Utusan Online - Utara |
- Senarai baru penduduk miskin
- Pastikan pintu belakang rumah turut dikunci
- BS1MDS mahu perluas peranan seluruh negara
Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH Mohd. Tajuddin ALOR SETAR 7 Ogos - Kerajaan negeri merancang menyenaraikan semula penduduk yang layak dikategorikan sebagai golongan miskin sebagai usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan mereka. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah berkata, langkah itu bagi memastikan tiada siapa tercicir dalam senarai berkenaan menerusi pelaksanaan pendaftaran secara adil dan telus. Kata beliau, pendaftaran penduduk miskin di negeri ini dibuat mulai 1990 di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang diwujudkan oleh Kerajaan Persekutuan. "Program itu kemudian ditambah baik sehingga wujud e-Kasih pada 2006 di peringkat Kerajaan Pusat dan setahun kemudian Kerajaan Kedah melancarkan e-Sinar. "Pendaftaran e-Sinar oleh kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) terhenti apabila pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran Kedah pada 2008 hingga Mei tahun ini," katanya baru-baru ini. Mohd. Tajuddin berkata, pendaftaran e-Sinar diteruskan semasa pentadbiran pakatan pembangkang dengan Majlis Ketua Kampung menggantikan peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), namun menimbulkan banyak masalah. Berikutan itu katanya, wujud keperluan untuk mengemas kini pangkalan data kemiskinan antara e-Kasih dan program e-Sinar yang diperkenalkan kerajaan negeri terdahulu untuk dijadikan kayu pengukur dalam mengenal pasti kumpulan sasaran. "Satu pelan tindakan berkesan perlu dilaksanakan segera melibatkan jabatan dan agensi berkaitan penduduk miskin menggunakan mekanisme pendaftaran bersepadu yang menjurus konsep dari atas ke bawah. "Antara agensi yang perlu terlibat ialah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Kemajuan negeri, pejabat-pejabat daerah, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kesatuan Penghulu-penghulu Kedah dan Universiti Utara Malaysia (UUM)," katanya. |
Pastikan pintu belakang rumah turut dikunci Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT ALOR SETAR 7 Ogos - Polis menasihatkan orang ramai yang ingin meninggalkan rumah bagi tempoh yang lama pada musim perayaan ini agar meningkatkan tahap keselamatan kediaman masing-masing dengan mengunci pintu bahagian belakang dengan kunci yang bermutu tinggi. Ketua Polis negeri, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, pintu bahagian belakang rumah kebiasaannya tidak dititikberatkan memandangkan pemilik rumah menganggap bahagian depan rumah sahaja yang perlu dikunci dengan baik. "Persepsi ini silap kerana banyak jenayah pecah rumah berlaku disebabkan pintu bahagian belakang rumah tidak kunci dengan baik sebelum pemilik meninggalkan rumah. "Ramai di kalangan pemilik tak ambil berat pintu bahagian belakang rumah, jadi kita minta mereka beri juga tumpuan pada pintu belakang rumah dengan menguncinya dengan kunci yang bermutu tinggi. "Selepas kunci semua pintu rumah pemilik rumah boleh memaklumkan kepada balai polis berhampiran mengenai ketiadaan mereka di rumah dan kita akan arahkan anggota melakukan rondaan di kawasan berkenaan," katanya di sini baru-baru ini. Menurutnya, pemilik rumah juga perlu memastikan langganan akhbar dihentikan buat sementara jika mereka tiada di rumah pada hari raya nanti. "Selain itu, pastikan jiran sebelah perlu diberitahu bila kita nak balik ke kampung agar mereka boleh pantau rumah kita," ujarnya. Dalam pada itu, Ahmad berkata, ibu bapa perlu memantau anak-anak pada musim perayaan ini agar tidak bermain mercun sehingga membahayakan diri sendiri. "Main mercun memang satu kesalahan dari segi undang-undang, jadi saya minta ibu bapa pantau anak-anak mereka agar jangan main mercun. "Saya tengok musim perayaan ini macam musim kanak-kanak cedera akibat mercun. Kita boleh jaga semua ini daripada terus berlaku," jelasnya. |
BS1MDS mahu perluas peranan seluruh negara Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT SIK 7 Ogos - Briged Sukarelawan 1Malaysia Daerah Sik (BS1MDS) yang ditubuhkan sejak empat tahun lalu berhasrat memantapkan lagi peranannya supaya aktivitinya tidak hanya tertakluk di daerah Sik, malah diperluaskan ke seluruh negara. Pengarahnya Mahadzir Abdul Hamid berkata, briged itu menawarkan khidmat sukarela bagi membantu masyarakat seperti bencana alam, ribut dan banjir. "Sehingga kini keanggotaannya mencapai 500 sukarelawan dan telah menjalankan lebih 100 aktiviti melangkaui negeri Kedah. "Kita pernah membantu mangsa banjir di Terengganu awal tahun lalu, terlibat dalam misi kemanusiaan di Hatyai, Thailand, malah selepas Aidilfitri ini, kita rancang untuk membantu sebuah perkampungan Islam di Thailand mendirikan masjid," katanya di sini semalam. Beliau terdahulu mengedarkan risalah kempen keselamatan jalan raya dan pencegahan jenayah kepada pengguna jalan raya di laluan Jeniang-Sik. Mahadzir yang juga Anggota Dewan Undangan Jeneri berkata BS1MDS kini mempunyai 10 platun termasuk untuk pengurusan jenazah dan keselamatan jalan rayadan bakal mewujudkan satu platun khusus untuk menyelamatkan mangsa lemas. "Kita mahu rakyat merasai bahawa peranan membantu masyarakat bukan sahaja terletak pada tangan kerajaan malah anggota masyarakat juga turut menyumbangkan peranan," katanya. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan