Utusan Online - Keluarga |
Posted: 08 Apr 2014 11:22 PM PDT Kisah Anis (bukan nama sebenar), 29, menanggung gangguan makhluk halus membuka minda kita betapa gangguan bersifat mistik tetap memberi kesan yang buruk kepada penanggungnya. Betapa ketika gadis seusia sedang sibuk mengejar cita-cita dan mencari jodoh, Anis pula bergelut dengan ketidakselesaan yang berlaku dalam dirinya. Bukan baharu, malah telah hampir enam tahun dirinya mengalami gangguan makhluk halus. Kehidupan Anis menjadi langsung tidak ceria apabila terlalu kerap memikirkan kematian. Untuk pengetahuan, setiap hari saya rasa sungguh teruk, dari pagi hingga malam, sampai ke tidur saya tidak pernah berasa selesa dengan keadaan diri saya. Jika di siang hari saya mudah berasa penat, sakit kepala, pening, sesak nafas, dan apabila hendak tidur rasa seakan dicekik dan apabila tidur pula saya akan bermimpi yang bukan-bukan hingga menyebabkan saya makin takut. Tidur malam tidak pernah lena, siang pula sentiasa penat," luah Anis yang berasal dari Ipoh, Perak. Tambah Anis, dia bukan tidak pernah ke hospital malah sudah melakukan pemeriksaan di empat buah hospital (dua hospital kerajaan dan dua hospital pakar swasta) yang mana pemeriksaan dilakukan dari tahap pernafasan, ujian imbasan jantung, ujian kiraan penuh darah, ujian stres dan MRI untuk menguji apa penyakit yang dialami anak sulung daripada enam beradik ini. Semua doktor mengatakan saya sihat secara fizikal, malah ada yang menyarankan saya berjumpa pakar psikiatri. Pakar tekak, hidung dan telinga pula menyarankan saya mengambil cuti dan melakukan terapi yoga. Saya bersetuju untuk berjumpa psikiatri dan melakukan sesi terapi selama 10 kali, saya merasakan kelegaan dan mengambil ubat terapi, namun selepas satu ketika perasaan itu datang kembali," imbas Anis. Tidak keruan Apa yang dialami Anis menyebabkan dirinya tidak keruan malah ketakutan dan keletihan mengganggu bukan saja emosi malah fungsi fizikalnya sama sekali. Contohnya rasa berdebar, lemah anggota badan, sakit bahu, badan, perut dan sebagainya. Apa yang menyebabkan saya mengatakan bahawa saya lebih kronik ialah, kerana penyakit ketakutan itu telah menjalar hampir ke seluruh tingkah laku saya. Saya sedar akan perubahan tersebut tapi kadangkala ketakutan dan kerisauan tersebut lebih menguasai. Cuba bayangkan, saya akan menjadi tidak selesa dan amat takut apabila melalui kawasan perkuburan, kedai membuat batu nisan, terlihat van jenazah, majlis tahlil dan apabila orang menyebut tentang kematian," katanya. Tahap yang paling kronik dia rasakan apabila mula takutkan lalat, serta bunyi cengkerik di luar rumah kerana sering mengaitkan kedua-dua perkara ini dengan kematian. Di malam hari pula, dia risau hendak tidur kerana asyik termimpikan perkara yang bukan-bukan dan apabila bangun, dia akan memerah otak memikirkan maksud ataupun alamat yang dibawa oleh mimpi-mimpi tersebut. Semua ini berlangsung selama berhari-hari dan membuatkan saya rasa semakin tidak bersemangat," kata Anis yang ditemui di sebuah pusat rawatan Islam di ibu negara. Dia datang ke tempat rawatan tersebut sambil ditemani rakannya. Setiap tempat rawatan yang dia pergi akan mengatakan bahawa dirinya diganggu oleh makhluk halus. Sukar untuk dia menerima alasan tersebut kerana dirinya memang sukar meyakini sesuatu yang bukan nampak di depan mata selain tidak akan mudah terpengaruh. Namun, setiap apa yang saya baca tentang kematian, tanda kematian atau apa saja berkaitannya, di dalam akhbar atau pun buku, perkara tersebut akan menghantui saya, dan merasakan seolah-olah perkara yang dikatakan di dalam bahan bacaan itu sedang berlaku kepada saya. Tidak semena-mena tanda-tanda itu seakan berlaku pada saya dan menambah ketakutan saya," ujarnya yang telah putus tunang semenjak penyakit misteri berlaku pada dirinya. Berhenti kerja Sejak terkena penyakit misteri iaitu ketika usianya 23 tahun, Anis sudah hampir empat kali juga berhenti kerja atau bertukar ke pekerjaan baru. Syukurlah dengan kelulusan yang dimilikinya memudahkan dia memohon sebarang pekerjaan di ibu kota. Tapi semangat kerja saya juga tidak konsisten, adakalanya saya boleh bekerja dengan baik, adakalanya saya rasa lemah selemah-lemahnya. Daripada menyusahkan kawan-kawan dan majikan saya segera mengambil keputusan berhenti kerja. Memang semua kerja yang saya pohon mudah diterima tapi dek kerana sering berhenti, akhirnya saya fikir lebih baik saya jangan bekerja lagi. Biarlah badan betul-betul sihat barulah saya boleh fikirkan tentang masa depan saya," katanya yang mengakui ada ketika rakan-rakan sepejabat memahami dan ada juga mempersendakan keadaannya. Hikmah Anis mengakui semenjak terkena gangguan makhluk halus dia berubah menjadi lebih baik. Manakan tidak, dari tidak bertudung kepada menutup aurat, begitu menjaga solat dan membaca al-Quran juga lebih kerap. Saya kini berjinak-jinak dengan solat berjemaah, solat hajat, dan sebagainya. Tetapi bisikan itu masih ada, cuma kadangkala bila saya terlalu sibuk, saya akan lupa untuk terlalu memikirkan perkara tersebut. Saya tahu, mati itu pasti, walaupun tiada persediaan, ia tetap akan berlaku. Cuma saya terlalu tertanya-tanya, bila? Bila berubat, ada kalanya saya semakin baik dan adakalanya saya menjadi semakin teruk. Apa yang saya harapkan kini ialah agar saya diberikan kekuatan menempuhi ujian dan dugaan ini, kerana bukan mudah bagi semua orang yang tidak mengalami apa yang saya alami ini memahami keadaan saya. Doakan saya sihat ya kak," pintanya. Jauh di sudut hati, saya memikirkan hikmah yang Allah beri untuk tiap musibah memang besar hingga tidak terjangkau dek pemikiran kita hamba-Nya yang lemah. Sebelum pulang saya sempat bersolat jemaah di pusat rawatan itu dan mendoakan semoga Anis dapat dibebaskan daripada belenggu gangguan dan menikmati kehidupan ini sebagaimana kebanyakan gadis seusianya, Insya-Allah. NOTA: Kepada mereka mahu berkongsi kisah untuk ruangan Pengakuan ini boleh emelkan kepada pengakuan.mega@yahoo.com |
Posted: 08 Apr 2014 11:22 PM PDT IBU bapa adalah orang pertama dan utama yang diharap untuk melindungi anak-anak mereka. Kasih sayang ibu bapa tiada sempadannya dan secara fitrahnya, ibu bapa sanggup berkorban apa sahaja untuk melindungi anak-anak mereka. Ibu bapa juga tidak akan mencederakan anaknya atau menganiaya anak-anak mereka. Ibu bapa adalah aukawalun atau pelindung kepada anak-anak. Sebagai pelindung mereka mempunyai tanggungjawab melindungi anak-anak bukan saja daripada sesuatu yang merbahaya tetapi memastikan anak-anak selamat daripada gangguan emosi. Akta Kanak-kanak 2001 sangat mesra kanak-kanak. Akta ini dalam mukadimahnya mengiktiraf: (i) Bahawa seseorang kanak-kanak bukan sahaja merupakan suatu bahagian penting masyarakat tetapi juga merupakan kunci kehidupan, pembangunan dan kemakmuran masyarakat itu. (ii) Bahawa seseorang kanak-kanak, oleh sebab ketidakmatangannya daripada segi fizikal, mental dan emosinya, memerlukan perlindungan, pemeliharaan dan bantuan khas, selepas kelahiran, untuk membolehkannya turut serta dalam dan menyumbang secara positif ke arah membentuk suatu masyarakat Malaysia madani yang unggul. (iii) Bahawa tiap-tiap kanak-kanak berhak untuk mendapatkan perlindungan dan bantuan dalam segala hal keadaan tanpa mengira apa-apa jenis perbezaan, seperti ras, warna kulit, jantina, bahasa, agama, asal usul atau kecacatan fizikal, mental atau emosi atau apa-apa status lain; (iv) Bahawa keluarga merupakan kumpulan asas dalam masyarakat yang menyediakan suasana semula jadi bagi pembesaran, penyaraan dan kebajikan semua anggotanya, khususnya kanak-kanak, supaya mereka boleh membesar dalam suasana aman, bahagia, kasih sayang dan persefahaman untuk memperoleh keyakinan penuh, maruah dan nilai diri seseorang manusia; (v) Peranan dan tanggungjawab keluarga dalam masyarakat, supaya mereka diberi bantuan yang perlu untuk membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab mereka sepenuhnya sebagai sumber pemeliharaan, penyaraan, pemulihan dan perkembangan kanak-kanak dalam masyarakat Jika dilihat kepada preamble (mukadimah) akta ini, ia jelas satu akta yang menyeluruh atau holistik yang melihat kanak-kanak sebagai insan yang perlu diberi perhatian khas dan dilindungi. Kita tahu kanak-kanak bukan saja perlu dilindungi daripada didera, dianiaya dan diabai, mereka juga perlu dilindungi daripada terdedah kepada stigma dan fitnah. Berapa ramai orang yang tahu bahawa adalah menjadi satu kesalahan jika seseorang dalam membuat laporan terhadap sesuatu kes melibatkan kana-kanak, menamakan kanak-kanak tersebut atau menunjukkan gambarnya atau menunjukkan ahli keluarganya yang menyebabkan orang akan tahu identiti kanak-kanak tersebut. Ini dapat dilihat dalam seksyen 15 yang berbunyi: (1) Walau apapun mana-mana undang-undang bertulis yang berlawanan, apa-apa laporan media massa mengenai:- (a) Apa-apa langkah yang diambil terhadap seseorang kanak-kanak yang terlibat atau berupa sebagai terlibat dalam apa-apa perbuatan atau peninggalan jenayah, sama ada langkah-langkah itu pada peringkat sebelum perbicaraan, perbicaraan atau selepas perbicaraan; (b) Mana-mana kanak-kanak yang berkenaan dengannya jagaan diambil di bawah Bahagian V; (c) Mana-mana kanak-kanak yang berkenaan dengannya mana-mana kesalahan yang dinyatakan dalam Jadual Pertama telah atau disyaki telah dilakukan; atau (d) Mana-mana prosiding di bawah Bahagian VI,tidak boleh mendedahkan nama, alamat atau institusi pendidikan, atau memasukkan apa-apa butir yang direncanakan untuk membolehkan dikenal pasti mana-mana kanak-kanak yang terlibat sedemikian sama ada sebagai orang yang terhadapnya atau yang berkenaan dengannya tindakan sedang diambil atau sebagai seorang saksi dalam tindakan itu. (2) Gambar:- (a) Mana-mana kanak-kanak yang terlibat dalam mana-mana perkara yang disebut dalam subseksyen (1); atau (b) Mana-mana orang, tempat atau benda lain yang mungkin membolehkan dikenal pasti mana-mana kanak-kanak yang terlibat sedemikian, tidak boleh disiarkan dalam apa-apa akhbar atau majalah atau disampaikan melalui apa-apa perantara elektronik. (3) Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, dalam apa-apa kes:- (a) Boleh, jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu berpuas hati bahawa adalah demi kepentingan keadilan untuk berbuat demikian; dan (b) Hendaklah, dalam hal sesuatu permohonan oleh atau dengan kebenaran Pelindung, mengetepikan kehendak seksyen ini setakat yang difikirkan suai manfaat oleh Mahkamah. (4) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) atau (2) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. (5) Bagi maksud seksyen ini, menyampaikan" termasuklah menyiarkan melalui radio atau televisyen. Seksyen 15 jelas menunjukkan bahawa kanak-kanak yang dianiaya, yang hendak dijadikan anak angkat atau penjagaannya direbutkan, menjadi saksi, yang melakukan jenayah atau ahli keluarganya didakwa melakukan jenayah tidak boleh dikenali secara terbuka. Radio, televisyen, surat khabar atau media massa atas talian atau kertas semua dilarang mengambil gambar kanak-kanak tersebut. Mereka perlu dilindungi kerana mereka adalah mangsa. Mana-mana orang yang melanggar peruntukan seksyen 15 boleh dikenakan denda tidak melebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun. Namun jika diamati, tiada satu kes pun yang pernah kita lihat akhbar, televisyen atau radio didakwa menyiarkan nama atau gambar kanak-kanak yang terlibat seperti di atas. Dari semasa ke semasa, akhbar dan televisyen tersiar" gambar kanak-kanak atau keluarganya yang mana identiti kanak-kanak tersebut boleh dikenali. Dalam kes penderaan kanak-kanak yang dilakukan oleh ibu bapa atau penjaganya, maka sebenarnya identiti ibu atau bapa atau penjaga tidak boleh disiarkan kerana ia boleh membawa kepada identiti kanak-kanak tersebut. Bayangkan dalam kes sumbang mahram di mana seorang bapa merogol anak perempuannya sendiri, di mana bapa itu didakwa dan namanya disiarkan. Tentulah jiran tetangga atau sahabat handai yang mengenali keluarga itu mengetahui mangsa dan masa depan mangsa sangat kelam jika umum mengetahui zaman silamnya. Kanak-kanak yang dirogol atau dicabul bukan sahaja mengalami trauma tetapi mengalami stigma, walaupun ia hanya seorang mangsa yang tidak pernah meminta untuk dirogol oleh ayahnya. Sama juga dengan seorang anak yang didera oleh ibu bapanya. Apabila ia diselamatkan dan ibu bapa akan didakwa, sudah tentu ia mengalami gangguan emosi kerana dia adalah penyebab ibu bapanya dipenjarakan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan