Khamis, 17 Oktober 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Shukor idam final kelapan

Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Shukor Adan

KUALA LUMPUR - Jika ditanya siapakah pemain era ini yang paling banyak beraksi di pentas akhir Piala Malaysia, mungkin ramai yang tidak sedar bahawa ia menjadi milik pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Shukor Adan yang telah bermain sebanyak tujuh kali sejak tahun 2000.

Empat kali bersama Negeri Sembilan dan tiga bersama Selangor, tahun ini pasti menjadi satu pentas berbeza buat anak jati Melaka ini seandainya dia mampu membawa ATM mara ke perlawanan akhir kerana akan menjadi pasukan ketiga diwakilinya dalam lapan pentas tertinggi Piala Malaysia.

Impian itu tidak mampu diselindungkan lagi oleh pemain yang seangkatan dengan Hairuddin Omar ini, sambil berazam akan mencurahkan segala pengalaman yang ada bagi membantu ATM menjinakkan juara bertahan, Kelantan pada saingan separuh akhir kali ini.

Ditambah usia semakin menghampiri pertengahan 30-an, Shukor tidak rela melepaskan peluang yang sudah terhidang di depan mata bagi menambahkan lagi koleksi kejuaraan Piala Malaysia buat kali kelima dalam kariernya.

''Setakat ini saya telah beraksi tujuh kali pada perlawanan akhir Piala Malaysia dan menang empat daripadanya, jadi sudah tentu saya mahu mencipta rekod tersendiri dalam kalangan pemain tempatan di abad ini dengan melakukan penampilan kali kelapan.

''Ini adalah satu peluang keemasan untuk menambah koleksi kejuaraan dan paling penting menjadi trofi pertama saya bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang saya baru wakili tahun ini.

''Jika saya mampu membawa pulang Piala Malaysia bersama ATM, ini akan menjadi detik penuh bermakna kerana akan menjadi kemenangan kali pertama buat pasukan dan saya tidak mahu ketinggalan untuk berada daripada sebahagian lipatan sejarah, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Walaupun begitu, tugas berat perlu dipikul oleh Shukor dalam dua perlawanan timbal balik separuh akhir kerana kehilangan rakan baiknya di bahagian pertahanan, Amirizdwan Taj Tajudin yang digantung selepas mendapat kad merah pada perlawanan terakhir ketika menentang LionsXII.

Norfazly Alias bakal menjadi pengganti kepada Amirizdwan di bahagian pertahanan tengah, namun Shukor yakin dengan kemampuan yang ada pada bekas pemain T-Team itu untuk mengekang asakan 'menggila' Kelantan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

''Kalau kita lihat Amirizdwan baru-baru ini ketika menentang Bahrain, dia memang seorang pemain pertahanan yang berkualiti dan ketiadaannya pasti dirasai, tetapi Norfazly yang akan beraksi nanti mampu memikul tanggungjawab dengan baik.

''Tidak dinafikan ramai akan berikan tumpuan kepada Dickson (Nwakaeme) yang saya anggap buat masa ini antara pemain import terbaik yang ada dalam saingan Liga Malaysia, " katanya.

The Red Warriors pasang jerangkap samar

Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Debaran separuh akhir Piala Malaysia bakal bermula malam ini dengan ulangan final musim lalu antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang menjadi aksi sulung dalam perlawanan yang disifatkan umpama 'buku bertemu ruas'.

ATM dibarisi beberapa pemain 'kuda tua' namun kaya dengan pengalaman, sementara Kelantan mempunyai sebuah skuad yang seimbang daripada segenap aspek, menjadikan perlawanan yang bakal bermula 8.45 malam ini pasti mendebarkan untuk ditonton.

Di atas kertas, Kelantan nampaknya dilabel sebagai pasukan pilihan selepas menjinakkan Johor Darul Takzim (Johor DT), 6-1 pada suku akhir kedua tetapi pengendali Kelantan, Bojan Hodak tidak rela anak-anak buahnya lena dibuai mimpi memandangkan ATM bukanlah calang-calang pasukan.

Tiada istilah mendabik dada dengan keputusan itu, sambil mengingatkannya ia sudah menjadi satu sejarah dan mereka kini hanya meletakkan fokus bagi menghadapi ATM dengan mencari bekalan yang selesa ke Kota Bharu.

"ATM sebuah pasukan yang kuat. Mereka memiliki rangkaian pemain hebat seperti Marlon Alex James, Hairuddin Omar dan beberapa lagi. Selain itu kelebihan beraksi di tempat sendiri pasti melonjakkan lagi semangat mereka untuk menumpaskan Kelantan pada perlawanan ini.

"Begitupun kita sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi perlawanan ini. Kekuatan mental dan pengalaman beraksi di saingan tertinggi memberikan kelebihan buat Kelantan," katanya.

Beliau akan menurunkan barisan terbaiknya bagi memastikan ATM berputih mata di laman sendiri, sambil mengingatkan senjata utama mereka, Dickson Nwakaeme bakal mengkucar-kacirkan kubu The Gladiators.

Rakan sejawatnya, B. Sathianathan, pula tidak mahu menjadikan rekod kemenangan di Kota Bharu pada saingan Liga Super sebagai modal yang mereka boleh mengalahkan The Red Warriors, sambil bermain psikologi yang Kelantan mempunyai banyak kelebihan untuk menang.

''Semasa kita mengalahkan Kelantan dahulu, mereka tengah mengalami kemerosotan prestasi tetapi mereka sebuah pasukan yang berbeza sekarang ditambah dengan keyakinan cukup tinggi selepas mengalahkan Johor DT, 6-1.

''Mereka juga sebuah pasukan yang cukup sinonim dengan pentas Piala Malaysia semenjak tahun 2009 kerana sering kali mampu mara ke perlawanan akhir, jadi sudah tentu kelebihan di pihak mereka.

''Perkara yang paling sukar untuk dilakukan sudah tentu mahu mengawal Dickson Nwakaeme kerana apa yang saya perhatikan semasa perlawanan di Johor, dia cukup mudah mengatasi 4-5 pemain dengan begitu sahaja, " katanya yang ditemui selepas latihan pasukan ATM di TUDM Subang, semalam.

Bermain di Selayang, Sathianathan mengharapkan tuah akan berpihak kepada mereka kerana pemainnya jelas begitu bersemangat tiap kali beraksi di sana berbanding Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

''Daripada segi mental, pemain saya cukup selesa bermain di Selayang kerana sering kali mampu mencatatkan kemenangan apabila bertemu dengan mana-mana pasukan, jadi saya harap mereka tidak mensia-siakan kesempatan yang diberikan, " katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved