Utusan Online - Keluarga |
Posted: Air bersih untuk semuaOleh ABD. HALIM HADI
HUJAN yang mencurah pada petang itu tidak sedikitpun menjejaskan kegembiraan kira-kira 100 orang penduduk di pedalaman Sabah yang hadir untuk meraikan majlis penuh bersejarah di kampung mereka. Tanpa kerusi dan meja yang mencukupi, majlis di bawah khemah berlantaikan tanah yang sudahpun becak ketika itu tetap meriah. Pada wajah mereka terpancar seribu kesyukuran. Perasmian Projek Air Bersih Untuk Komuniti yang disiapkan pada April lalu menandakan berakhirnya penantian penduduk di Kampung Toboh Pahu dekat Ranau untuk menikmati bekalan air bersih. Hari tersebut menjadi hari pertama bagi suku kaum Dusun yang mendiami kawasan kaki Gunung Kinabalu itu melihat curahan air dari batang paip. Siapa sangka ketika kebanyakan kita sudah lama menikmati kemudahan asas itu, ada lagi sebilangan penduduk di negara ini yang masih bergantung kepada air tadahan hujan dan saliran air dari celah bukit. Perasmian yang cukup sederhana itu disambut dengan sorakan dan tepukan para tetamu. Majlis bersebelahan dengan perpustakaan desa itu kemudiannya dimeriahkan lagi dengan tarian Sumazau oleh murid-murid sekolah. Majlis disempurnakan oleh wakil Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun iaitu Pengerusi Rakan Pengguna Sabah (RPS), Datuk Amisah Yassin. Amisah berkata, Kerajaan Negeri Sabah berterima kasih kepada Raleigh dan Coca-Cola Malaysia di atas sumbangan yang amat bererti kepada penduduk pedalaman di situ. Katanya bekalan air yang lebih bersih bukan sahaja memudahkan kehidupan seharian bahkan dapat mengurangkan risiko penyakit akibat pencemaran air. "Hari ini saya sendiri dapat merasakan kegembiraan di hati penduduk kampung," katanya sebelum merenjis para tetamu menggunakan air dari saluran paip yang disambung dari puncak bukit. Berkongsi kegembiraan pada hari itu ialah 15 orang 'mat dan minah salleh' yang merupakan tulang belakang kejayaan projek bekalan air graviti di Toboh Pahu, kampung yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Kota Kinabalu. Kumpulan remaja berusia antara 17 hingga 25 tahun itu merupakan sukarelawan Raleigh Borneo yang bertungkus-lumus selama sembilan minggu menyiapkan projek yang ditaja bersama syarikat minuman Coca-Cola. Selain Toboh Pahu, beberapa buah kampung seperti Solungkapit, Bompong dan Monguwou turut menikmati kemudahan daripada Projek Air Bersih Untuk Komuniti pada tahun ini. Terlebih dahulu menerima kemudahan yang sama adalah Kampung Himbaan, Kemborongoh, Linapasan, Mohimboyon, Pasu, Pitas, Randugung, Ratau, Rugading, Sosondoton, Tampasak, Tongou, Tudan dan Vunui Locos. Sehingga kini, program yang dimulakan sejak 2006 itu telahpun membantu meringankan beban kira-kira 12,000 penduduk di lebih 16 buah kampung di Sabah. Sebelum menerima kemudahan air graviti, penduduk di Toboh Pahu dan pedalaman Ranau menggunakan kaedah tradisional iaitu membuat penyambungan buluh dari anak sungai. Selain itu, mereka juga bergantung kepada tadahan air hujan. Penulis yang tiba sebelum perasmian pada hari itu sempat merasai sebahagian daripada kesukaran hidup penduduk di kawasan tanah tinggi itu yang masih bergantung pada air bukit. Lokasinya yang terpencil di puncak bukit menyukarkan penyaliran air bersih melalui paip. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
MASiF himpun penggiat fesyen, muzik Posted: MASiF himpun penggiat fesyen, muzikOleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
SUSULAN kejayaan yang dicipta tahun lalu, Music, Arts, Style, International Festival (MASiF 2011) akan menemui rakyat Malaysia untuk kali kedua bermula 15 September ini. Selain diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September, festival tersebut yang akan berlangsung selama tiga hari dijangka mampu memberi pendedahan dan manfaat khususnya buat generasi muda mengembangkan bakat. Festival unik tersebut yang akan berlangsung di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) itu, berteraskan tiga genre seni iaitu muzik, lukisan dan fesyen. MASiF 2011 membuka pintu terutama dalam menghimpunkan bukan sahaja penyanyi dan penggiat muzik, malah pereka fesyen dan model serta beberapa cabang seni halus lain termasuk lukisan dan arca. Ketiga-tiga elemen utama tersebut akan bersatu pada satu pentas dan dijangka mendapat sambutan bukan sahaja di kalangan rakyat Malaysia tetapi juga pelancong luar. Menurut Presiden MASiF 2011, Ir. Adam Salim, tahun ini festival tersebut dilihat mampu menarik lebih ramai penyertaan memandangkan ia tahun kedua diadakan. "Jika tahun lalu ia berjaya menarik minat seramai 25,000 orang, tahun ini apa yang diharapkan jumlahnya akan melebihi 100,000 pengunjung. "Apa yang menjadikan MASiF satu festival unik ialah selain merangkumi pelbagai lapisan masyarakat yang berbilang kaum. Ia merupakan satu festival yang mengenengahkan acara kesenian terbesar yang merangkumi muzik, fesyen dan seni halus. "Insya-Allah kali ini pengisian aktivitinya akan lebih banyak dan sebenarnya kebanyakan acara seperti pertandingan fotografi, reka bentuk poster serta pertandingan boling telah pun bermula 1 Jun lalu," ujarnya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Tahun ini selain KLCC, jalinan kerjasama turut diberikan oleh Saphire Screen Sdn. Bhd., Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan; Kementerian Pelancongan; Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar; Radio Televisyen Malaysia (RTM); UiTM Holdings; Nona, Don't Panic; Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL); GJA; Art Malaysia; Kapas; Petronas; Suria KLCC; KLCC Property Holdings Berhad dan Proton. Menurut Adam lagi, kebanyakan acara akan diadakan di Concourse Suria KLCC, KLCC Esplanade dan Galeri Petronas. Sementara itu, pada sidang akhbar yang sama, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Mohd. Mahyidin Mustakim berkata, MASiF 2011 mampu membantu melonjakkan bakat-bakat di kalangan rakyat Malaysia. "Malaysia sebenarnya tidak ketandusan bakat-bakat baru dan muda cuma mereka ini tidak dikenali kerana tidak diberi pengiktirafan yang sewajarnya. "Dalam hal ini, kerajaan turut memberi penekanan dengan melancarkan dana industri kreatif sebanyak 200 juta pada tahun lalu. "Melalui dana inilah kita cuba membantu mereka yang berbakat dalam bidang seni dan kreatif dan mereka tidak seharusnya melepaskan peluang yang telah disediakan ini," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan