Utusan Online - Hiburan |
Joging aktiviti masa lapang Eira Syazira Posted: Joging aktiviti masa lapang Eira SyaziraOleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
SIAPA sangka biarpun sinonim dengan watak air mata, dramatis jelita, Syazira Shuhaimi atau lebih dikenali Eira Syarzira merupakan seorang yang tegas dalam aspek kesihatan diri. Baginya, biarpun jadual harian sebagai anak seni semakin padat, dia tidak sekalipun mengambil remeh soal kesihatan yang menjadi keutamaannya. Sama seperti kebanyakan insan lain yang mahukan tahap kesihatan sentiasa baik, peneraju drama bersiri Anak Mami Mek Ani itu akan memastikan kelapangan jadual hariannya dipenuhi dengan aktiviti riadah yang menyihatkan seperti berjoging ataupun berkunjung ke gimnasium. "Itulah antara aktiviti yang Eira lakukan untuk memastikan sentiasa segar dan sihat. "Sebenarnya bukan susah untuk menjaga kesihatan kerana yang penting adalah kemahuan kita sendiri. "Lagipun sekarang ini sudah banyak tempat riadah seperti tasik rekreasi yang disediakan. "Jadi semua itu terpulang pada diri sendiri sama ada mahu atau tidak menggunakan kemudahan yang telah disediakan kerajaan," jelas Eira ketika ditemui S3 di Taman Tasik Permaisuri, baru-baru ini. Tambah aktres yang kini mula berjinak dengan dunia nyanyian itu, sekiranya jadual hariannya kosong daripada aktiviti seni, dia pasti tidak akan melepaskan peluang untuk berjoging di sekitar Tasik Putrajaya yang terletak tidak jauh dari rumahnya. "Bukan senang untuk mendapatkan masa yang sesuai ke tasik, maklumlah masa kerja yang tidak menentu, jadi apabila ada masa lapang Eira tidak akan lepaskan. "Bagi Eira dengan menjengah tasik di waktu pagi pasti membuatkan diri kita akan berasa segar dan tenang kerana persekitaran tasik yang nyaman. "Selain bersenam, pastinya kita dapat merasai nikmat udara segar di pagi hari," ujar Eira lembut dengan senyuman yang sentiasa terukir di bibirnya. Jelas Eira lagi, jika jadual hariannya dipenuhi dengan aktiviti seni, dia akan memastikan dapat mencuri sedikit masa untuk melakukan regangan badan. "Andai sibuk sangat dengan penggambaran, Eira akan tukar haluan pergi ke gimnasium untuk melakukan senaman kardiovaskular. "Tetapi jika penggambaran itu terlalu padat dan lokasinya jauh dari Lembah Klang, Eira akan melalukan senaman ringan di sana sahaja seperti naik turun tangga ataupun sit-up. "Eira tidak kisah walau di mana berada yang penting Eira dapat melakukan rutin itu," jelas pelakon yang pernah bergandingan dengan Shaheizy Sam dalam filem Ngangkung. Selain itu, jelas Eira, rutin senamannya tidak akan lengkap sekiranya tidak diakhiri dengan sarapan pagi. "Bersenam-bersenam juga, pemakanan kita tetap kena jaga kerana ia saling berkait. "Macam Eira, setiap kali selepas jogging pasti akan mengambil sarapan untuk menggantikan semula tenaga yang telah digunakan. "Menu wajib untuk sarapan Eira adalah roti bakar, emping jagung berperisa koko krunch ataupun emping jagung sahaja," jelas Eira yang baru melancarkan album sulungnya, Di Hati Ini. Bagaimanapun dalam sibuk menjaga aspek pemakanan, Eira menegaskan dia bukanlah seperti sesetengah wanita yang terlalu obses menjaga pemakanan sehingga memudaratkan diri. "Bagi Eira yang penting pastikan makanan yang kita ambil itu seimbang dan kalau hendak berdiet jangan sampai keterlaluan. "Diet Eira senang sahaja, pastikan apa yang kita makan itu cukup kandungannya, ada protein, karbohidrat dan yang pasti sayur segar kena ada dalam pinggan," ujar Eira yang sudah pandai menjamu nasi kandar. Bagaimanapun jelas anak kelahiran Kuala Lumpur itu, dia tidak pernah sekali menolak nasi untuk dijamu seperti mana yang dilakukan oleh rakan-rakannya yang mengamalkan diet. "Nasi tetap Eira makan, cuma kuantitinya sahaja yang dikurangkan agar tidak berlebihan, lagipun itu sudah menjadi makanan ruji orang kita dan susah hendak mengelak. "Namun apa yang Eira amalkan adalah berhenti apabila mula berasa kenyang dan jangan terlalu mengikut nafsu," tambah Eira dalam mendedahkan petua yang diamalkan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Dina dan Ira di medan perangkhadijah.ibrahim@utusan.com.my
Tujuan S3 ke sana baru-baru ini adalah untuk memenuhi keinginan penyiar radio Era, Faradina Mohd. Nadzir, 25, dan Zarith Adzmira Mohd. Amin, 27, yang teringin menjadi 'askar' beraksi di medan perang ketika bermain paintball. Menurut Faradina atau Dina yang mengendalikan program Muzik ERAthon, setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 1 sehingga 4 petang, ini bukan kali pertama dia memegang marker peluncur paintball yang menyerupai senjata itu. "Kali pertama Dina main paintball pada tahun 2004 ketika bersama peserta program Malaysian Idol untuk release tension. Kedua, bersama rakan-rakan dan ini kali ketiga," ceritanya. Sementara itu, Zarith Adzmira atau Ira yang mengendali Zon ERA, pada pukul 8 malam sehingga 12 tengah malam dari Isnin sehingga Jumaat itu memberitahu, inilah pertama kali dia memegang marker dan cuba mengenali peralatan dan kelengkapan paintball. "Ehh! sakit tak? Kalau sakit, Ira nak geng dengan encik Najib (marshall, yang mengawasi pergerakan setiap pemain). Tak naklah main dengan dia orang tu, semuanya nampak macam handal," beritahunya terus terang. Sebelum Dina dan Ira melangkah ke medan peperangan, mereka terlebih dahulu mendaftar nama dan kemudian diberi penerangan oleh Najib tentang peraturan sewaktu berada di lokasi peperangan. Katanya, walau apa pun yang berlaku ketika di lokasi jangan sesekali membuka topeng wajah atau Rompi (Body Vest), wajib digunakan ketika pemain memasuki arena bermain. "Topeng wajah dan body vest ini berfungsi melindungi bahagian tubuh. Tidak dibenarkan membuka selama bermain atau berada di dalam lapangan. Sila pastikan setiap orang ada peluru," katanya. Sewaktu semua peserta berjalan menuju ke lapangan perang yang dipanggil Us Base, Dina dan Ira sempat berkongsi perasaan mereka dengan S3. Kata Dina, terasa seperti menuju ke medan perang sebenar kerana semua peserta lengkap dengan peralatan peperangan. "Mak oi! Takutnya. Macam mana ya kalau kita benar-benar berada di medan perang? Sudahlah kita tidak ada pengalaman, silap hari bulan kita yang pergi dulu, sebab geng lain tu macam sudah biasa main paintball," luah Dina. Sementara itu, Ira, yang sedikit gusar kerana pertama kali ke medan perang paintball berharap ini bukanlah kali pertama dan terakhir untuknya mencuba permainan lasak itu. Katanya, mendengar penerangan yang diberi oleh Marshall, sukan ini amat menitikberat kerjasama, fokus dan kekuatan stamina. "Nak main paintball ini kena ada stamina yang kuat. Kalau lemah, sah-sah awal lagi kena tembak dan perlu banyak berlari. Harap-harap dapatlah Ira tembak pihak musuh nanti," katanya penuh harapan. Setelah 10 minit berperang, tiba-tiba Ira keluar daripada zon perang sambil mengeluh pedih di bahagian jari. "Ish... geramnya, dekat-dekat nak habis misi baru kena tembak. Apa pun Ira berjaya tembak seorang musuh, tapi sakit tangan ni tak dapat nak kata," luahnya yang merancang untuk mengajak rakan-rakan lain bermain paintball tidak lama lagi. Apabila diajak bermain untuk kali kedua, Dina dan Ira sepantas kilat memberi alasan kepada Najib bahawa mereka ada temu janji lain dan tidak boleh meneruskan permainan. Bagaimanapun kedua-dua mereka berharap dapat berkumpul dengan rakan-rakan lain untuk bermain paintball lagi di masa akan datang. Kata Dina, antaranya dengan Ira sukar untuk bertemu kerana jadual kerja yang tidak sama, namun kalau ada kesempatan mereka akan curi-curi waktu untuk makan bersama di Pavillion, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Tambahnya, kalau ada masa lapang, dia suka bermain dengan anak saudaranya, Muhamad Adam Khair yang memanggilnya, mami. Sementara Ira pula lebih banyak menghabiskan masa di rumah dan sesekali sahaja keluar kalau diajak oleh rakan-rakan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan