Utusan Online - Kota |
- 'Syurga kami di bawah jambatan'
- 44 motosikal disita, 257 pemilik kenderaan disaman
- Sekolah Sultan Alam Shah juara Pertandingan Bicara Berirama
'Syurga kami di bawah jambatan' Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT Oleh AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN JULIANA Jamil (kanan) bersama empat anaknya terpaksa tidur beralaskan plastik kanvas dan diterangi cahaya lilin di bawah jambatan di Lebuh Pasar Besar, Kuala Lumpur, sejak Jun tahun lalu. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN KUALA LUMPUR 18 Mei - Jambatan konkrit di Lebuh Pasar Besar berhampiran Pasar Seni di sini, menjadi saksi kedaifan hidup sebuah keluarga gelandangan di tengah-tengah kemajuan ibu negara. Kawasan itulah menjadi rumah buat Juliana Jamil, 38, bersama suaminya yang hanya mahu dikenali sebagai Bob Komando dan empat anak mereka berusia antara empat hingga 10 tahun berteduh sejak tahun lalu. Ketika kanak-kanak lain berpeluang ke sekolah, anak-anak mereka iaitu Nor Azman, 10, yang juga kurang upaya, Nur Hidayati, 9, Nor Haikal, 5, dan Nur Fatehah, 4, hanya menghabiskan kehidupan seharian dengan merayau-rayau di sekitar kawasan itu. Lebih menyayat hati apabila melihat anak-anak pasangan ini, terpaksa mandi menggunakan air longkang yang entah dari mana sumbernya. Bagi mereka bersih atau tidak air itu bukan isu utama kerana yang paling penting dapat menyegarkan tubuh masing-masing. Dengan pendapatan keluarga ini hanya kira-kira RM7 sehari daripada hasil menjual barangan lusuh yang dikutip di tempat awam dan tong sampah, sudah tentu mengisi perut menjadi keutamaan pasangan ini daripada memberi pendidikan kepada anak-anak. Menurut Juliana, mereka yang berasal dari Johor terpaksa hidup merempat sejak Jun tahun lalu ekoran tidak mempunyai kemampuan untuk menyewa rumah. "Suami saya hanya mengutip tin dan botol kosong dengan meraih pendapatan yang tidak seberapa untuk menyara keluarga. "Anak-anak tidak bersekolah dan hanya bermain di sekitar kawasan ini. Kadangkala mereka cuma meraih simpati orang ramai untuk mendapat sedikit makanan dan wang," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini. Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu juga mendapati longgokan barangan lusuh yang menimbulkan bau kurang menyenangkan menjadi teman keluarga ini. Mereka juga menggantung pakaian di tembok di bawah jambatan itu manakala pakaian yang baru dicuci dibiarkan di atas lantai untuk dikeringkan oleh cahaya matahari. Menurut Juliana, pada waktu malam mereka biasanya tidur di bawah jambatan itu dengan beralaskan kotak dan plastik kanvas. Ujarnya, kadangkala mereka melelapkan mata berhampiran kaki lima kedai di kawasan berhampiran. "Memanglah tidak selesa kerana bunyi bising enjin kenderaan yang lalu lalang di atas jambatan ini. Tetapi kami tiada pilihan. Tidak ada sesiapa yang mahu hidup seperti ini tetapi buat masa ini kami terpaksa menempuhnya juga," katanya. Musim hujan sejak kebelakangan ini di sekitar ibu kota, benar-benar mencabar ketabahan mereka sekeluarga. "Pada waktu malam suhu sangat sejuk, saya bimbang anak-anak demam atau selesema," kata Juliana. Dalam nada hiba, Juliana berkata, dia tidak pernah sekalipun membayangkan akan menempuh hidup bergelandangan apatah lagi derita itu terpaksa ditempuh bersama anak-anak yang masih kecil. "Pada waktu malam saya menangis kerana kami terpaksa hidup begini. Mungkin saya dan suami boleh menempuh kesusahan hidup, tetapi sudah tentu kami tidak mahu anak-anak hidup dalam keadaan daif selama-lamanya. "Bagaimanapun, saya terharu kerana anak-anak kami faham dengan kesusahan yang terpaksa dilalui ketika ini, mereka memang anak yang baik," katanya. Hanya satu harapan Juliana, iaitu mendiami sebuah rumah yang sempurna dan selesa sekali gus dapat meninggalkan terus syurga di bawah jambatan di tepi Sungai Klang itu. |
44 motosikal disita, 257 pemilik kenderaan disaman Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT Beberapa anggota polis trafik dan JPJ menahan penunggang motosikal ketika operasi bersepadu di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam semalam. - UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz KUALA LUMPUR 18 Mei - Sebanyak 44 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan trafik dalam operasi bersepadu di empat lokasi sekitar ibu negara di sini malam tadi. Operasi selama empat jam bermula pukul 9 malam itu turut mengeluarkan saman terhadap 257 pengguna kenderaan yang melanggar peraturan jalan raya, antaranya mengguna cermin gelap dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi. Ketua Jabatan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, pihaknya juga telah menahan dua individu yang didapati positif ujian alkohol. "Seramai 11 individu yang mempunyai waran tangkap dikesan dalam operasi ini manakala seorang ditahan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menggunakan plat pendaftaran palsu. "Selain itu, saman dikeluarkan terhadap lapan pengguna jalan raya yang kenderaan mereka mengeluarkan bunyi bising dan dua saman atas kesalahan asap kenderaan mengandungi gas berlebihan," katanya ketika ditemui dalam operasi itu di Dataran Merdeka di sini. Menurut Wan Abdul Bari, operasi yang disertai 123 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu turut menyasarkan pemandu mabuk, penggunaan dadah serta kesalahan lain. Ujar beliau, JPJ turut mengeluarkan 26 saman bagi kesalahan penggunaan cermin gelap, 124 notis untuk pemeriksaan lanjut di JPJ serta lapan saman pengubahsuaian kenderaan. Menurut Wan Abdul Bari, sebanyak 994 buah kenderaan diperiksa dalam operasi tersebut. |
Sekolah Sultan Alam Shah juara Pertandingan Bicara Berirama Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT Para pelajar dari Sekolah Sultan Alam Shah meraikan kejayaan mereka menjuarai pertandingan Bicara Berirama Sekolah Menengah Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya di Putrajaya, kelmarin. - UTUSAN/Zaki Amiruddin PUTRAJAYA 18 Mei - Penyertaan Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) buat kali pertama dalam Pertandingan Bicara Berirama Sekolah Menengah Kebangsaan Wilayah Persekutuan Putrajaya ternyata berbaloi apabila menjadi juara dalam pertandingan tersebut di sini semalam. Kejayaan itu secara tidak langsung melayakkan sekolah berasrama penuh (SBP) tersebut membawa pulang wang tunai RM2,000, piala, dan sijil penghargaan. Persembahan yang disampaikan oleh 33 pelajar SAS itu berjaya menambat perhatian juri untuk menewaskan Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Putrajaya 16 (1) yang terpaksa berpuas hati berada di tempat kedua. Tempat ketiga dalam pertandingan yang disertai oleh enam buah sekolah di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu pula menjadi milik SMK Putrajaya Presint 8 (1). Hadiah kemenangan disampaikan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan. Sementara itu, jurulatih SAS, Aminah Mohd. Noor berkata, beliau tidak menyangka penyertaan kali pertama ke pertandingan tersebut membuahkan hasil. Jelasnya, ini kerana masa yang diambil untuk melatih pelajarnya hanya selama dua minggu. "Biarpun begitu, pelajar kami berazam untuk melakukan sebaik mungkin dalam pertandingan ini dan mereka mempunyai motivasi yang tinggi. "Tema pertandingan yang berkisar mengenai Putrajaya kami terapkan dengan fakta dan gaya penyampaian menarik untuk memikat hati juri," katanya ketika ditemui pemberita. Beliau menambah, kejayaan tersebut dapat meningkatkan motivasi pelajar SAS untuk menyertai pertandingan seumpama itu pada masa hadapan termasuklah di peringkat kebangsaan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan