Utusan Online - Timur |
- RM3.17 juta untuk 6 bulan
- Pertandingan Pelita Raya bakal jadi daya tarikan pelancong di Terengganu
- Bas rombongan tabika terbabas dalam longkang
Posted: RM3.17 juta untuk 6 bulanOleh ASMA HANIM MAHMOOD KOTA BHARU 16 Sept. - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri memperuntukkan lebih RM3.17 juta untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini bagi Bantuan Penjagaan Orang Kelainan Upaya Terlantar/Pesakit Kronik Terlantar (Bpt) di negeri ini. Pengarahnya, Md. Noor Chik berkata, seramai 1,804 ahli keluarga atau penjaga pesakit yang terlantar menerima bantuan ini sepanjang enam bulan pertama tahun ini. Beliau berkata, skim Bpt membolehkan penjaga pesakit terlantar mendapat bantuan kewangan berjumlah RM300 sebulan untuk menampung perbelanjaan menjaga warga tua yang melibatkan kos yang agak tinggi untuk membeli lampin pakai buang, ubat-ubatan dan sebagainya. "Lebih 90 peratus daripada penjaga yang menerima skim Bpt di negeri ini terdiri daripada waris yang menjaga warga tua terlantar. "Skim Bpt amat sesuai sebagai alternatif mengelak warga tua yang tinggal keseorangan dihantar ke rumah orang tua sedangkan terdapat waris yang layak dan boleh menjaga mereka. "Daripada tinggal berjauhan di rumah orang tua, adalah lebih baik jika ada waris yang berdekatan memantau keadaan mereka dari semasa ke semasa sekali gus membolehkan mereka diziarahi sanak saudara lain dengan mudah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Md. Noor berkata, sepanjang tahun lalu sahaja, sebanyak RM6.09 juta di peruntukkan di bawah skim Bpt melibatkan bantuan kepada 1,790 penjaga yang layak di seluruh negeri ini. Katanya, jumlah RM300 sebulan untuk penjaga itu tidak termasuk bantuan khusus yang diberi kepada warga tua di bawah skim Bantuan Orang Tua (BOT) yang juga berjumlah RM300 sebulan. "Selain berusaha untuk mewujudkan masyarakat penyayang yang prihatin dan mengambil berat keadaan waris serta jiran di sekeliling, skim Bpt akan mengurangkan permohonan masuk ke rumah orang tua kerana tempat yang disediakan adalah terhad. "Ia juga dapat membantu kerajaan kerana kos penjagaan di rumah orang tua kendalian JKM membabitkan purata perbelanjaan RM1,000 seorang untuk belanja pengurusan, peralatan dan sebagainya," katanya. |
Pertandingan Pelita Raya bakal jadi daya tarikan pelancong di Terengganu Posted: Pertandingan Pelita Raya bakal jadi daya tarikan pelancong di TerengganuAbdul Rahin Mohd. Said (empat dari kiri) Mohd. Yusoff Abdullah (lima dari kiri) dan Ramli Muhamad Nuh (tiga dari kiri) meraikan pemenang-pemenang Pertandingan Pelita Raya di Kuala Terengganu, semalam. KUALA TERENGGANU 16 Sept. - Kerajaan negeri akan mengembangkan Pertandingan Pelita Raya lebih meluas sebagai salah satu daya tarikan pelancongan dan menyemarakkan lagi tradisi memeriahkan sambutan Aidilfitri. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said berkata, selain Tepoh, ia akan melibatkan penyertaan penduduk di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuala Nerus. Katanya, pertandingan itu juga bakal dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan kerajaan negeri dan dijadikan sebahagian daripada agenda sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 nanti. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri dan penyampaian hadiah Pertandingan Pelita Raya 2011 di Kampung Baru Tepoh, di sini, semalam. Hadir sama ADUN Tepoh, Muhammad Ramli Nuh dan Pengarah Lembaga Muzium negeri, Mohd. Yusof Abdullah. Katanya, kerajaan akan membina replika pelita mega di persimpangan Kampung Tepoh sebagai mercu tanda bagi kampung berkenaan yang menjadi pencetus idea pertandingan pelita raya. ''Kemeriahan pertandingan ini telah dikongsi oleh sebilangan besar pengunjung dari dalam dan luar negara dan saya harap program ini bakal menjadi salah satu produk pelancongan," katanya. Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rahin berkata, pihaknya kini dalam proses untuk menubuhkan sekretariat sempena TMT 2013. "Kita juga akan giatkan usaha mempromosi tempat-tempat menarik dan aktiviti menarik di negeri ini mulai tahun ini," ujar beliau. Sementara itu, Kampung Padang Hangus di sini diumumkan selaku juara keseluruhan bagi Pertandingan Pelita Raya 2011 sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM500 berserta piala iringan, manakala Kampung Pagar Ubi pula memenangi Anugerah Khas Juri (Penyertaan dan Komitmen) dan menerima wang tunai sebanyak RM500. Bagi kategori individu untuk Kampung Padang Hangus pula, johan pertandingan memperoleh RM1,000, naib johan (RM750), ketiga (RM500) serta 12 hadiah sagu hati berjumlah RM250 berserta hamper dan sijil penyertaan setiap seorang. Kategori yang sama untuk Kampung Pagar Ubi juga menawarkan hadiah yang sama berserta 10 hadiah sagu hati berjumlah RM250 bersama hamper dan sijil penyertaan setiap seorang. Tiga lagi kampung iaitu Kampung Raja, Kampung Baru dan Kampung Tokeng masing-masing memenangi anugerah khas juri berjumlah RM500 berserta lima hadiah sagu hati berjumlah RM250 setiap seorang. |
Bas rombongan tabika terbabas dalam longkang Posted: Bas rombongan tabika terbabas dalam longkangSETIU 16 Sept. - Sebuah bas yang membawa kira-kira 30 penumpang terbabas ke dalam longkang ketika melalui Kilometer 37, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bahru di Sungai Tong di sini semalam. Bagaimanapun, pemandu dan kesemua penumpang bas itu yang terdiri daripada anggota rombongan Tabika Kemas Taman Chemor Raya di Ipoh, Perak hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Setiu sebagai pesakit luar. Kemalangan berlaku kira-kira pukul 9.15 pagi ketika bas tersebut dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu membawa anggota rombongan berkenaan bercuti di beberapa tempat menarik di negeri ini. Menurut salah seorang anggota rombongan, Siti Hajar Sahid, 44, kemalangan berlaku secara tiba-tiba apabila bas tersebut memasuki lorong bertentangan sebelum terlanggar pokok dan terbabas. "Saya tidak sangka akan berlaku kemalangan kerana bas itu dipandu dengan perlahan dan kami semua dapat melihat dengan jelas apa yang berlaku ketika itu," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis (IPD) Setiu. Seorang lagi anggota rombongan yang juga guru tabika, Hamisah Hamzi, 35, berkata, kebanyakan anggota rombongan itu tidak pernah sampai ke Terengganu dan agak terkejut selepas terlibat dalam nahas tersebut. "Kami terpaksa balik semula ke Ipoh dan tidak sempat bercuti di sini," katanya sambil memberitahu, rombongan itu turut membawa bersama 15 kanak-kanak berusia di antara 4 hingga 6 tahun berserta ibu bapa mereka, guru serta kakitangan tabika. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Rohaizat Abd. Ani ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. Katanya, siasatan awal polis mendapati, kemalangan itu berpunca daripada selekoh tajam dan jalan yang tidak rata. Polis telah mengambil keterangan pemandu bas berusia 39 tahun itu untuk siasatan lanjut, kata beliau. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan