Isnin, 19 Mei 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Nicol rangkul gelaran terbuka Britain kali kelima

Posted: 18 May 2014 10:22 AM PDT

KUALA LUMPUR 18 Mei - Ratu skuasy negara Datuk Nicol David merangkul gelaran Terbuka Britain untuk kali kelima selepas membalas dendam terhadap juara bertahan Laura Massaro pada final.

Pada pertarungan di Sports Arena, Universiti Hull, England, Nicol, selaku pilihan utama, bagaimanapun kalah set pembukaan sebelum bangkit untuk menewaskan pemain England itu dengan keputusan 8-11, 11-5, 11-7 dan 11-8.

Nicol, pemain nombor satu dunia, memenangi gelaran itu pada tahun 2005, 2006, 2008 dan 2012.

Kejayaan tersebut merupakan gelaran kedua tahun ini buat pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 30 tahun itu selepas Cleveland Classic di Ohio, Amerika Syarikat, Februari lepas.-BERNAMA

Malaysia belum selamat

Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT

Oleh Norzie Mohd. Khasbi

Lee Chong Wei memberikan mata pertama skuad negara setelah menumpaskan K. Srikanth 21-19, 21-12 semalam.

NEW DELHI - Pasukan negara melepasi ujian sulung dan dianggap sebelah kaki melangkah ke suku akhir Piala Thomas selepas membenam cabaran India 4-1 dalam aksi pembukaan di Stadium Tertutup Siri Fort, semalam.

Kemenangan tersebut meredakan sedikit tekanan Malaysia kerana mereka sedar, sebarang kekalahan hanya akan menyempitkan peluang untuk muncul dua pasukan terbaik dalam Kumpulan C.

Namun bagi perseorangan kedua negara yang menghadiahkan mata kemenangan, Chong Wei Feng kejayaan menumpaskan India belum mengurangkan keresahannya kerana lawan yang bakal ditemui hari ini, Jerman mampu melakar kejutan setelah mereka hanya tewas tipis 2-3 kepada Korea Selatan semalam.

Malah, kekalahan mengejut Liew Daren kepada R.M.V Gurusaidutt serta aksi kurang meyakinkan daripada beregu eskperimen, Goh V Shem-Tan Wee Kiong belum menjamin laluan mudah bakal diterima pasukan negara.

Menurut Wei Feng, kekalahan mudah 12-21, 13-21 kepada perseorangan kedua Jerman, Dieter Domke dalam satu-satunya pertemuan mereka di Terbuka Bitburger 2012 meletakkan dia dalam keadaan berwaspada apabila menentang pemain tinggi lampai itu sekali lagi.

Malah, Jerman juga dilihat berkeyakinan tinggi selepas perseorangan utama mereka, Marc Zwibler mengejutkan perseorangan utama Korea Selatan, Son Wan Ho 21-18, 21-17 dan Domke menumpaskan Lee Dong Keun 21-17, 21-16.

Michael Fuchs-Johannes Schoettler juga nyaris mengejutkan beregu utama Korea, Yoo Yeon Seong-Lee Yong Dae sebelum kalah tipis 11-21, 21-8, 19-21.

"Kami kena menang hari ini untuk mengurangkan tekanan, namun kemenangan belum meletakkan kita sebelah kaki memasuki suku akhir.

"Saya akui, Malaysia punya kelebihan apabila bertemu Jerman tetapi secara peribadi, saya sedikit resah kerana pemain yang akan saya tentang pernah mengalahkan saya dalam satu-satunya pertemuan kami dua tahun lalu.

"Dia pemain yang tinggi lampai, sangat bagus dan mampu menghadirkan kejutan. Apa pun, saya janji akan memberikan yang terbaik untuk mencari kemenangan dan saya benar-benar bersedia," kata Wei Feng.

Dalam perlawanan semalam, jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei membolehkan Malaysia memulakan kempen dengan langkah kanan apabila hanya memerlukan 35 minit untuk menumpaskan K. Srikanth 21-19, 21-12, sebelum gandingan senior, Tan Boon Heong-Hoon Thien How mengutip mata kedua dengan menundukkan B. Sumeeth Reddy-Manu Atri 21-14, 21-11.

Wei Feng melebarkan rekod pertemuan ke atas Kashyap Parupalli kepada 4-0 dengan menang 21-13, 21-6, sekali gus mengesahkan kemenangan Malaysia.

Biarpun kemenangan sudah sah milik Malaysia, namun V Shem-Wee Kiong gagal menunjukkan ketenangan ketika berdepan Akshay Dewalkar-Pranaav Jerry Chopra apabila berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan 21-17, 14-21, 21-14. Daren pula diheret dalam pertarungan 64 minit ketika tewas 21-18, 13-21, 19-21 di tangan Gurusaidutt.

Sementara itu keresahan Wei Feng menjelang pertemuan dengan Jerman ada asasnya kerana pasukan dari Eropah itu nyata berada dalam keyakinan yang tinggi, terutama pemain-pemain perseorangan mereka biarpun gagal mencatat kemenangan.

"Semangat kami berada di tahap tertinggi ketika ini dan perseorangan kami dipersiapkan dengan bagus sejak enam bulan lalu untuk menghadapi kejohanan. Kami menikmati perlawanan dan bersedia melakukan kejutan dalam dua perlawanan seterusnya.

"Saya kalahkan Wei Feng dua tahun lalu, tetapi dia nampak bagus kali ini. Dia menewaskan Kashyap dengan cukup meyakinkan tetapi saya sudah bersedia untuk berdepan dengannya esok.

"Apa yang boleh saya katakan, semangat Jerman berada di tahap tertinggi ketika ini. Kami memiliki pasukan yang bagus, sentiasa bersemangat dan itu yang menyebabkan Jerman mampu mencatat keputusan baik," kata Domke.

Bagi Daren, dia enggan terlalu terbawa-bawa dengan kekalahan kepada Gurusaidutt, malah berjanji akan bangkit dengan aksi lebih baik sekiranya diturunkan untuk bertemu Jerman hari ini.

"Saya sedar permainan saya tidak bagus hari ini dan terlalu terikut-ikut rentak lawan. Tahap kecergasan saya berada dalam keadaan baik, begitu juga fizikal, cuma saya masih belum dapat menyesuaikan dengan keadaan di gelanggang pertandingan.

"Tanggungjawab sebagai kapten bukan tekanan tambahan kepada saya. Kalau jurulatih mengizinkan saya beraksi lagi esok, saya yakin akan tampil dengan permainan lebih baik. Kalau saya turun dalam perlawanan penentuan, saya yakin untuk menghadiahkan mata," kata Daren.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved