Utusan Online - Johor |
Tingkat kelancaran trafik di CIQ Posted: 16 Oct 2013 11:30 AM PDT Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY Deretan kenderaan warga Singapura yang penuh sesak memasuki pusat CIQ melalui Tambak Johor ke pusat bandar raya Johor Bahru sempena cuti, baru-baru ini. - GAMBAR HIASAN JOHOR BAHRU 16 Okt. - Dalam usaha meningkatkan jumlah pelancong asing masuk ke negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, salah satu perkara yang penting untuk diambil kira adalah kelancaran di pintu sempadan negara, khususnya di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar di sini. Namun, ramai pemandu teksi kereta sewa yang membawa penumpang berulang-alik menyeberangi Tambak Johor memaklumkan bahawa mereka sering menerima aduan pelancong tentang kesesakan yang dikatakan berpunca ekoran kelewatan proses Imigresen di CIQ dan tiada pengawasan trafik. Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Tuan-Tuan Punya Teksi Kereta Sewa Johor Bahru ke Singapura, A. Wahab Hashim berkata, satu atau dua lorong di pemeriksaan Imigresen selalu ditutup, malah hanya beberapa kaunter sahaja yang dibuka di lorong-lorong lain. "Saya pun tidak tahu sistem yang digunakan mereka, kita mengadakan pertemuan dan mesyuarat setiap tahun dengan pihak pengurusan CIQ tetapi setakat ini seperti 'mencurah air ke daun keladi'. Menambah lagi kelewatan proses adalah perkhidmatan tambah nilai touch n go sedangkan di Singapura dibuat di stesen-stesen minyak. "Tidak guna belanja banyak untuk CIQ jika kelancaran di kemudahan yang lama lebih pantas berbanding sekarang. Waktu puncak pukul 5 pagi hingga 9 pagi pun banyak kaunter tidak dibuka dan sejak tiga bulan kebelakangan ini lebih teruk kesesakan di CIQ," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. A. Wahab memberitahu, ahlinya bergantung kepada kekerapan pergi dan balik dari Singapura dan masalah kesesakan di CIQ turut menjejaskan mata pencarian mereka. Namun katanya, perkara yang paling penting adalah kepuasan penumpang tiba ke destinasi yang sepatutnya hanya 45 minit untuk kedua-dua arah kerana persatuan telah beberapa kali ditegur pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang menerima aduan kelewatan daripada pelanggan. "Bagaimana kami pula yang dipersalahkan, sedangkan kelancaran di CIQ bergantung kepada kelancaran Imigresen dan kawalan trafik. Pihak Imigresen di Singapura perlu dicontohi kerana walaupun menjalankan pemeriksaan yang ketat, trafik tetap lancar, tetapi di sebelah kita pula sebaliknya," katanya. Antara masalah lain yang dihadapi ialah tindakan pemandu lori yang memotong barisan kenderaan terutama kenderaan berat kerana sebuah treler yang berbuat demikian sudah cukup untuk menyebabkan kesesakan sehingga ke Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB). |
Bentuk keluarga kukuh berasaskan kasih sayang Posted: 16 Oct 2013 11:30 AM PDT Anuar Abdul Manap (dua dari kiri) ketika menghadiri Majlis Perasmian Penutup Program Mesra Sakinah di Dewan Serbaguna Kampung Paya Pulai dekat Segamat, baru-baru ini. SEGAMAT 16 Okt. - Golongan ibu bapa kini berdepan cabaran besar berikutan terpaksa bekerja bagi memenuhi tuntutan kehidupan sehingga ada antara mereka yang terlepas pandang untuk membentuk ikatan kekeluargaan yang kukuh berasaskan kasih sayang. Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap berkata, Program Mesra Sakinah yang dilaksanakan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) merupakan satu usaha yang sesuai dalam menangani masalah keruntuhan akhlak dan kerapuhan institusi keluarga. "Menerusi program ini, ibu bapa didedahkan dengan pelbagai ilmu termasuk bagaimana institusi keluarga yang kukuh dapat dibentuk melalui kemesraan dan kasih sayang bersandarkan ajaran agama Islam selain dapat memupuk sikap bertanggungjawab membina sahsiah anak-anak. "Di samping itu, program ini turut menggalak dan merangsang masyarakat untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti sosial dan sukarela serta membentuk pemikiran yang lebih positif dalam kalangan mereka," katanya semasa menutup Program Mesra Sakinah Palimen Sekijang di sini baru-baru ini. Beliau berkata, pengaruh budaya luar dan persekitaran negatif tanpa pandu arah daripada keluarga antara punca golongan remaja semakin tersasar serta meninggalkan nilai-nilai murni menyebabkan berlakunya masalah sosial yang perlu ditangani dengan segera oleh semua pihak. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan