Utusan Online - Utara |
Merungkai misteri alam Gua Kandu Posted: Merungkai misteri alam Gua KanduOleh ASLIZA MUSA
GOPENG 24 Julai - Bagaimanakah rasanya jika anda terperangkap dalam sebuah ruang yang gelap dan tidak mampu mencari laluan keluar? Lebih mencemaskan apabila anda melalui laluan yang sama berkali-kali dalam suasana hening, dingin dan persekitaran yang berdebu. Pasti keadaan itu akan mengundang keresahan walaupun sebenarnya tanpa anda sedari ia membawa anda kepada satu laluan bagi merungkai keajaiban misteri alam semula jadi yang belum diterokai sepenuhnya. Jika pengalaman sebegitu yang anda cari, Kem Kandu Eco Adventure yang terletak di kampung Gunung Mesah Hulu di daerah Gopeng adalah jawapannya. Menurut pengarah kem merangkap pemilik Gua Kandu, Marzuki Ahmad, keadaan gua tersebut yang masih belum terusik menyebabkan ia sering menjadi pilihan kepada mereka yang gemarkan aktiviti penerokaan gua yang ekstrem. Katanya, ini kerana mereka yang mahu memasuki gua itu perlu berhati-hati kerana tiada laluan khas disediakan selain tidak mempunyai lampu yang dipasang di dalam gua itu. "Ini istimewanya Gua Kandu kerana keadaannya masih terpelihara dan berbeza dengan gua rekreasi lain di negeri ini yang disediakan trek laluan pejalan kaki," katanya kepada penulis sebelum memulakan pengembaraan di gua berkenaan baru-baru ini. Sebelum memulakan pengembaraan, penulis yang turut disertai tiga lagi peserta lain diberi penerangan tentang laluan yang bakal kami tempuhi. Sambil berbual ringkas, kami diberikan peralatan topi keselamatan dan lampu suluh di kepala bagi memulakan perjalanan meneroka gua batu kapur yang berusia lebih 400 juta tahun itu. Walaupun diberikan pilihan untuk menggunakan laluan pintas, namun, atas rasa inginkan cabaran, kami memilih laluan sama yang digunakan pendaki lain. Cuaca yang baik tidak menyukarkan pendakian apatah lagi di sepanjang laluan telah direntangi tali-tali yang sedia dipasang sepanjang laluan. Tiba di satu kawasan lapang berhampiran pintu gua, Marzuki berkata, kawasan itu pernah dijadikan pejabat operasi dan pentadbiran tentera semasa pemerintahan Jepun. Malah, katanya, tentera Jepun juga mahu menjadikan kawasan itu sebagai landasan dan tempat menyimpan kapal terbang mereka namun tidak tercapai apabila perang tamat dan Jepun menyerah kalah. "Ramai orang kampung yang dikerahkan untuk menyiapkan landasan ini namun hanya separuh sahaja yang sempat disiapkan sebelum perang tamat pada 1945. "Tidak lama selepas Jepun meninggalkan gua ini, ia dijadikan tempat pentadbiran dan persembunyian pengganas komunis termasuk beberapa pemimpin utama mereka seperti Chin Peng," jelasnya. Kami kemudian meneruskan perjalanan sebelum terhenti apabila Marzuki menyuluh lampu ke satu arah yang menempatkan lukisan lambang bintang tiga yang terdapat di dinding gua. Menurut Marzuki, kawasan lapang yang tertera lambang bintang tiga itu merupakan bilik mesyuarat yang pernah digunakan semasa pengganas komunis berada di gua itu. Perjalanan diteruskan sebelum ada di antara kami yang bersuara dan bertanyakan kepada Marzuki mengapa rombongan kami melalui laluan yang sama sebanyak dua kali. Menjawab sambil tersenyum, Marzuki berkata, penerokaan di Gua Kandu umpama berpusing dalam satu laluan bulatan yang besar. Jika pada awalnya, penerokaan kami kelihatan agak santai namun, apabila hampir separuh perjalanan dilalui, kesukaran perjalanan semakin dirasai. Ada di antara laluan itu memerlukan kami mendaki dan menuruni cerun gelap setinggi 50 hingga 80 kaki. Tidak kurang juga ada yang memerlukan kami merangkak untuk tiba ke lokasi seterusnya. Namun, kepayahan yang dilalui nyata berbaloi. Apatah lagi apabila berpeluang melihat sendiri tekstur permukaan dinding dan bumbung gua yang terbentuk sejak jutaan tahun lalu seperti dinding langsir serta batu berombak-ombak. Ia boleh diumpamakan seperti berada di dalam sebuah dunia yang asing. Melihat keindahan stalagtit dan stalagmit yang bercantum lalu membentuk pelbagai bentuk arca di segenap penjuru gua itu, nyata mempesonakan. Tidak hairanlah, gua ini sering menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara yang mahu menyaksikan sendiri keunikannya. Sekali imbas, ada di antaranya yang menyerupai bentuk telur gergasi, obor-obor, ekor ikan, gajah, wanita yang sedang berdoa dan kepala singa. "Arca-arca ini terhasil secara semula jadi dengan melibatkan elemen angin, kelembapan dan cahaya. Tiada tangan manusia mampu menciptanya. "Ada di antaranya telah berusia ribuan tahun dan cuba bayangkan, untuk menjadikan satu sentimeter bentuk aliran tersebut memerlukan masa selama lima tahun," jelasnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Posted: Janjikan cabaran berbeza
GOPENG 24 Julai - Mengambil nama seorang kanak-kanak lelaki bernama Kandu yang hilang di gua tersebut, kini Kandu Eco Adventure semakin dikenali dalam agenda pelancongan Perak. Pengarah kem tersebut, Marzuki Ahmad berkata, Gua Kandu sering kali menjadi pilihan bagi penggemar yang mahukan cabaran dan pengalaman lebih ekstrem. Katanya, keadaan di Gua Kandu adalah jauh berbeza daripada Gua Tempurung yang turut popular dengan aktiviti sedemikian tidak jauh dari situ. "Tanpa sebarang kemudahan asas, limpahan cahaya lampu dan trek pejalan kaki, pengalaman meneroka Gua Kandu lebih ekstrem dan tentunya diinginkan mereka yang dahagakan cabaran. "Setiap langkah yang diatur kelihatan agak sukar kerana hanya berpandukan cahaya lampu suluh di kepala selain perlu berhati-hati dengan laluan gua yang agak curam," katanya. Katanya, keadaan gua yang gelap dan dipenuhi batu-batu tajam juga memerlukan peserta sentiasa berwaspada sepanjang penerokaan. Namun, cabaran itu bukan halangan yang melemahkan semangat kerana kini setiap hujung minggu kawasan itu penuh sesak dengan individu, pelajar kolej dan universiti serta pelancong asing yang mahu menikmati suasana di dalamnya. "Ia ibarat satu pakej lengkap, selain meneroka gua, mereka juga dapat menghayati suasana kampung serta keindahan flora dan fauna di sekitar kawasan ini," ujarnya. Katanya, selain meneroka di kawasan gua, pengunjung juga kini mempunyai pilihan untuk bermalam di kem berkenaan. "Asrama yang disediakan mampu memuatkan kira-kira 60 penghuni lelaki dan wanita, lengkap dengan kemudahan tandas, dewan makan dan dewan serba guna. Mereka juga boleh melakukan pelbagai aktiviti lain seperti berakit, memancing ikan dan flying fox," katanya. Bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang aktiviti pada hujung minggu ini, mungkin Gua Kandu mampu memberikan pengalaman yang indah dan bakal menjadi kenangan manis yang tidak dapat dilupakan. Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai gua tersebut boleh melawat laman sosial facebook, http://www.facebook.com/#!/Kanduecoadventure. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Teknik baca jawi dengan nombor Posted: Teknik baca jawi dengan nomborOleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
TAIPING 24 Julai - Zon Kamunting bakal merintis projek pengajaran dan pembelajaran Jawi Baca Dengan Nombor (BDN) apabila hampir 100 guru Pendidikan Islam daripada 14 buah sekolah berkumpul untuk mengikuti kursus tersebut di sini. Penyelaras Kursus Jawi BDN Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Larut, Matang dan Selama, Abd. Aziz Abd. Rashid berkata, inisiatif julung kali yang diambil Panitia Pendidikan Islam daerah itu adalah bagi mempertingkatkan penguasaan jawi di kalangan pelajar. "Kita bermula dengan Zon Kamunting dengan guru-guru mengikuti bengkel kendalian pengasas Jawi BDN, Wan Mohd. Azhae Wan Mohamod yang juga merupakan guru Sekolah Kebangsaan Kampung Jambu. "Selepas itu, kita akan memperluaskan program ini kepada lima zon lagi di daerah ini melibatkan Taiping, Simpang, Trong, Batu Kurau dan Selama," katanya kepada Utusan Malaysia selepas Program Perkongsian Amalan Terbaik Sekolah: Jawi BDN di Sekolah Kebangsaan Klian Pauh di sini baru-baru ini. Dalam pada itu, seorang guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan Taman Jana, Nor Azimah Hasmawi yang mengikuti program tersebut berkata, teknik Jawi BDN dapat dijadikan alternatif kepada kaedah pengajaran sedia ada yang berasaskan sifir jawi melalui penggunaan suku kata. Nor Azimah yang juga merupakan antara tiga guru jurulatih utama Pendidikan Islam di daerah ini mengakui teknik tersebut merupakan pendedahan pertama baginya meskipun telah berkhidmat selama 23 tahun. "Pada kebiasaannya, kita mengajar murid dengan menggunakan enam suku kata contohnya ba, bi, be, bu, bo dan be (beca), tetapi melalui Jawi BDN, pelajar perlu meneka sebutan sesuatu perkataan berdasarkan nombor," katanya. Sementara itu, seorang lagi guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan Taman Palma, Hazimah Ismail berkata, Jawi BDN yang disertai dengan perisian komputer boleh dijadikan Bahan Bantu Mengajar (BBM) di sekolah apabila ia akan dijual tidak lama lagi. Menurutnya, ia berupaya menjadi asas latih tubi khususnya kepada pelajar-pelajar yang lemah dalam penguasaan jawi. Bagi guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan All Saints, Mohd. Shahrul Kamil pula, kaedah Jawi BDN dapat menarik minat pelajar untuk mempelajari tulisan jawi secara berkesan. Namun katanya, sokongan bersepadu daripada pihak sekolah dan ibu bapa amat penting dalam menghasilkan generasi muda yang celik jawi. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan