Sabtu, 17 September 2011

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Banjir: KTM jadual semula tren

Posted:

Banjir: KTM jadual semula tren

Banjir: KTM jadual semula tren

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menjangkakan kerja-kerja membaik pulih landasan dan struktur di antara stesen Sungai Buloh dan Rawang yang dinaiki air Rabu lalu, selesai pada pukul 6 pagi esok.

Unit Komunikasi Korporat KTMB dalam kenyataan akhbar di sini hari ini memberitahu, kejadian itu telah menyebabkan beberapa perkhidmatannya termasuk KTM Komuter, KTM Intercity dan ETS telah dijadualkan semula.

Ekoran itu, katanya, perkhidmatan KTM Komuter, perkhidmatan tren dari Sungai Gadut ke Rawang ditamatkan di Sungai Buloh dan berpatah balik ke Sungai Gadut.

"Penumpang yang ingin meneruskan perjalanan ke Rawang boleh menggunakan perkhidmatan bas perantaraan yang disediakan oleh KTMB," kata kenyataan itu.

Bagi perkhidmatan KTM Intercity, katanya, tren yang dijadualkan semula adalah Ekspres Senandung Mutiara No. 23, Ekspres Sinaran Utara No. 10, Ekspres Rakyat No. 1 dan 2, serta Ekspres Senandung Langkawi No. 20 dan 21.

Bagi perkhidmatan ETS pula, tren yang dijadualkan semula adalah semua tren yang bermula di Ipoh dan akan tamat di stesen Rawang manakala tren yang bermula di Seremban akan tamat di KL Sentral dan pengguna perlu menggunakan khidmat bas perantaraan ke stesen Rawang atau KL Sentral untuk meneruskan perjalanan.

Pihak KTMB memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi oleh pengguna dan sebarang pertanyaan boleh hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 1-300-88-5862 dari pukul 9 pagi hingga 10 malam.

Tasik Mutiara pulih dua minggu lagi

Posted:

Tasik Mutiara pulih dua minggu lagi

Tasik Mutiara pulih dua minggu lagi

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
kota@utusan.com.my


Gerard Yuen menunjukkan kawasan sampah terkumpul sehingga mencemari Tasik Mutiara di Puchong.


PUCHONG 16 Sept. – Penduduk di sekitar Tasik Mutiara dekat Lake Edge Residence berasa lega apabila masalah pencemaran yang berlaku di tasik tersebut dan telah menjejaskan kehidupan harian mereka sejak setahun lalu dijanjikan akan diatasi dalam masa dua minggu lagi.

Seorang penduduk Lake Edge Residence, Veronica Lien, 62, berkata, pencemaran yang berlaku pada tasik itu telah menganggu penduduk kerana ia mengeluarkan bau yang busuk yang seakan-akan bau ammonia.

Katanya, sebelum ini telah banyak aduan dibuat kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) tapi tiada tindakan yang tegas diambil.

"Sebagai penduduk, kami mengharapkan dapat tinggal di kawasan kediaman yang selesa, namun pencemaran yang berlaku serta bau busuk dan sampah memenuhi tasik telah menjejaskan kehidupan kami.

"Bagaimanapun, saya berasa gembira kerana pihak MPSJ telah berjanji untuk membuat sesuatu mengenai perkara ini serta membersihkan tasik tersebut," katanya ketika ditemui di Rumah Kelab Lake Edge Residence di sini, baru-baru ini.

Turut hadir ialah, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Sing Deo, Ahli Majlis MPSJ, Ng Sze Han, dan Pengerusi Persatuan Penduduk Lake Edge Residence, Gerard Yuen.

Sementara itu, Gobind berkata, satu perjumpaan telah diadakan bersama MPSJ, Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) dan pemaju kawasan itu pada 12 September lalu bagi membincangkan mengenai punca dan cara menyelesaikan pencemaran tersebut.

Katanya, hasil perbincangan itu, perangkap sampah yang rosak di tasik berkenaan akan digantikan dalam masa dua minggu dari tarikh tersebut di samping peningkatan kerja pemantauan dan penguatkuasaan daripada pegawai MPSJ bagi menghentikan kemasukan lori-lori yang melakukan pembuangan sampah haram.

"MPSJ juga telah memutuskan untuk mengeluarkan notis berhenti kerja kepada pemaju supaya kerja penambakan tanah di tasik itu dapat dihentikan serta-merta sehingga isu pemilikan tanah dan pengeluaran permit baru diselesaikan.

"Dalam mesyuarat itu juga, Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi telah bersetuju untuk menulis surat kepada IWK dan meminta mereka menyelesaikan masalah tersebut dan menaik taraf kemudahan di loji mereka di kawasan tasik tersebut secepat mungkin," ujarnya.

Tambahnya, beliau turut meminta agar pihak berkenaan dapat melakukan kajian sampel air yang teliti dan memantau tahap pencemaran air dan udara di kawasan tasik supaya tidak berlaku masalah kesihatan di kalangan penduduk pada masa depan akibat pencemaran ini.

Stor minyak hitam musnah dalam kebakaran

Posted:

Stor minyak hitam musnah dalam kebakaran

Stor minyak hitam musnah dalam kebakaran

PELABUHAN KLANG 16 Sept. - Lima rumah kedai sederet yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan minyak hitam di Lorong Sungai Chandong 12A, Kawasan Perindustrian Bandar Armada Putra, Pulau Indah di sini musnah dalam kebakaran petang ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, tiada kemalangan jiwa berlaku kerana semua pekerja di stor berkenaan bercuti sempena Hari Malaysia.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran kira-kira pukul 3 petang dan sejurus itu, lima buah jentera bersama 50 anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadamkan api.

Beliau berkata, kebakaran di rumah kedai itu dapat dikawal dalam tempoh satu jam.

"Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 8 malam dengan bantuan lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Andalas, Pelabuhan Klang, Shah Alam, Subang Jaya dan Bukit Jelutong," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya.

Sementara itu, seorang saksi warganegara Nepal yang bekerja di premis berhampiran, Arjun Ramm, 32, berkata, dia terbau asap dan menyangka ia berpunca daripada sampah terbakar.

"Selepas keluar kedai, saya mendapati api mula menjulang tinggi. Saya juga terdengar bunyi letupan dan memanggil semua rakan sekerja menyelamatkan diri," katanya.

Seorang penduduk Flat Baiduri yang terletak 200 meter dari lokasi kejadian, Hakim Luqman, 19, pula memberitahu, dia sedang berehat di rumahnya yang terletak di tingkat tiga apabila terdengar bunyi letupan dan melihat kepulan asap serta api menjulang.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved