Utusan Online - Jenayah |
Posted: 2 maut ketika larikan diriOleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR TUMPAT 17 Sept. - Dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak maut selepas kereta yang mereka naiki dan sarat dengan muatan bahan api tersebut terbabas ke dalam tali air di Kilometer 2.5, Jalan Berangan-Meranti dekat Kampung Kok Seraya di sini, malam tadi. Pemandu kereta terbabit yang berusia 23 tahun dari Kampung Telaga Bata dan rakannya berusia 32 tahun dari Kampung Geting. Kedua-dua mereka meninggal dunia di tempat kejadian selepas terperangkap dalam kereta jenis Proton Wira Aeroback bersama timbunan tong-tong berisi minyak petrol dipercayai untuk diseludup ke Thailand. Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam, kereta yang mereka naiki terbalik dengan keempat-empat tayar berada dalam tali air selain terbakar dengan api menjulang tinggi hampir empat meter. Kedua-dua mereka dipercayai cuba melarikan diri apabila menyedari terdapat sekatan jalan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) di kampung itu. Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kelantan, Annuarul Hakim Mohny berkata, dipercayai kereta itu membawa 20 tong diesel yang dipercayai punca kebakaran itu berlaku. "Kereta itu dikatakan membuat pusingan sebaik sahaja ternampak sekatan. Mungkin mereka menyangka ia adalah sekatan polis. "Selepas berpatah balik, kereta itu kemudian terbabas dan terjunam ke dalam tali air sebelum terbakar, kira-kira 100 meter dari lokasi sekatan tersebut," katanya kepada pemberita di tempat kejadian. Menurut Annuarul Hakim, pihaknya yang dihubungi anggota SRS kira-kira pukul 10.20 malam mengambil masa kira-kira setengah jam untuk memadam kebakaran dan menemui dua mayat dalam kereta tersebut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. Katanya, pemandu kereta maut akibat melecur di muka dan hampir seluruh badan, manakala rakannya melecur di badan serta kedua-dua kaki. |
Nelayan dikhuatiri maut dibaham buaya Posted: Nelayan dikhuatiri maut dibaham buayaSARATOK 17 Sept. - Seorang nelayan dikhuatiri maut dibaham buaya sepanjang empat meter ketika memungut hasil tangkapan di Sungai Seblak, Kampung Melayu Roban dekat sini awal pagi ini. Sulaiman Abdullah, 68, dipercayai dibaham reptilia itu ketika memungut hasil tangkapan bersama seorang anak dan cucunya kira-kira pukul 4.30 pagi. Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Lee Thai Lein berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 5 pagi ini daripada penduduk kampung. Menurutnya, berikutan itu, polis melancarkan operasi mencari mangsa bermula pukul 9 pagi ini bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan penduduk kampung. "Ketika mencari, seorang sepupu mangsa dikatakan ternampak kelibat reptilia itu bersama mayat mangsa yang berada dalam mulutnya, kira-kira pukul 9.30 pagi ini. "Susulan itu, polis mengarahkan operasi mencari mayat mangsa dihentikan seketika kerana khuatir buaya tersebut akan mengganas," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Dalam pada itu, Thai Lein memberitahu, pihaknya menghadapi sedikit kesukaran dalam operasi mencari mayat mangsa ekoran air sungai yang kadang kala surut serta cetek. Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan meneruskan operasi berkenaan sehingga menemui mayat tersebut. "Memang tidak dinafikan terdapat reptilia berkenaan di sungai ini, malah saya sendiri pernah ternampak empat hingga lima ekor buaya ketika mengetuai operasi membunuh haiwan itu beberapa bulan lalu. "Ini merupakan kejadian kedua selepas kejadian pertama serangan buaya berlaku di Sungai Empelam di Saratok pada Julai lalu," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan