Utusan Online - Selatan |
- Semangat patriotik sambut kemerdekaan
- Sambutan Hari Kemerdekaan di Seremban meriah
- Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang berakhir di NS
Semangat patriotik sambut kemerdekaan Posted: Semangat patriotik sambut kemerdekaanOleh AMRAN MULUP MELAKA 16 Sept. - Kira-kira 5,000 rakyat negeri ini membanjiri Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir dan sepanjang laluan 2.5 kilometer ke Jalan Hang Tuah di sini, hari ini bagi memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-54 dan Hari Malaysia Ke-48. Lebih mengujakan apabila orang ramai termasuk pelancong berada di dataran itu seawal pukul 7 pagi dan tidak berganjak hingga ke akhir majlis sambutan untuk menyaksikan perarakan dan perbarisan. Sambutan daripada orang ramai cukup membanggakan apabila sepanjang perarakan sentiasa diiringi laungan 'Merdeka' selain kanak-kanak dilihat mengibar Jalur Gemilang. Peserta perarakan yang mewakili 117 kontinjen menyertai sambutan itu yang terdiri daripada jabatan kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, industri dan pelajar sekolah. Turut serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Akademi Laut Malaysia (Alam) dan Jabatan Penjara Malaysia. Sambutan itu turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob; Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; ketua-ketua jabatan; barisan Exco kerajaan negeri dan para pemimpin negeri. Acara dimulakan dengan kawalan kehormatan membabitkan tiga pegawai dan 103 anggota dari Batalion Ke-14, Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan. Sejurus selepas itu, acara menaikkan Jalur Gemilang dan nyanyian lagu Negaraku berkumandang selain bacaan ikrar oleh Farhan Irshad Ibrahim dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru diikuti laungan Merdeka sebanyak tujuh kali. Sambutan Hari Kemerdekaan bertemakan '1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera' diserikan dengan deklamasi sajak, nyanyian lagu-lagu patriotik selain persembahan padang menggambarkan zaman selepas merdeka. Sejurus selepas itu, perarakan 117 kontinjen dimulakan dengan pembawa Jalur Gemilang, bendera Melaka dan bendera berwarna-warni membabitkan 243 peserta. Sambutan tahun ini dimeriahkan lagi dengan perarakan kenderaan membabitkan kereta lembu, beca, motosikal klasik, vespa, motosikal berkuasa tinggi, kereta Mini Minor, Perdana, Satria dan Kancil. |
Sambutan Hari Kemerdekaan di Seremban meriah Posted: Sambutan Hari Kemerdekaan di Seremban meriahSebahagian peserta perbarisan mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-54 dan Hari Malaysia Ke-48 Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, Seremban, semalam. SEREMBAN 16 Sept. - Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-54 peringkat Negeri Sembilan berlangsung meriah dengan lebih 10,000 orang menyaksikan majlis itu yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi di sini, hari ini. Sebanyak 84 kontinjen mengambil bahagian dalam sambutan tersebut yang terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta dan pelajar sekolah. Perbarisan kontinjen itu bermula di kompleks berkenaan pada pukul 9 pagi dan berakhir di Sekolah Menengah Vokasional Ampangan. Perbarisan itu diiringi dua pasukan pancaragam dari Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) dan pasukan Tambor 15, Regimen Askar Melayu Diraja. Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berangkat menyaksikan sambutan itu dengan diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud. Turut hadir Undang Luak Sungai Ujong, Dato' Klana Petra Dato' Mubarak Dohak; Undang Luak Jelebu, Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman Dato' Musa Wahab; Undang Luak Johol, Dato' Johan Lela Perkasa Setiawan Dato' Mohd. Jan Abdul Ghani; Undang Luak Rembau, Dato' Lela Maharaja Dato' Sharip Othman dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus al-Qadri dan Undang Yang Empat, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Razak Mansor; ahli-ahli Exco kerajaan negeri; ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan para pegawai kanan kerajaan negeri. Mohamad ketika berucap pada majlis itu berkata, walaupun sambutan itu tidak diadakan pada 31 Ogos lalu, namun kemeriahan dan signifikan Hari Kemerdekaan sentiasa membara dalam jiwa seluruh lapisan rakyat, baik di kota atau di mana-mana jua di pelosok negara. Katanya, sama ada sebagai peserta, mahupun sebagai tetamu di lokasi-lokasi sambutan, jiwa merdeka seharusnya sentiasa berkobar dan membara dalam sanubari setiap rakyat. "Sambutan Hari Kemerdekaan bukan hanya sekadar untuk menyelami hiasan warna-warni, alunan tarian, pukulan gendang ataupun kibaran Jalur Gemilang sahaja. "Sebaliknya, ia lebih kepada menerapkan rasa kesyukuran dan keinsafan agar ia dapat memberi kesan yang mendalam di sanubari rakyat Malaysia di atas keamanan dan kesejahteraan yang kita nikmati selama ini," katanya. Beliau berkata, generasi pasca merdeka harus sentiasa merujuk kepada sejarah kemerdekaan negara dalam usaha untuk memaju dan membangunkan negara. |
Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang berakhir di NS Posted: Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang berakhir di NSSEREMBAN 16 Sept. - Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang Aidilfitri dan Sambutan Merdeka Raya 2011 anjuran Jabatan Penerangan berakhir di pekarangan Masjid Kampung Mendom, Lenggeng dekat sini semalam. Majlis penutup disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamarudin Siaraf. Pada majlis beliau turut menyampaikan sumbangan penghargaan kepada warga veteran yang berjuang pada zaman menuntut kemerdekaan. Majlis itu turut disertai 10 bekas pejuang kemerdekaan. Pelancaran Program Kibar Jalur Gemilang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur pada 27 Julai lepas sebelum bergerak ke seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan. Jalur Gemilang tersebut diserahkan semula kepada Perdana Menteri sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini. Semasa berucap, Kamarudin berkata, warga Malaysia terutamanya generasi muda perlu menghayati erti kemerdekaan yang sebenar kerana adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk mengekalkan kemerdekaan negara agar tidak lagi dijajah. "Sebagai rakyat Malaysia, kita hendaklah sentiasa mengibarkan Jalur Gemilang bukan hanya ketika kemerdekaan sahaja kerana Jalur Gemilang bukan sekadar secebis kain berwarna tetapi ia lambang semangat patriotik dalam mempertahankan negara serta melambangkan kewujudan dan kedaulatan sesebuah negara," katanya. Sementara itu seorang bekas anggota polis, Mohamad Nor Ibrahim, 78, menyeru generasi muda agar menjaga dan mempertahankan kemerdekaan negara kerana untuk mencapai kemerdekaan banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh banyak pihak. "Saya melihat dan merasai bagaimana peritnya hidup di bawah penjajah dan betapa sengsaranya untuk mendapatkan kemerdekan. Jadi saya amat berharap agar generasi muda dapat mempertahankan kemerdekaan supaya penjajahan tidak lagi berulang," katanya. — BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan