Isnin, 25 Julai 2011

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Senario galak sertai RELA

Posted:

Senario galak sertai RELA

Senario galak sertai RELA

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH


SALAH satu adegan yang memperlihatkan para pelakon filem Senario Ops Pocot berkawat sama seperti yang dilakukan oleh RELA.


SELAMA ini, peranan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dalam usaha membantu pasukan beruniform seperti polis dalam masyarakat tidak pernah diangkat secara serius menerusi filem.

Bagaimanapun, sumbangan Rela itu buat julung-julung kalinya dimartabatkan oleh kumpulan lawak Senario menerusi filem terbaru lakonan mereka yang berjudul Senario Ops Pocot.

Melalui filem arahan Ismail Hasim itu, kumpulan trio lawak tersebut menonjolkan sepenuhnya fungsi Rela bagi membantu pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang.

Menurut Ismail atau lebih dikenali sebagai Bob, filem terbitan MIG Production itu juga secara tidak langsung mampu menarik orang ramai menyertai Rela yang telah ditubuhkan sejak tahun 1972.

"Sewaktu berbincang untuk menerbitkan sebuah filem baru, pihak MIG mahu memaparkan sebuah cerita tentang agensi kerajaan yang beruniform. Kami pilih Rela kerana ia jarang diketengahkan."

"Ia bukan sahaja boleh menarik minat orang ramai menyertai Rela tetapi juga mengetahui secara lebih mendalam bidang kuasa pasukan itu," katanya pada sidang akhbar baru-baru ini.

Pada sidang akhbar selepas pratonton Senario Ops Pocot di Petaling Jaya, Selangor itu, Bob berkata, filem itu mampu mempopularkan lagi pasukan beruniform tersebut.

Namun katanya, filem yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 21 Julai lalu itu digambarkan secara santai dalam ruang lingkup kuasa Rela untuk tujuan hiburan.

"Filem ini diolah secara santai sesuai dengan genre komedi. Ia bagi memastikan agar masyarakat tidak berasa takut dengan Rela. Kita mahu orang ramai tertarik dengan Rela.

"Kalau boleh biarlah filem ini mampu menarik keanggotaan lebih ramai anggota Rela sehingga sejuta ahli memandangkan pasukan itu khabarnya masih kekurangan ahli seluruh negara.

"Selain itu, kami telah menerima nasihat daripada LPF (Lembaga Penapis Filem) dan pihak Rela sendiri agar jalan cerita yang hendak dipaparkan sesuai dengan imej pasukan itu," ujarnya.

Senario Ops Pocot mengisahkan tentang Azlee, Wahid dan Mazlan yang menyertai Rela yang pada asalnya penakut tetapi bertukar berani selepas menyertai pasukan tersebut.

Anggota-anggota Senario seperti Lan Pet-Pet mengakui filem terbaru lakonan mereka itu bukan setakat memberi gambaran positif tentang Rela tetapi turut menambahkan lagi pengalamannya.

Jelas Lan atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, dia dan anggota senario yang lain menyertai Rela bagi mendapatkan penghayatan sewaktu berlakon dalam filem itu.

"Kami menyertai Rela dan melakukan latihan yang diperlukan untuk menjadi ahli pasukan itu. Kami berada dalam kem latihan selama 30 hari untuk berlatih menembak dan sebagainya.

"Kami bukan sahaja boleh berkawad tetapi juga menerima sijil selepas latihan itu tamat. Ini bukan sahaja filem pertama tentang Rela tetapi kami juga artis pertama yang menyertainya," ujarnya.

Azlee atau Azlee Jaafar pula berkata, dia tidak menafikan cabaran latihan di kem Rela yang seperti tentera banyak mengajarnya lebih tabah selain menghayati watak sebagai anggota Rala.

Malah, pelakon berasal dari Johor itu juga tidak dapat melupakan pengalamannya sewaktu berlakon dalam Senario Ops Pocot apabila kakinya tercedera sewaktu memanjat sebuah tembok.

"Akibat kecederaan itu saya diberi cuti rehat selama sehari. Apa yang dilalui oleh anggota-anggota Rela maka itu jugalah yang terpaksa kami lakukan dalam filem ini.

"Bagi yang berbadan gempal macam saya memang ada masalah sikit. Selain berkawad, kami juga diberi pendedahan menggunakan senjata api seperti pistol dan senapang," katanya.

Filem yang menjalani penggambaran di Melaka pada Jun tahun lalu itu merupakan filem terakhir Senario di bawah terbitan MIG Production sebelum mereka berhijrah ke produksi lain.

Sementara itu, Wahid atau Wahid Mohd. yang berasal dari Bercham, Ipoh, Perak berkata, keputusan berlakon dalam filem tentang peranan Rela itu berdasarkan pengamatannya sendiri.

"Mula-mula kami berbincang mahu berlakon dalam sebuah filem yang menceritakan tugas askar Wataniah tetapi tidak banyak operasi yang mereka jalankan dalam situasi sekarang ini.

"Ia berbeza dengan Rela yang banyak terbabit dalam pelbagai operasi bersama pihak penguatkuasa lain menyebabkan kami tertarik menceritakan pengorbanan pasukan itu.

"Antaranya, elaun ahli Rela yang tidak menentu menyebabkan tidak ramai yang menyertainya. Tayangan filem ini juga secara tidak langsung sempena Hari Kebangsaan yang akan disambut tidak lama lama," jelasnya.

Selain anggota-anggota Senario, filem itu turut dilakonkan oleh Diana Amir yang melakonkan watak Mala, Mas Muharni (Azie), Kamal Adli (Hairi) Sasqia (Ann) dan Mr. Os (Pak Bad).

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Sasi berhenti kerja demi album

Posted:

Sasi berhenti kerja demi album

Sasi berhenti kerja demi album

Oleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN


MUKHRIZ Mahathir bersama Sasi pada majlis pelancaran Don't Panic! Its Just Music, di Bangsar baru-baru ini.


SUDAH namanya anak seni, pasti kerinduan beraksi di pentas untuk menghiburkan peminat akan sentiasa membara di jiwa. Pastinya sorakan, tepukan dan jeritan daripada peminat menjadi kenangan yang tidak mudah dilupakan.

Lantas gelodak rasa yang melanda jiwa itu sudah tentu menjadi pembakar semangat untuk terus mengabdikan diri menempuhi liku-liku dunia hiburan.

Siapa sangka, pada usia yang bakal menginjak 33 tahun pada November ini, penyanyi yang sinonim dengan irama reggae, Sasidhanran Chandran atau nama pentasnya Sasi The Don membulatkan hati untuk kembali menghiburkan peminatnya.

Biarpun terpaksa mengorbankan kariernya sebagai Pengurus Perancangan Strategi di McCann World Group, Sasi tekad memilih bidang seni sebagai landasannya.

Setelah melahirkan album ketiganya pada tahun 2006 lalu, nama Sasi mula terpinggir dan senyap daripada persada seni tanah air.

Namun jelas penyanyi yang pernah berpadu suara dengan ikon rock tanah air, Amy Search menerusi lagu Suatu Impian pada tahun 2003, kerinduannya pada bidang seni suara semakin menebal.

"Lima tahun saya berperang dengan perasaan sendiri memandangkan terpaksa melupakan sejenak industri hiburan kerana terikat dengan bebanan kerja yang tidak menentu.

"Bagaimanapun cinta saya pada bidang seni masih lagi menebal tetapi keadaan dan masa tidak mengizinkan untuk saya terus aktif.

"Lagipun semasa merakam dan menerbitkan album ketiga pada tahun 2006 lalu, berbagai cabaran terpaksa ditempuhi terutamanya dari segi masa yang amat terhad sehingga menyukarkan perjalanan seni saya.

"Disebabkan itu, saya tekad meletakan jawatan agar dapat fokus seratus peratus kepada bidang nyanyian," ujar Sasi yang ditemui pada majlis pelancaran album keempatnya, Don't Panic! It's Just Music, di Mist Club, Bangsar, baru-baru ini.

Sasi yang menjadikan ikon reggae dunia, Bob Marley sebagai inspirasi bagi mencapai matlamat dalam bidang seni berkata, dia tidak sedikitpun menyesal apabila terpaksa membuat pilihan bagi menentukan hala tuju kehidupannya.

Baginya, itu semua adalah asam garam kehidupan yang terpaksa ditempuhi oleh semua manusia dalam mencapai kepuasan diri dengan melakukan apa yang diingini.

"Saya tidak menyesal kerana terpaksa melepaskan jawatan demi merealisasikan album keempat ini kerana ia memberikan kepuasan untuk saya dalam memperjuangkan muzik.

"Sebaik sahaja berhenti kerja, saya terus bergerak membuat perancangan untuk menerbitkan album ini.

"Dengan tiada komitmen lain, akhirnya album ini dapat saya siapkan dalam masa 365 hari dan saya gembira dengan hasilnya," tambah Sasi yang mempertaruhkan 15 buah lagu dalam album terbarunya itu.

Bercakap mengenai album terbarunya, penyanyi yang sudah 11 tahun bergelumang dengan dunia seni itu beranggapan keistimewaan naskah terbarunya itu adalah terletak pada konsep, bunyi dan kolaborasi yang ternyata lebih baik daripada sebelumnya.

"Bukanlah membangga diri tetapi saya yakin peminat akan menerima dan suka dengan album ini.

"Dalam album ini, saya berduet dengan Anita Sarawak, Jaclyn Victor, kumpulan Indian Apache, Salam, Rabbit Mac dan Maxi Priest.

"Selain itu, album ini menonjolkan variasi yang pelbagai dan matang seiring dengan pengalaman 11 tahun saya sebagai artis," jelasnya.

Album tersebut telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Bagi tujuan promosi album berkenaan, Sasi bakal mengadakan persembahan Digi Live Sasi The Don Don't Panic, It's Just Music di Fame, Pulau Pinang pada 23 Julai dan Jazz & Blues, Johor Bahru pada 30 Julai ini.

Sementara itu, tambah Sasi lagi, percaturannya melepaskan jawatan dalam syarikat yang disertai pada tahun 2008 itu akhirnya berbalas apabila munculnya buah tangan terbarunya itu.

Bagaimanapun, tambah Sasi, usai proses menerbitkan albumnya itu, dia dilamar semula oleh syarikat tempatnya bekerja sebelum ini.

"Sejak Jun lalu, saya telah bekerja semula dengan syarikat berkenaan dan itu membuatkan saya sangat gembira kerana album siap dan dapat bekerja semula," ujar Sasi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved