Utusan Online - Timur |
Posted: G-Orange tawar harga istimewaOleh RAHANA MOHD. DAHARI
KOTA BHARU 14 Julai – Dalam kalangan yang berkerjaya, tuntutan tugas luar yang memenatkan ditambah pula dengan kesesakan jalan raya yang hingar-bingar, mendorong mereka mengimpikan suasana kediaman yang mendamaikan, redup, tenang dan senang mata memandang setiap kali pulang ke rumah. Bagaimanapun, kemampuan untuk memiliki susun atur perabot impian dengan dekorasi menarik mengikut cita rasa, sering terbatas kerana ia bergantung kepada pendapatan seisi keluarga. Alangkah baiknya jika terdapat sebuah premis yang menawarkan kelengkapan rumah di bawah satu bumbung dengan harga mampu milik. G-Orange Homemart SB (G-Orange) mungkin jawapan yang dicari-cari. Bangunan empat tingkat itu menawarkan bilik pameran pelbagai jenis produk kelengkapan rumah dalam suasana membeli-belah yang santai serta mementingkan keselesaan. Di bahagian dua tingkat pertamanya yang berkeluasan kira-kira 21,600 meter persegi persegi, sedia dikunjungi tujuh hari seminggu bermula pukul 9 pagi hingga 10.30 malam. Walaupun ruangnya luas dan dibahagikan kepada beberapa bahagian mengikut produk yang ditawarkan, konsepnya bebas tanpa penghadang. Suasana ini memberi peluang kepada pelanggan 'menjamu mata' dalam suasana tenang sambil membandingkan harga yang mampu dimiliki sebelum membuat keputusan. Menurut Pengarah Urusan G-Orange, Raymond Ng, bangunan yang terletak di pinggir jalan besar, Batu 4 1/2, Tunjung, Jalan Kuala Krai itu merupakan lokasi pilihan seisi keluarga, terutama bagi mereka yang baru berpindah ke rumah baru atau ingin mengganti perabot lama kepada reka bentuk terkini. "Pelanggan yang mahu mendirikan rumah tangga juga sesuai membeli-belah di sini kerana selain perabot bilik tidur, G-Orange turut menawarkan langsir yang beraneka fabrik, corak dan warna. "Sempena promosi sepanjang Julai ini, setiap pembelian akan mendapat 50 peratus potongan harga dan istimewanya perkhidmatan menjahit langsir tersebut adalah percuma," ujarnya ketika ditemui di G-Orange di sini baru-baru ini. Berkongsi perniagaan dengan Mohd. Derepi Mahmood, selaku Pengarah, ikatan persahabatan yang terjalin lebih 20 tahun lalu itu dieratkan lagi dengan pembukaan G-Orange lebih kurang lima tahun lalu dengan tumpuan utama perniagaan ketika itu daun pintu dan aksesori kunci rumah. "Asalnya, hanya beberapa produk keperluan rumah seperti daun pintu, kunci dan pemegangnya, kemudian ditambah singki, mangkuk tandas, perabot ruang tamu, dapur, bilik tidur sehinggalah kini beralih kepada barangan hiasan dalaman dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. G-Orange yang terletak di Batu 4 1/2 Tunjung, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu sering dikunjungi oleh orang ramai. – UTUSAN/Aizzul A.Majid "G-Orange turut menawarkan, kertas dinding, lantai kayu, kabinet dapur dan almari pakaian sehinggalah kepada barangan keperluan elektrik bagi memenuhi cita rasa pelanggan yang semakin memberi sambutan baik terhadap perniagaan ini," katanya. Raymond yang berasal dari Lenggong, Perak dan berkahwin dengan wanita Kelantan, mengaku nama G-Orange unik dan sering mengundang pertanyaan pelanggan kerana ia lebih sinonim dengan nama makanan atau restoran. "Huruf 'G' itu adalah singkatan nama anak perempuan kedua saya, Angie yang mesra dengan panggilan G dalam kalangan teman-teman dan dia menambah Orange untuk sedap didengar dan mudah disebut," katanya. Kelainan itu katanya, sengaja dicipta untuk mengukuhkan jenamanya di pasaran, terutama sepanjang Julai ini yang menawarkan promosi hebat khas menghargai pelanggan baharu dan lama. "Bulan ini lebih istimewa kerana bermula 1 sehingga 31 Julai, setiap hari G-Orange mengadakan jualan istimewa pelbagai pilihan barangan elektrik dan keperluan dapur dengan harga promosi RM9.90 sebuah. "Setiap hari hanya 50 unit akan dijual dan pelanggan berpeluang memilikinya dengan cara memutar roda impian yang disediakan di hadapan pintu masuk ke bangunan G-Orange untuk mengelak kesesakan. Melalui cara tersebut, ia memberi peluang sama rata kepada semua pengunjung," katanya. Menurut Mohd. Derepi pula, sejak promosi dimulakan, sambutan yang diterima daripada para pelanggan tempatan amat menggalakkan, malah pihaknya terkejut kerana G-Orange turut dikunjungi oleh pelanggan dari Pahang, Trengganu, selain anak tempatan yang tinggal di Kuala Lumpur yang pulang bercuti ke kampung. "Pada hari biasa, barangan yang berharga di bawah RM100 seperti mesin pembuat kopi, sterika, dapur gas, alat pengisar, pembakar sandwich ditawarkan dengan harga RM9.90 setiap satu. "Istimewa pada hari pembukaan esok, (16 Julai) G-Orange menawarkan 50 unit Oven Microvawe yang harganya pada hari-hari biasa RM305 sebuah, tetapi orang ramai berpeluang memilikinya dengan harga RM9.90 sahaja," katanya. Mohd. Derepi menambah, tawaran menarik itu hanya terdapat di G-Orange dan terbuka kepada setiap pengunjung mulai pukul 3 petang setiap hari sehingga semua produk promosi habis dijual. "Jika terlepas peluang, pelanggan masih mempunyai peluang menikmati potongan harga pelbagai jenis produk di sini sehingga separuh harga. Sekiranya pelanggan mempunyai keinginan untuk mencantikkan kediaman dan mahu mendapatkan khidmat rundingan juga dialu-alukan. "Misalnya, ruang tamu merupakan keutamaan di rumah dan keselesaan tempat duduk amat dititikberatkan. Pilihan kerusi dan sofa bergantung kepada keinginan dan keperluan tuan rumah dan pelbagai bentuk dengan rekaan moden ada di G-Orange," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Menu Rakyat 1Malaysia dapat sambutan Posted: Menu Rakyat 1Malaysia dapat sambutanOleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB KUALA TERENGGANU 14 Julai – Menu Rakyat 1Malaysia mendapat sambutan menggalakkan daripada pengusaha makanan di negeri ini dengan 124 premis bersama menjayakan program bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian masyarakat. Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu, Ghazali @ Suhaimi Muhamad berharap lebih ramai pengusaha menyertai program itu yang menawarkan pakej makanan dengan harga maksimum atau di bawah harga RM2 bagi sarapan dan RM4 untuk makan tengah hari. ''Setakat ini, di Kuala Terengganu mencatatkan 40 premis, Hulu Terengganu (26), Marang (20), Dungun (17) Kemaman (8), Setiu (7), Besut (6). Kejayaaan program ini amat bergantung kepada komitmen dan sokongan para pengusaha restoran, kedai atau gerai makan. ''Bilangan ini adalah daripada 611 premis di seluruh negara yang turut serta," katanya ketika berucap melancarkan Menu Rakyat 1Malaysia peringkat negeri di Warung Siang Malam di Gong Badak dekat sini, malam tadi. Premis yang beroperasi 24 jam itu popular di kalangan masyarakat setempat dan sebagai simbol pelancaran, beliau menyerahkan pemidang menu kepada pemilik warung, Zamri Ali. Turut hadir, timbalan beliau, Abdul Ghani Harun dan Pengerusi Persatuan Pengguna Negeri Terengganu, Mohd. Zukee Mohd. Ragam. Program itu telah dilancarkan oleh pada 7 Julai lalu dan pakej diperkenalkan oleh kerajaan sebagai salah satu langkah menawarkan harga makanan yang berpatutan untuk dinikmati oleh rakyat. ''Program ini bukanlah satu bentuk kawalan harga tetapi ia lebih kepada mengajak para peniaga bersama menjalankan tanggungjawab sosial kepada pelanggan," katanya. Katanya, ia terbuka kepada semua pengusaha makanan untuk turut serta dan pada masa yang sama diharapkan mereka turut menitikberatkan keenakan sajian dan kebersihan agar perniagaan bertambah laris. ''Kepada para pengguna yang ingin mendapatkan maklumat lanjut lokasi premis serta menu yang ditawarkan oleh restoran, kedai atau gerai makan di seluruh negara, mereka boleh melayari laman web kementerian di ww.kpdnkk.gov.my," katanya. Sementara itu, bercakap kepada pemberita, Ghazali memberitahu, pihaknya sudah mengemukakan senarai harga 18 barangan kawalan musim perayaan di negeri ini kepada pihak kementerian untuk mendapatkan kelulusan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Mangsa kebakaran terima bantuan Posted: Mangsa kebakaran terima bantuan
MACHANG 14 Julai – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan menyampaikan sumbangan kepada dua keluarga yang kehilangan tempat berteduh selepas rumah mereka hangus dijilat api dalam kebakaran pada 5 Julai lalu. Baginda memberikan sumbangan peribadi RM5,000 kepada setiap keluarga itu bagi meringankan beban mereka selain membantu menampung perbelanjaan harian. Sumbangan melalui Yayasan Sultan Kelantan (YSK) itu disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Zainuddin Ibrahim. Zainuddin berkata, penyampaian bantuan kewangan itu merupakan aktiviti pertama YSK dalam usaha meringankan beban rakyat yang kurang bernasib baik di negeri ini. "Mulai sekarang, yayasan akan bergerak aktif menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan bantuan selaras dengan titah Sultan Kelantan yang mahu kebajikan rakyat sentiasa terjaga. "Mengikut prosedur, mana-mana pihak yang memerlukan bantuan, hendaklah memaklumkan perkara itu kepada saya atau juga lebih baik melalui pemimpin di kawasan masing-masing," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan itu di sini, kelmarin. Sementara itu, dua penerima sumbangan tersebut, Ramli Ibrahim, 57, dan Bidah Yusof, 76, melahirkan rasa kesyukuran di atas keprihatinan baginda terhadap masalah yang dihadapi. "Saya sangat gembira apabila diberitahu oleh ketua jajahan bahawa pihak pertama yang memaklumkan hasrat memberikan sumbangan kepada kami setelah berita tragedi menimpa kami tersiar dalam media adalah YSK. "Setelah rumah terbakar, kami tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang dan hanya mengharapkan belas ihsan saudara-mara serta orang ramai untuk memulakan kehidupan baru," kata Ramli. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan