Utusan Online - Utara |
Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan mengurniakan Darjah Seri Sirajuddin Perlis kepada Penolong Editor Meja Rencana Bernama, Adnan Jahaya di Istana Arau, Perlis, kelmarin. ARAU 18 Mei - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mahu rakyat Perlis fokus kepada perubahan sikap dan budaya kerja dengan menerapkan mentaliti kelas pertama untuk memajukan negeri seiring Wawasan 2020. Baginda bertitah, cita-cita kerajaan negeri agar Perlis maju seiring dengan Wawasan Perlis Maju 2015 dan negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 tidak akan menjadi kenyataan tanpa komitmen rakyat. "Beta menyeru rakyat Perlis agar leibh fokus terhadap sikap, budaya kerja dan pemikiran. Janganlah menolak pembangunan kerana takut kehilangan rezeki secupak. Lihatlah implikasi baik pembangunan tersebut," titah baginda pada sambutan ulang tahun ke-71 keputeraan baginda di Istana Arau di sini, semalam. Baginda berkenan menganugerah darjah kebesaran dan pingat negeri Perlis kepada 243 orang. Daripada jumlah itu, 30 orang menerima anugerah tersebut dalam satu istiadat di Balai Rong Seri Istana Arau hari ini. Tuanku Syed Sirajuddin turut mengenang tragedi Malaysia Airlines MH370 dan meminta rakyat menerimanya sebagai pengajaran supaya lebih memahami erti kehilangan, kesabaran, kekuatan mental dan fizikal serta perpaduan. "Tragedi ini tidak sekadar memperlihatkan kekuatan dalam negara malahan bantuan negara luar yang turut bersatu merungkai misteri tragedi tersebut. "Di kesempatan ini beta menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada seluruh ahli keluarga para penumpang dan anak-anak kapal pesawat. Marilah kita terus berdoa agar segala persoalan terjawab. Sesungguhnya Allah SWT maha mengetahui," titah baginda. Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, Perlis sanggup menggalas cabaran sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 dari 24 Mei hingga 4 Jun ini walaupun Perlis cuma negeri kecil. "Pencapaian 41 daripada 53 indikator atau 77.36 peratus Wawasan Perlis Maju 2015 menggambarkan usaha bersungguh-sungguh kerajaan kerana 53 indikator itu merangkumi tujuh elemen pembangunan holistik. Kini tinggal satu sahaja elemen pelengkap untuk memenuhi wawasan yang merupakan pencapaian membanggakan," titah baginda. Baginda turut berpesan supaya agensi kerajaan beroperasi dengan efisien, meningkatkan kecekapan dan mengoptimumkan sumber manakala rakyat memperkukuhkan perpaduan dan menunaikan tanggungjawab dengan mematuhi undang-undang, membayar cukai serta zakat kepada pihak berwajib. - BERNAMA |
Tasik Pedu destinasi ekopelancongan Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT PADANG TERAP 18 Mei - Kerajaan negeri akan merangka satu pelan induk pelancongan Tasik Pedu bagi memastikan kawasan itu dibangunkan tanpa menjejaskan keistimewaan alam semula jadi di situ. Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kawasan Tasik Pedu merupakan satu aset berharga untuk negeri ini dan pelan pembangunannya mesti dirancang secara teliti. "Kerajaan negeri tidak mahu membangunkan kawasan ini secara ad-hoc yang kemudiannya mengakibatkan kita tidak mengoptimumkan potensi yang ada di Tasik Pedu. "Ini mungkin akan menjejaskan keistimewaan alam di Tasik Pedu yang merupakan satu aset berharga untuk negeri ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Padang Terap di sini hari ini. Menurut Mukhriz, banyak pihak menunjukkan minat untuk membangunkan kawasan Tasik Pedu jika kerajaan negeri bersiap sedia untuk memberi laluan kepada mereka. "Kita tidak mahu gelojoh dalam membangunkan Tasik Pedu, disebabkan itu kita buat satu pelan induk pelancongan terlebih dahulu sebelum benarkan mana-mana pihak bangunkan. "Saya rasa aktiviti ekopelancongan sesuai dijalankan di Tasik Pedu kerana di situ ada tasik garam yang menjadi tumpuan haiwan liar seperti gajah. Kerajaan negeri akan pastikan pembangunan di situ tidak akan merosakkan semua ini," jelasnya. Tegas beliau, pembangunan pelancongan di Tasik Pedu juga tidak akan melibatkan sebarang aktiviti pembalakan kerana kawasan tersebut merupakan kawasan tadahan air. Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata, kerajaan negeri juga akan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk membantu 890 orang penduduk di kawasan Padang Terap yang menghadapi masalah pertikaian hak milik tanah dengan Tradewind Sdn. Bhd. "Masalah ini sudah berlanjutan lama, mungkin ada cara untuk kita mengadakan rundingan bersama dan mencari jalan penyelesaian yang bersifat menang-menang bagi semua pihak," jelasnya. |
Econsave Bukit Mertajam bantu pesakit Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT PULAU PINANG 18 Mei- Pasar raya Econsave Bukit Mertajam prihatin apabila memberikan bantuan barangan makanan bernilai RM1,000 kepada pesakit kanser di Hospital Pulau Pinang (HPP), baru-baru ini. Bantuan itu bagi meringankan beban Thum Mei Sun, 36, yang menderita ketumbuhan kanser di bahagian tangan kirinya. Menurut Pengurus Cawangan berkenaan, Kuan Yit Wah, wanita itu menghidap ketumbuhan sejak dua tahun lalu. Katanya, pihaknya simpati dengan penderitaan yang dialami pesakit ini kerana keluarganya juga mengalami kesulitan kewangan. "Dia memerlukan RM36,000 untuk menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan itu pada 20 Mei ini," katanya ketika melawat pesakit itu di HPP baru-baru ini. Yang turut hadir Pengurus Operasi Econsave cawangan utara, Zamzuri Mansor. Yit Wah berkata, pihaknya menyediakan bantuan barangan seperti tisu basah, lampin, susu tepung, minuman Milo dan oat bagi meringankan beban pesakit berkenaan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan