Isnin, 7 April 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Diesel bersubsidi...alahai!

Posted: 07 Apr 2014 12:29 PM PDT

Oleh Zulkifli Jalil

Kapal Sibu Satu yang ditahan Pasukan Polis Marin Wilayah Dua berhubung kes penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah tapak pemunggahan di Sungai Lepau, Pengerang, Kota Tinggi, Johor, hujung tahun lalu.

KERAJAAN terutama agensi-agensi berkaitan termasuklah Jabatan Peguam Negara perlu lakukan sesuatu.

Memang amat mengejutkan apabila didedahkan oleh seorang pegawai kanan sebuah kementerian Jumaat lalu bahawa sejumlah RM1.2 bilion kerugian terpaksa ditanggung negara akibat sindiket penyeludupan petrol dan diesel bersubsidi. Tidak kiralah tempoh kerugian itu memakan masa lima tahun ke, atau setahun ke, pokoknya - rugi besar.

Malah, jelas Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Iskandar Halim Sulaiman lagi, peruntukan RM4.03 bilion untuk subsidi diesel pada 2010 sudah meningkat lebih dua kali ganda kepada RM9.92 bilion pada tahun lepas sahaja.

Itu belum termasuk lagi insiden penyeludupan dalam empat bulan pertama 2014 ini. Kalau diambil kira kes-kes penyeludupan diesel bersubsidi yang tidak ada pasang surutnya' ini, penulis percaya, malah cukup yakin angka peruntukan untuk subsidi diesel ini akan bertambah sekali ganda lagi. Mungkin tidak perlu menunggu masa lima tahun. Tahun ini sahaja, kita boleh saksikan peningkatan ini.

Penulis difahamkan, isu ketirisan membabitkan penyelewengan diesel bersubsidi dan rasuah ini sudahpun berada dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2009 lagi. Banyak operasi membabitkan siasatan dan risikan bagi menangani kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi digerakkan. Tetapi kian menjadi-jadi pula.

Di Pelabuhan Kuantan, Tanjung Gelang pada Sabtu lalu berulang kejadian serupa. Kira-kira 1.34 juta liter diesel bersubsidi yang cuba diseludup ke luar negara telah dirampas.

Semua pihak, daripada bahagian penguatkuasa KPDNKK, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sehinggalah SPRM cukup maklum apa yang berlaku ketika ini. Di satu lokasi di sebuah perkampungan nelayan Februari tahun ini, terdapat sindiket menyeleweng lebih 900,000 liter diesel bernilai kira-kira RM1.2 juta dalam tempoh lima bulan.

Selain menikmati diesel subsidi, mereka juga dikatakan membuat pengisytiharan palsu jumlah ikan yang didaratkan bagi mendapatkan insentif 10 sen bagi setiap kilogram.

Siasatan awal mendapati aktiviti pemalsuan butiran tersebut dipercayai didalangi empat sindiket utama bagi mendapatkan bekalan diesel subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada nelayan berdasarkan jumlah tangkapan ikan. Nelayan dipercayai tidak turun ke laut untuk menangkap ikan. Tetapi memanipulasi sistem dengan memberikan resit mengandungi butiran pendaratan ikan palsu bagi mendapatkan diesel bersubsidi.

Had kuota diesel dilaksanakan pada 2005 dipercayai bertujuan mengelakkan aktiviti jual beli diesel subsidi kereta kepada diesel industri yang masing-masing berharga RM1.80 dan RM2.65 seliter. Diesel subsidi untuk nelayan pula adalah pada RM1.20 seliter.

Had kuota setiap stesen pula berbeza di antara satu stesen minyak dengan stesen lain dan ditentukan dengan jualan purata bulanan adalah di antara 80,000 hingga 400,000 liter sebulan. Ada di antara stesen yang diberi kuota sebanyak 600,000 liter sebulan. Jumlah diesel tersebut kemudian akan dibahagikan dengan jumlah hari dalam sebulan.

Perbezaan sebanyak RM0.80 seliter berbanding pemandu kereta dan RM1.45 berbanding diesel subsidi nelayan ini memberi peluang kepada mereka yang jahat ini mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menjual bekalan diesel mereka kepada pengusaha industri.

Had jualan diesel adalah berbeza dan bergantung kepada jenis kereta. Misalnya, kereta biasa seperti pacuan empat roda mempunyai kapasiti tong minyak sebanyak 70 liter, maka had jualan adalah kurang daripada jumlah tersebut. Untuk bas dan lori, had jualan adalah kurang dari 200 liter.

Namun, permintaan bekalan diesel yang tinggi ketika ini menyebabkan jumlah jualan diesel tersebut menurun kepada 30 liter untuk memberi peluang kepada pengguna lain membeli. Kejadian jual beli diesel berleluasa ketika kerajaan mengumumkan tidak akan lagi memberi subsidi kepada pengusaha industri.

Permintaan tinggi termasuklah bagi menampung keperluan tinggi kapal-kapal antarabangsa dari segi kuantiti dan harga bagaikan suatu rangsangan' kepada kegiatan penyeludupan diesel. Kewujudan jeti-jeti haram yang tidak berdaftar dengan agensi-agensi berkaitan juga penyumbang kepada penyeludupan barangan kawalan ini.

Tambah lagi, perbezaan harga di negara jiran serta penguatkuasaan yang lemah, memudahkan kegiatan penyeludupan ini dijalankan. Ini khususnya di kawasan-kawasan seperti Padang Besar dan Wang Kelian di Perlis; Durian Burung dan Bukit Kayu Hitam di Kedah; Bentong di Perak dan Golok di Kelantan. Dekat sempadan merentasi Singapura juga perlu diperketatkan kawalannya.

Sebagai perbandingan, harga diesel di Thailand adalah pada harga RM3.00 - RM3.50 per liter manakala RON95 pula adalah sebanyak hampir RM4.50 - RM5.00. Ini tidak termasuk barangan lain seperti LPG di mana di Malaysia, harga dijual adalah RM1.80 - RM2.00 manakala di Thailand pula ialah RM2.50 -RM3.

Hal ini menunjukkan subsidi diesel yang menyeluruh hanya menguntungkan golongan yang langsung tidak memerlukannya.

Maka, adalah lebih baik kita hapuskan semua subsidi jika kita mampu. Ini terutama jika kerajaan boleh membantu golongan yang paling memerlukan sokongan. Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang menyalurkan wang kepada golongan miskin adalah satu langkah yang sedang diambil bagi tujuan itu. Begitupun, pemberian seperti ini juga adalah langkah sementara semata-mata - bagi membantu rakyat miskin agar tidak hidup melarat.

Matlamat utamanya adalah mempertingkat pendapatan rakyat agar mereka boleh hidup tanpa bergantung kepada subsidi. Inisiatif program transformasi kerajaan dan ekonomi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri inilah yang akan memacu rakyat ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020 nanti, iaitu negara dengan pendapatan per kapita setinggi AS$15,000 (RM48,888).

Dalam isu penyeludupan diesel bersubsidi ini, penulis tidak mahu menuding jari mencari siapa pemain-pemain utama' terlibat. Cuma, yang pasti, mereka ini bukan ikan bilis sebaliknya daripada senarai nama-nama cukup besar, hebat'.

Dan kita khuatir jika yang terlibat merupakan pihak yang tidak disangka-sangka. Barangkali, mereka ini memang telah ada pengalaman luas sewaktu berada dalam agensi atau kementerian terbabit. Dan kemudian bertukar karier pula menjadi penasihat' kepada stesen-stesen minyak atau dalang kepada penyeludupan diesel bersubsidi ini.

Penulis percaya sebahagian besar dari kita kurang peka tentang subsidi minyak. Masih ramai menyangka kerajaan wajib memberikan subsidi kepada minyak bagi membantu rakyat, sekali gus mengembangkan ekonomi. Namun, penyeludupan subsidi minyak terutamanya diesel akan menyebabkan negara mengalami kerugian besar.

Apatah lagi jika diseludup dalam kapasiti yang amat besar, berkontena-kontena.

Malaysia sembunyi atau maklumat Anwar terbongkar?

Posted: 07 Apr 2014 12:29 PM PDT

Dari Jendela Tok Ki

DALAM kenyataan dalam akhbar, The Daily Telegraph di London, Anwar mendakwa Malaysia telah menyembunyikan maklumat berhubung kehilangan pesawat MH370.

Ekoran itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein lantas menjawab, kenyataan tersebut seolah-olah menuduh kesemua 26 negara yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak 8 Mac lalu turut menyorokkan maklumat sebenar.

Bidas beliau yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan, dakwaan berkenaan tidak masuk akal, sempit fikiran dan sepatutnya dia berpijak di bumi nyata. Hishamuddin turut menyindir, yang nyatanya pencarian jam Omega sampai ke hari ini tidak berhasil.

Kata beliau lagi, kalau hendak berpolitik ada had batasannya.

Tergamakkah kita mengambil kesempatan politik dalam keadaan nyawa penumpang dalam pesawat itu masih tidak menentu? Tergamakkah kita berpecah-belah dalam dunia sekarang telah bersatu untuk melakukan sesuatu yang baik?

Dalam pada itu penulis pun tidak mudah hendak percaya kenyataan Chin Yi, bekas penggubal undang-undang parti pemerintah Taiwan yang mendakwa Ketua Umum PKR itu adalah dalang di sebalik kehilangan pesawat MH370. Anwar sepatutnya menyaman Chin Yi kerana ia adalah tuduhan yang berat.

Sejak kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang lagi Anwar dan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengambil pendirian berbeza terhadap isu MH370 ini. Meskipun rakyat umumnya memperlihatkan sokongan yang tinggi kepada usaha kerajaan ini namun Anwar tidak mengambil sikap sedemikian.

Tidak cukup dengan sindiran dan perlian dibuat di media Malaysia, Anwar melakukan hal yang sama di luar negara.

Media asing diketahui cuba memutarbelitkan kenyataan yang sebenar dan melakukan sensasi dan provokasi dan meremehkan usaha yang berlaku walaupun melibatkan kuasa-kuasa Britain, Amerika Syarikat (AS), Jepun, Cina dan Australia dengan segala peralatan dan aset yang canggih.

Hubungan Anwar dengan pihak-pihak luar adalah sesuatu yang nyata dan tidak boleh disembunyikan lagi. Kunjungan Anwar ke London atas undangan Al Gore, untuk bermesyuarat dengan kumpulan Generations dan pasukan akademik pendidikan tinggi Universiti Cambridge. Al Gore melantik Anwar sebagai salah seorang Ahli Lembaga Penasihat Generations, bersama-sama Simon Zadek, James Wolfenshoun dan Marry Robinson. Al Gore pernah melawat Malaysia waktu di puncak reformasi 1998 dan menyatakan sokongannya kepada perjuangan Anwar.

Apa yang sedang dilakukan oleh Malaysia dan 26 negara lain di dunia menggunakan peralatan canggih dalam bidang pengesanan dan menyelamat pesawat dianggap perkara remeh.

Sebagai bekas Menteri Kabinet kanan, Anwar patutnya memahami pengurusan krisis. Krisis kewangan yang berlaku pada 1997 umpamanya, Anwar cuba mengambil strategi ekonomi dan kewangan tetapi akhirnya merujuk kepada pedoman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia juga.

Mujur Tun Dr. Mahathir Mohamad mempunyai kemampuan mengurus ekonomi dan kewangan negara menyebabkan maruah negara dapat diselamatkan. Kalau diserahkan kepada Anwar kita tahu apa yang akan terjadi.

Pendukung Anwar masih tidak nampak mengapa Anwar merujuk kepada pemimpin dan media Barat untuk menyatakan kritiknya terhadap Malaysia.

Anwar yang pernah terkenal sebagai pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang memperjuangkan Islam tiba-tiba bertukar menjadi Barat dan media yang dikritiknya suatu ketika dulu sebagai teman mendapatkan sokongan dan perlindungan.

Mustahil tidak ada sedikit pun saki-baki patriotisme atau kewatanan pada diri Anwar terhadap Malaysia. Semua dilihat oleh Anwar sebagai negatif.

Sewaktu dalam UMNO pihak pembangkang menjadi sumber kecaman Anwar terutama Pas. Apabila menjadi pembangkang UMNO disalahkannya dalam semua perkara yang terjadi. Semasa dalam kerajaan dulu Anwar pemimpin unggul yang mempertahankan Dr. Mahathir. Bila tidak bersama dengan kerajaan, Dr. Mahathir menjadi sumber kecamannya sehingga kini. Itulah Anwar Ibrahim.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved