Khamis, 8 Ogos 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


PM gembira Aidilfitri disambut pelbagai lapisan masyarakat

Posted: 08 Aug 2013 01:30 AM PDT

PUTRAJAYA 8 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan kegembiraannya apabila ramai masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang mengunjungi rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana di sini hari ini.

Saya berasa sangat bersyukur bahawa sambutan ini begitu meriah. Saya rasa amat gembira kerana mereka yang datang ini datang daripada pelbagai latar belakang.

"Konsep rumah terbuka ini sebagai satu kaedah, satu jambatan yang boleh memupuk perpaduan nasional. Nampaknya hari ini terbukti bahawa bila kita buat rumah terbuka ini ia boleh menjadi satu acara di mana secara spontan kita boleh dapat (lihat) begitu ramai yang akan datang," katanya ketika ditemu bual secara langsung oleh TV3.

Turut bersama ketika temu bual itu isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ditanya sama ada majlis rumah terbuka boleh dijadikan sebagai satu platform untuk penyatuan nasional, Najib berkata, penyatuan nasional boleh diusahakan melalui pelbagai cara dan rumah terbuka merupakan satu daripadanya.

"Selain daripada kita sambut rumah terbuka ini, kita nak juga hati kita terbuka maknanya kita tolak fahaman yang sempit, yang fanatik, yang ekstrem, yang keterlaluan. Kita suka kepada keamanan, kedamaian sebab bila kita ada keamanan, kedamaian dan keharmonian kita boleh mengadakan rumah terbuka, dan suasana seperti inilah yang mesti kita kekalkan sepanjang masa," katanya.

Dalam temu bual singkat itu, Perdana Menteri turut ditanya mengenai kes jenayah tembak yang ketara sejak akhir-akhir ini sehingga menimbulkan kebimbangan rakyat.

"Kita dah arah pihak polis untuk bertindak dengan apa cara sekalipun yang mampu dilakukan mereka supaya membanteras jenayah berat ini terutama sekali yang menggunakan senjata api," katanya.

Selain itu, Najib juga menegaskan kawalan di pintu masuk negara perlu dipertingkatkan manakala kerajaan sedang menyemak undang-undang sedia ada bagi memberi kuasa lebih kepada pihak polis untuk bertindak tanpa membuka ruang terlalu luas sehingga berlaku penyalahgunaan kuasa.

"Ada perseimbangan...jadi sekarang sedang berbincang antara pihak kerajaan, Peguam Negara dan polis untuk merumuskan sesuatu yang boleh memberi kita asas undang-undang yang lebih kukuh untuk bertindak," tambahnya sambil memberi jaminan kerajaan memandang serius isu itu. - BERNAMA

Aidilfitri disambut meriah di seluruh negara

Posted: 08 Aug 2013 01:12 AM PDT

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Selepas genap sebulan berpuasa, jutaan muslimin dan muslimat di seluruh negara menunaikan solat sunat Aidilfitri menyambut ketibaan 1 Syawal sebelum meneruskan sambutan dengan keluarga dan rakan.

Di ibu negara, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara, bersama kira-kira 20,000 jemaah.

Turut serta dengan baginda ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta menteri Kabinet.

Pasangan diraja itu kemudian mengadakan Majlis Rumah Terbuka di Istana Negara bermula 11 pagi hingga 2 petang sementara Najib serta Jemaah Menteri mengadakan majlis rumah terbuka di kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya dari 10.30 pagi hingga 4 petang.

Di KELANTAN, sambutan bermula dengan Sultan Muhammad V menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Tengku Mahkota Tengku Muhammad Fa-Iz Petra, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub dan ribuah jemaah di Masjid Muhammadi Kota Baharu.

Baginda kemudiannya ke Masjid Negeri di Kubang Kerian bagi menghadiri Majlis Mengadap yang turut disertai rakyat jelata sementara Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub juga mengadakan rumah terbukanya pada hari ini.

Di TERENGGANU, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyertai kira-kira 2,000 umat Islam menunaikan solat Hari Raya di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu. Mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, kerabat diraja serta pembesar negeri.

Ahmad Said mengadakan rumah terbuka dari 10.30 pagi hingga 3 petang di kediaman rasmi di Seri Iman, Batu Buruk.

Di SELANGOR, Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 10,000 jemaah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.

Baginda diiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin.

Sultan Sharafuddin juga mengadakan majlis rumah terbuka di Istana Bukit Kayangan hari ini bagi ketua-ketua jabatan kerajaan negeri manakala Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Selangor diadakan di Dataran Dewan Undangan Negeri Selangor dari pukul 11 pagi hingga 2 petang.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Idris Haron bersolat di Masjid Al Azim, Bukit Palah bersama kira-kira 10,000 umat Islam.

Mohd Khalil dan Idris mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah bersama kerabat diraja menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti.

Turut serta ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan.

Tuanku Muhriz turut mengadakan majlis rumah terbuka hari ini di Istana Besar Seri Menanti dari 10 pagi hingga 2.30 petang manakala rumah terbuka kerajaan negeri pula diadakan di perkarangan Dewan Undangan Negeri, Wisma Negeri, Seremban, dari 10 pagi hingga 2 petang.

Di PAHANG, Sultan Ahmad Shah menunaikan solat Aidilfitri bersama kira-kira 4,000 jemaah di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan dengan diiringi Sultanah Kalsom, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengadakan majlis rumah terbuka dari 10 pagi hingga 3 petang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di Kuantan.

Di PERAK, Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah dan Raja DiHilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa bersama-sama kerabat diraja serta lebih 2,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Ubudiah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Turut serta ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan serta barisan Exco kerajaan negeri. Rumah Terbuka Aidilfitri kerajaan negeri diadakan hari ini di kediaman rasmi Menteri Besar dari 2.30 hingga 6 petang.

Di PERLIS, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin dan Raja Perempuan Tuanku Tengku Fauziah berangkat menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Negeri.

Selepas solat baginda berdua berkenan menerima menghadap dif-dif kenamaan dan rakyat jelata pada majlis Istana Terbuka di Dataran Majlis Istana Arau dari 9.30 pagi sehingga 11.30 pagi.

Di JOHOR, Sultan Ibrahim menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Abu Bakar Johor Baharu diiringi Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sultan Johor akan mengadakan majlis rumah terbuka di Istana Pasir Pelangi pada hari raya kedua, dari 9 pagi hingga 4 petang manakala majlis rumah terbuka Menteri Besar berlangsung di kediaman rasmi, Saujana bermula 10 pagi hingga 2 petang ini.

Di SARAWAK, Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud bersama-sama dengan barisan Kabinet negeri serta ribuan umat Islam menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Jamek Negeri Sarawak, Petra Jaya.

Tun Abang Muhammad Salahuddin dan isteri Toh Puan Norkiah Abdullah kemudiannya mengadakan rumah terbuka di Astana Negeri manakala Taib dan isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib mengadakan rumah terbuka di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Di SABAH, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menunaikan solat Aidilfitri bersama kira-kira 10,000 rakyat di Masjid Negeri, Kota Kinabalu. Juhar dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni turut mengadakan rumah terbuka di Istana Negeri hari ini sementara rumah terbuka Ketua Menteri akan diadakan di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas pada Sabtu ini.

Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Negeri ditemani Timbalan Ketua Menteri I Mohd Rashid Hasnon dan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Kassim.

Di KEDAH, Pengerusi Pemangku Jemaah Sultan Kedah Tunku Anuar Sultan Badlishah dan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir bersama kira-kira 3,000 orang umat Islam menunaikan solat Adilfitri di Masjid Zahir, Alor Star.

Majlis rumah terbuka Menteri Besar akan diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon Sabtu ini dari 10 pagi hingga tengah hari. - BERNAMA

Agong tunai solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara

Posted: 07 Aug 2013 10:38 PM PDT

KUALA LUMPU 8 Ogos - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara di sini bersama kira-kira 20,000 jemaah sempena sambutan 1 Syawal.

Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, tiba di masjid pada kira-kira 8.30 pagi.

Seri Paduka berdua diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Turut hadir menteri Kabinet dan diplomat asing.

Baginda dan jemaah kemudian bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bertindak sebagai khatib.

Tuanku Abdul Halim kemudiannya beramah mesra dengan jemaah yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan baginda sebaik selesai khutbah Aidilfitri.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan menerima menghadap Perdana Menteri dan isteri, Timbalan Perdana Menteri dan isteri dan Ahli Jemaah Menteri sempena Aidilfitri di Istana Negara.

Selesai majlis tersebut, Seri Paduka berdua berkenan bersantapan bersama tetamu.

Sementara itu, Jamil Khir ketika menyampaikan khutbah hari raya bertajuk 'Aidilfitri Lambang Kesatuan Ummah' menyeru umat Islam agar memperkukuh kesatuan ummah dan bertoleransi dalam semua perkara serta berlapang dada atas sebarang keputusan yang telah dipersetujui.

"Ingatlah sebarang semangat melampau sebenarnya akan menjadi pemangkin terhadap ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan kestabilan sosio-politik.

"Percayalah bahawa manhaj Islam adalah memelihara keutuhan sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Timizi bermaksud : Hendaklah kamu berada bersama-sama jamaah dan janganlah kamu berpecah-belah," katanya.

Jamil Khir berkata, umat Islam hendaklah mengatur langkah yang bijak dengan menyatukan hati sesama mereka dan memperkasakan keupayaan agar dapat bergerak dalam langkah yang sama.

Menurutnya, saf yang kukuh membolehkan umat Islam menghadapi musuh dengan lebih tabah dan gagah.

"Bayangkanlah jika umat Islam hilang pegangan hidup, hilang maruah, berada dalam ketaksuban kepada pihak-pihak tertentu dan mengutamakan hal peribadi serta diperalatkan pihak lain, maka akhirnya umat Islam pasti menerima nasib yang malang lagi hina di negara sendiri.

"Lihat apa yang berlaku di negara Islam di Asia Barat, apabila rakyat tidak bersatu, tindakan dan pemikiran pemimpin dipengaruhi musuh Islam, maka negara berada dalam huru-hara dan kehancuran," katanya.

Lantaran itu beliau mengingatkan umat Islam supaya perlu bijak mengenal pasti musuh yang sedang dihadapi dan jangan pula bertelingkah sesama sendiri sedangkan musuh yang menabur racun bersorak kegembiraan.

Nasihatnya, berwaspadalah dengan golongan munafik dan pengkhianat di kalangan umat Islam yang telah menjadikan agama sebagai barang dagangan dan perjuangan menuntut keadilan sebagai modal politik sehinggakan sanggup bersekongkol dengan musuh untuk menumpaskan pemerintah Islam demi mendapatkan kuasa. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved