Utusan Online - Rekreasi |
Posted: 16 Apr 2014 11:24 PM PDT Para peserta tekun mendengar penerangan fasilitator sebelum memulakan aktiviti di laut. Menghargai khazanah pelancongan yang terdapat di negara ini di samping memuliharanya, menjadi fokus dalam program Bubble Camp yang berlangsung di Damai Tioman Resort, Kampung Genting, Tioman, Pahang. Program tersebut secara langsung memberi pendedahan kepada peserta seramai 62 orang yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah, mengenai pentingnya penjagaan alam semula jadi. Program yang menjadi acara tahunan itu, turut memupuk pengetahuan bukan sahaja mengenai alam semula jadi yang terdapat di daratan, malah khazanah yang membesar serta membiak di dalam laut. Ini meliputi penjagaan sumber air di kawasan air terjun, batu karang, kehidupan spesies seperti penyu dan banyak lagi. Peserta program juga diberi pendedahan mengenai aktiviti snorkeling selain penjagaan keselamatan dan penggunaan jaket keselamatan ketika menjalani aktiviti riadah. Pengarah Program Bubble Camp 2014, Syed Rizalman Syed Abu Bakar memberitahu, turut diselitkan dalam program selama empat hari itu ialah aktiviti pengenalan skuba. Beliau yang juga pemilik Damai Tioman Resort berkata, peserta juga dibawa melawat Pusat Taman Laut bagi mengetahui dan mengenali lebih banyak spesies hidupan laut. Program ini umpama melancong sambil belajar selain memahami serta memulihara alam sekitar. Pelajar-pelajar ini diharap dapat menjadi generasi pelapis dalam menyayangi serta menghargai pentingnya alam sekitar dalam kehidupan harian," katanya. Peserta program turut dibawa melawat kawasan air terjun dan diberi penerangan mengenai pentingnya penjagaan sumber air bersih. Antara aktiviti menarik ialah pengenalan kepada skuba di mana setiap peserta dipupuk semangat berani mencuba dengan mementingkan ciri-ciri keselamatan. Ramai peserta yang rasa gementar apabila pertama kali mencuba aktiviti skuba, namun dengan tunjuk ajar fasilitator berpengalaman setiap pelajar berjaya mengharungi cabaran tersebut. Syed Rizalman berkata, setiap peserta juga dilibatkan dalam aktiviti menanam batu karang sebagai usaha memulihara dan membiakkan khazanah laut itu. Sementara itu seorang peserta, Nurhani Sofea Nazarudin, 9, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks UDA, Johor Bahru berkata, dia gembira dapat menyertai program tersebut. Selain bertemu kawan-kawan baru, banyak kehidupan laut yang sebelum ini tidak diketahui tetapi kini sudah mengenalinya. Lawatan ke Pusat Taman Laut sangat menarik kerana dapat tengok banyak spesies hidupan laut di situ seperti batu karang," katanya. Rakannya, Nur Qasih Alyani, 8, juga dari sekolah yang sama pula berkata, dia yang sebelum ini agak takut untuk menyertai aktiviti snorkeling kini lebih yakin pada diri sendiri. Apa yang penting ialah jaga keselamatan diri. Sebab itu pentingnya guna jaket keselamatan ketika snorkeling," katanya. Pelajar SK Tekek, Muhammad Azfar Rauf, 11, pula berkata, walaupun dia belajar di Pulau Tioman, banyak perkara baru dapat dipelajari apabila menyertai Bubble Camp. Perkara-perkara baru yang dipelajari ini dapat diterapkan dalam pelajaran di sekolah. Mulanya saya ingat program ini hanya snorkeling sahaja, tapi banyak nasihat diberi seperti penjagaan alam sekitar terutama sumber air bersih," katanya. Rakannya, Azim Nur Ad Din, 11, juga dari SK Tekek pula berkata, walaupun program diatur begitu padat, dia dan rakan-rakan lain tidak merasa tertekan. Kalau ada program seperti ini akan hendak sertai lagi. Banyak jenis batu karang yang saya dapat lihat apabila melawat ke pejabat Taman Laut," katanya. Menurut Azim, aktiviti pengenalan kepada skuba dirasakan paling mencabar. Nampak memang mudah tetapi menakutkan. Bukan senang nak bernafas ketika berada dalam air. Tetapi dengan tunjuk ajar, saya dapat juga merasai bagaimana skuba. Memang menyeronokkan," katanya. - AMIR SARIFUDIN |
Posted: 16 Apr 2014 11:24 PM PDT Oleh AHMAD ZAKKI JILAN Peserta Kayuhan Keamanan Sedunia Kelab Berbasikal Reborn Raub (KBRB) 2014 bergambar di hadapan Kedutaan Malaysia di Filipina setelah berjaya menamatkan misi kayuhan baru-baru ini. MATLAMAT utama kayuhan ialah untuk menjual keamanan Malaysia melalui berbasikal. Namun sebelum objektif dicapai dan dapat disempurnakan, para peserta kayuhan terpaksa menempuhi cabaran berbasikal sejauh hampir 100 kilometer di ibu kota Manila, Filipina. Misi Kayuhan Keamanan 1Malaysia anjuran Kelab Berbasikal Reborn Raub (KBRB) yang bermula di bandar peranginan Taygaytay ke bandar sibuk Manila dan Makati bukan sahaja untuk menguji kekuatan stamina tetapi mempunyai misi yang begitu bermakna untuk 50 pesertanya. Empat tahun ditubuhkan dengan matlamat mempromosikan keamanan Malaysia di negara luar, KBRB pada setiap tahun tanpa gagal menyelitkan hasrat murni di sebalik penganjuran melalui simbolik cubaan memperkukuhkan hubungan dua hala negara dijelajahi. Berbanding dengan misi sebelum ini ke Thailand pada tahun 2012 diikuti Singapura dan Kemboja pada tahun berikutnya, misi ke Manila selama enam jam ini dianggap berjaya mencapai matlamatnya. 15 peserta Malaysia dan 35 peserta Filipina yang terdiri daripada golongan profesional seperti jurutera, pengamal perubatan, guru serta wakil media mendapat sokongan padu dan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta badan bukan kerajaan (NG) dikenali sebagai Global Peace Loving (GPLF). Kebanyakan peserta yang menyertai acara di Manila, Filipina ini terdiri daripada mereka yang berpengalaman kerana tidak ketinggalan terlibat dalam kayuhan sebelum ini di tiga negara ASEAN. Manakala peserta Filipina pula bukan calang-calang, tetapi mempunyai kelab yang cergas dalam kayuhan rutin setiap minggu di negara berkenaan. Meskipun begitu, setiap daripada mereka tidak memandang remeh cabaran yang menanti malah perkara itu benar-benar teruji di sepanjang laluan. Antara cabaran utama ialah tidak mempunyai rehat yang cukup, sebaliknya perlu bersedia pada awal pagi untuk berkayuh. Seawal jam 2 pagi, para peserta perlu bersedia sebelum ke titik mula di Taygaytay, kira-kira sejam perjalanan dari Manila dengan menggunakan bas. Para peserta makan , minum dan melengkapkan rehat di dalam bas sebagai persediaan sebelum kayuhan. Kayuhan bermula 7.30 pagi, di mana cuaca berkabus dan sejuk pada awal pagi memberi sedikit sebanyak cabaran kepada para peserta. Kayuhan dalam cuaca berkabus dan sejuk tentunya sudah menjadi satu kebiasaan kepada peserta Filipina, tetapi tidak buat kalangan peserta Malaysia memandangkan mereka perlu ke Cameron Highlands atau Genting Highlands untuk menempuhi cabaran cuaca sedemikian. Peserta dilepaskan wakil Kedutaan Malaysia ke Manila, Tan Chiang Fook, yang turut sama menyertai kayuhan. Melepasi kawasan tanah tinggi Taygaytay, bermakna konvoi kayuhan berjaya menempuhi cabaran cuaca sejuk. Namun, apabila fajar mula menyinsing, dan matahari jelas kelihatan, mereka terpaksa pula berdepan cuaca panas terik di laluan bandar yang giat menyaksikan kerja-kerja pembangunan. Semasa melalui bandar Dasmarinas dan Silang, menyaksikan jalannya sudah mulai sibuk dengan kenderaan seawal pukul 9 pagi. Konvoi mendapat kerjasama pihak keselamatan setiap daerah untuk mengawal lalu lintas yang bertali arus dengan kereta, van dan jeepney. Kepantasan pihak keselamatan mengawal lalu lintas dan kemahiran para peserta kayuhan menjadikan misi berjalan lancar dan tiada kejadian tidak diingini dilaporkan sepanjang enam jam perjalanan. Walaupun keadaan jalannya tidak rata, berdebu disebabkan kerja-kerja pembinaan di bahu jalan, ia sama sekali bukan masalah kepada para peserta Malaysia dan Filipina. Malah, cabaran itu diatasi dengan baik kerana sudah berpengalaman lebih buruk semasa di Kemboja sebelum ini. Ujian terakhir bagi para peserta ialah cuaca panas terik yang menikam kulit semasa memasuki fasa penamat. Pukul 12 tengah hari, peserta masih berbaki 10 kilometer menuju ke Kedutaan Malaysia di Manila, iaitu lokasi terakhir sebelum dialu-alukan Duta Besar Malaysia ke Manila, Datuk Mohamad Zamri Mohd Kassim. Suhu yang direkodkan 39 darjah selsius terpaksa dilalui peserta sebelum menamatkan kayuhan. Dalam keadaan cuaca sedemikian, mereka bermandi peluh dan terpaksa berhenti bagi menggantikan air dalam badan yang hilang kerana kepanasan. Di peringkat ini, tiada seorang pun peserta yang mengalah, malah semakin bersemangat untuk menghabiskan kayuhan. Berkat kesabaran dan percaya kepada keupayaan diri, kesemua peserta berjaya menghabiskan kayuhan sejauh 70 kilometer itu selepas meredah cuaca sejuk, jalan sibuk, laluan berliku, kawasan berdebu dan cuaca panas terik sepanjang melalui lima daerah menerusi 15 bandar kecil. Tepat pukul 1:30 petang semua peserta tiba di hadapan Kedutaan Malaysia di Manila dengan disambut bukan sahaja oleh Duta Besar tetapi juga para pegawai dan petugas kedutaan. Kepada peserta, kayuhan ekstrem itu ternyata sangat bernilai bagi mereka. Ada yang sangat berpuas hati kerana berjaya menamatkannya tanpa ada insiden buruk, malah ada yang berazam untuk meningkatkan keupayaan apabila misi dianjurkan lagi selepas ini. Peserta tetap, Muhammad Syukri Adenan,24, memberitahu, kayuhan di Manila, Filipina, memberi saingan hebat pada diri sendiri terutamanya apabila melihat peserta Filipina yang tidak mengalah dengan sebarang cabaran. Bagi saya, nasib baik latihan pagi dan petang membantu, kalau tidak, agak sukar untuk berdepan jalan licin dan angin sejuk serta cuaca panas terik, katanya. Menurutnya, matlamat kayuhan untuk keamanan pula sangat baik apabila bukan sahaja berbasikal itu untuk kesihatan tetapi lebih daripada itu, peserta menjadi duta untuk menjual keamanan negara kepada negara luar. Ia menjadi lebih signifikan apabila tahun ini (2014) adalah Tahun Melawat Malaysia, kata Muhamad Syukri yang berazam untuk menyertai lagi kayuhan seterusnya. Bagi peserta Filipina, April Sarmiento, apa yang dilakukan KBRB itu satu inisiatif yang sangat baik dan wajar dicontohi. Menurutnya, dengan menyertai kayuhan tersebut, dia dapat menambah kawan baru dan lebih mengenali Malaysia. Katanya, setiap minggu dia dan rakan-rakan dalam Kelab Bike Camp akan membuat kayuhan untuk menjaga stamina dan kesihatan. Tetapi penganjuran kayuhan oleh KBRB tetap berdepan cabaran yang terpaksa ditempuhinya dengan baik dan sabar. Cuaca sejuk dan panas terik, bagi saya cabaran utama, walaupun sudah agak biasa berlatih setiap minggu. Namun, kekuatan dan ketahanan mental peserta Malaysia meneruskan kayuhan di sebalik cabaran tersebut memberi semangat untuk teruskan kayuhan sehingga tamat, katanya. Secara keseluruhannya, menurut anggota keselamatan syarikat pelancongan ini, acara yang dianjurkan KBRB berjaya mencapai misi dan tidak mustahil dicontohi kelab basikal di Filipina pula. Pesakit diabetes, Eric Bergara pula menyifatkan acara cukup mencabar apatah lagi buat pesakit sepertinya. Namun, semuanya dihadapi demi kesihatan dirinya dan lebih-lebih lagi mahu menjayakan misi yang dijalankan negara sahabat Malaysia. Apa yang penting ketangkasan dan kebijaksanaan mengawal kayuhan walaupun dalam keadaan kesihatan tidak mengizinkan. Perkara ini penting supaya badan sentiasa bertenaga meneruskan kayuhan sekaligus merealisasikan misi sebagaimana diharapkan Malaysia." Sementara itu, Presiden KBRB, C Thevendran pula menyuarakan rasa puas hati dengan kejayaan penganjuran Kayuhan Keamanan 1Malaysia di Manila, Filipina selama sehari itu. Sokongan padu para peserta Filipina untuk turut sama sertai kayuhan keamanan ini memberi semangat tinggi untuk teruskan misi susulan sehingga mencapai matlamat nanti Kayuhan 1Malaysia 1ASEAN. Ini kerana selepas ini kami akan ke negara ASEAN lain pula seperti Indonesia dan Brunei serta Laos, katanya. Menurutnya, pelbagai cabaran ditempuh para peserta untuk menghabiskan kayuhan sepanjang hampir 100 kilometer namun semangat mereka harus diberi pujian. Baginya, secara keseluruhan misi global ini berjaya mempromosi Malaysia sebagai destinasi selamat untuk dikunjungi. Ia dicerminkan melalui perpaduan dan kerjasama yang baik dalam kalangan para peserta sekali gus memberi gambaran positif mengenainya kepada peserta Filipina. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rekreasi To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan