Rabu, 9 April 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Kampung Desa Aman tidak aman

Posted: 08 Apr 2014 11:59 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

KEGIATAN mengangkut pasir di kawasan berhampiran landasan kereta api menimbulkan kebimbangan penduduk di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh semalam. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ

KUALA LUMPUR 8 April - Situasi di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh dekat sini boleh dikatakan sudah tidak aman.

Ini ekoran dakwaan penduduk bahawa beberapa kawasan yang dipercayai tanah rezab Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) di perkampungan itu menjadi lokasi kegiatan perniagaan oleh pihak tertentu sejak kebelakangan ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di perkampungan itu di sini hari ini mendapati, ada kegiatan mengangkut pasir dijalankan hanya beberapa meter dari landasan kereta api sekkali gus mengundang bahaya kepada para penumpang KTM Komuter yang melalui kawasan itu.

"Penduduk yang menggunakan jalan di kawasan berkenaan turut berdepan risiko kerana jentera-jentera berat digunakan untuk mengisi pasir ke dalam lori.

"Bayangkan, jika seketul batu tercampak ke atas landasan kereta api ekoran kerja-kerja memunggah pasir, pastinya akan mengakibatkan kerosakan kereta api atau paling buruk kemalangan," kata seorang penduduk yang enggan dikenali ketika ditemui di sini.

Katanya, terdapat juga premis lain yang menjalankan perniagaan menjual pasu bunga, semaian bunga dan bahan binaan di bawah pencawang elektrik dan situasi itu boleh mendatangkan bahaya jika tidak dipantau oleh pihak berkuasa.

"Saya kecewa kerana tanah yang terletak berdekatan landasan kereta api dan pencawang elektrik dijadikan lokasi untuk membuka perniagaan.

"Penduduk rasa kurang selesa dengan kehadiran lori dan kenderaan berat serta pelbagai risiko yang mungkin berlaku pada masa depan," katanya.

Menurutnya, puluhan kenderaan yang keluar masuk ke kawasan itu juga menyukarkan penduduk ketika melalui sebuah terowong sempit yang merupakan laluan utama ke kawasan tersebut.

Katanya, dia kecewa kerana tiada pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk pihak yang bertanggungjawab terhadap pencawang elektrik dan landasan kereta api di kawasan itu.

"Kenapa pihak TNB dan KTMB tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap individu yang menjalankan perniagaan sesuka hati di tanah rezab mereka," katanya.

Sementara itu, pihak TNB ketika dihubungi berkata, mereka akan menjalankan siasatan terhadap aduan penduduk terbabit.

Jalan tidak rata, berlubang

Posted: 08 Apr 2014 11:59 AM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com

masalah jalan yang berlubang dan tidak rata dan terdapat sisa konkrit sudah berlaruan sejak sekian lama di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 8 April - Bukan setahun dua, tetapi sudah bertahun-tahun pengguna jalan raya di sekitar Jalan Chan Sow Lin, di sini terpaksa berhadapan dengan jalan rosak dan berlubang.

Masalah itu seakan-akan tiada penghujungnya dan pengguna semakin bosan kerana biarpun jalan sudah diturap, ia kembali rosak malah kadangkala lebih teruk lagi.

Mereka mendakwa, kerja-kerja turapan yang dilakukan tidak sempurna, seolah-olah seperti melepaskan batuk di tangga.

Turut menjadi punca masalah itu adalah kenderaan berat yang menjadikan kawasan itu sebagai laluan utama dan sering memuntahkan sisa konkrit di atas jalan raya.

Tinjauan Utusan Malaysia di sepanjang Jalan Chan Sow Lin baru-baru ini mendapati, masalah jalan rosak bagaikan sudah sebati bagi kebanyakan pengguna terutama pekerja di kilang dan pejabat berhampiran.

Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan jalan tersebut mempunyai kesan yang baru diturap, tetapi tidak sempurna.

Difahamkan, kerja-kerja menggorek dan menimbus jalan oleh syarikat utiliti sering dilakukan di kawasan berkenaan.

Disebabkan kelemahan pemantauan dan penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam memastikan kerja-kerja penurapan, keadaan jalan bertambah teruk.

Keadaan diburukkan lagi dengan tumpahan sisa konkrit yang berselerak di permukaan jalan.

Situasi yang berlarutan walaupun pernah disiarkan oleh media, menyebakan kebimbangan kerana ia bukan sahaja boleh merosakkan kenderaan tetapi juga menyebabkan kemalangan.

Jika musim hujan, banjir akan berlaku di kawasan terbabit. Begitu juga dengan musim kemarau yang akan menyebabkan kawasan itu dipenuhi habuk dan debu sehingga mengganggu penglihatan penguna jalan raya.

Selain itu, tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di persimpangan Jalan Tiga, Chan Sow Lin di sini turut menjejaskan imej kawasan itu.

Utusan Malaysia difahamkan, longgokan sampah itu dibuang oleh peniaga di kawasan berhampiran. Perbuatan itu dilakukan pada waktu malam selepas operasi perniagaan mereka tamat.

Difahamkan, kedegilan peniaga membuang sampah di situ disebabkan kurangnya pemantauan oleh DBKL.

Biasanya selepas kerja-kerja pengutipan dan pembersihan dilakukan Alam Flora Sdn. Bhd., (Alam Flora), longgokan sampah akan kembali membukit sekali gus menyebabkan bau busuk.

Sewajarnya, tindakan penguatkuasaan dilakukan oleh DBKL bagi mendisplinkan mereka agar tidak mengulangi perbuatan membuang sampah sesuka hati.

Pengguna mahu DBKL pantau, bertindak segera

Posted: 08 Apr 2014 11:59 AM PDT

KUALA LUMPUR 8 April - Rata-rata pengguna jalan raya terutama mereka yang bekerja di sekitar Jalan Chan Sow Lin, di sini mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan pemantauan berterusan seterusnya mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menjadi penyebab kerosakan jalan di kawasan itu.

Seorang pekerja,M. Alosamy, 63, berkata, tindakan itu bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

Menurutnya, kerosakan jalan di sini benar-benar mengancam keselamatan, ditambah pula dengan pemilik kenderaan yang suka meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan sehingga menyesakkan lagi jalan di situ.

"Apabila tiba musim hujan, jalan di sini sering dilanda banjir kilat dan ini mengundang bahaya kepada mereka," katanya.

Tambahnya, dia tidak menafikan pihak DBKL sering memperbaiki jalan di kawasan itu, namun sampai bila tindakan perlu diambil.

"Ia bukan sahaja membazirkan wang DBKL, malah memberi gambaran pihak berkuasa itu tidak tegas dalam menangani masalah ini," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga kedai runcit, K.R. Vadiveloo, 73, tidak menolak kejadian banjir kilat dikawasan itu disebabkan longkang tersumbat akibat tumpahan sisa konkrit dan pasir.

Katanya, terlalu sukar untuk melihat jalan di sini sempurna mememandangkan kawasan itu dipenuhi kilang.

"Bagaimanapun sebagai warga kota, kita berhak untuk mendapat jalan raya yang baik dan sempurna.

"Keadaaan ini bukanlah suatu perkara baharu kepada mereka yang sering menggunakan laluan ini kerana tumpahan pasir yang banyak tanpa disedari pemandu lori," katanya.

Pandangannya turut dipersetujui, seorang pekerja di kawasan berkenaan, Iskandar Mohd. Taib, 32.

Katanya, pelbagai insiden melibatkan penunggang motosikal sering dilihatnya ekoran keadaan jalan di situ.

"Kes seperti kereta yang tayarnya pecah juga pernah berlaku dan jalan rosak ini terjadi sejak lebih kurang 10 tahun lalu. Mungkin aduan kurang diterima DBKL menyebabkan kawasan kilang dan pejabat ini menghadapi masalah tersebut," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved