Sabtu, 17 September 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Bisik-Bisik Mingguan - AWANG SELAMAT

Posted:

Bisik-Bisik Mingguan - AWANG SELAMAT

Bisik-Bisik Mingguan - AWANG SELAMAT

Realiti baru
Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menerima reaksi yang pelbagai. Ramai yang positif dan menyambut baik sambil menyifatkan ia langkah pembaharuan yang berani daripada Perdana Menteri, Najib Tun Razak.

Tidak kurang yang skeptikal dan lahirkan kebimbangan kerana ISA dilihat masih relevan di Malaysia. Ada juga yang marah.

Awang ada pandangan sendiri. Memang apa yang dirintis oleh Najib kena pada masanya. Kita harus melihat ke hadapan dalam realiti baru dunia hari ini. Lambat laun pembaharuan akan tetap berlaku. Negara tidak boleh selamanya berada di takuk lama. Era sekarang menuntut lebih keterbukaan dan kerajaan moden perlu cekap mengurus risiko tanpa bergantung kepada undang-undang seperti ISA.

Tetapi pandangan orang seperti Awang tidak penting. Yang perlu digarap ialah maklum balas dan pemikiran rakyat, badan-badan bukan kerajaan (NGO), pasukan keselamatan, ahli akademik, kakitangan awam dan pelbagai kelompok lain.

Pada peringkat ini, biarlah rakyat memberikan apa sahaja reaksi dan input. Kita semua harus ada keberanian untuk mendengar sebarang bentuk komen.

Jika dilayari Internet, terdapat reaksi negatif yang juga perlukan perhatian dan renungan. Perspektif mereka tidak boleh ditolak begitu sahaja. Golongan ini tidak boleh dibiarkan merajuk. Apatah lagi, mereka merupakan pihak yang selama ini kuat menyokong kerajaan.

Awang berpendapat pengumuman pemansuhan ISA perlu disusuli dengan penjelasan yang menyeluruh daripada kementerian dan agensi berkaitan. Jika tidak, ia akan membawa salah pengertian dan membentuk persepsi negatif terhadap kepimpinan dan kerajaan.

Perubahan drastik seperti pemansuhan ISA menuntut kekuatan penerangan dan penjelasan. Sesuatu yang baru, mengambil masa untuk diterima dengan baik. Awang percaya sebahagian besar suara yang membantah dan meragui langkah tersebut, boleh bertukar positif menerusi lebih banyak pertemuan dan dialog.

Berdasarkan pengamatan, ramai yang masih tidak jelas kebijaksanaan di sebalik pemansuhan ISA dan kekuatan dua undang-undang baru yang akan diperkenal bagi menghadapi ancaman keselamatan.

Ada juga hujah yang melihat tindakan memansuhkan ISA merugikan politik orang Melayu. Selain itu, kerajaan dituduh asyik tunduk kepada aspirasi politik kaum lain sedangkan tiada jaminan mereka akan melonjakkan sokongan kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.

Bagi Awang, ia mempunyai hikmah tersendiri. Batas psikologi orang Melayu perlu dipecahkan agar jangan terlalu gundah dengan pembaharuan. Pemansuhan ISA juga seharusnya mendorong orang Melayu lebih agresif dalam politik. Sejak kebelakangan ini, kaum bukan Melayu bukan sahaja bijak berpolitik malah lebih bersatu dan lantang. Suara minoriti menjadi seperti majoriti sehingga akhirnya mampu mencorakkan persekitaran baru politik tanah air. Pemansuhan ISA dan beberapa perubahan lain termasuk pindaan kepada Akta Mesin Cetak adalah isyarat keterbukaan buat semua, bukannya kelompok atau kaum tertentu sahaja.

Apa pun, Najib terbukti komited melaksanakan transformasi politik menerusi pengumuman menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September. Ketika ketua pembangkang, Anwar Ibrahim dikenang dengan peristiwa 16 September iaitu isu bercakap bohong, Najib tunaikan janji untuk membawa Malaysia ke dimensi yang baru. Reaksi Anwar bahawa keputusan itu adalah hasil perjuangan beliau, sudah boleh dijangka. Beliau akan manipulasi apa sahaja isu. Najib telah membuktikan keberaniannya untuk melakukan transformasi. Anwar pula asyik beretorik selain menjebak diri dengan isu moral yang serius. Malah untuk bersumpah laknat dan memberikan keterangan bersumpah di mahkamah, juga tidak berani. Bagaimana mahu menggerakkan transformasi jika diri sendiri menyimpan ketakutan luar biasa?

Ohhh Mat Sabu

Sejak memenangi jawatan Timbalan Presiden Pas dalam persaingan tiga penjuru, Mohamad Sabu atau lebih dikenali Mat Sabu, menjadi bahan kontroversi.

Dari awal lagi kemenangan beliau mencetuskan rasa kurang selesa di kalangan sebahagian pemimpin dan ahli parti.

Tidak lama selepas itu muncul satu demi satu isu. Mat Sabu didakwa oleh pihak berkuasa bercakap bohong kononnya beliau dilanggar oleh kenderaan polis ketika kekecohan perhimpunan haram di Kuala Lumpur 9 Julai lalu.

Rakaman video polis menjadi bukti tetapi Mat Sabu tetap pertahankan dakwaannya.

Kemudian muncul isu bil rawatan beliau yang cedera semasa perhimpunan itu dibiayai oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP). Mat Sabu adalah ahli lembaga pengarah PBAPP. Banyak pihak persoalkan kewajaran pembiayaan bil rawatan lebih RM8,400 kerana Mat Sabu cedera akibat menyertai aktiviti salah di sisi undang-undang, yang bertentangan dengan amalan korporat. Sedangkan kakitangan biasa syarikat tersebut tidak ditanggung kos rawatan jika bersangkutan kecederaan atau sakit daripada aktiviti haram. Ada yang melihatnya sebagai isu penyelewengan wang PBAPP.

Lebih panas lagi ialah kenyataan beliau menghina pejuang Bukit Kepong yang mati terkorban dalam tragedi itu dan sebaliknya mengherokan Mat Indera, salah seorang anggota pengganas komunis.

Sebanyak 1,265 aduan polis ke atas Timbalan Presiden Pas itu telah dibuat di seluruh negara. Awang macam tak percaya dengan kemarahan dan bantahan pelbagai pihak serta orang ramai terhadap beliau.

Setakat ini, tiada sepatah pun permohonan maaf daripada beliau menyebabkan Pas turut menanggung akibatnya. Rakyat Malaysia terkenal dengan sikap pemaaf tetapi bagaikan tidak layak mendapat kemaafan daripada Mat Sabu. Sedangkan teras kenyataan beliau yang boleh diikuti menerusi video di Internet, bercanggah dengan fakta sejarah. Kalau di negara lain, para pemimpin yang terlanjur kata atau tersilap fakta berani mengakui segera kesilapannya.

Belum pun reda, satu lagi isu lama terbongkar dalam blog. Kali ini melibatkan apa yang didakwa oleh beberapa pengendali blog, percakapan seks menerusi telefon bersama seorang wanita.

Rakaman perbualan itu mendapat perhatian meluas. Setahu Awang, belum ada sebarang pengakuan atau penafian daripada Mat Sabu. Beliau mengambil sikap berdiam dan enggan mengulas, yang menjadikan isu itu lebih memikat.

Awang tidak berhajat komen panjang lebar. Sama ada kita suka atau tidak, itulah pemimpin yang menjadi sandaran Pas. Menyebut nama beliau sudah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja tersenyum sinis, marah mahupun hairan kebingungan. Dia punya 'kehebatan' tetapi dengan cara berlainan.

Bendera Amerika?

Ketika isu penghinaan Mat Sabu ke atas pejuang negara masih menjadi bahan bualan, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Shah Alam (DAP), M. Manoharan membuka perhatian baru.

Beliau mendakwa pembangkang akan bertindak menukar Jalur Gemilang jika memperoleh kuasa pada pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan Manoharan dibuat menerusi Facebook miliknya kelmarin, mengundang bantahan banyak pihak termasuk rakan-rakannya dalam laman sosial itu.

Awang naik bosan dengan tindakan seorang demi seorang pemimpin pembangkang menghina negara. Fakta sejarah dirobek, pengganas diagungkan, batik Malaysia diperlekeh dan pelabur dihasut jangan menanam modal di tanah air kita.

Kali ini, bendera pula menjadi sasaran. Hujah Manoharan bahawa Jalur Gemilang meniru bendera Amerika Syarikat adalah dangkal. Lebih bahaya keghairahan untuk menukar bendera itu boleh memberi isyarat bahawa DAP akan menukar banyak lagi perkara termasuk asas kenegaraan seperti perlembagaan.

Bagaimanapun setelah menerima tekanan agar menarik balik kenyataannya, Manoharan memohon maaf sambil menyatakan bahawa dia warga yang patriotik.

Ketika Mat Sabu tetap berdegil enggan memohon maaf atas keceluparannya, Manoharan mengambil jalan keluar lebih bijak. Setidak-tidaknya beliau berani bertanggungjawab dan sensitif kepada respons orang ramai.

Pada Awang, dakwaan dan kenyataan Mat Sabu jauh lebih serius berbanding Manoharan. Dalam hukum psikologi memohon maaf selepas melakukan kesilapan tidak akan menjatuhkan maruah seseorang, sebaliknya dilihat sebagai tindakan mulia. Apatah lagi pemimpin perlu bertanggungjawab kepada rakyat. Nampaknya banyak lagi yang Mat Sabu perlu belajar.

Angkat integriti hakim

Posted:

Angkat integriti hakim

Angkat integriti hakim


TUN Zaki Azmi di hadapan potretnya sebagai Ketua Hakim Negara.



TUN ZAKI TUN AZMI ketika ditemui sangat santai. Berbaju T ringkas dan dalam suasana tenang, beliau menjawab soalan yang diajukan satu-persatu. Bapanya Allahyarham Tun Azmi Mohamed bukan asing dalam dunia kehakiman. Beliau pernah menjadi Ketua Hakim Negara pada 1968-1974. Justeru, penyertaan Zaki dalam bidang yang sama tentunya mewarisi darah bapanya.

Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, NORAINI ABD. RAZAK di Putrajaya Khamis lalu, Zaki menyingkap pelbagai kisah dengan tumpuan kepada usaha mengangkat imej serta integriti kehakiman. Bagi anak kelahiran Kedah itu apa juga yang dilaksanakan adalah untuk kepentingan rakyat dan bukan orang politik atau sesiapa juga.Zaki turut berkongsi minat dalam fotografi bersama jurugambar ABDUL NAZIR MOHAMED. Kedua-duanya asyik bercakap tentang lensa dan kamera.

MINGGUAN MALAYSIA: Apa perasaan Tun sekarang?

TUN ZAKI AZMI: .Lega, tak ada kerja, menganggur, orang kata sepak kertas (bergurau sambil ketawa). Empat tahun lepas bahu rasa berat. Tiap hari saya bangun, buka mata, teringat apa masalah nak kena selesai, apa boleh buat, apa boleh tambah baik. Sebelum tidur pun itu saya fikir. Kalau terjaga pukul dua atau tiga, itu yang saya ingat. Sampai hakim-hakim dan pegawai marah saya sebab bila saya bangun pukul dua atau tiga pagi, saya akan SMS dia orang. Akibatnya lepas terima SMS dia orang tak boleh tidur.

Lepas itu saya berhenti sebab saya rasa tak adil untuk mereka. Saya simpan apa yang saya fikir dalam telefon bimbit dan bangun pagi baru hantar.

Tun seorang yang bekerja keras?

TUN ZAKI: Saya bekerja 10 jam itu biasa, kadang-kadang sampai 12 jam lebih-lebih lagi sebelum saya sakit. Ada juga hari yang tidak banyak kerja. Setiap hari pukul 7.45 pagi saya keluar rumah, pukul 8 sampai pejabat. Setiap hari begitu kecuali saya ada temu janji atau ada kerja di tempat lain. Waktu makan tengah hari pun biasanya saya gunakan untuk berbincang dengan hakim, lepas kerja ada hakim yang singgah di bilik saya dan kami berbincang lagi. Saya suka buat mesyuarat pukul 4.30 petang untuk elak ganggu mahkamah, peguam dan para pegawai yang berkenaan. Habis pukul 6 petang pulang ke rumah, kadang-kadang sembahyang asar pun dah dekat nak maghrib. Macam Tan Sri Ariffin (Ketua Hakim sekarang), beliau akan sembahyang di pejabat baru pulang.

Bagi saya dalam dunia serba canggih sekarang ini tidak ada alasan tak buat kerja. Sebelum tidur saya akan akses e-mel menerusi Ipad atau Blackberry semak kenapa kes itu tertunda, hantar emel kepada pegawai berkenaan tanya details mengapa berlaku sesuatu masalah misalnya mengapa ada kes tertunggak. Saya buat begitu dengan pegawai-pegawai kehakiman di mahkamah majistret dan mahkamah sesyen. Harapan saya apabila berlaku sekali lagi kes seumpama itu, mereka boleh buat keputusan. Saya sentiasa memberi dorongan dan jika mereka berjaya mengatasi masalah tersebut saya akan segera beri ucapan penghargaan.

Saya percaya kepada pengurusan yang baik termasuk mengagihkan kerja dan menghargai apa yang telah dilakukan oleh pegawai serta kakitangan bawahan. Bukan saya saja yang begitu. Tan Sri Raus Sharif, Tan Sri James Foong misalnya sentiasa mengamalkan penghargaan kepada kakitangan. Bentuk penghargaan amat simple - belanja makan tengah hari dan ada kalanya jika ada penghargaan bertulis kita tampal supaya semua orang tahu.

Apa prinsip yang Tun pegang?

TUN ZAKI: Bagi saya yang penting pengurus kena turun padang. Mereka kena tahu apa yang berlaku di bawah. Saya sendiri sepanjang empat tahun perkhidmatan sentiasa buat lawatan mengejut ke mahkamah. Kalau kita nak lawat sesuatu tempat dan bagi tahu orang di tempat itu, tentunya mereka buat persediaan rapi. Sedangkan tujuan lawatan kita adalah untuk mengetahui apa sebenarnya pengalaman rakyat ketika berurusan dengan mahkamah. Misalnya apabila rakyat apa yang mereka hadapi. Jadi kita kena pergi sebagai rakyat, tengok macam mana kerani layan, kalau kita pergi dengan notis, tak ada apa. Saya buat lawatan ke banyak tempat, Melaka, Muar, Batu Pahat, Johor Bahru. Setiap kali pergi saya akan bawa kamera ambil gambar dan jadikan rekod, untuk perbandingan dulu dan sekarang.

Tapi saya selalu cakap pada pegawai-pegawai di satu-satu tempat lupakan yang dulu, buka babak baru, tak usah bincang yang tak baik, kita bincang masa depan, kalau kira benda yang dah berlaku satu apa pun tak menjadi, tak usah kata siapa salah, malah bagi saya siapa salah tak penting, yang penting kita terus baiki. Tapi kalau setelah ditegur tak juga mahu baiki maka tindakan disiplin mesti diambil. Misalnya saya pernah kenakan tindakan disiplin kepada kerani mahkamah, semasa itu ada perbicaraan, tidak ada seorang pun dalam mahkamah, dia orang lepak hisap rokok di luar. Saya beri surat tunjuk sebab, mereka minta maaf, kita maafkan tapi kesalahan itu direkodkan supaya kesalahan yang sama tidak diulang. Kadang-kadang apabila kakitangan kerajaan mempunyai perangai macam ini kita selalu kasihan sedangkan mereka patut kasihan pada diri sendiri. Bayangan kalau seorang kakitangan kerajaan datang seminit lewat sehari, katalah kita kerja 300 hari, dah jadi 300 minit, kalau gaji RM100 ringgit sejam, kiralah berapa banyak duit rakyat dibazirkan, itu baru seorang, kalau 10 orang, 1000 orang?

Saya juga lihat soal budaya kerja. Di firma guaman misalnya ada 2,000 fail. Ada satu pengurus dan empat kakitangan untuk menyelesaikan fail tersebut. Tetapi di pejabat kerajaan ada 300 fail dan 12 kakitangan mengadap fail sebanyak itu. Sepatutnya kita kurangkan kakitangan, naikkan dan pangkat. Itu yang saya buat dan saya lihat Perdana Menteri juga sedang buat langkah yang sama iaitu kualiti, hasil meningkat, gaji yang tinggi serta kurangkan kakitangan.

Apa istimeja profesion kehakiman?

TUN ZAKI :Penghakiman juga semua saya tulis sendiri. Setiap hakim pun begitu. Satu yang unik tentang profesion hakim ini bagi saya hakimlah satu-satunya pegawai kerajaan yang buat kerja dari awal sampai habis, Orang kata hakim gaji banyak tapi sedarkah kita sebelum bicara hakim kena baca rekod, lepas itu bicara, lepas bicara kena buat penyelidikan sebelum buat keputusan. Lepas keputusan kena tulis penghakiman. Kakitangan kerajaan lain jarang begitu. Misalnya masa saya berkhidmat di Kementerian Dalam Negeri dulu, masa itu Allahyarham Tan Sri Ghazali Shafie. Sesuatu perkara itu akan dibuat dari peringkat bawah - penolong setiausaha akan sediakan, kemudian hantar ke setiausaha lepas itu timbalan ketua setiausaha dan seterusnya ke ketua setiausaha dan akhirnya ke menteri. Prosedur seterusnya akan berulang - dari menteri dan ke bawah. Tapi Allahyarham Tan Sri Ghazali tak macam itu, dia akan panggil orang pertama menyediakan draf, sebab sebenarnya orang itu yang lebih tahu, yang lain-lain cuma tambah sikit di sana-sini.

Tun ada menyebut tentang penulisan penghakiman yang ringkas, padat dan mudah dirujuk?

TUN ZAKI: Apa yang saya sebut sebenarnya merujuk kepada kalau hakim tidak sempat tulis penghakiman kerana tidak ada banyak masa disebabkan banyak kes nak dibicarakan. Jadi saya ingatkan di sebalik tulis penghakiman yang panjang ringkaskan. Tak perlu ulang fakta dalam afidavit, tulis atas isu yang dibangkitkan, fakta tak berkaitan dengan isu tak perlu. Kalau ada masa nak tulis panjang tak ada masalah. Yang penting bagi satu-satu penghakiman, pihak berkaitan mesti tahu dan siapa orang yang berkaitan itu. Biasanya orang kalah nak tahu kenapa dia kalah, pihak yang menang tak sangat dan ada satu lagi pihak yang nak tahu sesuatu penghakiman itu sebagai precedent masa depan. Saya nak tegaskan 80 hingga 90 peratus yang berminat adalah pihak yang terbabit dengan kes. Tetapi kalau di Mahkamah Persekutuan penghakiman kena tulis panjang dan terperinci. Penghakiman yang saya tulis biasanya menjawab isu berbangkit, mengapa kita nak bazir masa menulis penghakiman panjang lebar.

Saya perhatikan banyak yang perlu dihapuskan. Misalnya surat-menyurat yang tak perlu, yang ditulis panjang lebar, pelbagai surat pekeliling, dah tulis nak kena jawab balik, sedangkan cukup setakat tulis ringkas - diterima, ambil perhatian, tindakan lanjut. Jangan tak percaya kalau saya cakap satu surat ambil masa tiga hari masuk ke bilik saya nak keluar makan masa sehari. Kadang-kadang duduk atas meja setiausaha berjam-jam. Saya ubah semua itu. Satu surat masuk bilik saya, akan keluar semula selepas dua minit. Ada masanya saya sendiri angkat dan hantar ke sekretari. Orang kata kerja banyak saya tak percaya, kita ada staf sokongan, ada pula teknologi maklumat, baca emel dirumah, dalam perjalanan ke pejabat atau nak ke mesyuarat. Satu lagi saya perhatikan mesyuarat di jabatan kerajaan meleret berjam-jam, dari pukul 8 sampai 12 tengah hari. Yang datang mesyuarat pula ada yang tak berkenaan, sepatutnya orang yang relevan saja datang mesyuarat. Saya benci masuk mesyuarat sebab banyak lagi urusan yang saya boleh selesaikan daripada menghadiri mesyuarat berjam-jam. Masa di KDN hanya saya seorang penasihat undang-undang, sekarang ada 13 peguam persekutuan. Takkanlah dalam tempoh hampir 30 tahun beban kerja naik 13 kali ganda, kalau sekali atau dua kali ganda saya percaya tapi tak mungkin 13 kali ganda sehingga memerlukan 13 peguam persekutuan. Dulu selain menasihatkan kementerian dan juga menjadi penasihat Majlis Keselamatan Negara yang bukan d bawah KDN sebaliknya di bawah Jabatan Perdana Menteri. Saya buat kertas kabinet, draf undang-undang, pergi mahkamah, buat kerja-kerja inkuiri selama sembilan tahun. Bukan niat untuk riak atau menunjuk-nunjuk apabila bercerita tentang ini semua tetapi sebagai inspirasi untuk orang lain,

Masa mula-mula Tun melaksanakan perubahan termasuk melakukan lawatan mengejut bagaimana penerimaan pegawai serta kakitangan di sesuatu tempat?

TUN ZAKI:Masa mula-mula ramai yang tak puas hati bila saya buat begitu, tapi lama-kelamaan mereka terima sebab apa yang saya buat adalah untuk kebaikan mereka. Satu perkara penting yang saya nak ingatkan bahawa saya tidak buat benda untuk diri sendiri, atau untuk orang lain tapi setiap yang saya buat adalah untuk rakyat. Saya ulang benda ini kepada pegawai-pegawai saya supaya jangan buat kerja untuk mana-mana parti politik atau orng politik tetapi tunaikan tanggungjawab kepada rakyat kerana rakyat yang bayar gaji mereka. Hasilnya sekarang ini ramai yang berbangga apabila dikaitkan dengan saya, budak penjaga fail pun berbangga sebab mereka dapat bekerja dengan sempurna. Memang saya garang tapi itu adalah motivasi berterusan, saya jadikan pegawai dan kakitangan bawahan 'multitaskig', hasilkan jumlah pekerja berkurangan tetapi kecekapan bertambah, sebagai imbuhan mereka diberi gaji yang lebih tinggi. Saya rasa mereka tidak meluat kepada saya. Memang ada yang marah misalnya tak dapat bertukar atau pun tidak disahkan dalam jawatan tetapi apa pun tindakan saya akhirnya untuk kehakiman di mana perkhidmatan yang kita jalankan sampai kepada rakyat, itu yang penting.

Saya juga tidak meluat kepada seseorang, saya marah apabila mereka tidak buat apa yang sepatutnya. Tetapi kalau mereka buat saya puji malah bagi imbuhan dengan cara tertentu. Tidak ada yang bersifat peribadi.

Ada tak Tun rasa terkilan?

TUN ZAKI: Saya tidak boleh jawab. Bagi saya, saya ada dua objektif apabila masuk dalam bidang kehakiman, pertama mahu kurangkan kes tertunggak, keduanya mahu menambah baik imej serta integriti kehakiman. Untuk kes tertunggak sudah banyak saya atasi walaupun masih ada yang belum habis, Untuk integriti sudah banyak menambah baik tetapi itu tidak boleh diukur. Saya tidak mempunyai sasaran tertentu jadi tak timbul tak sempat buat. Bagi saya setiap hari ada sasaran baru, setiap minggu pun begitu. Misalnya kalau dulu mahkamah ambil masa tiga bulan keluar perintah, sekarang dah turun kepada empat hari dan saya masih tidak berpuas hati dengan apa yang dicapai, sebab itu kalau dah berjaya capai pun masih perlu ditambah baik, jadi sasaran itu tidak pernah berhenti. Sentiasa kena fikir idea baru. Kita tidak perlukan seorang pegawai yang dibayar gaji empat lima ribu hanya untuk buat benda yang sama tiap-tiap hari.

Apa Tun fikir semasa ditawarkan menjadi hakim Mahkamah Persekutuan?

TUN ZAKI: Banyak orang tak tahu cerita di sebalik pelantikan saya. Saya menerima panggilan daripada Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi meminta saya bertemu dengan beliau di bangunan Matrade. Saya terpaksa meninggalkan mesyuarat yang saya hadiri untuk bertemu beliau. Setibanya di sana saya diajak menaiki kereta bersamanya yang mahu bergerak ke Melaka kerana beliau ada function di sana. Dalam perjalanan beliau meminta saya masuk ke bidang kehakiman. Saya terkejut sebab ketika itu saya adalah penasihat undang-undang UMNO, saya juga ahli perniagaan. Tun Abdullah bagi enam tujuh alasan untuk saya menerima tawaran tersebut.

Kenapa Tun dipilih

TUN ZAKI: Saya tidak tahu. Karpal Singh kata saya dipilih kerana alasan politik sedangkan semua orang tahu ramai juga ahli politik tidak suka saya kerana keputusan yang saya buat tidak memihak kepada mereka. Sebenarnya saya pernah ditawarkan menjadi hakim sejak 1987 lagi termasuk sebagai presiden Mahkamah Rayuan dan juga untuk menjadi Peguam Negara tetapi saya tolak. Isteri saya tidak suka saya masuk bidang ini. Saya maklumkan tawaran tersebut kepada isteri saya, memang dia tak suka apa lagi keadaan saya masa itu sudah agak selesa, rezeki pun ada. Dua minggu senyap, tiba-tiba saya terima faks memaklumkan tentang upacara angkat sumpah dua hari lagi. Saya agak kecewa masa itu kerana diberitahu dalam keadaan macam itu. Dalam keadaan tergesa-gesa saya perlu meletakkan jawatan dan memaklumkan kepada syarikat-syarikat yang saya ada kaitan tentang peletakan jawatan saya.

Bila mula-mula jadi hakim apa Tun buat?

TUN ZAKI: Apabila mula-mula masuk jadi hakim saya diberi bilik besar yang terlalu sejuk. Pakai dua kot pun masih sejuk. Pergi ke bilik lain pun sama sejuk. Jangan tak percaya ada hakim pakai long john, ada yang pakai baju berlapis, ada yang buka tingkap gara-gara terlalu sejuk. Saya fikir kalau keadaan terus macam itu saya tak boleh buat kerja dan berhenti kerja. Saya tanya pada pekerja penyelenggaraan, dia kata tak boleh buat apa. Saya suruh tutup lubang pendingin hawa, dia cakap kena minta duit dari jurutera dulu. Saya terus bagi duit dan petang itu juga mereka tutup lubang pendingin hawa barulah saya boleh buat kerja. Bulan pertama saya tidak ada buat apa, pagi masuk pejabat baca buku dan baca al-Quran. Satu hari tiga atau empat muka surat dan saya habiskan masa 10 hingga 20 minit.

Apabila dilantik Presiden Mahkamah Rayuan, pada satu hari Tan Sri James Foong datang ke bilik saya suruh turun ke bilik fail dan lihat keadaan yang dikatakan beliau sebagai bersepah. Dua tiga hari lepas itu saya turun bawa kamera dan Ya Allah, Ya Tuhanku fail berlonggok di sana sini. Tidak ada sistem langsung. Ada 13 kerani menjaga 13 longgokan dokumen. Saya tanya siapa yang bertanggungjawab dan saya mahu mereka selesaikan masalah tersebut. Oleh kerana ketegasan saya itu, semua orang bekerja keras membuat satu sistem untuk menyusun fail-fail tersebut. Sesekali saya turun tengok mereka buat kerja dan saya mahu semua itu diselesaikan dalam tempoh dua bulan. Mereka datang hari Sabtu atas dasar sukarela, bagi kakitangan bawahan mereka dibayar elaun lebih masa tapi semuanya bersungguh-sungguh walaupun ada seorang dua yang tidak mahu bekerjasama. Selepas tiga bulan segala-galanya tersusun rapi. Selepas itu ada Persidangan Hakim-Hakim, saya minta RM3000 untuk menghargai apa yang telah mereka buat tetapi tidak peruntukan. Alhamdulillah hakim-hakim antaranya Datuk Heliliah, Datuk Gopal Sri Ram bersedia mengeluarkan duit saku sendiri untuk meraikan kejayaan pasukan tersebut mengemaskini segala fail yang sebelum itu berlonggok. Kita beli makan tengah hari dan mereka yang kerja lebih kita hadiahkan pen. Semua orang dapat sijil penghargaan. Saya pula dihadiahkan buku yang memaparkan proses memfailkan semula dokumen serta fail yang berlonggok.

Begitu juga dengan kes-kes tertunggak. Terdapat kira-kira 8,000 kes tersadai di mana-mana pihak-pihak yang berkaitan tidak berminat. Kita minta peguam menghubungi pelanggan masing-masing dalam masa dua minggu sama ada berminat meneruskan kes. Dalam masa 10 bulan, 2,000 kes dibuang.

Ada pengalaman menarik semasa lawatan mengejut Tun ke mahkamah?

TUN ZAKI: Saya ke Melaka bersama rakan dengan menaiki kereta Myvi beliau. Masa itu sehari selepas cuti Krismas. Sudah pukul 8.15 pagi tak ada siapa di Pendaftar. Ada tukang sapu sedang menyapu. Apabila ada yang sedar kedatangan saya, heboh satu mahkamah. Saya diberitahu hakim lewat sebab kesesakan jalan raya dan hakim itu pula dari Seremban. Saya terima.

Semasa ke Muar memang mengejutkan. Ada kuali tergantung, ada botol kicap dan Ya Allah ada tong gas di dalam bilik mesyuarat!

Ada satu kunjungan saya lihat sendiri bagaimana longgokan dokumen di tingkat bawah bangunan yang dah reput. Apabila ditanya kenapa tak musnahkan, pegawai yang berkenaan menjawab tidak ada autoriti untuk buat macam itu. Sedangkan fail-fail dan dokumen itu dah reput, apa perlu disimpan lagi dan kenapa nak tunggu autoriti. Saya percaya hakim di situ tidak pernah turun ke tempat simpan dokumen it dan di tempat-tempat lain pun begitu, mereka tidak tahu apa yang terjadi.

Semasa ditawarkan menyertai kehakiman Tun adalah peguam UMNO, bagaimana Tun mematikan kontroversi ekoran pelantikan Tun?

TUN ZAKI: Saya tidak membicarakan kes UMNO. Bukan setakat kes UMNO tetapi juga kes-kes berbau politik termasuk antara DAP dan PKR ke, Pas dan DAP, MCA, MIC dan lain-lain saya tidak mahu terlibat. Di Mahkamah Persekutuan saya juga tidak terlibat dalam penubuhan panel. Orang yang kalah sesuatu kes selalu kata tidak ada keadilan tetapi mereka selalu lupa kes yang mereka menang. Kes Felda contoh yang sangat jelas untuk menunjukkan sama ada saya ada kepentingan politik di mana saya membuat penghakiman yang tidak memihak kepada Felda, sedangkan semua orang tahu siapa orang penting dalam Felda dan apa Felda itu sendiri.

Begitu juga dengan kes UEM, apabila naik ke Mahkamah Rayuan dan ditubuhkan panel, kes tersebut kalah. Sedangkan semasa menjadi peguam saya mewakili kes tersebut di Mahkamah Tinggi. Bukankah kalau saya campur tangan kes tersebut tidak akan mengalami nasib seperti itu di peringkat Mahkamah Rayuan, sebab sebagai 'boss' di mahkamah saya boleh berbisik supaya kes tersebut diberi penghakiman memihak kepada UEM. Tetapi saya tidak buat begitu. Apabila kes UEM dibawa ke Mahkamah Persekutuan, mahkamah reverse keputusan Mahkamah Rayuan, masa itu saya dikatakan campur tangan, di mana logiknya sedangkan sepatutnya kalau saya mahu campur tangan, ia akan berlaku di peringkat bawah lagi.

Saya juga semasa menjadi hakim tidak mengendalikan kes firma guaman Shahrizat, Rashid & Lee.

Betulkah menjadi seorang hakim sangat sunyi dan tidak ramai kawan?

TUN ZAKI: Saya tidak membiarkan diri saya rapat dengan banyak orang. Tetapi apabila mengadakan rumah terbuka hari raya saya akan panggil kawan-kawan lama bagi menunjukkan bahawa mereka itu masih kawan saya. Pada hari biasa saya mengelak bertemu orang bisnes dan macam-macam orang lagi. Kita mesti ingat keadilan itu bukan hanya dilaksanakan tetapi dilihat dilaksanakan. Nak kata sunyi, mula-mula memang sunyi. Tetapi saya seronok bekerja dengan hakim-hakim yang lain dan kami mempunyai pelbagai perkara untuk dibincang dan dilaksanakan. Isteri saya pun cakap saya asyik bekerja. Disebabkan banyak kerja saya tak sempat nak fikir soal sunyi. Apabila saya dapat selesaikan satu masalah, akan ada lagi masalah lain perlu diselesaikan. Proses penambahbaikan pula tidak pernah berhenti daripada dilakukan. Ada saja benda baru yang kita nak laksanakan demi kepentingan rakyat. Peringatan saya kepada semua kakitangan kerajaan dan juga kepada semua pekerja, jangan berpuas hati dengan apa yang anda ada sekarang ini, kena sentiasa menambah baik dan mencari rezeki baru dan menetapkan sasaran untuk naik ke satu tingkat lagi. Tetapi jangan terlalu menetapkan sasaran yang terlalu jauh. Andai orang berjoging, jangan fikir soal kilometer, lihat tiang lampu, hari ini sampai ke tiang lampu pertama, esok tiang lampu kedua dan seterusnya. Kalau fikir terlalu jauh kita akan pening dan akhirnya tak sampai sasaran.

Bagaimana imej mahkamah kita di peringkat dalam negara dan luar negara?TUN ZAKI: Imej kehakiman kita bertambah baik, saya rasa semua orang semakin berpuas hati, dulu banyak aduan, kini semakin berkurangan. Di peringkat antarabangsa ramai orang luar datang ke Malaysia mahu mencontohi kehakiman kita. Saya mengunjungi banyak negara dan mereka memuji sistem kehakiman kita. Saya juga buat kunjungan hakim-hakim di sesebuah negara semasa saya bercuti misalnya di United Kingdom dan Brisbane. Kita adakan mesyuarat kehakiman bersama Singapura yang pertama. Sekarang Singapura turut hantar pegawai ke negara kita untuk belajar sistem yang kita laksanakan setelah mereka mengetahui tentang keupayaan kita menyelesaikan kes dalam tempoh sembilan bulan dan sebagainya. Perkembangan ini turut memberi kesan kepada peguam-peguam kerana apabila kes selesai cepat, mereka juga mendapat bayaran yang cepat. Gaji-gaji hakim juga kini semakin meningkat dan Tan Sri Ariffin sedang mengusahakan kenaikan pangkat dan gaji majistret serta hakim mahkamah sesyen. Saya terkilan sedikit kerana tidak dapat menyelesaikan perkara itu sebelum saya bersara. Untuk kakitangan sokongan saya tidak tahu bagaimana mahu membantu mereka, tetapi kalau ada jalannya sememangnya saya laksanakan juga perubahan gaji untuk mereka.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved