Utusan Online - Kota |
- Bazaria Pantai mulakan operasi
- Operasi besar-besaran potong bil air tertunggak
- Zakat untuk 8,880 pelajar
Bazaria Pantai mulakan operasi Posted: Bazaria Pantai mulakan operasiOleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
KUALA LUMPUR 14 Julai - Bazaria Pantai di Pantai Permai, Pantai Dalam di sini yang mula beroperasi sejak beberapa minggu lalu adalah bukti kejayaan kepada kesungguhan kerajaan untuk menjadikan suasana perniagaan di ibu negara selesa kepada semua pihak. Selain memberikan peniaga ruang terbaik untuk memajukan diri, bazar itu juga berjaya mengatasi masalah kesesakan di kawasan itu berikutan kewujudan gerai di tepi jalan sebelum ini sehingga menjadi rungutan banyak pihak. Kini, semua peniaga gerai itu akan berpindah ke situ dan orang ramai boleh menjamu selera dalam suasana yang lebih selesa dan selamat. Peniaga yang ditemui mengakui mereka sangat teruja menjalankan perniagaan di situ kerana kemudahan dan keselesaan yang terdapat di situ ternyata jauh lebih baik daripada gerai lama mereka. Seorang pengusaha butik pakaian, Nur Hafizah Alias, 29, berkata, dahulu dia hanya berniaga di tepi- tepi jalan sahaja, namun setelah mula berniaga di bazar itu, perniagaannya kini lebih teratur. Katanya, selain lokasi yang sangat strategik yang memudahkan orang ramai untuk mengunjungi bazar itu, pelbagai kemudahan turut disediakan, di samping mempunyai landskap yang menarik. "Bazar ini dilihat jauh lebih selesa berbanding kawasan perniagaan yang dulu, yang rata-ratanya terletak di tepi jalan. Apa yang lebih penting ialah para peniaga di sini kini mempunyai lesen. Dahulu kami tidak mempunyai lesen," katanya. Seorang peniaga yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Pantai, Puchong, Abdul Latiff Dawi berkata, bazar itu telah merubah landskap perniagaan Pantai Permai kepada yang lebih baik. "Gerai-gerai di sini lebih tersusun dan sangat selesa berbanding gerai pada masa lalu. Perkembangan ini merupakan satu transformasi kepada peniaga setelah sekian lama menjalankan perniagaan di tepi jalan," katanya. Abu Budin, 75, yang mengusahakan perniagaan runcit pula merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kumpulan Amona kerana mewujudkan bazar tersebut. Katanya, dia kini berniaga dengan lebih selesa di kawasan perniagaan yang sangat cantik dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. Sementara itu, Penolong Pegawai Kesihatan DBKL, Azlan Abdullah berkata, proses pemindahan peniaga ke bazar tersebut sedang giat dijalankan. Katanya, dalam dua minggu lagi, para peniaga dijangka akan memenuhi bazar tersebut dan bazar itu akan beroperasi sepenuhnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Operasi besar-besaran potong bil air tertunggak Posted: Operasi besar-besaran potong bil air tertunggakKUALA LUMPUR 14 Julai - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) akan melaksanakan operasi pemotongan bekalan air terhadap akaun tertunggak secara besar-besaran di seluruh negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selama seminggu bermula Isnin depan. Dalam operasi itu, Syabas menyasarkan semua akaun tertunggak yang telah diberikan notis peringatan berbentuk 'cop merah' tetapi masih gagal untuk menjelaskan bil tertunggak mereka dalam masa 14 hari selepas notis diterima. Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som dalam kenyataan akhbarnya di sini hari ini memaklumkan, tindakan itu adalah selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (AIPA 2006) yang diluluskan oleh Parlimen dan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2008. Sehubungan itu, Syabas menasihatkan para pengguna yang mempunyai bil air tertunggak supaya membuat bayaran dengan kadar segera bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan pemotongan. "Sekiranya tindakan pemotongan telah diambil, pengguna akan dikenakan caj pemotongan dan penyambungan semula sebanyak RM50 seperti yang termaktub di bawah Enakmen Pembekalan Air 1997, Kaedah-kaedah Bekalan Air (Bayaran) Selangor 2006," katanya. Selaras dengan operasi besar-besaran itu, pihak Syabas akan melanjutkan waktu perkhidmatan kaunter bayaran di 11 Pejabat Wilayah Syabas dari pukul 9 pagi hingga 5 petang pada 23 Julai dan sehingga 12 tengah hari pada 24 Julai bagi memudahkan orang ramai berurusan. Untuk maklumat lanjut, hubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas di talian bebas tol 1-800-88- 5252 atau melalui SMS, dengan menaip PUSPEL <jarak><aduan atau pertanyaan> dan hantar ke 39222. Pengguna juga boleh memilih untuk daftar masuk ke laman web Twitter dan Facebook Syabas. | ||
Posted: Zakat untuk 8,880 pelajarOleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN
SHAH ALAM 14 Julai - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) hari ini menyerahkan zakat berjumlah RM888,000 kepada golongan asnaf yang layak di negeri ini. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, zakat berkenaan diagihkan kepada 8,880 pelajar sekolah di sekitar Selangor. "Sebanyak 174 sekolah terlibat dalam pengagihan ini dengan 145 daripadanya merupakan sekolah rendah manakala 29 lagi sekolah menengah," katanya ketika berucap pada majlis Penyampaian Zakat Perdana Wilayah Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini. Hadir sama, Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat dan Timbalan Pengarah Pelajaran Selangor, Mahmud Karim. Ismail Sabri berkata, pemberian zakat itu diharap dapat membantu ibu bapa menyediakan keperluan persekolahan anak-anak di samping meningkatkan motivasi mereka untuk belajar bersungguh-sungguh. "Ia juga dapat mendekatkan badan korporat dengan masyarakat bagi mewujudkan komuniti prihatin dan penyayang," katanya. Dalam pada itu, Kamaruzaman memberitahu, pihaknya mencatat keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM1.72 bilion dalam pencapaian prestasi kewangan bank tahun lalu. "Bagi tahun ini pula, Bank Rakyat terus mengekalkan kecemerlangan dengan mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat pada suku pertama 2011 sebanyak RM444.5 juta iaitu peningkatan RM37.2 juta atau 9.1 peratus berbanding suku pertama tahun lalu," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan