Utusan Online - Pendidikan |
YPM taja bengkel ADaP di sekolah Putrajaya Posted: YPM taja bengkel ADaP di sekolah PutrajayaTENGKU Adnan Tengku Mansor bersama pelajar-pelajar selepas pelancaran Bengkel Teknik Menjawab Soalan UPSR dan PMR Bersama Utusan Malaysia di Dewan Perdana Putra SKPP 8(1), Putrajaya, semalam. PUTRAJAYA 21 Jun - Lebih 4,200 pelajar daripada 21 buah sekolah rendah dan menengah di Putrajaya berpeluang mengikuti bengkel Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) secara percuma apabila ia ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Pelajaran Mara (YPM) bermula hari ini. Program sehari itu nanti memfokuskan kepada tiga subjek utama iaitu bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dengan menyediakan guru pakar menggunakan ADaP sebagai sumber rujukan dan ulang kaji Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Profesor Datuk Dr. Abdul Shariff Hamid berkata, tajaan tersebut dilakukan sebagai satu usaha pihaknya untuk meningkatkan pencapaian akademik para pelajar. Menurutnya, kolaborasi bersama akhbar Utusan Malaysia pula merupakan salah satu cara terbaik untuk memperkasakan ilmu di kalangan pelajar sekolah. "Kita harap Utusan Malaysia boleh menjadi rakan strategik kepada YPM dalam melaksanakan pelbagai program berbentuk akademik diperingkat sekolah pada masa akan datang. "Kita melihat kolaborasi ini penting sebagai sokongan kepada kita mendapatkan bahan bacaan berkualiti bagi diedarkan kepada pelajar kawasan bandar dan juga luar bandar," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Bengkel Teknik Menjawab Soalan UPSR dan PMR Bersama Utusan Malaysia, di sini hari ini. Terdahulu majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Turut hadir Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan dan Timbalan Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Putrajaya, Jamaluddin Yusoff. Selain Bengkel ADaP, YPM turut menyumbangkan sebanyak 22 unit komputer riba kepada 21 buah sekolah dan Pejabat Pendidikan di Putrajaya. Sementara itu, Jamaluddin berkata, pihaknya berterima kasih dengan sumbangan dan tajaan yang diberikan oleh YPM sebagai salah satu inisiatif daripada pihak korporat untuk memajukan bidang pendidikan. "Sumbangan ini dapat menambah kemudahan sistem komunikasi dan teknologi (ICT) di sekolah terbabit yang kini sudah menjadi perkara wajib di zaman teknologi moden ini. "Kita mahukan para pelajar di sini mendapat pendidikan yang terbaik supaya mereka tidak tercicir dan dapat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi lagi," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Sekolah Vokasional baru untuk pelajar OKU Posted: Sekolah Vokasional baru untuk pelajar OKUKUALA TERENGGANU 21 Jun - Lebih banyak Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) akan diwujudkan bagi memberi peluang golongan kurang upaya (OKU) menimba ilmu serta kemahiran agar diberi tempat dalam pasaran kerja seperti golongan normal. Terbaru, sebuah SMPKV berkonsepkan teknologi agro akan dibuka di Kuantan, Pahang pada Januari tahun depan dengan sesi pengambilan awal melibatkan 250 pelajar istimewa. Timbalan Pengarah Cawangan Program Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran, Jalaludin Othman berkata, sekolah tersebut merupakan yang ketiga selepas SMPKV di Indahpura, Johor dan SMPKV Shah Alam, Selangor yang menyediakan pelbagai kemahiran vokasional. Katanya, sekolah yang pembinaannya sudah 98 peratus siap itu bakal melahirkan usahawan OKU yang mahir khususnya dalam bidang pertanian. "Sekolah ini akan menempatkan kira-kira 500 pelajar apabila ia beroperasi sepenuhnya kelak. Pada masa ini ia dalam proses untuk membawa masuk kemudahan peralatan penternakan serta pertanian. "Kita berharap melalui pembukaan sekolah ini dapat membuka mata ramai pihak tentang kesungguhan kerajaan dalam membantu golongan istimewa ini," katanya selepas hadir pada majlis Pentas Istimewa Pendidikan Khas 2011 di Wisma Darul Iman di sini hari ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pendidikan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan