sidam itu kurang sesuai kerana menyekat peluang PKR mempertahankan kerusi.

"Doktor ini kurang dikenali oleh penyokong PKR. Jika benar dipilih, ini mungkin memberikan kelebihan kepada lawan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah mendapatkan tanda tangan daripada 1,420 ahli dan penyokong PKR untuk membantah keputusan itu.

"Kami akan hantar bantahan secara rasmi kepada parti dan harap mereka dengar suara akar umbi," katanya.

Steven memberitahu, sebelum ini Chow Kang berjaya menunjukkan prestasi yang baik sehingga diberikan kepercayaan menjadi Exco kerajaan negeri.

"Beliau dapat bergaul mesra dengan segenap lapisan masyarakat, malah disenangi bukan sahaja orang dalam tetapi parti lawan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved