Khamis, 17 April 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Usaha memulih potensi gamat Langkawi

Posted: 16 Apr 2014 11:14 AM PDT

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

ISMAIL Sabri Yaakob (kanan) bertukar pandangan dengan sekumpulan nelayan tempatan yang menjalankan projek ternakan gamat di Teluk Yu Mukim Ayer Hangat Langkawi, Kedah, baru-baru ini.

LANGKAWI 16 April - Gamat atau nama saintifiknya Holothuria Scabra merupakan antara hidupan laut yang sinonim dengan Pulau Langkawi.

Tidak sah percutian di pulau legenda itu tanpa membawa pulang sebotol air atau minyak gamat yang dipercayai membantu mempercepatkan penyembuhan luka selepas bersalin, melegakan sakit sendi dan otot malah gamat juga dipercayai dapat mengembalikan tenaga.

Namun ramai di antara kita tidak tahu, produk gamat di Langkawi semakin berkurangan dan bekalan gamat yang diperoleh oleh pengusaha gamat diambil dari Thailand.

Menyedari ternakan gamat mempunyai potensi besar untuk dimajukan bagi meningkatkan pendapatan nelayan serta memulihara sumber gamat di Langkawi, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memulakan projek ternakan gamat di Teluk Yu, Mukim Ayer Hangat di sini dengan penglibatan 38 para nelayan tempatan di dalam projek itu.

Projek ternakan gamat itu dilaksanakan melalui kerjasama antara Kementerian Pertanian dan Indsutri Asas Tani (Jabatan Perikanan), kerajaan negeri, kumpulan nelayan melalui Kumpulan Pengurusan Ekosistem Perikanan (KPeP) dan syarikat swasta.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob yang melawat tapak projek ternakan gamat di Teluk Yu di sini baru-baru ini yakin projek tersebut mampu menjana pendapatan baharu kepada nelayan di Langkawi.

Sebanyak tiga kawasan di pulau itu terpilih untuk menjadi lokasi pusat ternakan gamat iaitu Teluk Yu, Kuala Temoyang dan Pulau Tuba di mana kawasan Teluk Yu dipilih menjadi projek perintis.

Katanya, projek tersebut juga akan mempopularkan pulau itu sebagai salah satu pusat pengeluaran gamat terbaik di dunia dan kawasan ternakan gamat itu bakal menjadi salah satu produk produk pelancongan terbaru di Pulau Langkawi.

Gamat yang dihasilkan di Pulau Langkawi ini terbukti antara yang terbaik berdasarkan ekosistem dan keadaan air laut yang bersih di sini.

Objektif projek ini adalah menambah pendapatan nelayan melalui aktiviti ternakan dan pemprosesan gamat, memulihara sumber gamat dan menjadi produk pelancongan di sini," katanya.

Bagi Pengerusi KPeP, Zainon Bakar, projek ternakan gamat di Teluk Yu itu membuka satu peluang untuk para nelayan yang menjadi ahli KPeP menambah pendapatan sehingga mencecah empat angka sebulan.

Gamat ini diternak di dalam sangkar dan anak-anak benih gamat dibiarkan matang sehingga lapan bulan sebelum dituai hasilnya.

Penternakan gamat ini lebih mudah kerana ia tidak perlu diberi makan seperti ternakan ikan kerana gamat memakan haiwan kecil di dalam laut, para penternak hanya perlu menjaga sangkar mereka sahaja," katanya.

Zainon memberitahu, ramai nelayan berminat untuk menyertai projek berkenaan kerana mereka menyedari prospek masa depan gamat yang cerah.

KPep mempunyai 58 orang ahli dan untuk fasa pertama projek ini seramai 38 orang nelayan terpilih untuk menyertainya.Selepas ini lebih ramai nelayan di kawasan Teluk Yu akan menyertai projek ternakan gamat di sini," jelasnya.

Salah seorang peserta muda dalam projek tersebut, Mohd. Faiz Tamam, 21, berkata, dia bersyukur kerana terpilih untuk menyertai projek itu yang mampu menjana pendapatan tambahan untuk ahli KPeP.

Dahulu di kawasan ini banyak gamat hidup namun kerana diambil secara berlebihan lama kelamaan gamat hampir pupus.

Saya memang berminat untuk menyertai projek ini kerana hasil jualan gamat yang lumayan dan sentiasa mendapat permintaan yang tinggi daripada pengusaha gamat di sini," katanya.

IPT: Malaysia-India tingkat kerjasama

Posted: 16 Apr 2014 11:14 AM PDT

Oleh MOHD. SAHRUL MOHD. SAH
utusanpenang@utusan.com.my

PULAU PINANG 16 April - Malaysia dan India mencapai persetujuan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang pengajian tinggi di kedua-dua negara hasil perbincangan Kumpulan Kerja Bersama (JWG) yang berlangsung di New Delhi, India 3 April lalu.

Kerjasama antarabangsa itu bertumpu kepada program pertukaran pelajar dan tenaga pengajar serta bidang penyelidikan dan penerbitan.

Sebagai permulaan, Kementerian Pendidikan kedua-dua negara bersetuju mengadakan Seminar Pendidikan Pelan Strategik Malaysia-India selama dua hari.

Universiti Sains Malaysia (USM) terpilih sebagai sekretariat seminar yang julung kali diadakan itu.

Malaysia akan diwakili sebanyak 20 institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan manakala India pula oleh Suruhanjaya Geran Universiti (UGC).

Naib Canselor USM, Prof. Dr. Omar Osman berkata, kerjasama itu dijangka dapat memberi faedah jangka panjang untuk sistem pengajian tinggi tempatan yang fokus perbincangan adalah bagi meningkatkan peluang pertukaran pelajar serta mengenal pasti kajian berpotensi untuk dijalankan bersama.

Tumpuan juga akan diberikan kepada sembilan lapangan kajian termasuk dalam bidang keselamatan siber, alam sekitar, makanan, perubatan dan kesihatan, tanaman, pengangkutan dan biodiversiti.

Selain itu, kita juga akan membincangkan tentang bidang kemahiran dan vokasional kerana India mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Omar, matlamat paling penting seminar itu adalah bagi merangka perancangan strategik dalam usaha meningkatkan mobiliti pelajar antara kedua-dua negara.

Tambahnya, kumpulan sasaran adalah graduan ijazah dan graduan lepasan ijazah, masing-masing untuk program pertukaran dan sepenuh masa serta penyelidikan.

Sementara itu, Naib Pengerusi UGC, Prof. H. Devraj berkata, program kerjasama tersebut merupakan langkah penting dalam meningkatkan kemampuan pengajian tinggi Malaysia dan India.

Ribut terbangkan bumbung enam rumah

Posted: 16 Apr 2014 11:14 AM PDT

POKOK SENA 16 April - Seorang bapa terpaksa melalui detik-detik cemas untuk menyelamatkan isteri dan dua anaknya apabila rumah mereka di Kampung Tuba, Gajah Mati, di sini dilanda ribut petang semalam.

Kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu turut melibatkan lima buah rumah di tiga kampung berhampiran termasuklah Kampung Yoi,Kampung Pulau Nyok dan Kampung Tok Keling.

Mat Saad Hat, 43, yang juga seorang buruh berkata, ketika kejadian dia bersama dua orang anaknya yang berumur 12 tahun dan setahun enam bulan serta isteri, Siti Hawa Ahmad, 43, sedang berehat di dalam rumah.

"Kami yang berada di dalam rumah tiba-tiba terkejut apabila terdengar seolah-olah bunyi pesawat yang terbang rendah dan apabila keluar rumah, saya terlihat beberapa bumbung diterbangkan angin sebelum pokok durian di belakang rumah tumbang lalu menghempap bumbung bahagian bilik air.

"Sepanjang 40 tahun saya tinggal di sini inilah kejadian pertama berlaku dan paling teruk," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, akibat kejadian itu dia terpaksa menanggung kerugian hampir RM3,000.

Seorang lagi penduduk, Sahak Abu, 74, memberitahu, dia menyedari kejadian itu setelah terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian ruang tamu.

"Apabila terdengar bunyi dentuman tersebut saya yang berada di dapur terus meluru ke ruang tamu tetapi pada masa itu bumbung sudah diterbangkan," katanya.

Seorang lagi penduduk di Kampung Tok Keling, Gajah Mati di sini, Nor Ashikin Wahab, 29, berkata, dia bersyukur kerana ketika kejadian dia berada di rumah ibu mertuanya yang terletak kira-kira sepuluh meter dari rumahnya.

Katanya, kejadian ribut yang berlaku itu menerbangkan bumbung di bahagian ruang tamu dan dua bilik tidur rumahnya sejauh 50 meter.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Datuk Ariffin Man yang melawat lokasi kejadian menyampaikan bantuan kewangan dan keperluan harian sebagai bantuan awal.

"Pada bulan ini sebanyak 57 rumah di Parlimen Pokok Sena terlibat dengan kejadian ribut dan mangsa kejadian dinasihatkan agar membuat laporan polis bagi memudahkan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) menghulurkan sumbangan," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved