Utusan Online - Luar Negara |
Posted: 07 Apr 2014 12:28 PM PDT Oleh Saharuddin Musthafa JOKO WIDODO JAKARTA 7 April - Buat kali pertama, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang akan menamatkan tempoh pentadbirannya pada Oktober ini membuat kenyataan terbuka menggesa rakyat Indonesia memberi peluang kepada Joko Widodo atau Jokowi untuk menggantikannya dengan memilih beliau pada pilihan raya Presiden Indonesia (Pemilu) 2014. Kepada Jokowi yang muncul sebagai calon paling popular untuk menggantikan beliau, Susilo menasihatkan Gabenor Jakarta itu agar meyakinkan rakyat terhadap kemampuannya untuk memerintah Indonesia. Dalam kenyataan yang disiarkan di YouTube semalam, Susilo juga mencadangkan kepada Jokowi agar menyenaraikan rancangannya untuk menerajui negara ini, sekali gus dapat menyangkal prasangka banyak pihak terhadap kemampuan beliau. "Saya fikir apa yang paling baik ialah rakyat tidak terlalu cepat menghakimi beliau (Jokowi) sebagai seorang yang tidak berkemampuan. Pada masa sama, Pak Jokowi harus membentangkan idea, cara mengatasi serta polisi yang akan beliau perkenalkan untuk menyelesaikan masalah dalam negara yang sedang dihadapi. "Dengan memberikan penjelasan tentang program dan bersedia untuk membincangkannya, rakyat boleh menilai kualiti yang ada pada Pak Jokowi berbanding calon lain Presiden. Daripada situ, rakyat boleh membuat pilihan siapa calon paling tepat untuk menggantikan saya," kata Presiden Indonesia itu. Mengenai dakwaan lawan politik yang menggelarkan Jokowi sebagai boneka kepada Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia - Perjuangan (PDI-P), Megawati Sukarnoputeri, Susilo berkata, Jokowi harus membuktikan sebaliknya. "Ia akan menjadi satu cabaran kepada Pak Jokowi atau sesiapa sahaja yang akan dilantik sebagai Presiden seterusnya untuk tidak membenarkan diri mereka mengikut telunjuk sesiapa, sama ada daripada pelabur atau entiti asing. Saya tidak pernah membenarkan sesiapa untuk campur tangan dengan apa yang saya lakukan sepanjang 10 tahun di pejabat (memerintah)," ujar Susilo. Apa yang paling utama, katanya, Jokowi hanya perlu menurut kehendak rakyat. "Tiada siapa yang boleh mengawal atau mengarahkan Presiden membuat keputusan mengenai hal ehwal dalam atau luar negara. Ini adalah cabaran dan saya harap pengganti saya kelak akan mendengar apa yang dikehendaki oleh rakyat," tegas beliau. Susilo juga menggesa Megawati menjelaskan kepada rakyat mengenai dakwaan pemimpin Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Prabowo Subianto bahawa Ketua Umum PDI-P itu memungkiri janji yang dicapai dalam Perjanjian Batu Tulis. Megawati didakwa berjanji untuk menyokong Prabowo sebagai calon Presiden pada Pemilu 2014. Pilihan raya Parlimen Indonesia akan berlangsung pada 9 April ini sementara pemilihan Presiden akan diadakan pada 9 Julai ini. - UTUSAN |
Wakil Palestin, Israel berunding Posted: 07 Apr 2014 12:28 PM PDT Presiden Mahmoud Abbas mengadakan mesyuarat dengan pemimpin Palestin di Ramallah pada 1 April lalu. Wakil Palestin dan Israel menyambung semula perbincangan bagi menghidupkan rundingan damai antara kedua-dua pihak yang hampir gagal. - AGENSI BAITULMAQDIS 7 April - Perunding Palestin dan Israel mengadakan pertemuan, di sini hari ini bagi menghidupkan semula rundingan damai yang dilihat hampir menemui kegagalan akibat perbezaan tuntutan antara kedua-dua pihak. Seorang pegawai Palestin yang enggan dikenali mengesahkan tentang pertemuan itu yang diadakan pada lewat petang, namun kedua-dua pihak tidak memberikan butiran tentang masa atau lokasi rundingan. Semalam, kedua-dua pihak mengadakan perbincangan yang turut dihadiri utusan khas Amerika Syarikat (AS), Martin Indyk, tetapi sumber Palestin memaklumkan bahawa sesi pertemuan tersebut berakhir tanpa persetujuan dan seorang pegawai Israel menyifatkan rundingan tersebut di ambang kegagalan. Kedua-dua pihak saling bertelagah apabila Presiden Palestin Mahmoud Abbas bertegas mahu meneruskan usaha mengemukakan 15 permohonan antarabangsa bagi meraih pengiktirafan untuk menubuhkan sebuah negara yang berdaulat, manakala Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan tindakan tersebut boleh menggagalkan proses rundingan damai. Bagaimanapun seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) yang enggan dikenali berkata, rundingan Palestin-Israel yang berlangsung semalam membincangkan cara menyelesaikan krisis di rantau Asia Barat itu melalui rundingan damai. "Pertemuan semalam sangat serius dan menunjukkan petanda positif, dan kedua-dua pihak meminta AS mengatur satu lagi perbincangan hari ini bagi meneruskan usaha mencapai rundingan damai," katanya. Parlimen Israel, hari ini turut mengadakan sesi khas bagi membahaskan isu rundingan damai tersebut yang dikritik oleh kumpulan pembangkang terhadap cara kerajaan menangani perbincangan itu. Dalam pada itu, seorang komentar akhbar Jerusalem Post, Tal Harris dalam tulisannya berkata, proses rundingan damai tersebut masih mempunyai peluang untuk direalisasikan. Jelasnya, kumpulan pakar krisis perlu ditubuhkan bagi mengendalikan konflik berkenaan, terutamanya membabitkan isu pertikaian air dan tenaga, berbanding hanya memberi tumpuan kepada perbincangan bersifat politik yang menemukan jalan buntu, "Setiausaha Negara AS, John Kerry perlu mendedahkan beberapa maklumat tentang proses rundingan itu, selain Netanyahu dan Abbas mesti bersemuka secara langsung dalam perbincangan tersebut. "Proses diplomatik kadang-kala tidak sama seperti yang dirasai oleh golongan rakyat," katanya. - AFP |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan