Utusan Online - Pahang |
- Tiga atlet berpotensi cedera
- ECERDC lahirkan 27,938 pelajar cemerlang
- Kempen 120 hari ke laut, sebelum layak digelar nelayan
Posted: 17 Apr 2014 11:36 AM PDT FANSURINA ABDULLAH KUANTAN 17 April - Harapan Pahang untuk meraih pingat bagi acara berbasikal dan sepak takraw pada kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2014 di Perlis bulan depan mungkin terjejas berikutan tiga atlet mengalami kecederaan. Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Datuk Nik Nasarudin Mohd. Zawawi berkata, dua atlet berbasikal dan seorang tekong utama sepak takraw terlibat dalam kemalangan baru-baru ini. "Dua atlet berbasikal terlibat dalam kemalangan semasa menjalani latihan manakala seorang lagi atlet sepak takraw terlibat dalam kemalangan ketika menunggang motosikal untuk pulang ke kampung. "Ketiga-tiga mereka merupakan atlet yang berpotensi bagi membantu menyumbangkan pingat untuk kontinjen Pahang," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Katanya, ketiga-tiga atlet itu kini menjalani rawatan dan berharap mereka dapat beraksi di Perlis dan sekiranya kesihatan tidak mengizinkan maka pertukaran atlet terbabit akan dibuat supaya kekosongan mereka dalam acara itu segera diisi. Menurut peraturan katanya, Majlis Sukan Negara (MSN) membenarkan atlet yang tidak boleh beraksi akibat mengalami kecederaan boleh didaftarkan dengan atlet lain. Beliau turut mengingatkan persatuan serta atlet supaya memberi keutamaan tentang soal keselamatan memandangkan kejohanan akan berlangsung tidak lama lagi. Bagaimanapun katanya, beliau tetap optimis dengan sasaran kontinjen Tok Gajah bagi membawa pulang pungutan pingat 32 pingat emas, 36 perak dan 44 gangsa pada temasya Sukma Perlis 2014. |
ECERDC lahirkan 27,938 pelajar cemerlang Posted: 17 Apr 2014 11:36 AM PDT RAUB 17 April - Sebanyak 27,938 pelajar memperoleh kecemerlangan 100 peratus dalam peperiksaan utama manakala 11,175 penduduk telah dilatih menerusi pelbagai bidang perniagaan dan keusahawanan menerusi program Empower Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Pantai Timur. Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issac John berkata, menerusi program latihan akademik, pihaknya bekerjasama dengan pakar dalam bidang motivasi pembelajaran serta bimbingan mata pelajaran peperiksaan. Tambahnya, perkara itu berjaya mengubah disiplin dan corak sikap pelajar miskin ke arah lebih komited serta bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam peperiksaan. "Empower ECER antara program menyeluruh membabitkan pelaksanaan kelas tambahan, pemulihan sesuatu subjek dalam kalangan pelajar yang lemah, ceramah peperiksaan dan melaksanakan seminar keibubapaan serta kaedah pengurusan tekanan dalam kalangan guru," katanya. Beliau berkata demikian dalam Program Juara Empower ECER yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin di sini baru-baru ini. Dalam majlis itu seramai 42 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu menerima wang tunai dan sijil penghargaan. Pelajar cemerlang terbabit memperoleh keputusan di antara 5A hingga 11A dalam peperiksaan itu yang terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong seramai 18 orang diikuti SMK Mahmud (17), SMK Shahbandar (empat) dan SMK LKTP Tersang (tiga). Pada majlis itu, Shahiruddin juga menutup Seminar Jom Menangani Stress dengan disertai 300 guru sekolah rendah dan menengah di daerah ini. Jebasingam berkata, sehingga kini pihaknya sudah mengadakan latihan kepada 34,113 peserta di 17 lokasi di wilayah itu. Sementara itu, Shahiruddin berkata, peranan ECERDC banyak membantu kerajaan negeri dalam memacu sektor pendidikan dan keusahawanan khususnya mengubah kehidupan pelajar miskin serta penduduk berpendapatan sederhana di pinggir bandar dan luar bandar. "Selain akademik, kerajaan negeri amat menghargai ECERDC yang memusatkan latihan keusahawanan di beberapa daerah dan sehingga ini berjaya melahirkan pengusaha makanan, jahitan, solekan dan dandanan serta industri kecil lain berasaskan pertanian dengan pendapatan bulanan melebihi RM2,000," katanya. |
Kempen 120 hari ke laut, sebelum layak digelar nelayan Posted: 17 Apr 2014 11:36 AM PDT Shafik Fauzan KUANTAN 17 April - Kerajaan negeri bercadang mengadakan kempen 120 hari ke laut kepada semua nelayan sebelum layak digelar nelayan sepenuh masa. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, nelayan perlu turun ke laut sekurang-kurangnya 120 hari setahun dan kempen itu dilihat praktikal bagi menangani masalah kekurangan jumlah pendaratan ikan. "Kempen ini dilihat sebagai salah satu usaha untuk menangani masalah lesen nelayan yang dialibabakan kepada pihak lain. "Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan negeri perlu mencari mekanisme terbaik supaya kempen ini dapat dilaksanakan dengan berjaya dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Interaksi Bersama Nelayan di Dewan Komuniti Beserah di sini kelmarin. Yang turut hadir, Pengarah Perikanan negeri, Adnan Hussain dan Timbalan Pengarah LKIM, Tengku Anuar Tengku Mahmud. Menurut Shafik, beliau tidak mahu nelayan hanya menggelarkan diri mereka sebagai nelayan semata-mata mahu wang sara hidup sebanyak RM200 sedangkan mereka tidak turun ke laut. "Saya tahu ada dalam kalangan nelayan hanya menjadikan kerja tersebut sebagai kerja separuh masa namun kami mahu mereka memahami tujuan tersebut iaitu untuk melihat peningkatan jumlah pendaratan ikan," jelasnya. Sementara itu, Shafik berkata, melalui majlis interaksi yang diadakan, pihaknya akan meneliti keperluan nelayan di kawasan berkenaan bagi menambah baik kemudahan sedia ada. "Satu jawatankuasa khas membabitkan semua agensi berkaitan bagi menyelaraskan semua tugas dan masalah yang wujud. "Jawatankuasa tersebut akan dianggotai oleh agensi penguatkuasaan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Perikanan, LKIM, Majlis Keselamatan Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan