Isnin, 7 April 2014

Utusan Online - Agrobiz


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Komitmen Bernas

Posted: 06 Apr 2014 11:10 PM PDT

PADI yang di proses dan di asingkan daripada benda asing dalam bekas mengayak bagi menentukan kualitinya.

MUSIM menuai semakin hampir namun kebelakangan ini pelbagai rungutan pesawah berhubung harga padi pasti kedengaran lantang mempersoalkan potongan harga yang dilakukan Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) atau pengilang terhadap hasil tuaian mereka yang dihantar untuk tujuan jualan. Semenjak usaha menghasilkan padi bermutu yang standard, ada dalam kalangan pesawah mendakwa mereka tidak pernah dimaklumkan mengenai standard pemutuan tinggi yang dikenakan ke atas hasil keluaran mereka.

Jika dicongak, setelah ditolak kadar pemutuan yang tinggi oleh Bernas mahupun pengilang, pesawah sebenarnya tidak memperoleh apa-apa faedah daripada insentif yang telah diluluskan malah pendapatan mereka tambah terjejas.

Rata-rata pesawah pada masa kini memperoleh pendapatan di peringkat cukup makan.

Selain terpaksa menanggung kos upah yang tinggi, pesawah sentiasa berhadapan dengan risiko serangan pelbagai penyakit dan musuh tanaman, bencana alam dan sebagainya.

Justeru, Bernas sering dipersoal mengenai tujuan sebenar mengenakan pemutuan tinggi berbanding sebelum ini pada kadar 16 hingga 18 peratus yang masih boleh diterima oleh semua petani seluruh negara.

Dalam usaha memberikan penjelasan mengenai cara dan kaedah serta memberi jawapan mengapa Bernas mengenakan pemutuan tinggi terhadap pesawah, satu sesi taklimat khusus telah diadakan di Kilang Beras Bernas Sekinchan, Selangor bagi membantu masyarakat memahami proses pemutuan padi sejajar dengan saranan kerajaan.

Menurut Ketua Jabatan Pengurusan Ladang Bernas, Abdul Razak Abdullah, Bernas sentiasa melakukan analisis ke atas padi yang dihantar oleh pesawah bagi tujuan penggredan sekali gus melalui beberapa proses pemutuan untuk memperoleh beras bermutu tinggi.

Analisis dan proses itu juga turut mengkaji mutu sebenar padi yang dibeli oleh kilang di samping dapat menentukan harga yang perlu dibayar kepada petani berdasarkan kualitinya.

Beberapa faktor diambil kira untuk menggred atau mengelaskan padi seperti ukuran, kerosakan, kematangan, benda asing dan wap basah.

Faktor-faktor tersebut diambil kira bagi memastikan padi yang kami peroleh benar-benar bermutu dan layak untuk dipasarkan kepada masyarakat," katanya pada sesi taklimat di Kilang Beras Bernas di Sekinchan baru-baru ini.

Tambahnya, padi rosak dikategorikan sebagai beras perang, beras patah, hampa berat atau hampa ringan. Sementara padi tidak matang merupakan padi yang muda kenyal atau muda cair.

Kategori benda asing pula menjurus kepada batang padi, rumpai sambau, serangga, tangkai padi, habuk, tanah, batu dan kayu, manakala wap basah perlulah tidak melebih 14 peratus.

Manurut Abdul Razak, sampel akan diambil daripada populasi yang terdapat pada lori yang mengangkut atau longgokan atas lantai menggunakan peroba, pembahagi mekanikal atau bekas sampel.

Jika sampel padi diambil menggunakan peroba, kira-kira 400 gram padi akan dijadikan sampel untuk tujuan penggredan.

Setelah sampel diperoleh, ia akan dihantar ke makmal untuk pemeriksaan isi kandungan padi sekali gus menentukan harga yang akan dibayar kepada petani berdasarkan kualiti padi yang dijual.

Peralatan seperti pengukur wap basah, pengayak, pengukur mikro dan penimbang digital digunakan alam memastikan padi yang diperoleh benar-benar bermutu tinggi.

Khazanah dunia di Bukit Tawau

Posted: 06 Apr 2014 11:10 PM PDT

LANDSKAP menarik menunggu kehadiran pengungjung di Taman Bukit Tawau.

Jika anda melihat tiga puncak gunung yang terletak berdekatan antara satu sama lain di daerah Tawau, Sabah maka anda telah menemui arah ke Taman Bukit Tawau (TBT) yang kaya dengan khazanah rimbanya.

Puncak Gunung Magdalena, Gunung Maria dan Gunung Lucia berkongsi lokasi untuk menjadi puncak penanda TBT yang diwartakan pada 7 Mei 1979 dan telah menarik kehadiran pelancong yang cintakan alam sekitar.

TBT, yang terletak kira-kira 24 kilometer dari bandar Tawau adalah antara tiga taman daratan (terrestrial park) yang popular di Sabah selain Taman Banjaran Crocker dan Taman Kinabalu.

TBT mempunyai topografi bumi berbukit bukau dengan ketinggian antara 30 meter hingga 1,310 meter dari paras laut dan turut berfungsi sebagai kawasan tadahan membabitkan kawasan seluas 28 hektar.

Lokasi tertinggi TBT ialah puncak Gunung Magdalena setinggi 1,310 meter manakala puncak Gunung Lucia setinggi 1,189 meter dan Gurung Maria setinggi 1,067 meter.

Bagaimanapun hanya Gunung Lucia yang dibenarkan untuk kegiatan pendakian manakala dua gunung lagi tidak dibenarkan untuk kegiatan itu atas faktor keselamatan.

Tiga gunung berkenaan terbentuk daripada kegiatan gunung berapi, yang kini tidak lagi aktif, sekali gus banyak membantu menghasilkan kawasan hutan dengan tanah jenis volkanik yang amat subur dan kaya dengan nutrien.

Faktor ini membantu mewujudkan kepelbagaian flora termasuk 200 spesies orkid, 83 spesies paku pakis, 65 spesies halia hutan, 63 spesies keladi dan tiga spesies periuk kera.

Ini dijelaskan oleh Pembantu Penyelidik Taman Negeri Sabah, William Dius, 33, ketika memberi taklimat kepada anggota rombongan Kembara Rakan Alam Sekitar anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Sumber Asli dan Alam sekitar baru-baru ini.

Khazanah dunia

Paling menarik TBT juga menyimpan khazanah dunia yang menakjubkan iaitu sebatang pokok Seraya Kuning Siput yang adalah pokok tropika tertinggi di dunia selain pokok tertinggi di Asia.

Pokok balak setinggi 88.32 meter itu menjadi tumpuan pelawat walaupun amat sukar untuk melihat keseluruhan pokok itu sehingga puncaknya kerana dilindungi pokok lain di kelilingnya.

Ia adalah satu-satunya pokok tertinggi di dunia yang terdapat di negara ini daripada 10 batang pokok tertinggi yang ditemui manakala selebihnya terdapat di California dan Tasmania.

Ketinggiannya yang kali terakhir diukur pada 2006 meletakkan pokok dengan nama saintifik 'Shorea Faguetiana Heim' itu diisytiharkan para saintis berada di tempat kelapan daripada senarai 10 pokok tertinggi dunia.

Untuk mendekati pokok raksaksa yang menjadi kebanggaan penduduk Sabah itu, para pelawat boleh mengikuti denai yang disediakan sehingga tiba di lokasi pokok itu.

Pokok itu menjadi antara lokasi bergambar paling popular di TBT bagi para pelawat.

Sebuah pelantar dibina di pinggir pokok yang berbanir besar itu dan papan informasi mengenai pokok itu turut disediakan bagi kemudahan pengunjung.

Pokok yang usianya tidak dinyatakan itu mendapat nama Seraya Kuning Siput kerana ia juga menghasilkan damar (resin) yang apabila mengeras, ia kelihatan seperti siput.

Damar adalah hasil hutan yang sangat penting kepada para penduduk zaman silam kerana ia digunakan sebagai bahan bakar terutama untuk menerangi kegelapan malam.

Air terjun yang indah

TBT juga mempunyai kawasan air terjun yang terhasil daripada sungai dan anak sungai yang sentiasa mengalirkan air di dalamnya dan antara yang sering dikunjungi pelawat ialah air terjun Table, air terjun Gelas dan air terjun Lucia.

Untuk kemudahan pengunjung, taman itu turut menyediakan rangkaian laluan denai untuk kemudahan pelawat ke kawasan air terjun atau kolam air panas yang terletak kira-kira satu jam perjalanan dari pintu masuk utama.

Sejajar dengan fungsinya sebagai Taman Negeri, TBT juga mempunyai kemudahan pusat penyelidikan dan pemuliharaan koleksi tumbuhan dengan mewujudkan sebuah kebun botani sejak 1999.

Dius berkata, pihaknya juga mewujudkan Galeri TBT yang antara lain mempamerkan pelbagai barangan rampasan daripada penceroboh taman itu seperti kapak, lembing, tali jerat, bubu, rantai gergaji, mercun dan panah.

Beliau berharap galeri itu akan memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap kesan buruk kegiatan pencerobohan hutan di kawasan TBT selain kekerapan rondaan bagi menangani kegiatan itu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved