Utusan Online - Kota |
- 60,000 pengguna sehari
- JAIS siasat pilihan raya masjid di Taman Keramat
- Jangan terpedaya sindiket judi ekor
Posted: 60,000 pengguna sehariOleh NUR NAZLINA NADZARI danMOHAMMED SOFIAN BAHAROM
SELAYANG 20 Jun - Pihak pengurusan Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR Expressway) menjangkakan 60,000 pengguna akan menggunakannya apabila kemudahan bernilai RM958 juta itu mula beroperasi tidak lama lagi. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amran Amir berkata, jumlah pengguna lebuh raya sepanjang 33 kilometer itu dijangka meningkat dengan kadar purata lima peratus setiap tahun dalam tempoh 10 tahun. Katanya, lebuh raya yang mempunyai tiga buah plaza tol dengan jarak 18 minit bagi setiap susur keluar tersebut dapat menawarkan perjalanan yang lebih pantas dan selamat kepada pengguna. "Lebuh raya ini sudah 99.9 peratus siap dan dijangka akan beroperasi dalam masa terdekat yang akan diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor. "Kadar tol bagi LATAR Expressway yang merupakan tol terbuka atau pun tol dengan kadar harga rata akan turut diumumkan oleh kerajaan nanti," katanya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan taklimat media dan lawatan tapak ke lebuh raya tersebut di sini hari ini. Katanya, lebuh raya yang memiliki empat persimpangan utama iaitu di Ijok, Puncak Alam, Kuang dan Taman Templer itu dijangka memberi pulangan terhadap kos pembinaannya selepas 15 hingga 20 tahun ia beroperasi. Jelas Amran, pertumbuhan pesat di kawasan sekitarnya termasuk di Kuala Selangor, Asam Jawa, Ijok, Bestari Jaya, Kota Puteri, Puncak Alam, Shah Alam, Bukit Jelutong dan Sungai Buloh pasti akan melonjakkan bilangan pengguna lebuh raya itu. Ujarnya, projek yang turut memberi manfaat dari segi peluang pekerjaan serta ekonomi kepada penduduk tempatan itu merupakan di antara usaha kerajaan dalam mewujudkan laluan alternatif Jalan Kepong-Kuala Selangor. "Lebuh raya ini juga merupakan sebahagian perancangan kerajaan bagi pembinaan Jalan Lingkaran Luar Kuala Lumpur (KLORR) bagi menyuraikan kesesakan lalu lintas sepanjang Lebuh raya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (JLT2) terutama trafik dari Lebuh raya Utara Selatan tanpa melalui pusat bandar raya Kuala Lumpur," tambah beliau. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
JAIS siasat pilihan raya masjid di Taman Keramat Posted: JAIS siasat pilihan raya masjid di Taman KeramatSHAH ALAM 20 Jun - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menyiasat dakwaan berlaku pilihan raya untuk memilih jawatankuasa baru Masjid Al-Ansar Taman Keramat, Hulu Klang dekat sini pada Mei tahun lalu. Pengarah JAIS, Marzuki Hussin berkata, pilihan raya itu tidak sepatutnya berlaku kerana pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan agar ia diadakan bagi memilih jawatankuasa masjid itu. Beliau berkata, jika pilihan raya itu benar-benar diadakan, ia adalah di luar pengetahuan jabatan itu dan tindakan tegas boleh diambil terhadap penganjurnya. "Sebarang keputusan untuk mengadakan pilihan raya mesti melalui JAIS dan kami memang tidak pernah mengeluarkan arahan itu. Jadi, keputusan pilihan raya itu tidak sah dan kami akan siasat mengenainya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Marzuki berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pilihan raya yang didakwa dilakukan di kesemua 11 buah surau di bawah kelolaan masjid itu pada Mei tahun lalu. Dakwaan itu dibuat oleh seorang penduduk Taman Keramat, Kamarudin Basir, 65, yang merupakan salah seorang kariah yang terlibat dalam pemilihan itu termasuk memangkah satu borang untuk memilih jawatankuasa baru masjid dan keputusannya dikira pada waktu itu juga. Marzuki juga meminta kerjasama kariah masjid-masjid di seluruh Selangor agar melaporkan kepada JAIS jika perkara seumpama itu berlaku di kawasan mereka. | ||
Jangan terpedaya sindiket judi ekor Posted: Jangan terpedaya sindiket judi ekorKUALA LUMPUR 20 Jun - Orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dengan sindiket penipuan dikenali sebagai Watt Manicom Dun, kononnya boleh mendapatkan nombor ekor bertuah menggunakan ramalan sami yang disebarkan menerusi risalah selain khidmat pesanan ringkas (SMS). Sehingga kini, sebanyak 14 kes tertipu dilaporkan berlaku yang melibatkan kerugian mencecah RM1.6 juta dengan mangsa-mangsa dikesan dari Petaling Jaya dan Shah Alam, sejak dua tahun lalu. Ketua Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, laporan mendapati mangsa terlibat menerima risalah berkenaan di kawasan letak kenderaan. "Mangsa yang terpedaya untuk mendapat nombor bertuah dijanjikan, diminta memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank," katanya pada sidang akbar di sini hari ini. Tambahnya, melalui siasatan, sindiket itu beroperasi dengan menggunakan alamat palsu dan segala urusan dijalankan melalui panggilan telefon dan SMS. "Jika dulu sindiket Watt Manicom Dun menyasarkan mangsa di kalangan kaum Cina, tetapi kini turut menjadikan kaum Melayu dan India sebagai sasaran terutamanya golongan wanita," katanya. Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh pula berkata, pihaknya akan menjalankan kempen kesedaran di lokasi tumpuan orang ramai bagi mengelakkan lebih ramai terpedaya dengan sindiket itu. "Sebagai orang Islam, mereka diminta supaya tidak terjebak dengan kegiatan membeli nombor ramalan tersebut kerana haram di sisi agama. "Saya harap orang ramai yang pernah menjadi mangsa penipuan sindiket itu tampil buat aduan dan beri maklumat bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan