Utusan Online - Mahkamah |
Empat bekas pegawai tertinggi Sime Darby didakwa salah guna kuasa Posted: 17 Apr 2014 11:35 AM PDT JOHOR BAHRU 17 April - Empat bekas pegawai tertinggi Sime Darby Engineering Sdn. Bhd. (SDE) masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan berhubung salah guna kuasa melibatkan penganugerahan kontrak perkhidmatan kepada sebuah syarikat, enam tahun lalu. Bekas Ketua Pegawai Kewangan Bahagian Tenaga & Utiliti Kumpulan, Abdul Rahim Ismail, 52; bekas Naib Presiden Eksekutif bahagian sama, Datuk Mohamad Shukri Baharom, 52; dan bekas Ketua Unit Perniagaan Minyak & Gas bahagian sama, Abdul Kadir Alias, 48, didakwa atas pertuduhan salah guna kuasa. Sementara bekas Pengurus Besar Kanan SDE, Mohd. Zaki Othman, 52, didakwa bersubahat dengan ketiga-tiga tertuduh melakukan kesalahan tersebut. Mengikut pertuduhan, Abdul Rahim, Mohamad Shukri dan Abdul Kadir secara bersama sebagai pengarah syarikat SDE didakwa telah menggunakan kedudukan mereka menganugerahkan satu kontrak perkhidmatan kepada syarikat Incobliss Consulting Sdn. Bhd. di pejabat SDE di Jalan Suasa, Pasir Gudang pada 18 hingga 20 Ogos 2008. Dakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 132(2)(c) Akta Syarikat 1965 (Akta 125) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Mereka turut didakwa dengan pertuduhan pilihan iaitu pada tarikh dan tempat yang sama didakwa melakukan kesalahan tersebut dengan menganugerahkan satu kontrak perkhidmatan kepada syarikat Incobliss Consulting Sdn. Bhd. Penganugerahan tersebut didakwa bukan untuk kepentingan syarikat kerana Incobliss Consulting Sdn. Bhd., tidak memberi sebarang perkhidmatan kepada SDE seperti yang termaktub dalam kontrak. Bagi pertuduhan tersebut, mereka didakwa mengikut Seksyen 132(1)(c) Akta Syarikat 1965 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Mohd. Zaki pula didakwa bersubahat dengan ketiga-tiga tertuduh melakukan kesalahan salah guna kuasa itu pada tarikh dan tempat yang sama. Dia didakwa mengikut Seksyen 132(1) dan Seksyen 132 (2)(c) akta sama dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan. Kesemua pertuduhan tersebut boleh dihukum di bawah Seksyen 132(3)(b) Akta Syarikat yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda RM30,000 jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Steve Chin Yun Cheong manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Nordin Hussin. Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 11 Mei ini. |
Raja Ahmad lantik saudara sebagai wakil Posted: 17 Apr 2014 11:35 AM PDT Oleh SUWARNI MOKHTAR KUALA LUMPUR 17 April - Suami kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar melantik seorang saudaranya untuk menjadi wakil beliau dalam Jawatankuasa Pendamai yang ditubuhkan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini bagi mencari penyelesaian dalam kemelut rumah tangga pasangan tersebut. Peguam syarie, Zulkifli Che Yong dan Azmi Mohd. Rais yang mewakili Raja Ahmad Shahrir Raja Salim, 35, selaku defendan memaklumkan perkara tersebut hari ini kepada Hakim Syarie, Ab. Malek Awang sewaktu sebutan kes permohonan cerai yang difailkan oleh Nurul Izzah awal tahun ini. Wakil tersebut, Mohd. Fauzi Mustaffa, 45, bagaimanapun tidak hadir pada prosiding hari ini kerana berada di Labuan, Sabah. Difahamkan, Mohd. Fauzi merupakan seorang pendakwah. Raja Ahmad Shahrir dan Nurul Izzah masing-masing telah diberi pengecualian untuk tidak hadir ke mahkamah hari ini. Pada prosiding terdahulu, Nurul Izzah, 34, memaklumkan bahawa beliau melantik bapa saudaranya, Rosli Ibrahim sebagai wakilnya dalam jawatankuasa terbabit. Sementara itu, peguam syarie, Normawaddah Ramli yang mewakili anak sulung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memohon agar jawatankuasa itu diteruskan walaupun tanpa kehadiran wakil defendan. "Sebelum ini, defendan memaklumkan akan melantik abangnya yang berada di Qatar, Arab Saudi. Sekarang wakil yang baru dilantik berada di Labuan. Saya memohon agar perbincangan Jawatankuasa Pendamai diteruskan walaupun wakil defendan masih tidak hadir bagi menjimatkan masa mahkamah," katanya yang dibantu oleh peguam syarie, Nor Azmi Mohd. Arif. Zulkifli kemudian memberitahu anak guamnya menukar wakil yang lain disebabkan kos yang tinggi sekiranya terus melantik abangnya. Ab. Malek kemudian memaklumkan pihak-pihak terlibat bahawa nama wakil-wakil terbabit akan dihantar ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) agar satu pertemuan diadakan bagi mencari penyelesaian. Jawatankuasa Pendamai itu perlu menghantar laporan hasil pertemuan wakil-wakil kepada mahkamah pada 12 Jun ini. Jawatankuasa yang terdiri daripada seorang pengerusi (pegawai agama) dan wakil daripada setiap pihak ditubuhkan bagi membantu pasangan itu mencapai sebarang penyelesaian. Penubuhan Jawatankuasa Pendamai tersebut dibuat mengikut Seksyen 47(5) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. Menurut akta tersebut, jawatankuasa berkenaan diberi masa sehingga enam bulan bagi membantu pasangan untuk mencapai sebarang penyelesaian. Sekiranya jawatankuasa tersebut gagal mencapai sebarang persetujuan atau pasangan terbabit enggan meneruskan perkahwinan mereka, mahkamah perlu menasihati si suami untuk melafazkan talak. Nurul Izzah memfailkan permohonan cerai terhadap Raja Ahmad Shahrir pada 8 Januari lalu dengan alasan, tiada lagi persefahaman dan rasa kasih sayang (tiada mawaddah dan rahmah). Pasangan itu berkahwin pada 9 Mei 2003 di kediaman Anwar di Damansara dan dikurniakan dua anak, Raja Nur Safiyah, 7, dan Raja Ahmad Harith, 5. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan