Selasa, 21 Jun 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


'Asante Kwa' LID 2011

Posted:

'Asante Kwa' LID 2011

'Asante Kwa' LID 2011

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my


Ketua-ketua Negara dan pemimpin kerajaan berjalan untuk menghadiri Sesi Pemukiman Forum Perniagaan Malaysia-Afrika (MABF) sempena Dialog Antarabangsa Langkawi 2011 di Cyberview Lodge, Cyberjaya, Isnin lalu. Turut hadir Perdana Menteri, Najib Tun Razak.


HAMPIR bergaduh di kalangan para perwakilan Afrika kelmarin selepas mendengar satu taklimat operasi Proton di Shah Alam.

Bergaduh bukan sebab apa-apa. Cuma marah sesama sendiri apabila mempersoalkan mengapa kerajaan di negara asal tidak melakukan apa yang dibuat oleh Proton. Kontrak untuk komponen brek dan pintu kereta keluaran Proton contohnya diagih-agihkan kepada vendor tertentu. Mengapa negara mereka tidak berfikir ke arah itu dengan kek dipotong dan diberi sama rata.

Kata seorang perwakilan Kenya kepada Utusan Malaysia semalam: "Jika Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad) berjalan di bumi Afrika, nescaya beliau akan disembah setiap orang. Asante Kwa (terima kasih) LID."

Ungkapan yang dizahirkan perwakilan dari pantai Timur Afrika itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menunjukkan betapa kagumnya dia dengan dasar transformasi yang sedang digerakkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Masih banyak sebenarnya yang perlu dipelajari oleh Afrika tentang soal tadbir urus yang baik terutama transformasi. Mereka tidak mempelajarinya dari Eropah. Tidak juga dari Amerika Syarikat dan Britain. Tetapi dari Malaysia sejak 16 tahun lepas menerusi Dialog Antarabangsa Langkawi (LID).

Dan apabila lebih ratusan perwakilan Afrika dan Caribbean tiba di PICC sejak Sabtu lalu untuk menghadiri LID 2011, banyak idea baru muncul secara tiba-tiba daripada benak kepala mereka. Semuanya hasil buah fikiran kepemimpinan sektor kerajaan dan swasta negara.

Apabila Naib Presiden Kenya, Stephen Kalonzo - yang tutur katanya berupa loghat Amerika dan memberi salam sebelum berucap - membalas tentang keperluan lebih banyak Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) negara mengembangkan sayapnya ke Nairobi, ia sebenarnya muncul selepas Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing mengumumkan penawaran biasiswa berjumlah RM12 juta kepada Botswana, Lesotho dan Swaziland.

Apabila Dr. Mahathir yang juga pengasas LID mencadangkan syarikat tambang murah seperti AirAsia melihat secara serius untuk mengadakan penerbangan ke Afrika, Kolonzo tersentak. Katanya: "Adalah lebih baik Afrika membangunkannya (penerbangan) sendiri."

Dari hal yang kecil sehinggalah perkara besar, boleh dikatakan Afrika 'merujuk' kepada Kuala Lumpur. Di pekarangan lobi PICC yang meletakkan pameran kraftangan dari Afrika semalam, pengunjung tempatan yang tertarik dengan topi 'mokovotlo' dari Lesotho, baju dari kulit rusa dan patung haiwan Zimbabwe - berhasrat mahu membelinya. Sayangnya ia bukan untuk dijual, cuma sekadar pameran.

Dan apabila diberitahu kraftangan itu amat menarik dan berpotensi untuk pasaran, sama seperti produk kraf Malaysia, terdengar jeritan kecil daripada warga Afrika terbabit: "Alamak kami tidak terfikir pun, nanti kami usahakan... terima kasih."

Tidak jauh dari booth Afrika itu, booth menjual hasil kraf berukiran gajah dimiliki pelukis karya negara, Yusof Gajah sudah tutup kedai pada hari pembukaan LID lagi kerana laris bak 'pisang goreng'.

Keterujaan dan komitmen tinggi para pemimpin Afrika menjayakan LID cukup ketara sehingga dikatakan pempamer kraftangan mereka sanggup menanggalkan apa sahaja ukiran, gambar dan hasil seni yang tergantung di bilik-bilik kedutaan mereka di Kuala Lumpur untuk dipinjamkan dalam mengisi slot pameran.

Banyak manfaat diperoleh Afrika hasil LID selama tiga hari ini. Zambia, misalnya kini dalam usaha mewujudkan zon ekonomi khas yang dirancang oleh Taman Teknologi Tinggi Kulim, Malaysia dan agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun.

Menurut Menteri Kewangan dan Perancangan Negaranya, Dr. Situmbeko Musokotwane, zon ekonomi berkenaan merupakan hasil pembelajaran dari negara-negara seperti Malaysia untuk membangunkan Zambia sebagai negara berpendapatan pertengahan.

"Zambia kini bersedia untuk menerima pelaburan perniagaan dari Malaysia.''

Nada sama turut dirungkai oleh Perdana Menteri Lesotho, Pakalitha Bethuel Mosisili.

"Saya amat berterima kasih kerana satu daripada universiti anda, Limkokwing, telah membuka kampus di Lesotho. Itu merupakan pelaburan besar kerana rakyat kami adalah sumber terbaik yang kami ada. Dengan mewujudkan kampus di negara kami, Kuala Lumpur sebenarnya melabur dan menyumbang ke arah pembangunan modal insan Lesotho," katanya.

Guinea pula mahu menjalin hubungan dan belajar lebih banyak dari Malaysia berbanding negara-negara Eropah kerana kedua-dua negara itu berkongsi banyak persamaan, kata perwakilannya, Ismail Nabe, yang mewakili sektor swasta negara itu.

Malah, beliau memberitahu, adalah lebih wajar untuk menjalin usaha sama dengan Malaysia memandangkan perbezaan antara Guinea dan negara-negara maju Eropah terlalu besar.

"Negara saya hampir sama dengan Malaysia. Kami mendapat kemerdekaan pada masa yang hampir sama dengan kemerdekaan Malaysia dan kami juga mempunyai iklim yang sama. Jadi, apa sahaja yang berjaya dilaksana di Malaysia boleh juga berjaya di Guinea," kata beliau.

Mara pula, antara agensi yang menawarkan pengajian tinggi tertua di Malaysia, akan menerajui usaha menyediakan latihan teknikal dan vokasional kepada pelajar Afrika.

Pengarah Pelaburan Mara, Salmah Hayati Ghazali memberitahu, latihan teknikal penting kepada pelajar tercicir untuk membentuk mereka menjadi pekerja mahir bagi membantu negara-negara Afrika membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

"Kami melihat Swaziland, Zimbabwe, Bostwana, Uganda, Namibia dan Kenya menunjukkan minat dalam pengajian teknikal dan vokasional untuk pelajar mereka. Mereka meminta bantuan dan bimbingan semasa LID 2011 ini," katanya.

Begitu juga dengan Gambia yang berminat untuk mendapatkan kepakaran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) bagi memperbaiki sektor pertaniannya, terutama dalam meningkatkan pengeluaran eksport utamanya, kacang tanah.

"Kami telah melihat pembangunan dan pencapaian Malaysia dalam sektor pertanian dan negara-negara Afrika boleh memperoleh banyak pengetahuan di sini," kata Menteri Perikanan, Sumber Air dan Hal Ehwal Negara Gambia Lamin Kaba Bajo.

Pada masa sama, Zimbabwe tertarik dengan dasar pembangunan Malaysia dan mahu belajar bagaimana program tersebut boleh dilaksanakan dengan berkesan di negara itu.

Menteri Pembangunan Sains dan Teknologi Zimbabwe, Profesor Heneri A.M Dzinotyiweyi berkata, Malaysia mempunyai misi dan visi yang jelas terutama dalam Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang disifatkan sangat efisien dan membantu.

Ketika melabuhkan tirai LID 2011 semalam untuk pertemuan seterusnya di Tanzania pada 2013, Najib memberikan komitmennya kepada Afrika. Dan Afrika menghargainya.

"Kami bersedia membantu negara-negara Afrika untuk melaksanakan transformasi ekonomi dan sanggup menghantar (Datuk Seri) Idris Jala (Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan - PEMANDU) ke sana.

"(Cuma) beliau tidak boleh dipindah milik dan tiada yuran pemindahan untuk beliau," kata Perdana Menteri sambil disambut tepukan daripada hadirin.

Sekali lagi, Asante Kwa LID.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Huru-hara jadi matlamat?

Posted:

Huru-hara jadi matlamat?

Huru-hara jadi matlamat?

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my


S. Ambiga (tengah) bersama ahli jawatankuasa penganjur pada majlis Pelancaran Bersih 2.0 di Dewan Perniagaan Cina Selangor, Kuala Lumpur, 19 Jun lalu. - UTUSAN/IZHAM JAAFAR


PADA setiap Sabtu, Dataran Merdeka sering menjadi tumpuan untuk pelbagai aktiviti riadah, Jalan Tunku Abdul Rahman menjadi lokasi membeli-belah.

Masjid Negara menjadi tempat untuk pelancong asing melawat dan umat Islam menghadiri majlis berbentuk keagamaan di situ, manakala gerai-gerai makan di Kampung Baru akan dipenuhi orang ramai yang menikmati sarapan pagi bersama keluarga.

Lebuh Raya Mahameru menjadi laluan paling sibuk untuk orang ramai pulang ke kampung pada hujung minggu dan di hadapan Istana Negara pula menjadi kunjungan utama pelancong.

Tetapi apakah situasi yang penuh ketenteraman dan kedamaian ini akan tercemar pada 9 Julai nanti?

Itulah persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak apabila parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) yang sehaluan dengan mereka akan turun ke jalanan pada tarikh berkenaan kononnya untuk menuntut sebuah pilihan raya yang bersih dan adil.

Walaupun perhimpunan haram Bersih anjuran pembangkang itu sudah mendapat amaran keras daripada pihak polis, namun setakat ini tiada unsur-unsur bahawa ia akan dibatalkan.

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih (Bersih), Datuk S.Ambiga dengan tegas menyatakan bahawa mereka akan meneruskan perhimpunan haram berkenaan biar pun apa juga yang terjadi.

Jelaslah beliau dan konco-konconya termasuklah parti pembangkang cuba mencabar undang-undang dan pihak berkuasa.

Mereka tahu bahawa perhimpunan itu tidak boleh diadakan kerana ia mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan, tetapi apa yang mereka peduli.

Apa yang lebih malang kononnya perhimpunan haram itu adalah manifestasi daripada tuntutan rakyat yang mahu sebuah pilihan raya yang bersih, telus dan adil.

Persoalan siapakah 'rakyat' yang dimaksudkan oleh Ambiga dan pembangkang? Apakah benar majoriti rakyat negara ini yang begitu asing dengan budaya demonstrasi dan rusuhan merestui apa yang bakal dilakukan oleh pembangkang pada 9 Julai ini.

Sememangnya sejak 2008 lagi, perkataan 'rakyat' sering sahaja disalah gunakan oleh pembangkang dalam mencapai cita-cita politik mereka.

Selain perhimpunan haram Bersih, Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga mengadakan konvensyen pilihan raya dengan bertemakan 'Demi Rakyat'.

Pembangkang cuba menghalalkan tindak-tanduk mereka dengan meletakkan istilah 'rakyat' sebagai perisai, tetapi mereka lupa rakyat tidaklah sebodoh yang mereka sangkakan.

Perhimpunan haram Bersih bermotif politik dan bagi mengalihkan isu terhadap kepincangan pembangkang serta masalah moral yang dihadapi oleh pemimpinnya - itu sahaja!

Justeru adalah tidak wajar jika pembangkang terus terpekik terlolong dengan menggunakan istilah 'rakyat' bagi menghuru-harakan ibu negara dan negeri-negeri lain.

Kalau benar mereka berjuang atas nama rakyat dan ingin membela nasib rakyat, mereka tidak akan bertindak mengadakan demonstrasi yang sudah tentulah akan mencetuskan huru-hara.

Apakah rakyat dimaksudkan oleh pembangkang ialah yang bersama-sama dengan mereka dalam demonstrasi itu sahaja? Bagaimana dengan jutaan lagi rakyat Malaysia sama ada di Kuala Lumpur atau di luar ibu negara yang membenci demonstrasi dan ingin hidup aman damai untuk menjalani kehidupan pada penghujung minggu.

Janganlah memberi alasan bahawa perhimpunan haram itu perlu dibenarkan berjalan secara aman, persoalannya siapakah yang boleh memberi jaminan keselamatan apabila ribuan orang turun ke jalanan?

Berdasarkan maklumat penulis difahamkan, perhimpunan haram Bersih bukan sekadar satu perhimpunan biasa tetapi ia mempunyai perancangan yang cukup rapi dan terancang bagi menghuru-harakan ibu negara dan negeri-negeri lain.

Ada hasrat untuk membawa gelombang rusuhan dan kekacauan yang tercetus di Asia Barat ke Malaysia, kononnya atas nama keadilan untuk rakyat.

Sekali lagi berjuang untuk rakyat hanyalah alasan pembangkang. Mereka sememangnya bertujuan untuk menganggu gugat keamanan dan keselamatan negara melalui perbuatan provokasi seperti mana perhimpunan haram yang hendak diadakan.

Justeru atas alasan berkenaan, pihak berkuasa perlu bertindak segera dan harus melakukan apa sahaja bagi memastikan keamanan ibu negara dan negeri-negeri lain yang tidak diganggu-gugat oleh pembangkang.

Dalam melakukan tindakan tersebut, pihak berkuasa tidak perlu khuatir akan dituduh melanggar hak asasi manusia atau seumpamanya yang sudah tentulah dakwaan itu akan datang daripada kelompok dalam dan luar negara yang propembangkang.

Kalau pembangkang bercakap soal hak asasi apakah ia eksklusif untuk mereka sahaja? Bagaimana dengan rakyat yang menentang perhimpunan haram tersebut?

Oleh itu, tanggungjawab pihak berkuasa ialah memastikan keselamatan dan keamanan tidak tergugat serta menentukan nasib jutaan lagi rakyat Malaysia tidak terjejas hanya disebabkan perbuatan beberapa ribu penunjuk perasaan yang sudah hilang pertimbangan waras mereka dalam berpolitik.

Hakikatnya, tindakan mereka mahu mengadakan perhimpunan haram tersebut, ibarat makhluk-makhluk perosak yang bagaikan cacing kepanasan apabila melihat rakyat kini semakin menyebelahi kerajaan Barisan Nasional (BN). Imej pembangkang semakin merudum kerana masalah dalaman dan semakin bimbang akan kalah teruk dalam pilihan raya umum akan datang.

Oleh itu pembangkang tidak perlu berbohong atau memperdayakan rakyat dengan hujah-hujah politik songsang mereka kononnya pilihan raya di negara ini tidak bersih dan adil, maka perhimpunan haram tersebut perlu diadakan.

Kemenangan pembangkang di empat buah negeri dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dalam pilihan raya umum lalu sudah menjadi bukti ketelusan pilihan raya yang diadakan.

Ia belum lagi mengambil kira bagaimana Pas masih terus memerintah Kelantan sejak tahun 1990 sedangkan kalau benar pilihan raya tidak adil dan telus sudah lama kepimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berakhir di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Begitulah juga apabila pembangkang merampas Pulau Pinang, Kedah dan Perak serta Selangor ia tidak akan terjadi kalau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi kuda tunggangan kepada kerajaan BN seperti mana didakwa oleh pembangkang.

Berdasarkan perkara itu, adalah wajar rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan menghormati sistem demokrasi yang memberi kuasa kepada mereka memilih kerajaan melalui pilihan raya yang sah bangkit menentang penganjuran perhimpunan haram tersebut.

Pembangkang perlu diberi peringatan bahawa politik ada batasnya dan rakyat tidak akan bersekongkol dengan kelompok yang sanggup mempertaruh dan menggadaikan apa sahaja kerana gilakan kuasa.

Lebih penting daripada itu, rakyat juga perlu menyampaikan mesej kepada pembangkang bahawa demonstrasi dan rusuhan serta mencetuskan huru-hara bukan caranya rakyat negara ini menentukan kerajaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved