Khamis, 17 April 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Hasrat miliki rumah terhalang

Posted: 16 Apr 2014 11:14 AM PDT

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
kota@utusangroup.cm.my

Projek perumahan di Tongkah, Morib yang terbengkalai ekoran kegagalan kerajaan Selangor mengeluarkan Borang 5A. - UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS

KUALA LANGAT 16 April - Hasrat kira-kira 120 pekerja Ladang Dusun Durian di sini untuk membeli rumah di Tongkah, Morib terbantut ekoran kerajaan negeri masih gagal mengeluarkan Borang 5A, iaitu tawaran memiliki geran pada kadar premium asal seperti ditawarkan kerajaan Barisan Nasional pada 2007.

Mereka mendesak kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat segera berbuat demikian memandangkan usia mereka yang semakin lanjut dan sukar untuk mendapatkan pinjaman daripada bank.

Seorang pembeli rumah kos rendah, K. Krishnamoorthy, 47, berkata, dia sudah letih turun naik Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) sejak 2008 untuk menyelesaikan masalah itu.

Paling terbaharu jelasnya, pembeli terbabit bertemu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri, V. Ganabatirau bagi menyelesaikan masalah tersebut namun masih tiada penyelesaian konkrit dicapai sehingga kini.

Beginikah sikap kerajaan negeri mahu membantu orang miskin seperti kami yang semakin berusia dan sudah pasti sukar untuk membuat pinjaman perumahan selepas ini," katanya di sini, hari ini.

Kira-kira 30 penduduk turut mengadakan perhimpunan aman bagi mendesak masalah itu diselesaikan.

Projek bercampur tersebut mengandungi 120 unit terdiri daripada rumah teres kos sederhana rendah dan kos rendah serta rumah kedai.

Dimulakan sejak 2007, projek tersebut kini 55 peratus siap dan terpaksa dihentikan buat sementara waktu berikutan masalah berkenaan.

Krishnamoorthy menambah, para pembeli memberi tempoh dua minggu kepada kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menyelesaikan isu premium dan Borang 5A itu.

Sekiranya gagal berbuat demikian, katanya, mereka tidak teragak-agak untuk berhimpun di depan pejabat SUK.

Dia memberitahu, sebanyak 90 peratus pembeli projek perumahan tersebut terdiri daripada kaum India manakala selebihnya Melayu dan Cina.

Seorang lagi pembeli, R. Govindasamy, 58, melahirkan rasa kesal kerana rumah yang diimpikannya terbengkalai disebabkan keengganan kerajaan negeri melayani permintaan pembeli dan pemaju agar Borang 5A segera dikeluarkan dengan bayaran premium asal yang berada dalam kemampuan mereka.

Segalanya akan beres jika kerajaan negeri memahami kesusahan kami yang kesemuanya merupakan pekerja ladang dan tidak lagi mampu bekerja kuat mengumpul wang membeli rumah lain.

Hanya satu permintaan kami, iaitu keluarkan Borang 5A yang mampu kami langsaikan premiumnya. Bantulah kami mendapat rumah impian," katanya.

Sementara itu Pengarah Projek Era Permai Sdn. Bhd. iaitu pemaju projek berkenaan, M. Ramanathen menjelaskan, syarikatnya memulakan projek perumahan bercampur tersebut pada 2007 dan sudah menyiapkan hampir 50 peratus daripada keseluruhan projek sebelum terbengkalai lima tahun lalu disebabkan isu premium dan Borang 5A tersebut.

Kita telah berbincang hampir sepuluh kali sepanjang lima tahun ini dengan kerajaan negeri agar Borang 5A dikeluarkan segera bagi memudahkan urusan pembeli membuat pembiayaan rumah mereka.

Pembeli-pembeli rumah menuntut untuk membayar premium pada kadar RM1,400 mengikut premium kerajaan negeri terdahulu namun apabila premium baharu dikeluarkan pada 2011, premiumnya melambung naik menjadi RM1,939," jelasnya.

Beliau berkata, selain premium tersebut, pembeli lot komersial dalam projek sama perlu membayar premium sebanyak RM49,300 berbanding premium kerajaan BN yang jauh lebih rendah iaitu RM14,389 bagi satu unit rumah kedai.

Bagi perunding projek berkenaan, A. Malek Majid, pihaknya kesal kerana orang ramai menganggap projek tersebut terbengkalai disebabkan pemaju lari sedangkan masalah berpunca daripada kesulitan pembeli membayar premium yang di luar kemampuan mereka.

Pembeli merasa tertekan kerana mereka hanya mampu membeli rumah yang bernilai antara RM30,000 hingga RM40,000 dan jika isu premium dan Borang 5A masih buntu maka kos pembinaan perlu dikaji semula seiring kos semasa.

Jika isu premium tidak diselesaikan, saya bimbang para pembeli perlu menanggung kos pembelian lebih daripada harga lima tahun lalu dan ia membebankan lebih-lebih lagi dengan kadar kos pembinaan hari ini," katanya.

Pemilik kilang simen akur

Posted: 16 Apr 2014 11:14 AM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

Pemilik kilang simen di Jalan Chan Sow Lin akur selepas arahan penutupan kerana didapati beroperasi secara haram di Kuala Lumpur.- UTUSAN/ WAHIDAH ZAINAL

KUALA LUMPUR 16 April - Empat kilang simen yang diarahkan tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana beroperasi secara haram akur dengan ketegasan pihak berkuasa tempatan itu.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Jalan Chan Sow Lin di sini hari ini mendapati keempat-empat kilang simen terbabit tidak beroperasi dan pita keselamatan untuk menandakan kawasan itu ditutup masih dipasang.

Hasil pemerhatian turut mendapati ada antara kilang terlibat meletakkan notis 'loji ditutup' untuk pengetahuan orang ramai yang menggunakan laluan itu.

Tindakan tersebut jelas mengurangkan jumlah lori simen yang sebelum ini didakwa punca kepada kerosakan jalan di kawasan itu.

Selain memuntahkan sisa konkrit, tindakan pemandu yang sering memandu laju turut mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya di situ.

Utusan Malaysia difahamkan, daripada tujuh kilang simen di Jalan Chan Sow Lin, tiga daripadanya masih lagi beroperasi kerana mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan itu.

Pada Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan kilang terbabit diarah tutup oleh DBKL berikutan gagal mengemukakan dokumen Perintah Pembangunan kepada pihak berkuasa tempatan itu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, tempoh sewajarnya telah diberikan kepada pemilik kilang untuk mendapatkan Perintah Pembangunan namun sehingga kini tiada permohonan dikemuka kepada DBKL.

Seorang pekerja kilang simen yang terlibat dalam penutupan itu berkata, dia sendiri tidak mengetahui punca tempat itu disita.

Majikan tidak memberitahu kami perkara ini, katanya.

Sementara itu, masalah longgokan sampah di Jalan Tiga didapati telah dibersihkan pihak bertanggungjawab. Pita keselamatan dan notis tidak membenarkan orang ramai membuang sampah turut dipasang.

Notis yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) turut memberi amaran denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Arahan penutupan kilang simen itu membuktikan ketegasan DBKL dalam melaksanakan undang-undang. Apa yang diharapkan ia bukanlah bersifat sementara dan pemantauan secara berterusan perlu dilaksanakan agar masalah tidak berulang.

Berdasarkan pemerhatian penulis, masalah lori simen yang beroperasi secara haram bukan sahaja di Jalan Chan Sow Lin, sebaliknya di lokasi-lokasi lain di sekitar ibu negara.

Jalan tidak rata hantui penduduk Kampung Baru

Posted: 16 Apr 2014 11:14 AM PDT

KUALA LUMPUR 16 April - Biarpun terletak di tengah-tengah ibu kota, masalah jalan rosak masih membelenggu kehidupan penduduk di Kampung Baru, di sini.

Paling ketara ialah keadaan jalan berlubang dan tidak rata di Jalan Raja Muda Musa yang boleh mengundang kemalangan terhadap penunggang motosikal.

Seorang penduduk yang enggan dikenali memberitahu, permukaan jalan di Jalan Raja Muda Musa telah menyebabkan beberapa kemalangan membabitkan penunggang motosikal.

Apabila hujan, lopak air menyebabkan permukaan jalan di sini kelihatan seperti rata sekali gus menyebabkan pengguna jalan raya sukar untuk mengenal pasti lubang itu.

Situasi itu menyebabkan ada penunggang motosikal terlanggar lubang dan terjatuh," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, tinjauan di Jalan Haji Yakub di sini mendapati sebuah lubang di atas jalan telah disimen namun tidak begitu sempurna dan akan rosak jika dilalui oleh kenderaan berat.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Kampung Pindah, Ramli Akit berkata, masalah di Jalan Haji Yakub itu sudah berlarutan sejak kira-kira dua bulan lalu.

Besi penutup lubang itu hilang dan mungkin dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan kawasan itu terdedah serta membahayakan pengguna jalan raya," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk di kawasan itu, Zainal Mawi, 77, menyatakan aduan telah dilakukan berkali-kali kepada DBKL dan Perbadanan Kampung Baru berhubung isu jalan di kawasan itu.

Saya bimbang jika ada kenderaan, terutama motosikal yang terbabas ekoran jalan sempit," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved